26 Ogos 2011

Malay Basin: Kelantan tidak boleh diketepikan

26 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Kelantan tidak wajar dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah, kata Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada laporan media pada 23 Ogos yang memetik kenyataan Petronas mengenai pembangunan pengeluaran gas di utara Malay Basin yang akan disalurkan dengan paip lautan yang baru sejauh 200 km ke Kerteh,Terengganu yang keseluruhannya bernilai RM15 bilion.

Suka diingatkan, katanya bahawa utara Malay Basin dengan blok-blok yang disebutkan iaitu PM 301 ,PM 302 serta telaga Bergading adalah sepenuhnya berada dalam perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan mana-mana negeri atau negara yang lain.

Tambah beliau, jaraknya dengan pantai Kelantan hanya 150 km dan paling hampir berbanding Terengganu.

“Adalah tidak wajar Kelantan tidak dirundingi dalam hal ini. Juga adalah tidak wajar sekali lagi Kelantan dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah tersimpan di perut buminya,” ujarnya yang juga Pengerusi JK Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan dalam satu kenyataan.

Dalam hal itu, katanya adalah elok Petronas meneliti semula dokumen cadangan kerajaan negeri Kelantan supaya gas ini didaratkan di Bachok, Kelantan.

Kerajaan negeri, tambahnya bersedia memberikan segala kemudahan bagi tujuan itu termasuk teknologi terkini yang mampu memproses gas dengan kandungan karbon yang tinggi dengan kos lebih murah dan dengan itu loji pemprosesan dapat ditempatkan di sini.

“Kerajaan negeri akan berbuat apa sahaja insya Allah supaya hasil mahsul Kelantan ini tidak sekali lagi diangkut keluar tanpa memberikan apa-apa faedah kepada rakyat dan negeri Kelantan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: