20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Seorang warga Indonesia dijumpai mati dengan kesan kelar di leher di kawasan tapak pembinaan di Taman Rimbunan, Kepong di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat lelaki itu yang belum dikenal pasti identitinya ditemui pada 7 pagi oleh seorang pekerja di tapak pembinaan itu.
Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan lelaki berumur lingkungan 30-an bermotifkan cemburu, katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki cedera dilibas dengan pisau ketika cuba menyelamatkan seorang wanita dirompak RM100 oleh seorang lelaki di mesin ATM di sebuah bank di Jalan Ipoh semalam.
Zakaria berkata dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi, mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu cedera di bahu kiri dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
"Suspek yang ketika itu memakai topi keledar penuh bertindak sedemikian setelah terkejut dengan tindakan mangsa yang cuba memukulnya dengan menggunakan beg galas.
"Selepas mencederakan mangsa, suspek merompak dua lagi lelaki yang baru tiba di bank tersebut tetapi jumlah wang yang dirompak dari dua lelaki itu tidak dapat dipastikan lagi," kata Zakaria.
Beliau berkata suspek yang lingkungan umur 20-an itu telah melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di tepi jalan berhampiran bank itu dengan menaiki motosikal.
Terdahulu pada majlis itu, seramai 123 anggota polis dari daerah Sentul yang berpangkat Lans Koperal dinaikkan pangkat kepada Koperal.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan