21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat dengan terperinci dan telus mengenai kegiatan sindiket permohonan MyKad untuk warga asing dan penduduk tetap di Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras, Selangor pada 8 Oktober lalu.
Permintaan tersebut dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia, ekoran laporan polis yang dibuat oleh seorang penduduk di kawasan itu di Balai Polis Sungai Pelong pada hari tersebut.
Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat, pada sekitar jam 5.30 petang, pihak pengadu mendapat maklumat daripada orang awam yang memberitahu terdapat kerja-kerja yang mencurigakan di Jalan Gajah 18 Kampung Kubu Gajah di Paya Jaras.
Menurut beliau, pengadu tersebut telah pergi ke tempat yang dinyatakan dan melihat ramai orang berhimpun di sebuah rumah di Jalan Gajah 18 Kampung Kubu Gajah.
Katanya, hasil pemantauan pihak pengadu dari jauh dan hasil maklumat seorang remaja berusia sekitar 18 tahun yang kebetulan lalu di jalan itu dinyatakan bahawa terdapat kerja permohonan untuk menukar kad pengenalan biru sedang dilakukan di rumah itu.
"Selepas itu, pengadu telah menghubungi pihak polis untuk tindakan sewajarnya kerana disyaki terdapat sindiket permohonan MyKad untuk warga asing dan penduduk tetap yang sedang dilakukan di rumah itu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, petang semalam.
Sejurus kemudian, menurut beliau, pihak polis pun sampai dan selepas itu ketua kampung dan AJK kampung itu juga sampai ke tempat kejadian.
Katanya, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pihak pengadu, mereka kemudiannya telah bertindak dengan menahan 3 orang lelaki Kemboja yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Serentak dengan itu, mereka turut merampas satu beg dan 2 fail yang mengandungi dokumen yang berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.
Butir-butir 3 orang yang disayaki itu berdasarkan MyKad yang dimiliki oleh mereka, salah seorang daripadanya bernama Mohd Ghaffar Abd Hamid, mempunyai MyKad bernombor 620605-71-6341 dan beralamat di 100-A Kg Bunga Mas, Penambang, 15360 Kota Bharu, Kelantan.
Individu kedua bernama Mohd Karim Mohamad, mempunyai MyKad bernombor 610716-71-5019 dan beralamat di 28 58 Kg Ketapang Tengah, 26600 Pekan, Pahang.
Manakala individu ketiga bernama Ahmad Abdullah, mempunyai MyKad bernombor 490101-71-5545 dan beralamat di Kampung Baru Pulau Keladi, 26600 Pekan, Pahang.
Laporan polis itu dibuat pada jam 9.29 malam 8 Oktober lalu di Balai Polis Sungai Pelong, Petaling Jaya, Selangor dan bernombor Sg Pelong/000464/11.
Menurut Adram, bagaimanapun hasil semakan yang lakukan oleh pihaknya menerusi website JPN hari ini didapati MyKad dua orang individu terbabit itu telah tiada dan yang ada hanyalah salah seorang daripada mereka sahaja.
"Ini merupakan satu keanehan dan menimbulkan penuh tanda tanya kepada kami. Apakah ertinya ini semua?" ujar beliau yang amat kesal dengan kejadian itu.
Selain itu, ketika polis datang, katanya, terdapat saksi yang melihat pihak berkenaan mencampakkan sebahagian dokumen terbabit di bawah kereta individu yang disyaki, tetapi dokumen tersebut tidak diambil oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Tindakan pihak polis berhubung perkara ini juga turut menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada kami. Kenapa dokumen tersebut tidak diambil untuk siasatan, sedangkan itulah sebahagian dokumen yang perlu disiasat sebagai buktinya," katanya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan