05 September 2011

Azeez: Ramai tawar diri untuk ikut misi bantuan

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihak insuran bersetuju memproses tuntutan berjumlah RM200,000 dalam masa terdekat untuk keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.

Beliau berkata tuntutan itu adalah daripada insuran berkelompok yang diambil oleh kelab itu bagi melindungi kesemua anggota misi itu termasuk Noramfaizul sebelum mereka berlepas bulan lepas mengikuti misi kemanusiaan ke Somalia.

"Bagi setiap kali misi, kita akan membelikan insuran, bukan setakat kepada sukarelawan ahli Kelab tetapi untuk semua doktor dan wartawan yang mengikuti misi," katanya ketika ditemubual oleh hos rancangan Kopi Panas, Zulkifli Bujang, yang disiarkan TV1, pagi ini.

Abdul Azeez berkata walaupun kesemua anggota kumpulan misi telah diminta menandatangani surat persetujuan pelepasan (Letter Of Indemnity), tetapi Kelab Putera 1Malaysia tetap mengambil perlindungan insuran.

"Dalam kes Somalia, insuran yang dibeli adalah bagi tempoh setahun, iaitu bermula daripada 25 Ogos 2011 hingga 24 Sept 2012," katanya.

Abdul Azeez berkata perkara itu telahpun dimaklumkan kepada keluarga allahyarham Noramfaizul semalam.

Beliau juga menegaskan bahawa misi ke Somalia itu adalah mengikut prosedur termasuk mengkaji status kawasan, membuat tinjauan ke lokasi dan memastikan kesemua anggota misi dilindungi insuran khusus sebelum misi dilaksanakan.

Malah, katanya sebagai persediaan awal, Kelab Putera 1Malaysia telah menghantar pasukan peninjau terdiri daripada bekas duta dan seorang bekas Kolonel Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Somalia.

"Ketika kumpulan misi sampai ke sana pada 28 Sept, kita disambut Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Perikanan serta Ketua Polis (Somalia) dan tentera yang memberi taklimat dan jaminan keselamatan kepada kita," katanya.

Beliau berkata kira-kira 60 anggota keselamatan tempatan ditugaskan untuk melindungi 55 anggota misi berkenaan, dan atas faktor itu, tiada pasukan keselamatan dari Malaysia diminta untuk mengiringi misi berkenaan.

"Lagipun kita merupakan NGO dan pergi secara sukarela, cuma kita minta bantuan pesawat C-130 TUDM untuk menghantar bantuan dan anggota misi sahaja," katanya.
Abdul Azeez berkata Kelab Putera 1Malaysia akur mengenai langkah-langkah yang harus diperbaiki demi mengukuhkan lagi misi-misinya masa depan.

Kepada soalan mengapa misi kemanusian anjuran kelab itu sering membawa kumpulan sukarelawan, termasuk media yang besar, Abdul Azeez berkata sambutan itu mungkin didorong oleh misi yang mahu dilaksanakan.

Beliau menjelaskan pada peringkat awal, seramai 173 sukarelawan termasuk 80 Cina, 47 (India) dan 46 (Melayu) telah memohon untuk menyertai misi itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 55 sukarelawan termasuk 15 orang daripada media massa dipilih mengikuti misi.

"Saya sendiri tidak tahu kenapa ramai yang menawarkan diri. Sedangkan saya sudah berulang kali menyatakan bahawa misi ini amat bahaya, malah dalam taklimat terakhir pada 27 Sept lepas pada 9 malam, saya sekali lagi menyatakan bahawa mereka boleh menarik diri.

"Mungkin semangat untuk memberi bantuan bila melihat keadaan sebenar di Somalia di mana setiap enam minit seorang kanak-kanak terkorban kerana kebuluran," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: