05 September 2011

Misi bantuan disaran dapat kerjasama negara berkaitan

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyarankan agar penganjur kumpulan misi bantuan dari Malaysia mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan negara berkenaan terlebih dahulu sebelum ke sana.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini adalah penting bagi memastikan terutamanya dari aspek keselamatan terjamin serta memudahkan urusan ketika berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Beliau berkata peserta mesti berwaspada dengan keadaan yang tidak menentu kerana sebagai warga asing dalam zon perang, mereka hanya boleh meneruskan misi apabila mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya tugasan dan pengarahan yang jelas mengikut aliran arahan hendaklah difahami sehingga tidak ada yang keliru atau kabur dengan tindakan yang perlu diambil apabila situasi menjadi tegang.

Mohd Azmi berkata kejadian yang berlaku ke atas jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di Somalia Jumaat lepas sangat dikesali dan semua pihak mesti menerima takdir Allah dan katanya MAPIM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul.

Noramfaizul, 39, terkorban di Somalia setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda dari memberikan bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran oleh Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putra 1Malaysia.

Sementara itu Mohd Azmi berkata MAPIM berterima kasih kepada pihak berkuasa Gaza dan Mesir serta kedutaan Malaysia di Kaherah kerana memberi kerjasama penuh kepada mereka untuk menjayakan misi kedua ke Gaza.

Beliau berkata MAPIM ingin berkongsi pengalaman ketika menghadapi situasi yang sangat mencemaskan apabila berada di Gaza dari 17 hingga 20 Ogos lepas di mana seramai 33 orang sukarelawan berada di sana dalam rangka menyampaikan bantuan dan menilai situasi terkini di Gaza.

Katanya anggota Misi Ramadan di Gaza 2 (RADIG 2)- MAPIM berhadapan dengan keadaan yang mencemaskan apabila berlaku serangan daripada Israel ke atas Gaza pada hari kedua anggota misi di sana.

Menurutnya, serangan pertama berlaku sangat dekat dengan mereka apabila Israel melancarkan roket yang merosakkan beberapa bangunan berdekatan iaitu kira-kira 400 meter dari hotelnya.

Beliau berkata anggota kumpulannya telah mendapat taklimat serta maklumat terkini mengenai tahap keselamatan di Gaza daripada pihak berkuasa Gaza.

"Melalui pengalaman inilah kami memastikan mempunyai akses kepada maklumat daripada pihak keselamatan tempatan agar kami mengetahui apakah yang bakal kami hadapi.

"Malah sebelum kami berangkat ke Gaza dari Kaherah dengan menaiki bas, kami telah melakukan latihan simulasi keselamatan pada hari sebelumnya untuk mempersiapkan peserta dari segi fizikal dan mental serta rohani ke arah menghadapi tindakan kecemasan jika berlaku serangan," katanya.

Mohd Azmi berkata, ketika serangan berlaku bermula 18 Ogos mereka telah mendapat maklumat dari masa ke semasa daripada pihak berkuasa Gaza dan menunggu arahan untuk bersiap melakukan proses pemindahan jika keadaan memerlukan.

Bernama/-

18 korban puting beliung Talas

7 Syawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Kira-kira 18 orang mati dan 43 lagi hilang apabila air sungai melimpah dan bangunan runtuh ekoran puting beliung yang membadai barat Jepun, semalam.

Seorang mangsa mati lemas selepas air naik di jalan raya dan menenggelamkan keretanya. Keadaan itu hampir sama dengan tsunami yang melanda negara itu 11 Mac lalu.

Puting beliung Talas yang melanda kelmarin membawa angin selaju 108 kilometer sejam, melanda Shikoku, barat Pulau Honshu.

Di Kampung Totsukawa, banjir menghanyutkan sebuah rumah menyebabkan dua orang mati dan tujuh hilang. - AFP

Ops Sikap ke-13: Jumlah kematian 254

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Berbaki dua hari lagi, Ops Sikap-24 terus merekodkan pertambahan jumlah kematian iaitu seramai 254 orang sehingga hari ke-13 operasinya semalam.

Laman web Polis Bukit Aman hari ini melaporkan, seramai 26 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan 22 kes kemalangan maut semalam.

Kenyataan itu berkata, penunggang motosikal mencatat jumlah kematian paling tinggi iaitu 15 orang, pengguna kereta (lapan), pejalan kaki (dua) dan kenderaan lain (satu).

Sementara itu, jumlah keseluruhan kemalangan yang direkodkan semalam ialah 1,144 dengan statistik paling tinggi dicatat di Jalan Bandaran iaitu 379 diikuti Jalan Persekutuan (371), Jalan Negeri (229), Lebuhraya (99) dan jalan-jalan lain (66).

Sebanyak 7,591 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik semalam.

Ops Sikap-24 yang bermula 23 Ogos, akan berakhir 6 September ini. - BERNAMA

China tawar senjata kepada Gaddafi: Media

7 Syawal 1432H. [MOD] -

MONTREAL: China menawarkan bekalan senjata kepada Muammar Gaddafi dalam bulan terakhir pentadbiran rejim itu dan difahamkan turut mengadakan perbincangan secara rahsia bagi tujuan penghantaran menerusi Algeria dan Afrika Selatan, demikian menurut laporan The Globe dan Mail.

Akhbar harian Kanada, berkata syarikat senjata yang dimiliki China bersedia untuk menjual senjata dan peluru bernilai sekurang-kurangnya AS$200 juta kepada Gaddafi pada akhir Julai lalu.

Namun, katanya, PBB sudah membuat sekatan susulan penemuan dokumen rahsia itu.
Akhbar berkenaan, hari ini, tidak mengesahkan sama ada bantuan tentera dihantar, tetapi ahli kanan majlis pemerintah baru Tripoli berkata, mereka mengesyaki pembabitan China, Algeria dan Afrika Selatan baru-baru ini.

Menurut satu laporan daripada media di Toronto, memaklumkan Algeria, China dan Afrika Selatan enggan menyokong tindakan NATO di Libya.

Ketua Jawatankuasa Tentera bagi Majlis Peralihan, Omar Hariri, mengkaji semula dokumen dan akan membuat kesimpulan mereka mengenai kehadiran senjata baru di medan perang. - AFP

20 maut, 50 hilang Taufan Talas landa barat Jepun

7 Syawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Taufan yang melanda barat Jepun semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 terbunuh manakala lebih 50 lagi dilaporkan hilang.

Sungai yang dilimpahi air menyebabkan bangunan dan rumah dibawa arus akibat tanah runtuh.

Seorang daripada mangsa lemas selepas banjir menghanyutkan keretanya dengan kawasan ditimpa taufan ibarat tragedi tsunami yang melanda negara itu 11 Mac lalu.

Turut dilaporkan ribuan orang ramai kini kehilangan tempat kediaman akibat taufan berkenaan.

Taufan Talas yang membadai kelmarin adalah antara taufan yang membawa kemusnahan dan angka kematian yang tinggi sejak beberapa tahun lalu dengan membawa angin kencang sehingga 108 kilometer sejam melanda Pulau Shikoku dan Honshu.

Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan bagi menangani keperluan mangsa yang kebanyakannya rumah mereka roboh akibat ditimpa tanah runtuh. - AFP

Chile isytihar berkabung berikutan nahas pesawat

7 Syawal 1432H. [MOD] -

SANTIAGO: Chile hari ini mengisytiharkan berkabung selama dua hari selepas 21 orang terkorban berikutan nahas pesawat tentera di Pulau Robinson Crusoe di Pasifik, Jumaat lalu.

Tragedi itu membawa kepada pengkebumian negara selepas hanya empat mayat setakat ini berjaya ditemui sejak pesawat jenis CASA 212 yang dipercayai dipukul ribut terhempas ketika hendak mendarat lewat Jumaat lalu.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan lewat semalam apabila mereka mendapati usaha untuk menemui mereka yang masih bernyawa amat tipis.

Presiden Chile, Sebastian Pinera berkata, dua hari berkabung itu membolehkan orang ramai memberi ucapan takziah kepada keluarga mangsa termasuk seorang personaliti televisyen terkenal negara itu, Felipe Camiroaga. - AFP

Harga penginapan hotel di Mekah menurun

7 Syawal 1432H. [MOD] -

MEKAH - Penginapan di hotel-hotel dan unit perumahan yang disewa di sekitar Masjidilharam mula merosot 50 peratus pada Selasa lalu.

Kemerosotan itu berlaku ekoran ramai penduduk tempatan dan 40 peratus penganut Islam dari luar negara yang menunaikan umrah dalam bulan Ramadan mulai meninggalkan Mekah.

Mereka mula meninggalkan Mekah ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut di Arab Saudi pada Selasa lalu.

Harga penginapan hotel lima bintang yang menghadap Masjidilharam menurun sebanyak 70 peratus untuk mencecah harga hanya 650 riyal (RM513.79).

Bilik-bilik yang tidak menghadap Masjidilharam kini berharga 500 riyal (RM395.23).

Harga bilik hotel yang terletak jauh dari Masjidilharam berharga di antara 200 riyal (RM158) hingga 400 riyal (RM316.18).

Pengerusi Jawatankuasa Hotel dan Pelancongan di Dewan Perdagangan dan Industri Mekah, Waleed Abu Sabaah menyatakan, harga hotel akan berkurangan secara berperingkat-peringkat untuk mencecah peringkat paling rendah pada pertengahan Syawal ini. - Agensi

NTC sedia tawan Bani Walid

7 Syawal 1432H. [MOD] -

SEMAKIN HAMPIR...pejuang anti-Gaddafi tiba di bandar Tarhouna, kira-kira 70 kilometer di utara Bani Walid, semalam.

SHISHAN (Libya): Pejuang yang setia kepada kerajaan baru kini semakin mara ke kubu terakhir Muammar Gaddafi semalam, ketika rundingan untuk penyerahan aman bekas pemimpin Libya itu diketepikan.

Seorang pemimpin tentera itu berkata, serangan ke atas Bani Walid yang menjadi tempat pertahanan terakhir Gaddafi tidak dapat dielakkan.

“Kami bersedia,” katanya dari sebuah kampung 70 kilometer di utara Bani Walid.

Kata pemimpin itu, rundingan di antara mereka dengan kumpulan Gaddafi berakhir kerana didapati tidak serius.

Katanya, dua kali kem Gaddafi berjanji menyerah tetapi ia gagal dikotakan.

“Hakikatnya, mereka mengambil kesempatan atas keadaan semasa dan mahu mengelak malu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negara Libya yang baru, Ahmed Darrat, berkata dia yakin Bani Walid ditawan dalam tempoh sehari dua lagi.

Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) tempatan, Mahmud Abdelaziz, berkata tentera mereka kini menunggu arahan daripada pihak atasan untuk mara.

“Malam semalam (kelmarin) Gaddafi cuba meninggalkan Bani Walid dan mencetuskan tembak-menembak beberapa minit,” katanya.

Kelmarin, timbalan ketua tentera Libya di bandar Tarhouna, utara Bani Walid, berkata Gaddafi dan penyokongnya diberi tempoh sehingga jam 4 petang semalam (waktu Malaysia) untuk menyerah. - AFP

Umno seleweng fakta sejarah negara

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Masyarakat kini melihat seolah-olah sejarah kemerdekaan seperti sejarah Umno semata-mata tanpa membabitkan tokoh yang lain.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melihat isu yang berkaitan dengan pensejarahan hari kemerdekaan negara Malaysia ini tidak akan selesai dan menuju titik kesudahan kerana pihak kerajaan Umno BN yang memerintah sememangnya tidak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya.

Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, Umno BN sentiasa mempergunakan isu hari kemerdekaan untuk mempengaruhi, menakutkan dan mengancam rakyat supaya tidak menolak mereka.

Menurutnya, Umno BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa hanya mereka sahajalah yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah yang sebenarnya menukilkan bahawa Umno adalah sebenarnya ‘alat kepada penjajah’.

Beliau berkata, Umno BN cuba meraih simpati politik murahan di atas isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkenaan hari kemerdekaan dan tragedi Bukit Kepong, dengan menunjukkan bahawa merekalah hero yang sebenarnya mempertahankan ketuanan Malaysia dan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara tanpa memberika ruang untuk Pakatan Rakyat menjawab balas.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya bahawa Timbalan Presiden PAS mempunyai hujah dan fakta yang kukuh serta bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang beliau keluarkan,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengganggap sejarah kemerdekaan Malaysia masih ada banyak kelompongan fakta yang perlu ditambah dan diperbaiki terutamanya yang membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang telah mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah.

Katanya, tokoh-tokoh ulama seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang selain Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr. Burhanuddin Al Helmi juga merupakan pahlawan yang melawan penjajah di zaman masing-masing yang telah dinafikan hak mereka sebagai tokoh kemerdekaan negara.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia dapat dikaji dan ditulis semula secara berilmiah dan beradab,” ujarnya.

Katanya, DPPNS meminta supaya pihak sejarawan yang ada di dalam negara ini perlu mendesak pihak kerajaan supaya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membicarakan isu kemerdekaan ini secara telus dan terperinci berdasarkan kajian dan ilmu mereka.

Justeru, ujarnya pihak kerajaan perlu menyediakan pentas untuk perbincangan ilmiah secara langsung yang membabitkan pihak sejarawan ini bersama dengan Timbalan Presiden PAS dan wakil Umno supaya mereka dapat membentangkan hujah dan fakta mereka berkaitan isu sejarah kemerdekaan Malaysia.

Beliau menambah, rakyat kini semakin bijak dan bermaklumat dan akan menerima penghujahan yang berdasarkan fakta yang tepat dan sahih.

“Umno BN tidak dapat lagi memperbodohkan rakyat dengan hujah emosi dan alasan yang tidak bersandarkan kepada fakta kerana Umno BNlah yang selama ini menyelewengkan fakta sejarah negara,” katanya lagi.

Harakahdaily

PM India, 30 menteri kabinet isytihar harta

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri India Manmohan Singh dan kira-kira 30 menteri Kabinetnya semalam telah mengisytiharkan harta peribadi masing-masing.

Menurut laman web Pejabat Perdana Menteri, harta peribadi Manmohan (kiri, berserban) berjumlah 2.63 bilion Rupee (RM3.9 juta) termasuk wang tunai di bank, tanah dan harta (dua buah rumah dan sebuah kereta jenis Maruti 800cc).

Berdasarkan maklumat dalam laman web berkenaan, menteri Kabinet yang paling kaya ialah Menteri Pembangunan Bandar Kamal Nath, dengan nilai harta (termasuk milik keluarganya) berjumlah 263 juta Rupee (RM165 juta).

Yang paling miskin pula dalam kalangan mereka ialah Menteri Pertahanan AK Antony, yang berasal dari Kerala, dengan nilai harta 10 juta Rupee (RM666,000).

Perisytiharan harta itu dibuat mengikut Kod Tatalaku bagi menteri.

Namun begitu tidak semua menteri mengisytiharkan harta mereka.

Seramai 72 daripada 77 menteri mengumumkan kepada awam harta peribadi mereka -- yang dilihat sebagai langkah mempromosikan ketelusan yang lebih meluas dalam kerajaan -- semasa parti memerintah sedang menghadapi krisis kewibawaan.

Sejak akhir-akhir ini gabungan United Progressive Alliance, yang diketuai Manmohan, berdepan tekanan hebat selepas berlakunya kes-kes rasuah besar seperti rasuah Sukan Komanwel dan penipuan telekomunikasi yang menjadi tajuk utama akhbar.

- Bernama

Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Seringkali keputusan dasar yang dibuat oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kepentingan politik dan tidak semestinya membawa hasil yang bermanfaat kepada rakyat jelata.

Oleh yang demikian, banyak diantara program-program yang dilancarkan oleh kerajaan adalah indah khabar daripada rupa. Sebelum sesuatu dasar atau polisi diperkenalkan, kerajaan harus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau akan terjejas daripada dasar itu.

Adakah tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan? Secara umumnya, pendapat daripada pihak yang terlibat atau terjejas biasanya tidak diberi perhitungan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa. Dari satu perspektif, ini adalah amalan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.

Adakalanya wakil rakyat juga tidak dirunding atau diminta pandangan mengenai sesuatu dasar atau projek utama yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. Kewujudan wakil rakyat juga seringkali diabaikan atau diketepikan oleh pihak eksekutif yang berkuasa.

Sebelum merangka sesuatu dasar atau melaksanakan sesuatu projek utama yang melibatkan orang ramai, perkara itu perlu dipertimbangkan dalam pelbagai aspek dengan mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak tertentu.

Tetapi, alasan yang kerap kali diberikan oleh pihak berkuasa ialah perkara seperti ini tidak wajar dilakukan kerana ia akan mengambil masa yang lama dan tidak kos efektif. Oleh itu, kerajaan beranggapan bahawa langkah ini tidak praktikal dan boleh diabaikan.

Memandangkan rakyat telah mengundi dan memilih satu kerajaan maka dianggap mandat telah diberikan kepadanya. Oleh itu, kerajaan berani mendabik dada melaksanakan apa jua tindakan atau dasar yang dirasakan sesuai untuk kepentingan politik.

Perkara ini memang sukar untuk dipertikaikan kerana keputusan tersirat pilihanraya adalah memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini megikut selera kerajaan yang dipilih. Tetapi, adakah sistem ini akan membawa manfaat atau faedah kepada rakyat yang memilih kerajaan itu?

Pada pandangan saya, walaupun kerajaan telah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, satu mekanisme diperlukan untuk memastikan dasar-dasar dan projek-projek utama yang dilaksanakan oleh kerajaan mempunyai kepentingan rakyat.

Bagaimanakah perkara ini boleh dilaksanakan tanpa merugikan masa dengan nilai kos yang rendah?

Selain daripada itu, terdapat banyak dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tetapi tidak pernah dikaji semula. Sebagai contoh Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah, Wawasan 2020, Islam Hadari dan lain-lain lagi.

Adakah dasar-dasar ini digunapakai lagi atau telah menemui ajal semulajadi apabila berlaku perubahan dalam tampuk pimpinan negara. Semua dasar yang yang pernah dilancarkan oleh kerajaan perlu dikaji semula supaya seluruh rakyat Malaysia tahu arah tuju negara. Sekarang konsep 1Malaysia telah diperkenalkan,

tetapi visi ini juga akan hilang dimakan masa apabila berlaku perubahan dalam pimpinan jemaah menteri.

Untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan satu mekanisme untuk mengkaji semula dasar-dasar yang sedia ada dan mengolah dasar-dasar baru. Untuk itu, Pakatan Rakyat bercadang untuk mewujudkan Majlis Pakar-pakar (Council of Experts) jika berjaya menjadi kerajaan Pusat selepas Pilihanraya Umum ke 13.

Pakatan Rakyat akan mewujudkan Majlis ini dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dasar baru dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

Tindakan ini akan melancarkan lagi pentadbiran negara kerana kepentingan rakyat dan negara akan diutamakan.

YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh,

Israel tak akan minta maaf

7 Syawal 1432H. [MOD] -

BAITULMUQADDIS - Pemimpin Israel menyatakan negaranya tidak akan meminta maaf berhubung serbuan di atas sebuah kapal milik Turki yang menyertai misi bantuan ke Gaza, Palestin pada tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, pihaknya menyuarakan perasaan kesal kerana sembilan rakyat Turki mati dalam serbuan itu.

Beliau berharap hubungan di antara Israel dan Turki akan menjadi semakin baik selepas kejadian itu berlaku.

Ia merupakan kenyataan pertama Netanyahu selepas Turki mengusir Duta Israel pada Jumaat lalu berhubung kejadian tersebut.

Turki mahu Israel meminta maaf kerana kematian rakyatnya itu.

Namun, Netanyahu memberitahu Kabinetnya semalam bahawa Israel tidak akan meminta maaf kerana tentera negaranya bertindak untuk mempertahankan rakyatnya dalam kejadian tersebut.

- AP

Debat 'Siapa Pejuang Merdeka', beranikah Umno?

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melontarkan pertanyaan sinis, beranikah Umno untuk berdebat ‘Siapa Pejuang Kemerdekaan’.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menulis ringkas pertanyaan itu di laman Twitter, pagi ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan demikian sebagai mengulas tajuk utama Harakahdaily semalam mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengajak Umno untuk berdebat terbuka secara ilmiah untuk menangani isu ‘Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?’ dalam sejarah tanah air sebelum Merdeka.

Katanya, PAS akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah tersebut atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pernimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah dari kedua-dua pihak kepada isu kedudukan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang dilupakan dalam sejarah negara.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi menyatakan kesediaan untuk berdebat secara ilmiah dengan Pemuda Umno berhubung perkara itu.

Menerusi Twitter, beliau menyatakan pihaknya sedia berdebat ilmiah dengan Pemuda UMNO mengenai isu kemerdekaan negara, siapa pejuang sebenar dan siapa menjadi alat penjajah.

harakahdaily/-

Pelajar kita di Syria sengsara

7 Syawal 1432H. [MOD] -

TERTEKAN...Noor Ikhwan (tengah) dan Fazlan (kiri), antara pelajar Malaysia yang kini terdesak selepas sekatan penggunaan kad kredit dikuat kuasa di Syria.

KUALA LUMPUR: “Tolong kami. Setiap hari kami menanti dengan penuh harapan supaya sesuatu dapat diusahakan membolehkan kami mengeluarkan wang. Sudah seminggu kami menggunakan baki simpanan yang ada dan tidak tahu sampai bila dapat bertahan sedangkan banyak hutang lain perlu dibayar,” kata penuntut Malaysia di Syria yang hidup tertekan selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas kad kredit di negara itu.

Noor Ikhwan Abdul Razak, 23, berkata, selepas Amerika mengenakan sekatan sebagai protes membantah tindakan rejim pimpinan Presiden Bashar Al-Asad mengancam untuk membunuh rakyatnya yang terbabit dengan desakan menuntut beliau meletak jawatan.

Katanya yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, berikutan keadaan yang bergolak itu, pelajar Malaysia terutama di Damsyik kini buntu mencari jalan mengeluarkan wang simpanan di bank menggunakan kad kredit bagi membiayai pelbagai perbelanjaan termasuk yuran pengajian dan sewa rumah.

Noor Ikhwan berkata, dia dan rakannya tidak berani mengambil risiko keluar dari ibu negara berkenaan semata-mata untuk mengambil wang kerana bimbang kemungkinan tidak dapat masuk semula ke sana ketika pergolakan semakin meruncing.

“Ada antara rakan yang memberi cadangan supaya keluar ke Jordan dan Lubnan, namun kami tidak pasti sama ada dapat masuk semula ke sini atau tidak kerana keadaan sekarang tidak menentu. Apa yang boleh kami buat ialah menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya menerusi perbualan telefon bersama wartawan Harian Metro, di sini,semalam.

Menurutnya, menerusi persatuan pelajar Malaysia di sana, satu perjumpaan dengan pihak kedutaan sudah diadakan dan hanya dimaklumkan pihak berkuasa masih menunggu maklum balas Wisma Putra selain dinasihatkan bersabar sehingga keadaan pulih Perasaan sama turut dikongsi rakannya,

Muhamad Fazlan Abd Rahman, 29, yang mengakui gusar dengan keadaan semasa di negara berkenaan sedangkan mereka perlu menumpukan perhatian kepada pengajian yang sudah memasuki tahun keempat di Universiti Fatah Islami, Damsyik sebelum pulang ke tanah air.

Malah, katanya, rasa bimbang itu turut menghantui lebih 200 penuntut negara ini, kebanyakannya menyambung pengajian di universiti itu menggunakan wang sendiri dikirim ahli keluarga setiap bulan manakala sebahagian lagi memperoleh tajaan agensi tertentu dan kerajaan.

“Bayangkan bagaimana kami hendak meneruskan kehidupan di sini, perbelanjaan purata sebulan pun berjumlah 6000 Lera (kira-kira RM450), tidak termasuk sewa rumah dan perbelanjaan luar jangka yang lain. Duit semuanya dalam akaun tapi tidak dapat dikeluarkan akibat sekatan ini.

“ Justeru, kami merayu kerajaan menerusi Wisma Putra mencari jalan agar kami dapat meneruskan kehidupan di sini dan menamatkan pengajian seperti dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan susulan bagi membantu kumpulan penuntut terbabit kerana krisis di negara itu semakin meruncing.

metro/-

Peluru tentera AU bunuh jurukamera BernamaTV

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Tembakan yang membunuh jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor dan mencederakan seorang lagi jurukamera TV3 telah dilepaskan oleh tentera pengaman Kesatuan Afrika, lapor beberapa media Barat dan Afrika.

"Fakta sekarang agak kabur, saya telah bercakap secara peribadi dengan presiden Somalia mengenai kejadian itu dan saya secara ikhlas memberi jaminan bahawa siasatan penuh akan dijalankan.

Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana askar yang didapati telah bertindak secara melulu, " lapor akhbar New York Times yang komander tentera pengaman Australia Mejar Jeneral Fred Mugisha.

Maklumat ini, bagaimanapun belum disampaikan dalam kenyataan kepada kerajaan Malaysia yang masih berusaha menentukan punca serangan dan dalang yang harus dipertanggungjawabkan di sebalik kejadian yang berlaku Jumaat lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah menghubungi kerajaan Somalia mengenai isu itu dan telah dijanjikan laporan penuh insiden berkenaan oleh Presiden Somalia Sheikh Sharif Sheikh Ahmed, sebaik sahaja sisatan selesai.

Pihak pembangkang, ahli keluarga dan badan-badan bukan kerajaan, sebelum ini mengecam penganjur misi bantuan kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia ke Somalia, yang mana Najib adalah penaungnya.

Ini kerana mereka didakwa gagal memberi perlindungan dan latihan yang mencukupi kepada kumpulan waratwan yang dibawa ke Somalia bagi membuat liputan berkenaan.

Wartawan yang membuat liputan itu telah memaklumkan bahawa mereka tidak dibekalkan dengan jaket kalis peluru, mahupun diberi latihan khusus tentang apa yang perlu dilakukan bagi menghadapi bahaya zon pertempuran.

Najib pula pada sidang akhbarnya, semalam berkata bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematian jurukamera BernamaTV yang terkena tembakan peluru sesat Jumaat lalu.

"Ini merupakan sebahagian (daripada bidang kewartawanan). Kamu boleh mengambil langkah keselamatan tapi tiada jaminan sepenuhnya (mengenai keselamatan) sebaik anda berada di kawasan konflik," katanya.

malaysiakini/-