20 Oktober 2011

PAS Lipis minta selesai segera bekalan air bersih

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LIPIS, 20 Okt: PAS Kawasan Parlimen Lipis menggesa pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) bersama semua agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan segera mengatasi masalah air berkeladak dan berbau busuk yang dialami penduduk Kampung Chegar Perah, di sini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal (gambar) dalam kenyataan medianya berkata, masalah yang dialami penduduk sudah berlarutan sejak lebih lima tahun justeru perlu diselesaikan segera sebelum memudaratkan penduduk.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang berkata demikian sebagai mengulas rayuan penduduk seperti disiarkan akhbar Sinar Harian kelmarin.

“PAS Lipis mahu rayuan penduduk supaya pihak kerajaan segera mengatasi masalah bekalan air bersih ke kampung tersebut yang telah berlarutan lebih lima tahun.

“Kegelisahan penduduk kampung berkenaan adalah berasas kerana pihak PAS Lipis sendiri telah beberapa kali membuat lawatan ke kampung tersebut sebelum ini untuk menyiasat aduan penduduk berkaitan isu bekalan air daripada telaga tiub yang didakwa tidak berkualiti untuk kesihatan.

“Susulan lawatan tersebut, PAS Lipis telah mengambil sampel air berkenaan dan telah membuat aduan rasmi serta menyerahkan sampel air kepada Jurutera Daerah, Jabatan Bekalan Air (JBA) Daerah Lipis pada bulan Jun 2010,” katanya.

Menurut Roslan, dalam pertemuan tersebut pihak JBA telah berjanji untuk menyiasat perkara berkaitan dan akan mengambil langkah susulan.

“PAS Lipis dukacita kerana sejak aduan tersebut dibuat, masalah berkaitan masih berlarutan seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian keluaran 18 Oktober 2011.

“PAS Lipis menggesa pihak JBA bersama semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan SEGERA mengatasi masalah yang dibangkitkan,” jelasnya.

Tambah Roslan lagi, tindakan segera tersebut amat penting kerana bukan sahaja penduduk berdepan masalah bekalan air paip yang tidak berkualiti malah dihimpit masalah pencemaran sungai yang serius dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan berdekatan.

“Tinjauan PAS Lipis mendapati air Sungai Tanum yang mengalir berhampiran kampung berkenaan tidak lagi sesuai digunakan kerana terjejas dengan teruk sama ada pada waktu biasa apatah lagi selepas hujan.”

harakahdaily/-

Tiada ulasan: