26 Ogos 2011

Sumbangan Idham Care di Titi Serong


26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Azmi Abdul Aziz





Gambar di sekitar majlis penyerahan di Sungai Labu Bawah

TITI SERONG: Penyampaian sumbangan infaq Ramadhan diteruskan lagi dan kali ini telah diadakan di Sungai Labu Bawah dan Tebuk Jawa dalam DUN Titi Serong yang disumbangkan oleh  Idham Care . Hadir sama dalam  majlis penyampaian itu ialah Pengerusi Idham Care , Drs Khalil Idham Lim .

Ketika ditemui beliau mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang telah memberikan sumbangan kepada Idham Care dalam bentuk wang ringgit dan juga keperluan barangan keperluan dapur sebagai bekalan tambahan kepada mereka yang memerlukan. 


Penyerahan sumbangan Idham Care di Tebuk Jawa

"Sesungguhnya dengan sokongan semua pihak yang bermurah hati menyalurkan bahan keperluan dapur dan wang ringgi sehingga berjayanya program sumbangan tersebut. Oleh itu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penyumbang yang budiman" Katanya. 

Drs. Khalil idham Lim yang juga merupakan ADUN Titi Serong telah menyampaikan sumbangan kepada 200 fakir miskin yang layak di Sungai Labu Bawah dan Tebok Jawa telah dikenal pasti di DUN Titi Serong.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada cawangan-cawangan yang turut membantu menjayakan program seperti menyediakan senarai penyumbang dan persiapan tempat untuk majlis penyerahan bantuan kepada fakir miskin yang layak. 

Drs. Khalil juga semasa ditemui menjelaskan sumbangan seterusnya adalah dalam bentuk bubur lambuk yang menyediakan lebih 2000 bekas untuk diagihkan bermula hari ini di sekitar DUN Titi Serong sehingga hari Isnin sehari sebelum menjelang Syawal. 

Ranking universiti hanya 'penarafan palsu'

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Isu pengaliran keluar tenaga akademik daripada Universiti Malaya (UM) ekoran daripada dasar kenaikan pangkat yang terlalu ketat dan berkiblatkan bahasa Inggeris perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pengajian Tinggi khususnya.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) berasa terpanggil untuk memperkatakan isu ini kerana ada kaitannya dengan nasib bahasa Melayu yang menjadi salah satu tunjang perjuangan PENA.

PENA akan sentiasa mempertahankan bahasa Melayu yang telah diterima sebagai teras dalam sistem pendidikan kebangsaan dan dalam semua bentuk pelaksanaannya.
Sekiranya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin tidak mahu melihat perkara sebenar dengan hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak, nescaya masalah ini tidak akan selesai.

Amat malang kalau isu ini dianggap selesai dengan hanya mendengar penjelasan sebelah pihak sedangkan pihak yang lagi satu masih tidak berpuas hati, dan semakin ramai tenaga akademik berhijrah ke universiti atau organisasi lain.

Walaupun dikatakan oleh Naib Canselor Tan Sri Gauth Jasmon bahawa pihaknya mengiktiraf penerbitan bahasa Melayu terutama bagi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit universiti, penerbitan dalam jurnal bertaraf ISI masih menjadi keutamaan.

Difahamkan bahawa sesiapa sahaja yang memiliki penerbitan dalam jurnal bertaraf ISI dengan mudahnya akan disambung perkhidmatan walaupun namanya cuma tempelan pada makalah yang bukan hasil usahanya dan tidak pun berkaitan dengan bidangnya. Semua ini menjadi bahan ketawa dalam kalangan orang akademik.

Sumbangan belum tentu
Orang luar, terutamanya dari negara dunia ketiga juga, dengan mudahnya dapat menjadi warga UM seandainya mereka mempunyai penerbitan dalam kelas yang sama, sedangkan sumbangan mereka sebagai pensyarah dan pemberi ilmu belum tentu lagi.

Pensyarah anak tempatan yang sudah terbukti mempunyai kepakaran yang sesuai dan berfungsi dengan lebih baik sebagai pensyarah tetapi tidak mempunyai penerbitan ISI akan diancam oleh sindrom jumud pangkat.

Maka tidak hairanlah ramai yang telah bertindak keluar dari UM dan mencari nasib di universiti lain.

Malahan difahamkan ada juga pensyarah yang sudah mendapat tempat di universiti lain tetapi tidak memperoleh keizinan daripada UM. Jika dicampurkan bilangan yang tersekat ini nescaya angka itu akan meningkat.

Walaupun dikatakan berlaku kesilapan dari segi angka bilangan pensyarah yang menamatkan perkhidmatan di UM, perkara pokoknya tetap wujud, yakni mereka sudah putus asa dengan nasib di tangan pentadbir UM sekarang.

Syarat itu memperlihatkan seolah-olah penerbitan dalam bahasa Melayu yang lebih bermanfaat kepada pengajian tentang negara ini tidak ada nilainya. Bukankah isi lebih penting daripada bahasa?

Dalam dunia akademia telah banyak sarjana atau penuntut asing yang merujuk kepada bahan terbitan dalam bahasa Melayu untuk membuat penyelidikan yang berkaitan dengan Malaysia, terutamanya dalam bidang sains sosial atau ilmu kemanusiaan.

Di School of Oriental and African Studies, Universiti of London; di Goethe University, Frankfurt; di Berkeley University; di Australian National University, Australia; di Universiti of Beijing; dan sebagainya, pengajian tentang dunia Melayu dilakukan dengan merujuk kepada buku dalam bahasa Melayu.

Sistem kacau bilau

Keperluan terhadap ilmu dan maklumat akan menyebabkan orang luar mempelajari bahasa Melayu. Begitulah akhirnya bahasa Melayu berkembang.

Sekiranya semua maklumat didedahkan bahasa Inggeris, siapakah yang mahu mempelajari bahasa Melayu lagi? Akhirnya bahasa Melayu akan terpinggir dan terperosok di sudut-sudut yang hina.

Wajar difahami bahawa kenaikan ranking (penarafan) UM tidak membawa maksud bahawa kualiti pendidikannya juga meningkat.

Kenaikan penarafan (jika benar naik sekalipun) yang disokong oleh angka jumlah penerbitan ISI, jumlah tenaga pengajar luar (yang entah apa manfaatnya), dan jumlah pelajar asing hanyalah berupa "penarafan palsu".

Kualiti sebenar terletak pada penyelidikannya, mutu penerbitannya, kurikulumnya, asas penilaiannya, dan kebebasan akademiknya, bukannya pada angka yang tiada makna.

Tidakkah pelik bagi sebuah universiti tertua yang digelar sebagai universiti perdana hanya mahu bergembira dan berseronok dengan penarafan sedangkan mutu sebenarnya terus merosot.

Umpama sebuah istana, kemegahannya tidak bermakna jika anai-anai sahaja yang mendiaminya.

Seorang profesor di Goethe University, Frankfurt, berkata, mereka tidak peduli pun tentang ranking. Oleh itu, kembalikan kegemilangan UM dengan asas penilaian yang benar, bukan asas yang palsu. Jangan biarkan UM diporak-perandakan oleh sistem yang kacau bilau.

Kembalikan semangat bekerja pensyarahnya dan berikan tempat yang sewajarnya kepada bahasa Melayu tanpa meminggirkan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang dominan.

malaysiakini/-

Pemohon bantuan pejabat zakat bukan pengemis

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak.

Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa 'amat sederhana'. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi.

Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.
Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat.

Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik.

Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya.

Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Mesra dan sayang

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya.

Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan 'mesra dan sayang'.

Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya?

Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat.

Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu.

Kekal keislaman

Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja.

Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.

Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.

Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya.

Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan 'tukaran' yang tidak dapat saya maklumkan di sini.

Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut 'semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.

Semasa saya menziarahinya - tanpa notis awal - dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih.

Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan.

Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan sarjana dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salahkan gereja

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan 'dakwah'.

Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan.

Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita.

Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu bilion. Itu setiap tahun.

Cari, bukan tunggu penerima zakat

Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tetapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwah Islamiah.

Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatah lagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program "Bersamamu" boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat.

Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan.

Firman Allah (maksudnya): "(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.

Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan.

Kata Saidina 'Umar RA: "Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka."

Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): "Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini." (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-'ilmiyyah).

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas.

Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

malaysiakini/-

PAS alukan kenyataan SPR guna dakwat kekal

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: PAS menyambut baik jika Pengerusi SPR membayangkan mahu menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang bagi mengelak pengundian berganda.

Bagaimanapun kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, jika benar ia diguna menggantikan biometrik, ianya hanya satu daripada lapan tuntutan reformasi pilihan raya yang dituntut PAS dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) selama ini.

Selain penggunaan dakwat kekal, tujuh lagi tuntutan lain adalah pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam serta menghentikan rasuah dan politik kotor.

"PAS menerima jika SPR bercadang mahu melaksanakan dakwat kekal sebagaimana dinyatakan SPR.

"Bagaimanapun itu hanya satu daripada tuntukan kita dan juga Bersih yang berjumlah lapan kesemuanya," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik.

Tambahnya lagi, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan.

Ianya termasuklah tidak mampu mengesan undi dua kali bagi mereka yang mempunyai dua kad pengenalan dan menyulitkan proses semasa pembuangan undi.

Selain itu, SPR juga turut mengakui bahawa sistem biometrik sangat mahal dan memerlukan masa yang lebih lama untuk dipersiapkan berbanding dakwat kekal yang lebih murah dan cepat.

Sehubungan itu, beliau yang kini berada di tanah suci Mekah berkata, SPR perlu melihat kesemua tuntutan itu bagi menjamin pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil.

Kesemua tuntutan yang dikemukakan katanya, bersifat mendesak dan perlukan pembaharuan segera khususnya dalam aspek pendaftaran pemilih yang kini berdepan pelbagai keraguan yang didedahkan.

harakahdaily/-

Konflik Libya: Pemberontak pindah pentadbiran ke Tripoli

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 26 Ogos - Pemberontak Libya umumkan telah memindahkan pentadbiran mereka ke Tripoli dari Benghazi ekoran pengumuman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar jutaan ringgit bantuan.

“Saya isytihar permulaan pelaksanaan jawatankuasa eksekutif di Tripoli,” kata Ali Tarhui, pegawai kanan pemberontak pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menggesa tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi meletakkan senjata dan diberi jaminan keselamatan serta layanan mengikut undang-undang. - AFP

Pilu lihat datuk mati tergolek

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

DUNGUN: “Datuk kelihatan tergesa-gesa selepas memberitahu mahu pulang ke rumah seolah-olah ada perkara penting,” kata Mohd Khairul Naim Padeli, 14, cucu warga emas yang maut selepas dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat simpang Durian Mentangau, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi itu, Kadir Seman, 67, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh motosikal ditunggang seorang pelajar berusia 17 tahun.

Mohd Khairul berkata, dia tidak sempat berpesan kepada datuknya supaya berhati-hati melintas jalan dan sedih melihat warga emas itu tercampak di atas jalan raya selepas dirempuh motosikal.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama datuknya menjual daging lembu di tepi jalan terbabit sebelum datuknya memaklumkan mahu pulang ke rumah dan memintanya menjaga gerai mereka.

“Sempena Ramadan, datuk menjual daging di situ dan mengajak saya membantunya supaya saya dapat upah yang boleh digunakan sebagai perbelanjaan menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun, semalam.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini jalan berkenaan sesak dengan kenderaan dan arwah tidak membawa motosikalnya sebaliknya meletakkan kenderaan itu di seberang jalan sebelum melintas di hadapan gerai tempat mereka menjual daging.

“Ketika kejadian, dia melintas jalan untuk mengambil motosikalnya di seberang jalan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, sebaik kemalangan terbabit berlaku, dia berlari mendapatkan datuknya yang ketika itu berdarah di kepala sebelum memeluk dan mengajarnya mengucap kalimah syahadat.

“Saya sedih kerana beberapa minit selepas itu dia sudah tidak bernyawa sebelum seorang anggota polis yang melalui jalan itu mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan.

metro/-

Cincang nenek suruh masak nasi

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TENOM: Hanya kerana meminta dimasakkan nasi, seorang nenek mati dalam keadaan tragik apabila dicincang seluruh tubuh oleh cucunya di rumahnya di Kampung Melalap di sini, kelmarin.

Ketika kejadian, hanya mangsa, Dayu Rawang, 77, dan cucu perempuannya yang berusia 27 tahun itu berada di rumah kerana anggota keluarga lain menghadiri majlis berikutan kematian jiran di rumah berhampiran.

Menurut sumber, sebaik bapa suspek yang mahu dikenali Abdul Hamid, 47, pulang ke rumah bersama seorang lagi anak berusia 15 tahun kira-kira jam 10 malam, dia curiga kerana panggilannya tidak bersahut.

Abdul Hamid masuk ke rumah dan menuju dapur dan terkejut apabila melihat jenazah ibunya, Dayu Rawang, terbujur dalam keadaan ngeri dengan berlumuran darah.

Dia bertambah terkejut apabila melihat suspek yang juga anak perempuannya berada di sisi mayat warga emas berkenaan sambil memegang pisau.

metro/-

Dua maut akibat taufan Irene di Haiti

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PORT-AU-PRINCE 26 Ogos – Sekurang-kurangnya dua maut selepas Taufan Irene melanda Haiti semalam.

Menurut kenyataan pertahanan awam, dua mangsa tersebut dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam sebuah gaung di Mahotiere, barat laut Haiti akibat hujan lebat.

Taufan tersebut telah melepasi pantai utara negara ini namun dijangka akan menyebabkan banjir di kebanyakan kawasan di Haiti yang kini sedang pulih akibat bencana gempa bumi pada Januari tahun lalu. – AFP

Amerika terus curiga penduduk Islam

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TONGKAT diletak dekat bilik pameran Dialog in the Dark di South Street Seaport, New York. Pengunjung dikehendaki menggunakan tongkat itu kerana perlu bergerak dalam keadaan gelap di ruang pameran supaya lebih memahami masalah golongan tanpa penglihatan.

CIA didakwa bantu polis New York buat intipan di masjid, pantau kegiatan masyarakat

NEW YORK: Organisasi pembebasan hak asasi Muslim Amerika Syarikat kelmarin menggesa siasatan persekutuan dan sesi keterangan di Senat terhadap laporan menunjukkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) membantu Jabatan Polis New York (NYPD) mengumpul maklumat perisikan di masjid dan kawasan etnik minoriti.

Majlis Hubungan American-Islamic (CAIR) mengesyaki wujudnya kerjasama antara polis dan CIA dalam mengumpul maklumat perisikan yang melanggar Perlembagaan Amerika, Akta Hak Persendirian 1974 dan arahan presiden melarang CIA mengintip rakyat Amerika, kata peguam CAIR, Gadeir Abbas.

“Memang wajar sesi memberi keterangan diadakan dalam hal ini,” kata Gadeir yang meminta Jawatankuasa Perisikan Senat menilai sebahagian operasi pengawasan CIA.

Laporan Associated Press (AP) mendedahkan, pegawai NYPD menyamar ketika dihantar ke kawasan penduduk minoriti untuk memantau kedai buku, bar, kafe dan kelab malam serta polis menggunakan pemberi maklumat yang dikenali sebagai ‘kaki ampu’ masjid untuk mengawasi khutbah.

“NYPD dianggap jauh melangkaui batas tugas dan menyasarkan komuniti etnik dengan cara ini ia akan melanggar peraturan kebebasan awam jika dilakukan oleh kerajaan persekutuan,” kata AP yang menjelaskan kerjasama antara CIA dan NYPD sebagai belum pernah terjadi sebelum ini.

Jurucakap polis pula berkata: “Kami tidak mahu minta maaf kerana teknik agresif yang dilakukan sejak serangan 11 September 2001.” Katanya, teknik berkenaan membantu menggagalkan 13 rancangan pengganas di bandar itu.

“Ia (laporan AP) menunjukkan kami melakukan apa saja yang munasabah untuk menghentikan pengganas daripada membunuh lebih ramai penduduk New York,” kata Timbalan Pe suruhjaya NYPD, Paul Browne menerusi e-melnya. – Reuters

The Malaysian Insider disaman RM200 juta

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Pengerusi Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli mengemukakan saman RM200 juta terhadap portal The Malaysian Insider dan dua yang lain atas dakwaan memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan pada 31 Mei lalu.

Writ saman tersebut yang difailkan pada 18 ogos lalu menamakan The Malaysian Insider Sdn. Bhd., pemiliknya, Jahabar Sadiq dan wartawan, Shazwan Mustafa Kamal sebagai defendan.

Tarikh 19 September ditetapkan untuk pengurusan kes tersebut di hadapan Hakim Harminder Singh Dhaliwal. - Utusan

4 mati diserang pemisah di selatan Thai

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -



YALA: Kumpulan pemisah dikatakan telah membunuh empat orang awam dalam satu siri serangan di kawasan majoriti penduduk Islam di selatan Thailand.

Menurut polis, sekumpulan lelaki bersenjata telah menembak rumah ketua kampung di sebuah kampung di Wilayah Yala awal pagi semalam dan berbalas tembakan dengan pasukan sukarelawan. 


Anak lelaki ketua kampung itu dan cucu perempuannya terbunuh, manakala 10 orang lagi cedera. 

Dalam satu kejadian lain, lebih satu dozen lelaki bersenjata di dalam sebuah trak menyerang askar di pondok kawalan di Wilayah Songkhla petang kelmarin menyebabkan seorang askar mati dan dua lagi cedera.



Serangan pemisah jarang berlaku di Songkhla yang terletak di utara antara tiga wilayah, Yala, Pattani dan Narathiwat yang sering berlaku keganasan. -AFP

China tuduh AS sengaja buat cerita

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -



BEIJING: China menuduh Amerika Syarikat sengaja membesarkan cerita tentang ancaman ketenteraan negara itu selepas satu laporan mengatakan ia sedang meningkatkan kuasa ketenteraannya.

Menurut Jabatan Pertahanan AS dalam laporan tahunannya kepada Kongres, China sedang meningkatkan pertahanan laut dan membuat pelaburan dalam senjata berteknologi tinggi yang mampu sampai ke sasaran lebih jauh daripada Lautan Pasifik. 


Menurut Xinhua, penduduk China berasa pelik kerana Amerika Syarikat yang berbelanja tinggi untuk ketenteraannya berbanding negara lain, akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan negara China. 

Awal tahun ini Beijing mengumumkan perbelanjaan ketenteraan China naik ke 601.1 bilion yuan (RM281.5 bilion) tahun ini. -AFP

20 jurutera kanan China peluk Islam

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -



MAKKAH: Seramai 20 jurutera kanan China yang terbabit dalam Projek Kereta Api Al-Masha’er memeluk Islam setakat ini.
Akhbar tempatan melaporkan, pengucapan syahadah itu menjadikan jumlah kakitangan memeluk Islam di kalangan jurutera projek terbabit mencapai 2,000 orang.


Secara keseluruhan, 6,000 jurutera dan buruk kini menyiapkan projek kereta api yang menghubungkan semua kawasan utama dalam ibadah haji dan umrah itu.


Disebabkan jumlah pekerja Islam bertambah, pengurusan projek turut menyediakan tempat khas untuk bersolat di tapak pembinaan berkenaan. Penyelia Projek Kereta Api Al-Masha’er berkata, mereka menyediakan program khas untuk 20 jurutera terbabit, termasuk membabitkan aspek teori dan praktikal ibadah.


“Mereka juga diajar bahasa Arab serta ceramah oleh ulama China yang terbabit dalam aktiviti dakwah,” katanya. - SG

Apple diramal hadapi era suram tanpa Steve Jobs

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -


STEVE JOBS menunjukkan iPad baru ketika mengumumkan produk itu di San Francisco, Januari lalu.
STEVE JOBS menunjukkan iPad baru ketika mengumumkan produk itu di San Francisco, Januari lalu.
Peneraju iPhone, iPad letak jawatan, Tim Cook ambil alih

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Steve Jobs, meletakkan jawatan itu semalam atas alasan beliau tidak lagi mampu meneruskan tugas tetapi akan terus terbabit dalam mengemudi syarikat, salah sebuah firma teknologi paling berpengaruh dunia.
Tetapi, Trip Chowdhry, penganalisis firma Global Equities Research, menyifatkan pendirian Jobs yang benar-benar memastikan produk dikeluarkan bermutu adalah faktor memisahkan Apple daripada syarikat lain.
Apple adalah Steve Jobs, Steve Jobs adalah Apple. - Trip Chowdhry, Penganalisis firma Global Equities Research
Katanya, operasi pengeluaran Apple tidak akan terjejas buat beberapa tahun akan datang tetapi syarikat itu akan mengalami masalah menghasilkan produk pada masa depan.

“Apple adalah Steve Jobs, Steve Jobs adalah Apple, dan Steve Jobs mewakili inovasi. Anda boleh ajar bagaimana untuk jadi berkesan, upah perunding untuk lakukannya tetapi hanya tuhan mencipta inovasi. Apple tanpa Steve Jobs tidak memberi apa-apa makna,” kata Chowdhry.

Tindakannya dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan yang belum diketahui selepas beliau mengambil cuti bagi tempoh yang tidak dinyatakan sejak Januari lalu. Ketua Pegawai Operasi (COO) Apple, Tim Cook, dinamakan sebagai CEO.

Dalam suratnya kepada lembaga pengarah syarikat dan ‘masyarakat Apple,’ Jobs berkata: “Saya selalu berkata, saya akan beritahu jika saya tidak lagi mampu memenuhi tugas dan harapan sebagai CEO Apple. Malang sekali, detiknya sudah tiba.” 
Syarikat itu berkata, Jobs memaklumkan peletakan jawatannya dan menyarankan Cook sebagai pengganti dan peneraju utama.
Apple berkata, Jobs dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah dan Cook salah seorang ahlinya.

Pelabur Apple sudah lama bimbang dengan kesihatan Jobs yang dianggap sebagai ‘tukang tilik industri’ kerana seolah-olah tahu apa yang diperlukan pengguna lebih awal daripada orang lain.

Selepas pengumuman itu, nilai saham Apple jatuh 5.4 peratus dalam urus niaga selepas waktu pejabat.

Pengarang Urusan berita online The Mac Observer, Jeff Gamet, berkata peletakan jawatan Jobs lebih bersifat sentimental dan menjangka ia tidak akan menjejaskan Apple.

“Apa yang dilakukan oleh Apple ialah mengesahkannya dan sekarang Tim mengendalikan hala tuju Apple dan Steve masih terbabit memastikan produk dikeluarkan memenuhi taraf Apple.

“Saya jangka meskipun ramai ketika ini bersedih atau takut kerana Steve tidak lagi menjadi CEO, pada akhirnya semuanya kembali seperti biasa,” kata Gamet. – AP

Wajib pakai ihram untuk tawaf


26 Ramadhan 1432H. [MOD] -


SUASANA Masjidilharam pada waktu malam, kelmarin.
SUASANA Masjidilharam pada waktu malam, kelmarin.
Syarat guna Mataf pada Lailatul Qadar 

MAKKAH: Jemaah yang tidak memakai ihram tidak akan dibenarkan memasuki mataf (kawasan tawaf) di Masjidilharam pada malam 27 Ramadan, dipercayai secara meluas sebagai 'Malam Lailatul Qadar', lapor akhbar Al-Madinah kelmarin memetik seorang pegawai kanan keselamatan sebagai berkata.
Komander polis Masjidilharam Kolonel Yahya Al-Zahrani berkata jemaah biasa yang datang untuk bersolat atau menghadiri sesi penutup bacaan ayat suci al-Quran pada malam ke-29 akan diarahkan ke kawasan bumbung, tingkat bawah dan plaza di luar masjid.
“Urusan ini dibuat bagi mengelak kesesakan pada malam ke-27 dan 29 serta menjadikannya mudah kepada jemaah melakukan umrah,” katanya. 

Yahya berkata, anggota polis yang bertanggungjawab untuk keselamatan Masjidilharam diperketatkan iaitu 1,600 anggota polis, 29 pegawai dan 2,800 kadet. 

Katanya, Masjid Agung itu dipantau setiap masa oleh 750 kamera pengawasan diletakkan di lokasi berbeza di dalam dan luar masjid. 

Beliau juga mengakui kes kecurian kurang tahun ini dalam kawasan masjid disebabkan pemasangan kamera, sistem cap jari di lapangan terbang dan kerjasama antara polis di Arab Saudi dan negara yang menghantar jemaah. Sementara itu, Jabatan Tawaf dan Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci memberi amaran kepada pemandu jemaah yang tidak berlesen supaya tidak bekerja di Masjidilharam atau dikenakan tindakan. Pengarahnya, Yousuf Muhammad Al-Suwailam, berkata pegawai memantau rapat pemandu jemaah dalam masjid dan berkata mereka yang tiada permit sah akan didenda. Ada 600 pemandu jemaah menemani jemaah ketika tawaf di sekitar Kaabah dan saie, di antara Safa dan Marwah. Al-Suwailam meminta jemaah menghabiskan masa di Masjidilharam untuk bersolat dan menasihatkan mereka tidak bersesak di sekitar Hajarul Aswad. Katanya, solat sunat tawaf boleh dilakukan di mana saja di dalam masjid, tidak semestinya berhampiran Makam Ibrahim. Al-Suwailam meminta jemaah dan pelawat menghantar aduan dan pemantauan ke pejabat jabatan berhampiran Pagar Bilal (No 6). – Agensi