19 Oktober 2011

Solar Ranger 2 Uniten sertai cabaran dunia

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PESERTA pasukan Solar Ranger 2 Uniten membuat persiapan terakhir sebelum menyertai pertandingan Cabaran Kereta Solar 2011 di Darwin, Australia kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pasukan Solar Ranger 2, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kini dalam misi perlumbaan kereta solar pada Cabaran Kereta Solar 2011 di Darwin, Australia yang berlangsung selama tujuh hari bermula kelmarin.

Uniten dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, cabaran itu bermula di Darwin sehingga ke Adelaide yang kesemuanya melibatkan sebanyak 42 pasukan dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan itu, para peserta harus menghabiskan perjalanan sejauh 3,000 kilometer (km) dengan menggunakan tenaga solar bagi menjana kuasa keseluruhan kereta mereka.

"Pasukan kami telah tiba di Darwin pada 4 Oktober yang lepas untuk persiapan akhir perlumbaan. Uniten Solar Ranger 2 telah berjaya melepasi dua ujian yang ditetapkan iaitu ujian statik dan dinamik.

"Pada hari pertama perlumbaan, pasukan kami telah berada 300km dari Darwin dan masih berusaha memperbaiki kedudukan," ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Uniten mengharapkan kereta Solar Ranger 2 akan memperolehi kemenangan pada perlumbaan itu.

Antara pihak yang terlibat dalam pembuatan kereta solar tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airlines Berhad dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

kosmo/-

Tiada ulasan: