21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
PETALING JAYA :Sekurang-kurangnya dua buah keluarga miskin dari kalangan orang kelainan upaya (OKU) terpilih menerima bantuan menerusi Program Sejahtera Komuniti (SEJATI) yang dianjurkan oleh Pejabat Dun Taman Medan dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) di sini hari ini.
Adun Taman Medan, Haniza Talha ketika berucap pada majlis pelancaran program SEJATI berkata pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu penduduk yang memerlukan bantuan seperti hari ini.
Namun mengingatkan penduduk agar bersikap tidak hanya menerima sebaliknya berusaha untuk mencari kehidupan yang lebih terjamin selaras dengan corak bantuan negeri Paktan Rakyat yang memberi joran dan bukannya memberi ikan.
"Kita mesti bantu diri kita sendiri dalam mencari kehidupan yang lebih baik, jadi apa yang saya harapkan kita sama-sama semai benih bantu membantu, benda yang berat menjadi ringan dan yang sedia ringan bertambah ringan,"katanya.
Sementara itu, Puan Fatimah Raihan Ayop, 64, yang terpilih menerima bantuan hari ini menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas keperihatinan MBPJ dan Adun Taman Medan.
Beliau bergantung harap sepenuhnya kepada kerusi roda akibat mengalami sakit lutut yang kritikal sejak tujuh tahun lalu. Keadaan ini menyukarkan pergerakkan beliau untuk ke tandas.
"Susah juga pergerakan mak cik, terpaksa berpaut pada kerusi roda untuk melakukan apa-apa kerja, sampai pintu bilik air, kerusi roda ini tidak boleh lalu, jadi perkara seperti ini menyukarkan mak cik untuk mandi dan buang air," jelasnya.
Melihat kepada keperluan ini, MBPJ menaiktaraf kemudahan tandas sedia ada di kediaman Fatimah yang melibatkan kerja-kerja mengubahsuai tandas cangkung kepada tandas duduk, penyambungan paip, pemasangan jubin dan pemegang (handrail) yang menelan belanja sekitar RM1,900.
Kegembiraan yang sama turut dikongsi N.Vasanthimalar A/P P.Narayanan, 45, ibu kepada seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang lumpuh dan hilang daya penglihatan akibat demam panas ketika berusia enam bulan apabila menerima bantuan kerusi pancuran (Shower Chair)
"Selepas anak saya kena demam panas, dia diserang sawan dan dimasukan ke wad icu selama hampir sebulan, sejak dari kejadian itu sehinga sekarang keadaan fizikalnya kekal seperti hari ini," ceritanya sayu.
Dua keluarga yang terpilih menerima bantuan SEJATI hari ini, merupakan keluarga perintis sebelum program ini diteruskan ke atas 110 keluarga miskin OKU yang telah tersenarai menerima bantuan dikawasan pentadbiran MBPJ.
tv news/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan