18 Oktober 2011

Peneroka Felda dapat bantuan tanaman semula getah RM4.6j

20 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA NERANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan bantuan RM4.6 juta kepada semua 156 orang peneroka Felda Bukit Tembaga di sini untuk tanaman semula getah membabitkan kawasan seluas 503 hektar.

Surat kelulusan bantuan diserahkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim kepada penolong pengurus Felda Bukit Tembaga, Rosli Omar disaksikan peneroka rancangan itu hari ini.

Syed Sobri berkata penanaman semula itu akan menggunakan empat benih (klon) dihasilkan Institut Penyelidikan Getah Malaysia iaitu RRIM2025, PB350, RRIM928 dan RRIM929 yang tahan penyakit dan boleh menghasilkan lebih banyak susu.

Benih baharu itu mampu menghasilkan antara 2,700 hingga hampir 3,200 kilogram susu getah bagi setiap kawasan seluas satu hektar dan mampu menambah pendapatan peneroka, katanya kepada pemberita selepas penyerahan surat bantuan tersebut.

Katanya, benih baru itu yang ditaman mulai Januari depan boleh ditoreh apabila berusia lima tahun berbanding benih terdahulu antara enam hingga tujuh tahun baharu boleh ditoreh. - Bernama

Tiada ulasan: