18 Oktober 2011

Peneroka Felda dapat bantuan tanaman semula getah RM4.6j

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA NERANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan bantuan RM4.6 juta kepada semua 156 orang peneroka Felda Bukit Tembaga di sini untuk tanaman semula getah membabitkan kawasan seluas 503 hektar.

Surat kelulusan bantuan diserahkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim kepada penolong pengurus Felda Bukit Tembaga, Rosli Omar disaksikan peneroka rancangan itu hari ini.

Syed Sobri berkata penanaman semula itu akan menggunakan empat benih (klon) dihasilkan Institut Penyelidikan Getah Malaysia iaitu RRIM2025, PB350, RRIM928 dan RRIM929 yang tahan penyakit dan boleh menghasilkan lebih banyak susu.

Benih baharu itu mampu menghasilkan antara 2,700 hingga hampir 3,200 kilogram susu getah bagi setiap kawasan seluas satu hektar dan mampu menambah pendapatan peneroka, katanya kepada pemberita selepas penyerahan surat bantuan tersebut.

Katanya, benih baru itu yang ditaman mulai Januari depan boleh ditoreh apabila berusia lima tahun berbanding benih terdahulu antara enam hingga tujuh tahun baharu boleh ditoreh. - Bernama

Gerakan sudah jadi pak turut Umno

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu pihaknya akan menghormati siapa juga calon yang diletakkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya nanti di Pulau Pinang.

Beliau pada sidang media di parlimen hari ini, turut bersimpati dengan apa yang dialami oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dikecam agar melepaskan jawatan kerana reputasi parti tersebut di Pulau Pinang amat teruk pada pilihan raya umum 2008 yang lepas.

"Saya bersimpati dengan apa yang dialami oleh Tsu Koon sekarang ini dan jelas kita lihat di media-media milik Umno wujud kempen untuk menjatuhkan beliau.

"Kita tahu sekarang ini semua perancangan dikawal oleh Umno termasuklah siapa yang akan menjadi Ketua Menteri," jelasnya yang juga ahli Parlimen Bagan.

Tambahnya lagi, beliau tidak mahu dijadikan sebagai buat catur dalam kempen menjatuhkan Tsu Koon.

"Saya tidak mahu dijadikan buah catur dalam kempen tersebut, apa yang saya nyatakan jelas simpati serta hormat pihak lawan.

"Sekarang Gerakan sudah mula menjadi pak turut kepada Umno, sebab itulah Umno melalui media mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Tsu Koon jatuh," sambungnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau lagi, siapa jua mengetuai Gerakan nanti tetap diterima DAP negeri dan persiapan untuk pilihan raya sudah dibuat untuk melawan siapa calon pilihan BN bagi memastikan Pulau Pinang tetap milik Pakatan Rakyat.

harakahdaily/-

Pasukan MALBATT 4 berlepas ke Lubnan

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANGGOTA Malbatt 4 melambai tangan ketika menaiki kapal terbang, sementara gambar kecil, suasana sedih menyelubungi sebahagian ahli keluarga di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam.

SUBANG: Seramai 325 pegawai dan anggota tentera Batalion Malaysia ke-4 (MALBATT 4) berlepas ke Lubnan, petang semalam, untuk menyertai misi Pasukan Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Pasukan itu terdiri daripada 41 pegawai dan 284 anggota lain-lain pangkat, termasuk 12 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan menjalankan tugas pengaman di negara berkenaan selama setahun.

Kumpulan diketuai Kolonel Badrul Hisham Muhammad berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 1 petang.

Hadir mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi serta ahli keluarga mereka.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata Malbatt 4 membawa bersama harapan besar negara dan ATM ke perantauan.

“Pembabitan ATM dalam misi itu membawa dua matlamat, iaitu membuktikan tanggungjawab moral berterusan negara terhadap aspirasi keamanan sejagat, selain mencerminkan keupayaan ATM dalam sebarang operasi tidak kira tempat dan masa.

“Pembabitan ini juga menyokong matlamat strategik ATM ke arah menjadi ketumbukan tempur spektrum yang berupaya menonjolkan kesan sinergi dalam memberi maklum balas di darat, laut dan udara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahmad Hasbullah.

MALBATT 4 menggantikan MALBATT 3 yang dijadualkan tiba di sini jam 8 pagi ini.

berita harian/-

Penjawat awam Kelantan terima bonus

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus untuk kali kedua dalam tahun ini yang akan dibayar kepada penjawat awam negeri pada Disember ini.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bonus yang diberikan tersebut adalah selari dengan kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan pada pembentangan bajet 2012 baru-baru ini iaitu separuh gaji atau minima RM500 bagi semua penjawat awam.

"Alhamdulillah, sekalipun dikatakan orang kantung negeri Kelantan selama ini kempis, namun kita tetap mampu memberikan penghargaan dalam bentuk bonus kepada kakitangan," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika membentang Belanjawan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini. Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa menghargai jasa kakitangan di sektor awam dan pentadbiran dan kerajaan akan sentiasa memastikan kebajikan kakitangannya diambil berat.

"Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada jentera pentadbiran negeri kerana pada pertengahan tahun 2011 boleh dikatakan semua jabatan telah mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan pada setiap pagi dan diharapkan dapat diteruskan pada sepanjang masa," katanya lagi.

Katanya, belanjawan yang bertemakan 'Kesejahteraan Bersama Keberkatan' itu, kerajaan berhasrat untuk berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Husam berkata, bajet itu menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat, pembinaan insan yang berteraskan Islam serta pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas serta mereka yang memerlukan.

Berasaskan tema tersebut, ujarnya bajet negeri terus berpaksikan kepada strategi berikut iaitu memastikan hasil tunggakan keraajan negeri dapat dipungut dengan memantapkan jentera kutipan hasil, memberi fokus kepada aspek pembangunan negeri serta mengurangkan ketidakseimbangan sosio ekonomi terutamanya memastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar.

Begitu juga, ujarnya dengan memastikan perbelanjaan berhemah sepanjang masa, memastikan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani dalam kerangka pembangunan insan yang komprohensif, memastikan kemudahan infrastruktur diselenggara dengan baik dan mewujudkan urustadbir yang baik dengan berlandaskan ubudiyah, masuliyyah dan itqan.

"Bagi merialisasikan tema bajet ini, anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2012 berjumlah RM513.49 juta berbanding RM464.13 juta dalam tahun 2011," ujar beliau.

Sementara itu, katanya anggaran pendapatan negeri bagi tahun 2012 ialah RM430.27 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM88.49 juta, hasil bukan cukai RM196.24 juta, sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM145.54 juta.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 juta atau 5 peratus berbanding dengan anggaran hasil 2011.

Menurut Husam lagi, peningkata hasil itu adalah berpunca dari beberapa penyemakan semula hasi yang dibuat oleh jabatan dan hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM109.46 juta atau 25.44 peratus dari keseluruhan jumlah hasil.

harakahdaily/-

Budak maut dipijak gajah

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HANOI: Seekor gajah sarkas menangkap seorang budak perempuan dengan belalainya, mencampak mangsa ke tanah dan memijaknya hingga mati, kata polis semalam.

Kejadian berlaku ketika budak terbabit, Nguyen Thao Anh, cuba memberi tebu kepada gajah berkenaan.

Polis berkata, kejadian berlaku di Lao Cai yang terletak bersempadan dengan China. - AFP

84 Maut Akibat Hujan Lebat Di Amerika Tengah

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SAN SALVADOR: Kira-kira 84 orang terbunuh manakala sembilan lagi masih hilang dalam kejadian hujan lebat yang melanda wilayah Amerika Tengah sejak seminggu lalu.

Hujan lebat itu menyebabkan banjir lumpur, runtuhan tanah dan jambatan sehingga memaksa ribuan penduduk berpindah ke kawasan lebih selamat.

Pengarah Perlindungan Sivil El Salvador, Jorge Melendez berkata, hujan lebat itu akan berterusan sehingga esok.

Jumlah hujan yang turun sejak tujuh hari lalu melebihi rekod kumulatif ribut taufan yang mengorbankan kira-kira 1,000 penduduk di wilayah itu pada 1998.

Pemimpin tertinggi wilayah El Salvador dan Nicaragua mengisytiharkan darurat bencana alam pada Isnin.

Presiden Guatemala, Alvaro Colom bertemu dengan ahli Kongres untuk mempercepatkan keputusan bajet bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada kawasan yang terjejas teruk.

Di El Salvador, seramai 32 orang maut akibat hujan lebat manakala Guatemala merekodkan 31 kematian.

Kira-kira 13 orang lagi terbunuh di Honduras dan lapan dilaporkan maut di Nicaragua.

Hujan lebat itu menyebabkan 250,000 penduduk terjejas.

mStar/-

Warga Indonesia dijumpai mati dengan kesan kelar

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Seorang warga Indonesia dijumpai mati dengan kesan kelar di leher di kawasan tapak pembinaan di Taman Rimbunan, Kepong di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Polis Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat lelaki itu yang belum dikenal pasti identitinya ditemui pada 7 pagi oleh seorang pekerja di tapak pembinaan itu.

Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan lelaki berumur lingkungan 30-an bermotifkan cemburu, katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki cedera dilibas dengan pisau ketika cuba menyelamatkan seorang wanita dirompak RM100 oleh seorang lelaki di mesin ATM di sebuah bank di Jalan Ipoh semalam.

Zakaria berkata dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi, mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu cedera di bahu kiri dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Suspek yang ketika itu memakai topi keledar penuh bertindak sedemikian setelah terkejut dengan tindakan mangsa yang cuba memukulnya dengan menggunakan beg galas.

"Selepas mencederakan mangsa, suspek merompak dua lagi lelaki yang baru tiba di bank tersebut tetapi jumlah wang yang dirompak dari dua lelaki itu tidak dapat dipastikan lagi," kata Zakaria.

Beliau berkata suspek yang lingkungan umur 20-an itu telah melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di tepi jalan berhampiran bank itu dengan menaiki motosikal.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 123 anggota polis dari daerah Sentul yang berpangkat Lans Koperal dinaikkan pangkat kepada Koperal.

- Bernama

Media Malaysia belum bebas

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaaan (KPKK) memberitahu tindakan tidak menjemput pengamal media alternatif dan juga media atas talian (online) pada Majlis Perundingan Media (MPM) pada 25 Julai yang lalu adalah kerana unsur fitnah yang diamalkan oleh media terbabit.

Timbalan Menteri KPKK, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz menyatakan demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) mengenai bagaimana pihak kementerian melantik anggota-anggota MPM serta mengapakah tidak merangkumi media portal atas talian (online).

Tambah Tian lagi, kebebasan media di negara ini masih lagi berada pada peringkat yang membimbangkan.

"Melihat pada kedudukan kebebasan media, Malaysia berada pada kedudukan 143 dari 196 ia memperlihatkan media Malaysia belum bebas sepenuhnya.

"Dalam mengembalikan kebebasan media kenapa perundingan tersebut hanya melibatkan media arus perdana sahaja sedangkan media alternatif tidak dijemput sekali," jelas Tian.

Dalam pada itu KPKK juga memberitahu perbincangan yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu masih lagi diperingkat cadangan dan beberapa faktor perlu diambil kira kerana terdapat tentangan dari pengamal media arus perdana yang tidak mahu campur tangan kerajaan.

harakahdaily/-

PAS Terengganu tekad ‘bayar’ kezaliman Umno

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Tentu ada sebab sangat munasabah mengapa daripada sebegitu banyak perkara atau isu yang boleh digarap, PAS Terengganu memilih untuk mengetengahkan isu tanah sebagai salah satu agenda diutamakannya jika diberi peluang kembali memerintah negeri itu lewat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Umum mengetahui ia bukan isu baru. Namun seperkara yang pasti, isu tanah mempunyai nilai sentimental sangat tinggi buat warga Terengganu. Sebut saja soal hakmilik tanah, ia akan segera mengingatkan mereka kepada berbagai perkara yang bersebati dengan isu ini.

Pertama, isu tanah sepanjang masa akan dikaitkan dengan kehebatan kerajaan PAS berbanding kerajaan terdahulu yang digantinya. Walau pun hayat pemerintahannya sangat singkat, parti itu telah membuktikan kecekapan dan keazaman tingginya menyelesaikan permasalahan rakyat. PAS berjaya menyelesaikan permasalahan yang gagal diselesaikan Barisan Nasional (BN) sejak puluhan tahun.

Kedua, isu tanah juga turut menyimpan ingatan rakyat Terengganu terhadap kerakusan dan kezaliman BN. Isu pembahagian tanah seakan sinonim dengan tragedi perampasannya oleh kerajaan diterajui Umno.

Semua rakyat yang prihatin dan celik mata hati akan segera terbayang bagaimana para pemimpin parti Melayu itu bertindak seakan manusia tidak waras apabila tanpa kasihan belas dan pertimbangan kemanusiaan sanggup merampas tanah dan merobohkan rumah-rumah rakyat yang baru didirikan.

Puncanya hanya satu – Umno tidak sanggup menanggung malu berterusan apabila rakyat bercakap soal kejayaan PAS mengagih dan menyelesaikan hakmilik tanah yang gagal dibuat kerajaan BN sebelumnya.

Memang di atara kejayaan pentadbiran kerajaan PAS Terengganu paling menonjol ialah soal menyelesaikan pemilikan tanah rakyat. Kerajana PAS melakukan reformasi pentadbiran tanah dengan menyusun semula sistem pelupusannya.

Antaranya mengurangkan karenah birokrasi dalam proses permohonan dan kelulusan. PAS juga menurunkan lebih banyak kuasa membuat keputusan ke peringkat pentadbiran tanah daerah. Sebelum itu segala keputusan berkenaan hanya dibuat di peringkat negeri.

Permohonan tanah rakyat yang ditutup secara rasmi oleh BN sebelumnya sejak 1975 dibuka semula sebaik PAS memerintah. Manakala kadar premium tanah diturunkan daripada 20% kepada 10% harga pasaran tanah. Malah bagi golongan miskin kadar itu diturunkan lagi kepada hanya 5%.

Kaedah pelupusan yang cepat dan singkat juga dikenalpasti. Antaranya menggunakan khidmat juruukur tanah berlesen (JTB), apabila juruukur tetap di pejabat-pejabat tanah terbukti gagal menepati tahap penyelesaian diperlukan.

Hasilnya puluhan ribu rakyat negeri itu, termasuk ribuan ahli dan penyokong Umno yang selama berpuluh tahun menunggu peluang memiliki tanah telah diberikan hakmilik masing-masing. Kejayaaan itulah yang amat memalukan Umno, kerana selama 38 tahun ia memerintah Terengganu sebelum itu (1961-1999) perkara tersebut gagal diselesaikannya.

Tanah adalah harta tetap yang amat bernilai dan nilainya sentiasa meningkat masa ke masa. Ia lebih bernilai berbanding pemberian subsidi lembu-kambing beserta bangsalnya. Ia bukan setanding nilai sebuah bot enjin sangkut, tong fiber, pukat atau lain-lain perkakasan nelayan. Bahkan ia jauh lebih bernilai berbanding huluran RM300 atau RM500 wang ehsan saban tahun untuk kalangan terpilih.

Anugerah sangat bermakna itu bagaimana pun menjadi tidak menentu gara-gara tindakan balas dendam kerajaan BN yang kembali berkuasa sejak 2004. Semua proses permohonan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang telah diluluskan dibekukan.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu di dalam surat rasminya kepada semua pentadbir tanah daerah bertarikh 7 April 2004 memperincikan arahan tersebut. Semua permohonan RTB yang telah diluluskan tidak boleh dikeluarkan Jadual 5A (surat tawaran membuat bayaran hakmilik tanah).

Semua permohonan RTB yang telah dikeluarkan Jadual 5A pula tidak boleh diterima bayarannya. Manakala semua permohonan yang telah dijelaskan bayarannya juga tidak boleh dikeluarkan hakmilik.

Di masa sama, segala kerja oleh JTB seperti siasatan, kerja-kerja pengukuran, penyediaan layout/pelan, jabatan teknikal, tunjuk lot, penyediaan pelan hakmilik dan lain-lain kerja yang berkaitan turut dibekukan.

Hasilnya berlakulah tragedi perampasan tanah secara besar-besaran melibatkan ribuan lot tanah yang telah pun dianugerahkan kepada rakyat. Ia bukan sahaja melibatkan pengambilan semula lot-lot tanah kosong, tetapi turut membabitkan perobohan rumah-rumah rakyat, yang sebahagiannya masih dalam pembinaan, manakala sebilangan lagi telah pun siap dan diduduki.

Kekejaman Umno ketika itu amat sukar dibayangkan. Agak munasabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dalam salah satu sessi perbahasan di sidang Dun Terengganu ketika itu menyifatkan kerajaan Umno lebih teruk dan lebih jahat daripada Yahudi Israel. Katanya, Israel hanya merampas tanah dan meroboh rumah orang Palestin yang berlainan agama dan bangsa, tetapi kerajaan Umno tergamak membuat perkara sama terhadap rakyat yang sebangsa dan seagama mereka.

Kegilaan Umno bahkan sampai ke peringkat gagal bertolak ansur dalam soal berkaitan agama apabila turut memangsakan sebuah masjid yang telah pun digunakan di Kemaman. Bagi menjustifikasi tindakan biadab itu ia melontarkan berbagai dakwaan dan fitnah, termasuk mengaitkan rumah Allah itu sebagai markas sekumpulan manusia yang merancang untuk mengadakan huru-hara dan mengancam keselamatan negara.

Fitnah itu terbukti satu alasan diada-adakan kerana sampai hari ini tiada seorang pun di antara penduduk terbabit diseret ke muka pengadilan di atas dakwaan itu. Kesemua tindakan rakus dan zalim itu tersimpan dalam memori rakyat Terengganu. Diharap garapan semula isu ini membantu menyegarkan ingatan itu, seterusnya mendorong mereka membuat pilihan sebaiknya dalam pilihan raya nanti.

Sebab itu suatu pilihan amat tepat dan bermakna apabila PAS Terengganu meletakkan perkara menyelesaikan isu rampasan tanah oleh BN sebagai salah satu di antara lima perkara paling diutamakan dalam manifesto pilihan rayanya kali ini.

Empat lagi perkara awal yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah negeri itu termasuklah mengembalikan peraturan menghapuskan cukai pintu rumah kediaman dan memperuntukkan cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan wanita yang kematian suami.

Turut diumumkan ialah usaha PAS menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun, selain program merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas untuk rakyat miskin.

Bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan", dokumen yang menjelaskan perancangan dan halatuju pemerintahan PAS itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Presiden parti, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada aturcara penutup program Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Pantai Pandak, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.

Penonjolan kelima-lima perkara tersebut dianggap kena pada masa dan sesuai dengan perkembangan politik mutakhir ini yang menyaksikan tahap pemikiran massa yang semakin terbuka dan rasional. Menyebutkan perkara-perkara berkenaan akan mudah mengingatkan sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan politik kepada beberapa hakikat yang beraku di Terengganu, terutama sejak 1999 lalu.

Dari perspektif itu, manifesto diumumkan Sabtu lalu boleh dianggap penegasan bertulis yang menggambarkan tekad PAS Terengganu untuk mengajak rakyat negeri itu sama-sama ‘membayar’ kembali segala kezaliman Umno serta pembohongan dan kegagalan pemerintahan BN sejak tujuh tahun lalu.

Semoga lontaran itu mampu mengusik jiwa rakyat dan membantu mereka membuat pilihan sebaiknya dalam pilihan raya nanti, sejajar hasrat Tuan Guru Presiden dalam ucapannya yang antara lain menyebut, sebuah kerajaan yang diberi amanah memerintah perlu menunaikan tiga tanggungjawab utama iaitu menjadi kerajaan yang memperhambakan diri pada Tuhan, memberi makan kepada rakyat sehingga rakyat tidak lapar dan menjaga keselamatan dalam negara.

harakahdaily/-

Hadiah Deepavali Bagi Kuil Puchong

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PUCHONG: Setelah lebih 20 tahun berjuang untuk mendapatkan hak tanah, akhirnya Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Devasthanam boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Selangor bakal mewartakan tapak kuil ini sebagai hak mereka.

Pengumuman ini sekaligus menjadi hadiah paling bermakna bagi penganut Hindu di sini bersempena perayaan Deepavali yang bakal menjelma.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kinrara, Taresa Kok.

Menurut beliau, sebagai penghargaan kepada pihak pemaju yang sudi mempertimbangkan tuntutan ini, kerajaan negeri akan membantu pihak IOI Groups dari segi pembangunan di kawasan Puchong.

"Baru baru ini dengan kerjasama K. Arumugam dari MPSJ, IOI mengeluarkan satu surat akujanji kepada pihak kerajaan dan MPSJ bahawa mereka akan serahkan tanah ini kepada kerajaan dan kita akan wartakan," katanya di satu sidang media di kuil tersebut.

Hadir bersama di majlis tersebut adalah Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jeyakumar dan ADUN Puchong Gorbind Singh Deo.

Menurut beliau, perkembangan ini merupakan satu langkah positif yang diambil untuk mengekalkan keharmonian penganut agama di Puchong

Sementara itu, Dr Xavier Jeyakumar menyatakan, proses mewartakan tanah ini telah berada di fasa terakhir dan beliau berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh 60 hari.

Menurut beliau, ini bukan perkara baru yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di Selangor memandangkan sebelum ini banyak isu yang telah berjaya diselesaikan berhubung masalah rumah ibadat.

"Kalau dikira tanah untuk rumah ibadat, kita telah memberikan lebih 120 lot tanah kepada semua penganut agama di Selangor.

"Tanah-tanah ini merupakan tanah kerajaan yang diwartakan untuk rumah ibadat. Terdapat juga beberapa tanah yang diberikan hasil kerjasama dengan pihak swasta," katanya

Beliau turut mengakui perolehan tanah untuk rumah ibadat di Selangor adalah sukar memandangkan banyak penganut agama lain turut sama menghantar permohonan kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, AJK Persatuan kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, K. Yugapuriyan memaklumkan, tapak kuil ini telah wujud sejak tahun 1877 dengan keluasan 33,000 kaki persegi dan tanah ini dahulunya dimiliki oleh Pilihan Megah Sdn Bhd sebelum diambil alih oleh IOI Groups.

Pada tahun 1980, IOI meminta kuil ini dipindahkan memandangkan kawasan ini ingin dimajukan.

Pertelingkahan mengenai status tapak kuil ini juga pernah berlarutan sehingga ke mahkamah.

tv news/-

Anwar cabar Najib debat ekonomi

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat berhubung ekonomi negara selepas Najib menyifatkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 sebagai “belanjawan Republikan aliran kanan yang gagal memahami kehendak rakyat”.

Anwar turut mempersoalkan Najib yang cuba mengelak berhubung isu tadbir urus yang goyah, rasuah berleluasa dan dasar Barisan Nasional yang memperkaya keluarga dan kroni.
“Debat tersebut seharusnya disiarkan secara langsung dan ditayangkan melalui televisyen ke seluruh negara. Semenjak Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga pada 2010, saya sudah pun mempelawa Datuk Seri Najib untuk berdebat,” katanya.

Ketua Umum PKR itu turut percaya debat tersebut akan memberikan manfaat kepada rakyat terutamanya ketika Malaysia melalui keadaan ekonomi yang tak pasti.

MALAYSIA TODAY

11 tahun berjalan keliling dunia

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MONTREAL - Selepas perniagaannya muflis, warga Kanada, Jean Beliveau, 56, mengambil keputusan untuk meninggalkan kediamannya dan berjalan mengelilingi dunia sejauh 75,000 kilometer merentasi 64 negara selama 11 tahun yang berakhir, kelmarin.

Kepulangan Beliveau disambut ahli keluarga, ahli politik dan penyokongnya secara meriah di Montreal.

Beliau menyatakan misi sebenar pengembaraan itu adalah untuk menggalakkan kerajaan dan negara lain untuk membentuk ‘kementerian yang aman’.

“Kita semua berbeza dan faktor tersebut menjadikan kehidupan menjadi berwarna-warni. Masyarakat ibarat nota muzik, mereka mesti bersatu untuk mewujudkan keharmonian sehingga terciptanya sebuah lagu,” kata Beliveau dengan penuh emosi.

Jean meninggalkan Montreal untuk menuju ke Atlanta, Georgia sehari sebelum sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-45, pada 18 Ogos 2000.

sinar harian/-

Jemaah haji gagal keluar wang

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JEMAAH haji dari Malaysia kini menghadapi masalah pengeluaran wang tunai di Mekah. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyangkal dakwaan bahawa Tabung Haji (TH) kehabisan wang apabila hampir keseluruhan 28,000 jemaah dari negara ini gagal mengeluarkan wang di Mekah sejak empat hari lalu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan masalah itu berpunca daripada bank-bank di Arab Saudi yang telah menyekat pengambilan wang dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa.

“Jemaah haji dari semua negara mengalami masalah yang sama apabila Bank Negara Arab Saudi sekat pengeluaran duit yang banyak dalam sehari bagi mengelak manipulasi mata wang.

“Biasanya dalam sehari, TH akan keluarkan 10 juta riyal (RM8.2 juta), tetapi sebab jumlah itu banyak, bank Arab Saudi sekat keluar duit bagi elak ada manipulasi,” jelasnya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

kosmo/-

Kapsul Huo Li Bao, HB Lite tidak selamat digunakan

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Dua produk kesihatan iaitu kapsul 'Huo Li Bao' dan 'HB Lite' ditarik balik penjualannya mulai 26 September lalu kerana didapati tidak selamat untuk digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahim, berkata kedua-dua produk itu dikesan mengandungi bahan campur palsu yang tidak dibenar digunakan dalam produk tradisional.

"Produk Huo Li Bao nombor pendaftaran MAL09062214TC dikesan mengandungi frusemide dan chlorpheniramine, manakala HB Lite nombor pendaftaran MAL09032133TC mengandungi promethazine," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Hasan yang juga pengerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, berkata frusemide atau furosemide ialah sejenis ubat diuretik yang diguna bagi mengurangkan pembengkakan akibat air terkumpul (edema) dan penggunaannya memberi kesan sampingan serius seperti ketidakseimbangan cecair dan elektrolit dalam badan.

Chlorpheniramine pula, katanya ialah ubat anthihistamin yang digunakan dalam rawatan berkait dengan reaksi alergik, yang membawa kesan sampingan seperti mengantuk dan kekeringan pada mulut sehingga boleh menyebabkan penyakit paru-paru kronik.

Beliau berkata, penggunaan Promethazine yang terdapat dalam HB Lite tanpa pengawasan pula boleh memberikan kesan sampingan serius seperti 'fatal respiratory depression' (dikontraindikasi untuk kanak-kanak bawah umur dua tahun).

"Ia juga boleh menyebabkan Neuroleptic Malignant Syndrome (Manifestasi klinikal seperti demam panas, kekejangan otot, gangguan mental dan gangguan pada rentak jantung," katanya.

Dr Hasan berkata, orang ramai yang menggunakan produk itu diminta untuk menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.

"Sesiapa yang mempunyai stok produk dinasihat menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya serta-merta kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya. - BERNAMA

Turki, Syria, Qatar terima 40 tahanan Palestin

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANGGOTA keluarga memegang gambar Nizar al-Tamimi yang dipenjarakan oleh Israel sejak 1978 dan Ahlam Tamimi, yang dipenjara 16 hukuman seumur hidup ketika menanti pembebasan mereka di Kampung Nabi Saleh, Tebing Barat, semalam.

GAZA: Sekumpulan 40 tahanan Palestin yang akan diusir ke seberang laut menerusi perjanjian untuk membebaskan seorang askar Israel, akan dihantar ke Turki, Syria dan Qatar.

“Buat masa ini, negara yang akan menerima tahanan itu ialah Turki, Qatar dan Syria.

“Negara berkenaan, bersama-sama Mesir dan Hamas akan menyelaraskan prosedur untuk menghantar tahanan itu,” kata pegawai Hamas di Gaza.

Israel akan membebaskan 1,027 tahanan warga Palestin dalam dua peringkat sebagai pertukaran kepada pembebasan askarnya, Gilad Shalit yang diculik oleh kumpulan militan Gaza pada Jun 2006.

Peringkat pertama pertukaran akan dilakukan hari ini apabila Israel membebaskan 477 tahanan sebagai pertukaran kepada Shalit dengan kumpulan kedua, terdiri daripada 550 tahanan Palestin, dibebaskan dalam masa dua bulan.

Menerusi persetujuan yang dicapai minggu lalu itu, rejim Tel Aviv mahu 40 tahanan Palestin dari kumpulan pertama diusir ke luar negara. - AFP