26 Ogos 2011

Pilu lihat datuk mati tergolek

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

DUNGUN: “Datuk kelihatan tergesa-gesa selepas memberitahu mahu pulang ke rumah seolah-olah ada perkara penting,” kata Mohd Khairul Naim Padeli, 14, cucu warga emas yang maut selepas dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat simpang Durian Mentangau, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi itu, Kadir Seman, 67, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh motosikal ditunggang seorang pelajar berusia 17 tahun.

Mohd Khairul berkata, dia tidak sempat berpesan kepada datuknya supaya berhati-hati melintas jalan dan sedih melihat warga emas itu tercampak di atas jalan raya selepas dirempuh motosikal.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama datuknya menjual daging lembu di tepi jalan terbabit sebelum datuknya memaklumkan mahu pulang ke rumah dan memintanya menjaga gerai mereka.

“Sempena Ramadan, datuk menjual daging di situ dan mengajak saya membantunya supaya saya dapat upah yang boleh digunakan sebagai perbelanjaan menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun, semalam.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini jalan berkenaan sesak dengan kenderaan dan arwah tidak membawa motosikalnya sebaliknya meletakkan kenderaan itu di seberang jalan sebelum melintas di hadapan gerai tempat mereka menjual daging.

“Ketika kejadian, dia melintas jalan untuk mengambil motosikalnya di seberang jalan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, sebaik kemalangan terbabit berlaku, dia berlari mendapatkan datuknya yang ketika itu berdarah di kepala sebelum memeluk dan mengajarnya mengucap kalimah syahadat.

“Saya sedih kerana beberapa minit selepas itu dia sudah tidak bernyawa sebelum seorang anggota polis yang melalui jalan itu mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan.

metro/-

Tiada ulasan: