7 Syawal 1432H. [MOD] -
TERTEKAN...Noor Ikhwan (tengah) dan Fazlan (kiri), antara pelajar Malaysia yang kini terdesak selepas sekatan penggunaan kad kredit dikuat kuasa di Syria.
KUALA LUMPUR: “Tolong kami. Setiap hari kami menanti dengan penuh harapan supaya sesuatu dapat diusahakan membolehkan kami mengeluarkan wang. Sudah seminggu kami menggunakan baki simpanan yang ada dan tidak tahu sampai bila dapat bertahan sedangkan banyak hutang lain perlu dibayar,” kata penuntut Malaysia di Syria yang hidup tertekan selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas kad kredit di negara itu.
Noor Ikhwan Abdul Razak, 23, berkata, selepas Amerika mengenakan sekatan sebagai protes membantah tindakan rejim pimpinan Presiden Bashar Al-Asad mengancam untuk membunuh rakyatnya yang terbabit dengan desakan menuntut beliau meletak jawatan.
Katanya yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, berikutan keadaan yang bergolak itu, pelajar Malaysia terutama di Damsyik kini buntu mencari jalan mengeluarkan wang simpanan di bank menggunakan kad kredit bagi membiayai pelbagai perbelanjaan termasuk yuran pengajian dan sewa rumah.
Noor Ikhwan berkata, dia dan rakannya tidak berani mengambil risiko keluar dari ibu negara berkenaan semata-mata untuk mengambil wang kerana bimbang kemungkinan tidak dapat masuk semula ke sana ketika pergolakan semakin meruncing.
“Ada antara rakan yang memberi cadangan supaya keluar ke Jordan dan Lubnan, namun kami tidak pasti sama ada dapat masuk semula ke sini atau tidak kerana keadaan sekarang tidak menentu. Apa yang boleh kami buat ialah menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya menerusi perbualan telefon bersama wartawan Harian Metro, di sini,semalam.
Menurutnya, menerusi persatuan pelajar Malaysia di sana, satu perjumpaan dengan pihak kedutaan sudah diadakan dan hanya dimaklumkan pihak berkuasa masih menunggu maklum balas Wisma Putra selain dinasihatkan bersabar sehingga keadaan pulih Perasaan sama turut dikongsi rakannya,
Muhamad Fazlan Abd Rahman, 29, yang mengakui gusar dengan keadaan semasa di negara berkenaan sedangkan mereka perlu menumpukan perhatian kepada pengajian yang sudah memasuki tahun keempat di Universiti Fatah Islami, Damsyik sebelum pulang ke tanah air.
Malah, katanya, rasa bimbang itu turut menghantui lebih 200 penuntut negara ini, kebanyakannya menyambung pengajian di universiti itu menggunakan wang sendiri dikirim ahli keluarga setiap bulan manakala sebahagian lagi memperoleh tajaan agensi tertentu dan kerajaan.
“Bayangkan bagaimana kami hendak meneruskan kehidupan di sini, perbelanjaan purata sebulan pun berjumlah 6000 Lera (kira-kira RM450), tidak termasuk sewa rumah dan perbelanjaan luar jangka yang lain. Duit semuanya dalam akaun tapi tidak dapat dikeluarkan akibat sekatan ini.
“ Justeru, kami merayu kerajaan menerusi Wisma Putra mencari jalan agar kami dapat meneruskan kehidupan di sini dan menamatkan pengajian seperti dijadualkan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan susulan bagi membantu kumpulan penuntut terbabit kerana krisis di negara itu semakin meruncing.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan