22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
ALOR SETAR - DAP mendakwa isu hudud dibangkitkan atas rasa ketakutan pemimpin Umno terhadap pelaksanaannya, bukan disebabkan oleh penolakan parti itu.
Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, DAP bukan menentang hudud, sebaliknya pada pandangannya, ia tidak sesuai dilaksanakan di negara berbilang kaum atas dasar keadilan.
“Sebenarnya yang takut pada hudud ialah ahli Umno. Pas ‘acah’ sahaja untuk lihat reaksi pemimpin Umno. Namun isu ini dijadikan umpan untuk mereka tarik pengundi sertai Umno, namun saya percaya cara ini tak berjaya alihkan pengundi, sebab rakyat bijak menilai,” katanya.
Menurutnya, pendirian DAP dalam isu ini jelas, selain ketiga-tiga sekutu Pakatan Rakyat (PR) memahami dasar masing-masing yang berbeza, di mana persefahaman yang menyatukan mereka dalam banyak perkara.
“Negara ini adalah sekular malah dalam perlembagaan pun tidak disebut. Termasuk polisi dalam PR yang langsung tidak menyentuh mengenai negara Islam. Bermakna isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan menjadi isu politik,” katanya.
Guan Aik berkata, sekiranya terdapat dua undang-undang di negara ini, ianya tidak adil kepada dua individu berbeza agama yang dikenakan hukuman yang berbeza bagi kesalahan yang sama.
“Dari aspek keadilan tak sesuai dilaksana di negara masyarakat majmuk. Jika pada masa akan datang menyaksikan mendapat persetujuan 2/3 Parlimen untuk laksana hudud, kita tengok macam mana,” katanya.
Mengulas pendirian Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mahu melaksanakan hudud di Kelantan, Guan Aik berkata, DAP percaya Nik Abdul Aziz mendapat tekanan daripada Umno, khususnya Tun Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu ini.
“Ini cuma ketegasan Nik Abdul Aziz dalam isu ini untuk bidas Umno, sebab mereka yang banyak beri tekanan pada beliau supaya timbul pergeseran antara Pas dan DAP. Isu ini sengaja diapi-apikan untuk meretakkan hubungan dalam PR,” katanya.
Berikutan itu, pihaknya menggesa pemimpin PR supaya berhati-hati agar tidak terjebak dalam perangkap Umno, yang mahu melihat rakan sekutu PR bercakaran sesama sendiri.
“Apa jua isu selepas ini elok bincang secara tertutup. Saya percaya isu ini dibangkitkan ketika Umno bimbang undi orang Melayu kepada parti itu semakin hilang,” katanya. - SH Utara/ROSLINDA HASHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan