19 Oktober 2011

Somalia serah PM laporan jurukamera Bernama mati ditembak

21 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Selasa menerima laporan terperinci daripada kerajaan Somalia mengenai insiden yang mengorbankan jurukamera Bernama TV (BTV) allahyarham Noramfaizul Mohd Nor semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan, 2 September lepas.

Laporan itu diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Mohammud H Ibrahim ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Ketika pertemuan itu, kerajaan Somalia turut menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia atas kejadian terbabit.

Allahyarham Noramfaizul terkorban akibat terkena tembakan curi ketika berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.

Dalam kejadian itu, jurukamera TV3, Aji Sarigar Mazlan turut mengalami kecederaan di lengan akibat terkena serpihan peluru yang menembusi bahu Noramfaizul.

Dipetik Bernama Online, Mohamed yang juga Menteri Luar Somalia memberikan jaminan bahawa kerajaannya akan mengambil semua usaha untuk melindungi rakyat Malaysia apabila mereka pergi ke Somalia di masa depan.

“Saya dengan tulus ikhlas mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat (Malaysia) dan kerajaan Malaysia berhubung insiden itu. Saya hari ini telah serahkan bagi pihak kerajaan saya, laporan dan juga ucapan takziah kami kepada beliau (Perdana Menteri).

“Saya berada di sini khusus untuk menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas apa yang telah berlaku. (Dalam) kapasiti saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar,

saya akan mengambil semua langkah dan usaha untuk melindungi saudara kami di masa depan apabila mereka datang untuk membantu kami di Somalia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan kira-kira 30 minit dengan Perdana Menteri.

Mohamed, yang diiringi Timbalan Menteri Sumber Laut dan Alam Sekitar Somalia Ahmed Hassan Aden, berkata lawatan mereka itu juga bertujuan menjalin hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pada perjumpaan itu, Mohamed berkata Najib turut menyatakan kesediaan untuk membantu Somalia dalam membangunkan semula negara itu.

“Kami berharap Malaysia akan terus menghulurkan bantuan mereka kepada Somalia.

“Ini merupakan lawatan pertama saya ke Malaysia...terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberikan sambutan mesra kepada kami,” katanya.

malaysian insider/-

Tiada ulasan: