19 Oktober 2011

SPR tiada alasan lengah guna dakwat kekal

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) agar segera melaksanakan tuntutan rakyat iaitu penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap proses menunggu ‘lampu hijau’ dari Majlis Fatwa Kebangsaan telah selesai kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah lama mengeluarkan kenyataan mengenai hukum tersebut.

Justeru, jelasnya DPPM memetik kenyataan daripada Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Cetakan Kedua 2010, terbitan JAKIM,

m/s 144 yang menyebut bahawa: “Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Inedible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa,

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Inedible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu penggunaan Inedible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada umat Islam. Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Inedible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.”

“Bagi DPPM, Fatwa ini terang dan jelas bahawa tiada masalah dakwat kekal dilaksanakan dalam PRU ke-13 nanti,” katanya.

Justeru, tegasnya SPR tidak perlu berlengah dan tidak perlu bimbang kerana hukum dari pihak yang berautoriti dalam bidang agama telah dikeluarkan lebih awal.

Beliau menambah, rakyat khususnya umat Islam akan selamat dengan kaedah ini kerana ia tidak akan mengganggu amal ibadat serta mengandungi perkara yang syubhat mahupun haram.

Menurutnya, DPPM mengingatkan bahawa SPR sedang menjadi bahan cemuhan dan mendapat krisis ketidakyakinan bukan setakat rakyat di Malaysia, bahkan masyarakat dunia.

Bagi mengelakkan prasangka yang lebih buruk, katanya SPR perlu melaksanakan sistem celup jari secepat mungkin.

Setidak-tidaknya, ujar beliau rakyat akan memberi sedikit harapan dan kepercayaan bahawa SPR sedang berusaha menjadikan sistem pilihan raya di Malaysia bebas, bersih dan adil.

Justeru, tambahnya DPPM meningatkan agar SPR tidak mencari dalih lain bagi melengahkan pelaksanaannya dalam PRU ke-13 nanti.

Jika tidak, katanya SPR akan dianggap gagal dan rakyat tidak akan memaafkan kesalahan besar ini buat selama-lamanya.

“Jangan hampakan harapan rakyat Malaysia yang inginkan satu sistem pilihan raya yang bersih, adil, telus dan diyakini.

“Usahalah agar sistem pilihan raya di Malaysia menjadi antara yang terbaik di dunia,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: