05 September 2011

Mohd Sabu bangkit semula bincang sejarah negara

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menganjurkan Forum Di Sebalik Tabir Kemerdekaan pada 16 September ini dengan menampilkan beberapa orang tokoh yang akan membincang mengenai isu penting berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, forum itu bagi menyemarakkan perbicangan sejarah bersempena sambutan ke-54 Kemerdekaan Malaysia.

Katanya, forum itu dijangkakan akan memberi fokus mengenai perjalanan Sejarah sebelum merdeka melalui sisi pandang berbeza dan juga akan menyentuh Perlembagaan Rakyat yang pernah menjadi usul penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya.

“SMM berharap perbincangan sejarah akan terus menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dalam membina semangat patriotism yang tulen,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut memberi respons terhadap media perdana hari ini yang begitu panas membincangkan isu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dituduh sebagai pro komunis oleh media Umno.

Katanya, walaupun kenyataan Mohamad dalam satu ceramah disifatkan banyak media pro kerajaan sebagai tidak menghormati kemerdekaan dengan mengagungkan perjuangan komunis namun mahasiswa gemar melihat isu itu melalui sisi pandang yang berbeza.

Menruutnya, bagi mahasiswa kenyataan Mohamad merupakan isu yang sangat kecil berbanding isu Sejarah Malaysia yang selama ini penuh misteri dengan fakta-fakta yang sama ada tersembunyi atau disembunyi.

SMM, ujarnya tidak ingin memberi komentar mengenai apa juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad kerana bagi mahasiswa mana-mana pihak berhak mengeluarkan pandangan selagi mana disokong dengan fakta dan tidak berbaur fitnah.

“Tindakan Mohamad Sabu ini secara tidak langsung telah membangkitkan semula perbincangan mengenai sejarah Malaysia yang kurang diberi perhatian akibat kekalutan politik yang melanda sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Beliau berkata, Mohamad Sabu bukan satu-satunya tokoh yang mempersoalkan mengenai keabsahan penceritaan sejarah secara formal dalam silibus pendidikan Malaysia, namum sebelum ini ramai lagi tokoh yang telah menghuraikan mengenai kekurangan fakta yang terdapat dalam sejarah kemerdekaan negara.

Sebagai contohnya, kata beliau filem pendek 10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza telah mengetengahkan fakta di sebalik sejarah formal dengan menceritakan plot perjuangan tokoh tokoh yang kurang ditonjol oleh teks sejarah formal.

Begitu juga, jelasnya dengan hasil kajian seorang bekas pensyarah UKM yang menceritakan fakta sejarah mengenai komunis di luar konsep biasa yang diceritakan oleh teks sejarah formal.

“Mahasiswa beranggapan perkembangan semasa ini amat sihat bagi menghasilkan rakyat yang lebih peka sejarah sekaligus mengenali Malaysia dalam erti kata yang sebenar,” katanya.

Justeru, katanya tidak ada sebab untuk Kerajaan berasa khuatir dengan perkembangan semasa ini sekiranya kerajaan benar-benar jujur dengan sejarah yang selama ini dihidangkan kepada rakyat.

harakahdaily/-

Balu polis Bukit Kepong dakwa tak terima pencen

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Sharifah Aminah Syed Ali, 83, balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong selepas berlakunya tragedi serangan komunis, memohon supaya dipertimbangkan untuk menerima pencen suaminya yang meninggal dunia semasa bertugas di Balai Polis Kulim pada 1962.

Sharifah Aminah, yang kematian suami Syed Omar Syed Yasin hampir 50 tahun lepas, memohon agar dipertimbangkan bayaran pencen kerana sepanjang kematian suaminya, dia tidak pernah menerima imbuhan itu.

"Selepas kematian suami, tok hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 dan selepas itu dah tak dapat apa-apa duit dah. Duit pencen pun tak dapat juga sampai hari ini," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata bahawa selepas berkahwin dengan Syed Omar, mereka menetap di Kota Tinggi, kemudian berhijrah ke Johor Baharu sebelum ditukarkan ke Bukit Kepong.

"Masa mula-mula sampai di Bukit Kepong, rusuhan memang sudah reda tetapi keadaan masa itu sangat menakutkan. Selepas 6 petang, kami perlu tutup semua pintu dan tingkap dan tidak boleh keluar rumah. Nak ambil air dari telaga (perigi) pun tak boleh sebab komunis humban mayat-mayat dalam telaga.

"Kami terpaksa menggunakan air Sungai Bukit Kepong untuk kegunaan seharian," kata Sharifah Aminah.

Katanya beliau terkilan kerana pengorbanan suaminya yang manggunakan nombor pengenalan polis 10568 semasa berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, tidak dihargai.

Suami beliau, yang ketika itu bersuai dalam 40-an, meninggal dunia setelah terjatuh basikal ketika dalam perjalanan ke balai.

"Tok bukannya nak minta banyak tetapi sekurang-kurangnya dapat pencen suami kerana dia meninggal pun semasa bertugas. Sekurang-kurangnya duit tu boleh tok guna untuk tanggung kos rawatan kira-kira RM500 sebulan," kata Sharifah Aminah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit tulang belakang yang menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Beliau berkata kehidupannya susah selepas suaminya meninggal dunia kerana dia terpaksa mengambil upah menjahit baju untuk menyara enam orang anaknya yang masih kecil.

"Kini semua kos rawatan dan kos sara hidup ditanggung oleh menantu saya yang menerima pencen RM400 sebulan. Dia pun susah sebab kena tanggung anak yang cacat. La ni (sekarang) dia berniaga surat khabar dan nasi lemak bagi menambah pendapatan untuk tanggung kami sekeluarga," kata Sharifah Aminah yang tinggal bersama anak, menantu dan cucunya di Taman Nakishah, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar.

--Bernama

Peluru sesat lalu celah ketiak - Aji

7 Syawal 1432H. [MOD] -

NORAZRINA JAAFAR menyiram pusara Allahyarham suaminya, Noramfaizul sambil mendukung anak mereka, Mohd. Naufal, 3, di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor semalam.

SUBANG - Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan menyifatkan dirinya bagaikan mati hidup semula apabila terselamat dalam tragedi tembakan curi yang mengorbankan jurugambar BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di Mogadishu, Somalia kelmarin.

Dia berkata, selepas mengorbankan rakannya, peluru sesat tersebut yang dipercayai dilepaskan oleh tentera Kesatuan Afrika (AU) telah melalui celah ketiak dan rusuknya di sebelah kanan.

NAJIB dan Muhyiddin bersolat jenazah Allahyarham Noramfaizul di Masjid Pangkalan Tentera Udara Subang di Selangor semalam.

"Saya sangat bernasib baik kerana peluru tersebut menembusi badan arwah terlebih dahulu sebelum lalu di celah ketiak dan rusuk saya di sebelah kanan, menyebabkan saya tercedera.

"Ada orang beritahu saya, telah terjumpa sebuah peluru yang dipercayai terkena arwah dalam pacuan empat roda dinaiki saya bersama rakan media lain," ceritanya lagi.

kosmo/-

Kesatuan Afrika siasat pembunuhan wartawan Malaysia

7 Syawal 1432H. [MOD] -

MOGADISHU - Kesatuan Afrika menyatakan pasukan pengaman Somalia mungkin terlibat dalam kejadian tembakan seorang jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di sini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin, pihaknya menyiasat laporan awal yang menyatakan salah satu konvoi pasukan pengaman itu mungkin terlibat dalam kejadian tembakan ke atas kakitangan media tersebut.

Noramfaizul meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas cedera akibat ditembak.

Sebelum ini, beberapa kumpulan hak asasi manusia dan penduduk Mogadishu menuduh pasukan pengaman melepaskan tembakan terhadap beberapa sasaran orang awam di sini. - AP

PAS cadang keluarga mangsa Bkt Kepong tuntut pampasan

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Sept: PAS mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut pampasan daripada kerajaan British.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedia untuk mendapatkan peguam yang sesuai untuk membuat tuntutan pampasan itu.

"Saya telah ditemui oleh seorang peguam yang juga ahli PAS yang sedia memberikan khidmat itu dan yakin boleh membuatnya berdasarkan beberapa kes sebelum ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

(Mohamad menunjukkan buku yang mencerita kesah Mat Indera sebagai hero Johor)

Semalam semasa berceramah di Pagoh, Mohamad mula mencadangkan pendekatan itu bagi membela keluarga anggota polis yang terbunuh ketika mempertahankan rumah pasong itu.

Rumah pasong adalah istilah yang digunakan oleh penjajah British untuk menempatkan anggota polis yang bertugas dengannya.

Nama rumah pasong ditukar kepada balai polis apabila negara merdeka dari penjajah British.

Rumah Pasong Bukit Kepong telah diserang oleh Mat Indera dan kumpulannya pada tahun 1950 ketika Tanah Melayu di bawah jajahan British.

Menurut kamus internet, Wikipedia, beliau memang bertanggungawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggota polis Islam yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina.

Akibatnya, Mat Indera menempa nama sebagai pejuang gerila yang paling dikehendaki apabila dikaitkan dengan peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong.

Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis.

Beliau amat kesal dan marah dengan tindakan komunis yang bertindak sehingga membakar balai polis tersebut.

Akibat serangan ini, ramai anggota polis Melayu yang berkhidmat dengan British di rumah pasong itu mati terbunuh.

Kini, Mohamad Sabu mencadangkan agar keluarga mereka menuntut pampasan dari kerajaan British yang menggaji mereka ketika itu.

"Beberapa pihak telah membuat tuntutan pampasan sebegini dan berjaya," kata Mohamad kepada Harakahdaily.

Azeez: Ramai tawar diri untuk ikut misi bantuan

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihak insuran bersetuju memproses tuntutan berjumlah RM200,000 dalam masa terdekat untuk keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.

Beliau berkata tuntutan itu adalah daripada insuran berkelompok yang diambil oleh kelab itu bagi melindungi kesemua anggota misi itu termasuk Noramfaizul sebelum mereka berlepas bulan lepas mengikuti misi kemanusiaan ke Somalia.

"Bagi setiap kali misi, kita akan membelikan insuran, bukan setakat kepada sukarelawan ahli Kelab tetapi untuk semua doktor dan wartawan yang mengikuti misi," katanya ketika ditemubual oleh hos rancangan Kopi Panas, Zulkifli Bujang, yang disiarkan TV1, pagi ini.

Abdul Azeez berkata walaupun kesemua anggota kumpulan misi telah diminta menandatangani surat persetujuan pelepasan (Letter Of Indemnity), tetapi Kelab Putera 1Malaysia tetap mengambil perlindungan insuran.

"Dalam kes Somalia, insuran yang dibeli adalah bagi tempoh setahun, iaitu bermula daripada 25 Ogos 2011 hingga 24 Sept 2012," katanya.

Abdul Azeez berkata perkara itu telahpun dimaklumkan kepada keluarga allahyarham Noramfaizul semalam.

Beliau juga menegaskan bahawa misi ke Somalia itu adalah mengikut prosedur termasuk mengkaji status kawasan, membuat tinjauan ke lokasi dan memastikan kesemua anggota misi dilindungi insuran khusus sebelum misi dilaksanakan.

Malah, katanya sebagai persediaan awal, Kelab Putera 1Malaysia telah menghantar pasukan peninjau terdiri daripada bekas duta dan seorang bekas Kolonel Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Somalia.

"Ketika kumpulan misi sampai ke sana pada 28 Sept, kita disambut Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Perikanan serta Ketua Polis (Somalia) dan tentera yang memberi taklimat dan jaminan keselamatan kepada kita," katanya.

Beliau berkata kira-kira 60 anggota keselamatan tempatan ditugaskan untuk melindungi 55 anggota misi berkenaan, dan atas faktor itu, tiada pasukan keselamatan dari Malaysia diminta untuk mengiringi misi berkenaan.

"Lagipun kita merupakan NGO dan pergi secara sukarela, cuma kita minta bantuan pesawat C-130 TUDM untuk menghantar bantuan dan anggota misi sahaja," katanya.
Abdul Azeez berkata Kelab Putera 1Malaysia akur mengenai langkah-langkah yang harus diperbaiki demi mengukuhkan lagi misi-misinya masa depan.

Kepada soalan mengapa misi kemanusian anjuran kelab itu sering membawa kumpulan sukarelawan, termasuk media yang besar, Abdul Azeez berkata sambutan itu mungkin didorong oleh misi yang mahu dilaksanakan.

Beliau menjelaskan pada peringkat awal, seramai 173 sukarelawan termasuk 80 Cina, 47 (India) dan 46 (Melayu) telah memohon untuk menyertai misi itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 55 sukarelawan termasuk 15 orang daripada media massa dipilih mengikuti misi.

"Saya sendiri tidak tahu kenapa ramai yang menawarkan diri. Sedangkan saya sudah berulang kali menyatakan bahawa misi ini amat bahaya, malah dalam taklimat terakhir pada 27 Sept lepas pada 9 malam, saya sekali lagi menyatakan bahawa mereka boleh menarik diri.

"Mungkin semangat untuk memberi bantuan bila melihat keadaan sebenar di Somalia di mana setiap enam minit seorang kanak-kanak terkorban kerana kebuluran," katanya.

- Bernama

254 kematian dicatat sehingga hari ke-13 Ops Sikap-24

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Berbaki dua hari lagi, Ops Sikap-24 terus merekodkan pertambahan jumlah kematian iaitu seramai 254 orang sehingga hari ke-13 operasinya semalam.

Laman web Polis Bukit Aman hari ini melaporkan seramai 26 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan 22 kes kemalangan maut semalam.

Kenyataan itu berkata penunggang motosikal mencatat jumlah kematian paling tinggi iaitu 15 orang, pengguna kereta (lapan), pejalan kaki (dua) dan kenderaan lain (satu).

Sementara itu jumlah keseluruhan kemalangan yang direkodkan semalam ialah 1,144 dengan statistik paling tinggi dicatat di Jalan Bandaran iaitu 379 diikuti Jalan Persekutuan (371), Jalan Negeri (229), Lebuhraya (99) dan jalan-jalan lain (66).

Sebanyak 7,591 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik semalam.

Ops Sikap-24 yang bermula 23 Ogos, akan berakhir 6 September ini. - Bernama

Misi bantuan disaran dapat kerjasama negara berkaitan

7 Syawal 1432H. [MOD] -

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyarankan agar penganjur kumpulan misi bantuan dari Malaysia mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan negara berkenaan terlebih dahulu sebelum ke sana.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini adalah penting bagi memastikan terutamanya dari aspek keselamatan terjamin serta memudahkan urusan ketika berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Beliau berkata peserta mesti berwaspada dengan keadaan yang tidak menentu kerana sebagai warga asing dalam zon perang, mereka hanya boleh meneruskan misi apabila mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya tugasan dan pengarahan yang jelas mengikut aliran arahan hendaklah difahami sehingga tidak ada yang keliru atau kabur dengan tindakan yang perlu diambil apabila situasi menjadi tegang.

Mohd Azmi berkata kejadian yang berlaku ke atas jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di Somalia Jumaat lepas sangat dikesali dan semua pihak mesti menerima takdir Allah dan katanya MAPIM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul.

Noramfaizul, 39, terkorban di Somalia setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda dari memberikan bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran oleh Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putra 1Malaysia.

Sementara itu Mohd Azmi berkata MAPIM berterima kasih kepada pihak berkuasa Gaza dan Mesir serta kedutaan Malaysia di Kaherah kerana memberi kerjasama penuh kepada mereka untuk menjayakan misi kedua ke Gaza.

Beliau berkata MAPIM ingin berkongsi pengalaman ketika menghadapi situasi yang sangat mencemaskan apabila berada di Gaza dari 17 hingga 20 Ogos lepas di mana seramai 33 orang sukarelawan berada di sana dalam rangka menyampaikan bantuan dan menilai situasi terkini di Gaza.

Katanya anggota Misi Ramadan di Gaza 2 (RADIG 2)- MAPIM berhadapan dengan keadaan yang mencemaskan apabila berlaku serangan daripada Israel ke atas Gaza pada hari kedua anggota misi di sana.

Menurutnya, serangan pertama berlaku sangat dekat dengan mereka apabila Israel melancarkan roket yang merosakkan beberapa bangunan berdekatan iaitu kira-kira 400 meter dari hotelnya.

Beliau berkata anggota kumpulannya telah mendapat taklimat serta maklumat terkini mengenai tahap keselamatan di Gaza daripada pihak berkuasa Gaza.

"Melalui pengalaman inilah kami memastikan mempunyai akses kepada maklumat daripada pihak keselamatan tempatan agar kami mengetahui apakah yang bakal kami hadapi.

"Malah sebelum kami berangkat ke Gaza dari Kaherah dengan menaiki bas, kami telah melakukan latihan simulasi keselamatan pada hari sebelumnya untuk mempersiapkan peserta dari segi fizikal dan mental serta rohani ke arah menghadapi tindakan kecemasan jika berlaku serangan," katanya.

Mohd Azmi berkata, ketika serangan berlaku bermula 18 Ogos mereka telah mendapat maklumat dari masa ke semasa daripada pihak berkuasa Gaza dan menunggu arahan untuk bersiap melakukan proses pemindahan jika keadaan memerlukan.

Bernama/-

18 korban puting beliung Talas

7 Syawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Kira-kira 18 orang mati dan 43 lagi hilang apabila air sungai melimpah dan bangunan runtuh ekoran puting beliung yang membadai barat Jepun, semalam.

Seorang mangsa mati lemas selepas air naik di jalan raya dan menenggelamkan keretanya. Keadaan itu hampir sama dengan tsunami yang melanda negara itu 11 Mac lalu.

Puting beliung Talas yang melanda kelmarin membawa angin selaju 108 kilometer sejam, melanda Shikoku, barat Pulau Honshu.

Di Kampung Totsukawa, banjir menghanyutkan sebuah rumah menyebabkan dua orang mati dan tujuh hilang. - AFP

Ops Sikap ke-13: Jumlah kematian 254

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Berbaki dua hari lagi, Ops Sikap-24 terus merekodkan pertambahan jumlah kematian iaitu seramai 254 orang sehingga hari ke-13 operasinya semalam.

Laman web Polis Bukit Aman hari ini melaporkan, seramai 26 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan 22 kes kemalangan maut semalam.

Kenyataan itu berkata, penunggang motosikal mencatat jumlah kematian paling tinggi iaitu 15 orang, pengguna kereta (lapan), pejalan kaki (dua) dan kenderaan lain (satu).

Sementara itu, jumlah keseluruhan kemalangan yang direkodkan semalam ialah 1,144 dengan statistik paling tinggi dicatat di Jalan Bandaran iaitu 379 diikuti Jalan Persekutuan (371), Jalan Negeri (229), Lebuhraya (99) dan jalan-jalan lain (66).

Sebanyak 7,591 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik semalam.

Ops Sikap-24 yang bermula 23 Ogos, akan berakhir 6 September ini. - BERNAMA

China tawar senjata kepada Gaddafi: Media

7 Syawal 1432H. [MOD] -

MONTREAL: China menawarkan bekalan senjata kepada Muammar Gaddafi dalam bulan terakhir pentadbiran rejim itu dan difahamkan turut mengadakan perbincangan secara rahsia bagi tujuan penghantaran menerusi Algeria dan Afrika Selatan, demikian menurut laporan The Globe dan Mail.

Akhbar harian Kanada, berkata syarikat senjata yang dimiliki China bersedia untuk menjual senjata dan peluru bernilai sekurang-kurangnya AS$200 juta kepada Gaddafi pada akhir Julai lalu.

Namun, katanya, PBB sudah membuat sekatan susulan penemuan dokumen rahsia itu.
Akhbar berkenaan, hari ini, tidak mengesahkan sama ada bantuan tentera dihantar, tetapi ahli kanan majlis pemerintah baru Tripoli berkata, mereka mengesyaki pembabitan China, Algeria dan Afrika Selatan baru-baru ini.

Menurut satu laporan daripada media di Toronto, memaklumkan Algeria, China dan Afrika Selatan enggan menyokong tindakan NATO di Libya.

Ketua Jawatankuasa Tentera bagi Majlis Peralihan, Omar Hariri, mengkaji semula dokumen dan akan membuat kesimpulan mereka mengenai kehadiran senjata baru di medan perang. - AFP

20 maut, 50 hilang Taufan Talas landa barat Jepun

7 Syawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Taufan yang melanda barat Jepun semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 terbunuh manakala lebih 50 lagi dilaporkan hilang.

Sungai yang dilimpahi air menyebabkan bangunan dan rumah dibawa arus akibat tanah runtuh.

Seorang daripada mangsa lemas selepas banjir menghanyutkan keretanya dengan kawasan ditimpa taufan ibarat tragedi tsunami yang melanda negara itu 11 Mac lalu.

Turut dilaporkan ribuan orang ramai kini kehilangan tempat kediaman akibat taufan berkenaan.

Taufan Talas yang membadai kelmarin adalah antara taufan yang membawa kemusnahan dan angka kematian yang tinggi sejak beberapa tahun lalu dengan membawa angin kencang sehingga 108 kilometer sejam melanda Pulau Shikoku dan Honshu.

Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan bagi menangani keperluan mangsa yang kebanyakannya rumah mereka roboh akibat ditimpa tanah runtuh. - AFP

Chile isytihar berkabung berikutan nahas pesawat

7 Syawal 1432H. [MOD] -

SANTIAGO: Chile hari ini mengisytiharkan berkabung selama dua hari selepas 21 orang terkorban berikutan nahas pesawat tentera di Pulau Robinson Crusoe di Pasifik, Jumaat lalu.

Tragedi itu membawa kepada pengkebumian negara selepas hanya empat mayat setakat ini berjaya ditemui sejak pesawat jenis CASA 212 yang dipercayai dipukul ribut terhempas ketika hendak mendarat lewat Jumaat lalu.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan lewat semalam apabila mereka mendapati usaha untuk menemui mereka yang masih bernyawa amat tipis.

Presiden Chile, Sebastian Pinera berkata, dua hari berkabung itu membolehkan orang ramai memberi ucapan takziah kepada keluarga mangsa termasuk seorang personaliti televisyen terkenal negara itu, Felipe Camiroaga. - AFP

Harga penginapan hotel di Mekah menurun

7 Syawal 1432H. [MOD] -

MEKAH - Penginapan di hotel-hotel dan unit perumahan yang disewa di sekitar Masjidilharam mula merosot 50 peratus pada Selasa lalu.

Kemerosotan itu berlaku ekoran ramai penduduk tempatan dan 40 peratus penganut Islam dari luar negara yang menunaikan umrah dalam bulan Ramadan mulai meninggalkan Mekah.

Mereka mula meninggalkan Mekah ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut di Arab Saudi pada Selasa lalu.

Harga penginapan hotel lima bintang yang menghadap Masjidilharam menurun sebanyak 70 peratus untuk mencecah harga hanya 650 riyal (RM513.79).

Bilik-bilik yang tidak menghadap Masjidilharam kini berharga 500 riyal (RM395.23).

Harga bilik hotel yang terletak jauh dari Masjidilharam berharga di antara 200 riyal (RM158) hingga 400 riyal (RM316.18).

Pengerusi Jawatankuasa Hotel dan Pelancongan di Dewan Perdagangan dan Industri Mekah, Waleed Abu Sabaah menyatakan, harga hotel akan berkurangan secara berperingkat-peringkat untuk mencecah peringkat paling rendah pada pertengahan Syawal ini. - Agensi

NTC sedia tawan Bani Walid

7 Syawal 1432H. [MOD] -

SEMAKIN HAMPIR...pejuang anti-Gaddafi tiba di bandar Tarhouna, kira-kira 70 kilometer di utara Bani Walid, semalam.

SHISHAN (Libya): Pejuang yang setia kepada kerajaan baru kini semakin mara ke kubu terakhir Muammar Gaddafi semalam, ketika rundingan untuk penyerahan aman bekas pemimpin Libya itu diketepikan.

Seorang pemimpin tentera itu berkata, serangan ke atas Bani Walid yang menjadi tempat pertahanan terakhir Gaddafi tidak dapat dielakkan.

“Kami bersedia,” katanya dari sebuah kampung 70 kilometer di utara Bani Walid.

Kata pemimpin itu, rundingan di antara mereka dengan kumpulan Gaddafi berakhir kerana didapati tidak serius.

Katanya, dua kali kem Gaddafi berjanji menyerah tetapi ia gagal dikotakan.

“Hakikatnya, mereka mengambil kesempatan atas keadaan semasa dan mahu mengelak malu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negara Libya yang baru, Ahmed Darrat, berkata dia yakin Bani Walid ditawan dalam tempoh sehari dua lagi.

Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) tempatan, Mahmud Abdelaziz, berkata tentera mereka kini menunggu arahan daripada pihak atasan untuk mara.

“Malam semalam (kelmarin) Gaddafi cuba meninggalkan Bani Walid dan mencetuskan tembak-menembak beberapa minit,” katanya.

Kelmarin, timbalan ketua tentera Libya di bandar Tarhouna, utara Bani Walid, berkata Gaddafi dan penyokongnya diberi tempoh sehingga jam 4 petang semalam (waktu Malaysia) untuk menyerah. - AFP