20 Oktober 2011

Tarikh lahir baharui lesen

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Kerajaan akan memperkenalkan sistem memperbaharui Lesen Me­mandu Kompeten (CDL) berpandukan tarikh lahir pemegang lesen bermula pertengahan bulan hadapan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ia bertujuan bagi memudahkan pemandu me­ngi­ngati tarikh untuk mem­per­baharui lesen memandu.

Selain itu, katanya, ia dapat mengurang kes pemegang lesen tidak aktif, termasuk rayuan bagi memperbaharui lesen memandu yang telah tamat tempoh melebih tiga tahun.

“Bayaran bagi memperbaharui lesen memandu masih tidak berubah, bagaimanapun penyelarasan fi akan dikecualikan sekiranya tempoh tamat lesen sehingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan.

“Sekiranya tamat lesen sehingga tarikh lahir antara 19 hingga 24 bulan pemegang lesen perlu membayar tempoh lanjutan bagi tempoh yang melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan,” katanya.

Cho Ha berkata, bagi kesalahan lewat memperbaharui lesen selepas penyelarasan itu dibuat, syarat fi pembaharuan akan dikenakan mengikut kadar biasa.

Menurutnya, kadar ini dikenakan selaras di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Jalan 1997.

“Bagi mereka yang ingin menambah kelas lesen memandu, termasuk pembaharuan lesen, tempoh sah lesen akan diselaraskan me­ngikut tarikh lahir mereka.

“Pemegang lesen yang tarikh lahirnya 29 Februari, tempoh sah dicadangkan 28 Februari, manakala tarikh pembaharuan pada 1 Mac, sekiranya mereka enggan menggunakan tarikh tersebut mereka perlu memperbaharui lesen bagi tempoh empat tahun berdasar tahun lompat,” katanya.

sinar harian/-

Hubungi kawan ketika tersepit

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki parah selepas teksi dipandunya merempuh belakang sebuah lori tiga tan di Jalan Bangsar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa, Alias Lazim, 49, yang memandu seorang diri dalam perjalanan ke Petaling Jaya.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Amri, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di belakang teksi berkenaan yang secara tiba-tiba merempuh belakang lori yang diletakkan di tepi jalan.

Katanya, akibat kejadian itu pemandu teksi berkenaan mengalami patah bahu kanan dan cedera di muka.

“Saya dan orang ramai cuba membantu mengeluarkan mangsa sebelum bomba dan penyelamat tiba,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

metro/-

Tebus talak demi kekasih

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TEBUS TALAK...Normah sanggup tebus talak dengan bekas suami untuk berkahwin dengan teman lelaki.

JOHOR BAHRU: Untuk memastikan wanita dicintai menjadi milik mereka biarpun si dia sudah berkahwin, ada lelaki tidak kisah mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membayar wang tebus talak.

Mungkin ada menganggap perbuatan itu ibarat `membeli isteri orang’ namun bagi lelaki dan wanita terbabit, itu bukan persoalan penting kerana segala urusan dilakukan mengikut prosedur termasuk proses di mahkamah.

Berkongsi pengalamannya, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Normah, 31, mengaku teman lelakinya membayar RM20,000 kepada mahkamah untuk kos tebus talak bagi mengesahkan perceraiannya dengan bekas suami.

Normah berkata, selepas diceraikan dia terus berkahwin dengan teman lelakinya itu dan kini mereka bahagia sebagai suami isteri.

“Suami saya sekarang tidak kisah mengeluarkan RM20,000 sebagai bayaran tebus talak asal kami dapat bersama,” katanya yang berkahwin buat kali kedua hanya selepas empat bulan dicerai suami pertama.

metro/-

Surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari hina UIA

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undang, Profesor Abdul Aziz Bari adalah tragedi baru serta satu penghinaan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang dihormati di negara ini.

"Saya berpendapat tindakan tersebut adalah satu tragedi dan juga penghinaan kepada institusi pengajian tinggi terutamanya UIAM, yang mana kita tahu universiti tersebut adalah sebuah universiti antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Saya melihat seolah-olah ada tangan-tangan tentu yang mengarah agar dikeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz," jelasnya ketika ditemui di parlimen.

Tambah Nizar lagi, pemberian surat tunjuk sebab itu sebenarnya telah menaikkan martabat Abdul Aziz sebagai seorang profesor.

Katanya, ia merupakan penghinaan kepada tokoh-tokoh akademik yang telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk berbincang serta membahas isu-isu yang ada di negara ini tetapi dikenakan tindakan jika tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tekankan di sini seolah-olah ada satu arahan yang dibuat oleh pihak atasan barangkali ada pihak dalam Umno Barisan Nasional yang merasakan apa yang didedahkan oleh Abdul Aziz itu akan memberi kesedaran yang meluas kepada warga akademik dan juga rakyat.

"Sepatutnya yang dilakukan oleh kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi adalah memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pendapat kerana ia tidak melibatkan politik, malah beliau merupakan seorang profesor dan pakar dalam Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia mempunyai sebab tertentu untuk berhujah jadi kenapa ia dihalang," sambungnya.

Nizar juga berpendapat tindakan itu merupakan satu sekatan untuk tokoh akademik bebas berpendapat serta merupakan satu sejarah baru dalam dunia akademik negara ini dan akan menyebabkan seluruh dunia memandang serong kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebelum itu, Abdul Aziz mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi tetapi tidak jelas mengenai kandungan surat tersebut.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

harakahdaily/-

Anwar: PKR tak sertai Himpunan Sejuta Umat

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PKR tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Sabtu ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat semalam dan semua anggota pembangkang sebulat suara mendapati ia tidak akan memberi hasil yang positif kepada parti tersebut.

"PKR bimbang penyertaannya dalam Himpun kelak akan dipergunakan dan diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya daripada beberapa parti politik arus perdana," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata PAS turut mengikut langkah PKR dengan tidak menyertai himpunan tersebut.

PKR tidak mahu menimbulkan kegelisahan dan kecurigaan di antara agama dan kaum lain akibat penyertaannya dalam perhimpunan yang dijangka akan dihadiri seramai sejuta umat Islam di stadium tersebut, katanya.

Perhimpunan yang bertemakan "Selamatkan Akidah" itu adalah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO), NGO Islam, institusi pendidikan, warga korporat, kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau, tenaga guru dan beberapa badan lain.

- Bernama

Pembangunan Islam bukan agenda utama Umno

22 Zulkaedah 1432H. [MOD]

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ulamak PAS kecewa kerana Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini nampaknya tidak menjadikan pembangunan Islam sebagai agenda utama negara sedangkan Islam adalah agama rasmi dalam perlembagaan.

Demikian kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali ketika mengulas kedudukan Islam di negara ini di bawah Umno BN yang tidak menjadikan Islam sebagai agenda utama negara.

“Kalau kita lihat secara lebih teliti dalam bajet yang dibentangkan oleh Najib, kita mendapati bahawa Umno di bawah pimpinan Najib tidak meletakkan Islam sebagai agenda utama negara sedangkan Islam adalah agama rasmi negara, tak ada apa yang istimewa untuk peruntukan pembangunan Islam,” katanya.

Katanya lagi, permasalahan sosial seperti anak luar nikah, buang bayi, dadah dan seumpamanya seolah-olah tidak dipandang penting dalam bajet kali ini.

Tambahnya, tiada peruntukan yang khusus dan istimewa diberikan kepada institusi tertentu untuk menangani masalah itu.

“Kita tidak mahu Islam hanya dijadikan agenda untk mengaut keuntungan politik semata-mata, kita tidak mahu Islam menjadi seperti pepatah Melayu ‘habis manis sepah dibuang’, isu Islam hanya diperbesarkan apabila ‘nyawa’ terancam atau nazak sahaja.” ujar beliau lagi.

harakahdaily/-

PAS Lipis minta selesai segera bekalan air bersih

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LIPIS, 20 Okt: PAS Kawasan Parlimen Lipis menggesa pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) bersama semua agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan segera mengatasi masalah air berkeladak dan berbau busuk yang dialami penduduk Kampung Chegar Perah, di sini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal (gambar) dalam kenyataan medianya berkata, masalah yang dialami penduduk sudah berlarutan sejak lebih lima tahun justeru perlu diselesaikan segera sebelum memudaratkan penduduk.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang berkata demikian sebagai mengulas rayuan penduduk seperti disiarkan akhbar Sinar Harian kelmarin.

“PAS Lipis mahu rayuan penduduk supaya pihak kerajaan segera mengatasi masalah bekalan air bersih ke kampung tersebut yang telah berlarutan lebih lima tahun.

“Kegelisahan penduduk kampung berkenaan adalah berasas kerana pihak PAS Lipis sendiri telah beberapa kali membuat lawatan ke kampung tersebut sebelum ini untuk menyiasat aduan penduduk berkaitan isu bekalan air daripada telaga tiub yang didakwa tidak berkualiti untuk kesihatan.

“Susulan lawatan tersebut, PAS Lipis telah mengambil sampel air berkenaan dan telah membuat aduan rasmi serta menyerahkan sampel air kepada Jurutera Daerah, Jabatan Bekalan Air (JBA) Daerah Lipis pada bulan Jun 2010,” katanya.

Menurut Roslan, dalam pertemuan tersebut pihak JBA telah berjanji untuk menyiasat perkara berkaitan dan akan mengambil langkah susulan.

“PAS Lipis dukacita kerana sejak aduan tersebut dibuat, masalah berkaitan masih berlarutan seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian keluaran 18 Oktober 2011.

“PAS Lipis menggesa pihak JBA bersama semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan SEGERA mengatasi masalah yang dibangkitkan,” jelasnya.

Tambah Roslan lagi, tindakan segera tersebut amat penting kerana bukan sahaja penduduk berdepan masalah bekalan air paip yang tidak berkualiti malah dihimpit masalah pencemaran sungai yang serius dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan berdekatan.

“Tinjauan PAS Lipis mendapati air Sungai Tanum yang mengalir berhampiran kampung berkenaan tidak lagi sesuai digunakan kerana terjejas dengan teruk sama ada pada waktu biasa apatah lagi selepas hujan.”

harakahdaily/-

19 Oktober 2011

Apa rasional burukkan PAS di kursus imam, bilal

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mempersoal rasional kerajaan mewajibkan imam, bilal dan siak masjid di Kedah dan Pulau Pinang menyertai kursus berunsurkan politik khususnya memburuk-burukkan PAS.

Menurut Firdaus, beliau menerima maklumat daripada beberapa imam, bilal dan siak bahawa mereka diwajibkan hadir ke Kursus Pemantapan Nilai Islam di Institut Pembangunan Desa Infra, Bangi pada 10 hingga 13 Oktober yang lalu.

Namun katanya, mereka terpaksa mendengar ceramah brain wash memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ditayangkan video perhimpunan Bersih 2.0, Jemaah Islam (JI) dan Al-Maunah.

"Saya meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagitahu siapa yang gunakan imam dan bilal untuk kepentingan politik," kata Firdaus ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat mempertikai perkara itu apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata bahawa elaun dan kursus adalah perkara berbeza.

Firdaus sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat sebelum itu meminta Jamil menyatakan pihak mana yang terlibat menganjurkan kursus tersebut.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat menaikkan elaun siak masjid selari dengan kenaikan elaun imam dan bilal, baru-baru ini.

Jamil bagaimanapun tidak menjawab soalan Firdaus mengenai kursus tersebut sebaliknya berkata kerajaan pusat hanya bertanggungjawab terhadap elaun imam dan bilal manakala elaun siak tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.

Ekoran jawapan itu, Firdaus membangkitkan mengenai kursus melibatkan ketiga-tiganya itu.

"Kalau menteri kata elaun imam dan bilal berbeza dengan elaun siak, kenapa libatkan siak dalam kursus ini?

"Saya ada bukti bergambar, rakaman mengenai apa yang diperkatakan dalam kursus ini," katanya.

Tambahnya, peserta kursus turut diberikan buku berjudul PAS bukan parti Islam.

Elaun bagi imam dan bilal ialah RM750 daripada Kerajaan Pusat dan RM50 daripada kerajaan negeri.

Manakala elaun bagi siak ialah RM290 yang dibayar kerajaan negeri.

harakahdaily/-

Solar Ranger 2 Uniten sertai cabaran dunia

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PESERTA pasukan Solar Ranger 2 Uniten membuat persiapan terakhir sebelum menyertai pertandingan Cabaran Kereta Solar 2011 di Darwin, Australia kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pasukan Solar Ranger 2, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kini dalam misi perlumbaan kereta solar pada Cabaran Kereta Solar 2011 di Darwin, Australia yang berlangsung selama tujuh hari bermula kelmarin.

Uniten dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, cabaran itu bermula di Darwin sehingga ke Adelaide yang kesemuanya melibatkan sebanyak 42 pasukan dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan itu, para peserta harus menghabiskan perjalanan sejauh 3,000 kilometer (km) dengan menggunakan tenaga solar bagi menjana kuasa keseluruhan kereta mereka.

"Pasukan kami telah tiba di Darwin pada 4 Oktober yang lepas untuk persiapan akhir perlumbaan. Uniten Solar Ranger 2 telah berjaya melepasi dua ujian yang ditetapkan iaitu ujian statik dan dinamik.

"Pada hari pertama perlumbaan, pasukan kami telah berada 300km dari Darwin dan masih berusaha memperbaiki kedudukan," ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Uniten mengharapkan kereta Solar Ranger 2 akan memperolehi kemenangan pada perlumbaan itu.

Antara pihak yang terlibat dalam pembuatan kereta solar tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airlines Berhad dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

kosmo/-

Tiada Persidangan Dewan Rakyat Pada 25 Oktober

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tiada persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktober depan iaitu sehari sebelum sambutan perayaan Deepavali pada 26 Oktober.

Keputusan tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada permulaan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

"Saya menerima perutusan daripada Perdana Menteri bahawa tidak akan diadakan persidangan Dewan Rakyat hari Selasa, 25 Oktober berikutan sambutan Deepavali keesokkan harinya.

"Sehubungan itu saya ingin meminta bahawa semua soalan lisan pada hari berkenaan dijawab secara bertulis," katanya di sini, Khamis.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran meminta pertimbangan kerajaan agar menangguhkan persidangan pada 25 Oktober kerana ia akan menyukarkan ahli Parlimen terutamanya yang beragama Hindu untuk membuat persediaan menyambut perayaan tersebut.

Mstar/-

77 kes cerai setiap hari

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PENYANYI Kumpulan OAG, Mohd. Radhi Razali adalah antara senarai pasangan yang bercerai tahun lalu selepas mengambil keputusan untuk berpisah dengan Shazlin Sharif selepas lima tahun berkahwin.

KUALA LUMPUR – Masalah keruntuhan institusi keluarga Islam di negara ini semakin menjadi-jadi apabila rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati, sebanyak 28,035 pasangan bercerai sepanjang tahun lalu.

Statistik itu bermakna, secara purata 77 kes perceraian sehari atau tiga kes bagi setiap jam didaftarkan di Malaysia berbanding 135,548 pasangan yang berkahwin tahun lalu.

Angka itu mencatatkan peningkatan 144 kes berbanding 27,891 pasangan yang bercerai sepanjang tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika dihubungi semalam mengakui, sekali pandang jumlah kes perceraian pasangan Islam cukup tinggi dan membimbangkan.

Katanya, kebanyakan daripada perceraian itu berlaku selepas pasangan terbabit gagal mencapai persefahaman yang sepatutnya wujud di antara suami isteri.

Beliau bagaimanapun berpendapat, walaupun kes perceraian ditegah dalam Islam, ada pihak mungkin melihatnya dari perspektif yang berbeza.

“Sekali pandang bilangan kes perceraian memang tinggi tetapi kita juga perlu melihatnya daripada sudut lebih positif.

Kosmo

Kisah Pemuda Yang Mengawal Nafsu

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Nabi s.a.w berbda dr Abi Hurairah: "Tujuh golongan yg Allah Naungi pd hari tiada naungan melainkan Naungan Allah: (diantranya) dan lelaki yg diajak membuat maksiat oleh wanita yg cantik serta berkedudukan tetapi lelaki itu menjawab "Sesungguhnya aku takut kpd Allah tuhan semesta alam.(Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w menceritakan tiga orang yg masuk ke dalam gua dan mereka terperangkap di dalamnya setelah pintunya tertutup dgn batu besar. salah seorang bertawassul dgn amalannya seperti berikut: "Ya Allah sesungguhnya aku mempunyai sepupu perempuan yg amat ku cintai. Aku meminta untuk menggaulinya tetapi dia enggan .

Suatu hari dia dlm kesusahan dan meminta kepadaku seratus dinar. Aku pun mencari wang sebanyak yg diminta dan memberinya dgn syarat dia menyerah tubuhnya. Dia pun menyerahkan tubuhnya dlm keadaan terpaksa.

Ketika aku berada dicelah kedua pehanya; dia pun berkata "Hai Abdullah hendaklah kamu bertakwa kpd Allah dan janganlah dicabut dara melainkan dgn pernikahan.

" Lantas aku terus bangkit meninggalkannya bersama wang seratus dinar. Sekiranya engkau tahu aku melakukannya itu kerana Mu ya Allah maka bukalah pintu gua ini." Maka Allah membukanya sebahagian.(Hr Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w bersabda: "Tuhanmu kagum dgn pemuda yg tidak mengikut keinginan hawa nafsunya." (Hr Ahmad) Pada zaman dulu di kufah, Iraq ada seorang pemuda yg cantik dan sgt kuat beribadat dan melawan hawa nafsu. Pada suatu hari dia tutun bersama kaumnya dan terpandang seorang wanita yg sgt lawa; lalu terpikat dan sgt cinta kpd wanita itu.

Wanita itu juga terpikat dgn pemuda tadi. Pemuda itu terus meminangnya tetapi ditolak kerana dia sudah bertunang dgn sepupunya. Apabila cinta mereka berdua telah membuak-buak sehingga menyiksa batin mereka; wanita itu terus menghantar surat yg tertulis "Sesungguhnya aku telah mengetahui begitu mendalamnya cintamu padaku dan sesungguhnya aku juga teramat mencintaimu.

Jika kamu setuju aku akan menziarahimu ataupun aku akan memudahkan kamu supaya kamu datang berjumpa dgnmu." Lalu si lelaki itu menjawab "Aku tidak memilih salah satu dr 2 pilihan ini. (ayat Quran)aku takut azab pd hari kiamat yg agung sekiranya aku membuat maksiat kpd tuhanku."(15: Al-Anam) aku takut api neraka yg tidak akan terpadam dan tidak hilang kepanasannya.

" Apabila wanita itu mendengar kata2 lelaki tadi terus dia menjawab "Aku merasakan dia memilih demikian kerana dia takut kepada Allah. sepatutnya semua hamba perlu ada sifat takut kepada Allah kerana semua hamba adalah sama." Kemudian wanita itu terus meninggalkan dunia dan beribadat sungguh2.

Walaupun begitu cinta pemuda itu makin memuncak sehingga akhirnya mati kerana cintanya. Pemuda itu menziarahi kubur wanita itu sambil berdoa dan menangis sehinggalah dia tertidur.

Dlm tidurnya dia bermimpi menjumpai wanita itu dlm keadaan yg amat baik sekali. Perempuan itu bertanya "Bagaimana dgn keadaanmu dan apa yg kamu buat setelah kematianku." dan wanita itu mendedangkan satu rangkap syair:

"Sebaik2 cinta wahai permintaanku adalah cinta kpdmu ; cintamu membawa kepada kebaikan dan ihsan" Lelaki itu bertanya "Apa yg engkau dapat sekarang?" Wanita itu menjawab:

"Mendapat nikmat dan kehidupan yg tidak akan hilang di dalam syurga yg kekal dan kerajaan yg tidak akan musnah"

Lelaki itu berkata "Ingatlah aku disana kerana aku tidak melupakanmu." wanita itu menjawab "Demi Allah aku tidak pernah melupakanmu dan aku telah meminta kpd Allah supaya kita dapat disatukan. Hendaklah kamu bersungguh2 utk mendapatku.

" Lelaki itu bertanya "Bila aku boleh berjumpa dgn mu?" Wanita itu menjawab "Engkau bertemu dgn ku tidak lama lagi." Setelah tujuh hari pemuda itu pun meninggal dunia. Semoga Allah merahmatinya.

Marilah kita bersama2 meninggalkan hubungan cinta melainkan setelah kita berkahwin. Jauhkanlah maksiat dan wujudkan hubungan Allah dgn inteam.

-khalifah

Ada sesuatu tidak kena dengan Himpun

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Shah Alam pada Sabtu ini.

Perhimpunan tersebut adalah anjuran NGO Islam yang akan membawa isu-isu Islam untuk diperjuangkan bersama oleh umat Islam.

Walaupun tujuan murni perhimpunan bawah tema memelihara aqidah umat Islam adalah sesuatu yang wajar namun demikian, namun beliau berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur.

“Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara kepada Harakahdaily.

Beliau menggariskan lima alasan untuk berasa khuatir dalam konteks hubungan antara agama di negara ini.

Katanya, perhimpunan itu diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di negara ini.

Di samping itu, ujarnya perhimpunan itu dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

“Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Selain itu, tambahnya dikhuatiri nama baik Islam tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain.

Baginya, tema memelihara aqidah tidak salah tetapi mempersoalkan apakah dengan sekadar perhimpunan akan menyelesaikan masalah.

Bukankah, katanya dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu-isu sensitif yang lain.

“Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang Bersih untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil.

“Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Kerajaan Negeri Sokong Muzakarrah Perkasa Sekolah Agama

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 19 OKT : Usaha Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis pendidikan seluruh negara yang menganjurkan Muzakarrah Pertubuhan Pendidikan Islam NGO disokong penuh oleh kerajaan negeri.
Ini kerana muzakarrah ini bertujuan mengangkat pendidikan Islam sebagai keutamaan dalam bidang akademik.

Selaini itu kata, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, ia juga bertujuan membincangkan kedudukan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Selangor yang tidak diberikan tumpuan khas berbanding sekolah jenis kebangsaan (SJK) lain semasa pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri baharu-baharu ini.

Menurut Dr Halimah, menerusi muzakarrah ini juga, NGO dan aktivis pendidikan yang terlibat telah bersatu bagi membincangkan kedudukan SAR sekaligus bertindak sebagai suara padu yang akan dibawa ke hadapan untuk memberi indikasi kepada pihak kerajaan yang mengatur dana bagi tujuan pendidikan.

"Jadi sudah tentunya kerajaan negeri mendengar rintihan daripada NGO yang mengusahakan SAR dan kita melihat mereka perlu dibantu serta disokong dan kita juga memberikan ruang serta peluang untuk bersama-sama memikirkan bagi menilai semula ke arah mana sebenarnya aliran pendidikan Islam ini di dalam agenda kerajaan Malaysia yang memerintah.

"Jadi kita juga telah mewujudkan Mappis ini sebagai usaha serius untuk memastikan SAR mendapat perhatian yang sewajarnya sama ada daripada kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau, sebagai menghargai pengupayaan Mappis yang bertindak sebagai sendi penting dari perspektif kerajaan Selangor, kerajaan negeri turut menyumbangkan dana tambahan bagi tujuan pembangunan pendidikan supaya NGO yang turut terlibat boleh bersatu dan memperkasakan lagi pendidikan Islam di masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Mappis, Profesor Madya Zainal Abidin Kidam berkata, beberapa resolusi telah dicapai semasa muzakarrah itu antaranya mengenalpasti kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan Islam khususnya di Selangor selain mengupas tujuh isu utama untuk diketengahkan, digarap serta dibincang selanjutnya menerusi Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia yang bakal berlangsung bulan depan di Shah Alam.

Bercakap lanjut mengenai isu yang bakal dibincangkan semasa konvensyen nanti, Zainal menjelaskan ia termasuk mempertimbangkan sama ada sistem pendidikan Islam sedia ada harus kekal sebagai sistem pendidikan sampingan atau dijadikan sistem pendidikan arus perdana(utama).

TV NEWS/-

Lelaki tangkap 13,000 burung liar dipenjara

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEJUMLAh burung dan ayam yang dikurung di dalam reban ayam di rumah Pierre Johansson di Hudiksvall, Sweden.

STOCKHOLM - Seorang lelaki Sweden yang menangkap 13,000 burung liar dan mengurung hampir ratusan haiwan itu di dalam sebuah rumah telah disabitkan atas kesalahan menyeksa haiwan dan pemburuan haram.

Mahkamah Daerah Hudiksvall kelmarin menjatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan terhadap lelaki berkenaan, Pierre Johansson, 39, kerana menggunakan jaring dan perangkap yang menyalahi undang-undang untuk menangkap burung-burung tersebut.

Antara burung yang ditangkap ialah burung hantu, helang, pipit, ayam, dan belatuk.

Selepas merakamkan aktiviti penangkapan tersebut, dia telah membebaskan beberapa ekor burung tersebut tetapi masih bersalah atas kesalahan mengurung ratusan burung lagi di dalam sangkar dan dikunci termasuk sebuah reban ayam di garaj rumahnya.

Johansson mengaku tidak bersalah dengan menyatakan perbuatannya itu adalah untuk memberi perlindungan kepada burung-burung tersebut pada musim sejuk dan tidak berniat untuk menyeksa haiwan itu. - Agensi