05 September 2011

Misi bantuan disaran dapat kerjasama negara berkaitan

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyarankan agar penganjur kumpulan misi bantuan dari Malaysia mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan negara berkenaan terlebih dahulu sebelum ke sana.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini adalah penting bagi memastikan terutamanya dari aspek keselamatan terjamin serta memudahkan urusan ketika berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Beliau berkata peserta mesti berwaspada dengan keadaan yang tidak menentu kerana sebagai warga asing dalam zon perang, mereka hanya boleh meneruskan misi apabila mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya tugasan dan pengarahan yang jelas mengikut aliran arahan hendaklah difahami sehingga tidak ada yang keliru atau kabur dengan tindakan yang perlu diambil apabila situasi menjadi tegang.

Mohd Azmi berkata kejadian yang berlaku ke atas jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di Somalia Jumaat lepas sangat dikesali dan semua pihak mesti menerima takdir Allah dan katanya MAPIM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul.

Noramfaizul, 39, terkorban di Somalia setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda dari memberikan bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran oleh Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putra 1Malaysia.

Sementara itu Mohd Azmi berkata MAPIM berterima kasih kepada pihak berkuasa Gaza dan Mesir serta kedutaan Malaysia di Kaherah kerana memberi kerjasama penuh kepada mereka untuk menjayakan misi kedua ke Gaza.

Beliau berkata MAPIM ingin berkongsi pengalaman ketika menghadapi situasi yang sangat mencemaskan apabila berada di Gaza dari 17 hingga 20 Ogos lepas di mana seramai 33 orang sukarelawan berada di sana dalam rangka menyampaikan bantuan dan menilai situasi terkini di Gaza.

Katanya anggota Misi Ramadan di Gaza 2 (RADIG 2)- MAPIM berhadapan dengan keadaan yang mencemaskan apabila berlaku serangan daripada Israel ke atas Gaza pada hari kedua anggota misi di sana.

Menurutnya, serangan pertama berlaku sangat dekat dengan mereka apabila Israel melancarkan roket yang merosakkan beberapa bangunan berdekatan iaitu kira-kira 400 meter dari hotelnya.

Beliau berkata anggota kumpulannya telah mendapat taklimat serta maklumat terkini mengenai tahap keselamatan di Gaza daripada pihak berkuasa Gaza.

"Melalui pengalaman inilah kami memastikan mempunyai akses kepada maklumat daripada pihak keselamatan tempatan agar kami mengetahui apakah yang bakal kami hadapi.

"Malah sebelum kami berangkat ke Gaza dari Kaherah dengan menaiki bas, kami telah melakukan latihan simulasi keselamatan pada hari sebelumnya untuk mempersiapkan peserta dari segi fizikal dan mental serta rohani ke arah menghadapi tindakan kecemasan jika berlaku serangan," katanya.

Mohd Azmi berkata, ketika serangan berlaku bermula 18 Ogos mereka telah mendapat maklumat dari masa ke semasa daripada pihak berkuasa Gaza dan menunggu arahan untuk bersiap melakukan proses pemindahan jika keadaan memerlukan.

Bernama/-

Tiada ulasan: