05 September 2011

Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Seringkali keputusan dasar yang dibuat oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kepentingan politik dan tidak semestinya membawa hasil yang bermanfaat kepada rakyat jelata.

Oleh yang demikian, banyak diantara program-program yang dilancarkan oleh kerajaan adalah indah khabar daripada rupa. Sebelum sesuatu dasar atau polisi diperkenalkan, kerajaan harus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau akan terjejas daripada dasar itu.

Adakah tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan? Secara umumnya, pendapat daripada pihak yang terlibat atau terjejas biasanya tidak diberi perhitungan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa. Dari satu perspektif, ini adalah amalan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.

Adakalanya wakil rakyat juga tidak dirunding atau diminta pandangan mengenai sesuatu dasar atau projek utama yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. Kewujudan wakil rakyat juga seringkali diabaikan atau diketepikan oleh pihak eksekutif yang berkuasa.

Sebelum merangka sesuatu dasar atau melaksanakan sesuatu projek utama yang melibatkan orang ramai, perkara itu perlu dipertimbangkan dalam pelbagai aspek dengan mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak tertentu.

Tetapi, alasan yang kerap kali diberikan oleh pihak berkuasa ialah perkara seperti ini tidak wajar dilakukan kerana ia akan mengambil masa yang lama dan tidak kos efektif. Oleh itu, kerajaan beranggapan bahawa langkah ini tidak praktikal dan boleh diabaikan.

Memandangkan rakyat telah mengundi dan memilih satu kerajaan maka dianggap mandat telah diberikan kepadanya. Oleh itu, kerajaan berani mendabik dada melaksanakan apa jua tindakan atau dasar yang dirasakan sesuai untuk kepentingan politik.

Perkara ini memang sukar untuk dipertikaikan kerana keputusan tersirat pilihanraya adalah memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini megikut selera kerajaan yang dipilih. Tetapi, adakah sistem ini akan membawa manfaat atau faedah kepada rakyat yang memilih kerajaan itu?

Pada pandangan saya, walaupun kerajaan telah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, satu mekanisme diperlukan untuk memastikan dasar-dasar dan projek-projek utama yang dilaksanakan oleh kerajaan mempunyai kepentingan rakyat.

Bagaimanakah perkara ini boleh dilaksanakan tanpa merugikan masa dengan nilai kos yang rendah?

Selain daripada itu, terdapat banyak dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tetapi tidak pernah dikaji semula. Sebagai contoh Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah, Wawasan 2020, Islam Hadari dan lain-lain lagi.

Adakah dasar-dasar ini digunapakai lagi atau telah menemui ajal semulajadi apabila berlaku perubahan dalam tampuk pimpinan negara. Semua dasar yang yang pernah dilancarkan oleh kerajaan perlu dikaji semula supaya seluruh rakyat Malaysia tahu arah tuju negara. Sekarang konsep 1Malaysia telah diperkenalkan,

tetapi visi ini juga akan hilang dimakan masa apabila berlaku perubahan dalam pimpinan jemaah menteri.

Untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan satu mekanisme untuk mengkaji semula dasar-dasar yang sedia ada dan mengolah dasar-dasar baru. Untuk itu, Pakatan Rakyat bercadang untuk mewujudkan Majlis Pakar-pakar (Council of Experts) jika berjaya menjadi kerajaan Pusat selepas Pilihanraya Umum ke 13.

Pakatan Rakyat akan mewujudkan Majlis ini dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dasar baru dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

Tindakan ini akan melancarkan lagi pentadbiran negara kerana kepentingan rakyat dan negara akan diutamakan.

YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh,

Tiada ulasan: