7 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 5 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mendakwa Kelab Putera 1Malaysia lebih mementingkan publisiti mereka daripada keselamatan seluruh anggota misi bantuan kemanusiaan di Somalia baru-baru ini.
Mahfuz berkata, Pengerusi kelab tersebut, Datuk Azeez Abdul Rahim tidak seharusnya mengutamakan liputan kepada misinya namun harus menekankan tujuan misi dan aspek keselamatan seluruh anggota misi.
"Pihak penganjur seharusnya lebih bertanggungjawab di atas segala kemungkinan, bukan mementingkan publisiti semata-mata.
"Keselamatan angggota misi khususnya petugas media lebih utama daripada mahu namanya terkenal kerana menerajui misi kemanusiaan di negara yang sedang bergolak," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor akibat terkena peluru sesat di dalam pacuan empat roda sewaktu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dari memberikan bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran di sana.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul, Mahfuz mengakui kematian itu satu takdir namun menegaskan, pihak penganjur harus melakukan persiapan rapi sebelum menjalankan misi kemanusiaan di kawasan berisiko tinggi.
"Kita tidak menolak takdir yang berlaku tapi itu (takdir) persoalan lain. Yang saya persoalkan kenapa Kelab Putera 1Malaysia tidak membekalkan jaket kalis peluru dan persedian keselamatan lain?
"Bukan Allahyarham sahaja yang tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan tapi keseluruhan anggota pasukan tidak dibekalkan. Sedangkan (Datuk) Eskay Abdullah boleh pakai jaket kalis peluru ketika bersumpah laknat di masjid. Padahal tak ada sebarang ancaman pun," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Azeez yang muncul pada program Selamat pagi Malaysia di RTM pagi tadi berkata, kematian Noramfaizul Jumaat lalu adalah satu takdir kerana beliau mahu menyertai misi itu meskipun awalnya tidak disenaraikan oleh Bernama sebagai anggota pasukan.
Azeez yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mempertahankan tindakan kelab tersebut daripada kritikan dan gesaan agar bertanggungjawab atas kematian Noramfaizul.
Mahfuz bagaimanapun menegaskan Azeez harus bertanggungjawab di atas kecuaiannya pihaknya dan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi kelab dan jawatan lain dalam Umno.
"Kelab Putera 1Malaysia harus bertanggungjawab di atas kehilangan nyawa ini dan Azeez harus meletakkan semua jawatannya kerana melakukan kelalaian yang tidak sewajarnya," katanya.
Selain tidak dibekalkan dengan jaket kalis peluru, pacuan empat roda yang dinaiki petugas media tidak ditandakan dengan pelekat bertulis "Media" bagi mengelakkan serangan.
Malah seangan dilakukan oleh African Union Peacekeepers (AUP) yang membuktikan mereka tidak memaklumkan kehadiran kepada AUP yang memantau misi keamanan di sana.
Jenazah Allahyarham Noramfaizul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM) pagi semalam.
Jenazah dibawa pulang dari Mogadishu menaiki pesawat C-130 TUDM ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 10 pagi semalam.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan