20 Oktober 2011

Penduduk Bandar Seri Iskandar Membantah Penubuhan Panggung Wayang

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bandar Seri Iskandar , 20 Oktober 2011 – Penduduk di Bandar Seri Iskandar menyuarakan bantahan kepada penubuhan panggung wayang Lotus Five Star Cinemas di sebuah pasaraya yang sedang dibina di sini. Bantahan ini telah mendapat sokongan padu penduduk tempatan sejak papan tanda pembinaan wayang dinaikkan beberapa minggu lalu dan dibuktikan dengan kutipan ribuan tandatangan protes pembinaan panggung wayang tersebut.

Jawatankuasa bertindak penduduk telah mengambil langkah menyerahkan ribuan tandatangan protes penduduk beserta memorandum bantahan tersebut kepada En Roslan Mohd Lodin, Yang Di Pertua Majlis Daerah Perak Tengah di pejabatnya pada petang semalam.

Semasa ditemui selepas sesi penyerahan memorandum tersebut,  Ustaz Abid Mohd Nor,37 selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bandar Seri Iskandar melahirkan rasa amat tidak bersetuju dengan pandangan En Roslan yang menyatakan keperluan untuk menubuhkan pusat hiburan dan panggung wayang sebagai penarik pelabur-pelabur untuk datang ke Bandar ini.

“Hiburan dan kemajuan adaah dua perkara yang berbeza. Adakah apabila wujud panggung wayang barulah kita akan menjadi maju? Ini adalah pemikiran barat yang mahu merosakkan umat Islam!” tambah Ustaz Abid lagi.

Ustaz Abid menegaskan lagi bahawa penduduk tempatan mahukan Bandar Seri Iskandar ini menjadi “Bandar Ilmu dan Pendidikan “dan bukannya Bandar Hiburan. Kewujudan beberapa Institusi Pengajian Tinggi di dalam Daerah Seri Iskandar dan lambakan sekolah menengah dan rendah seharusnya dilengkapi dengan kewujudan kedai-kedai buku, perpustakaan, dan akses-akses pendidikan yang perlu untuk menjadikannya sebagai “Bandar Ilmu dan Pendidikan “ dan bukannya dengan menubuhkan panggung wayang.

Di penghujung bual bicara dengan Ustaz Abid, beliau melahirkan rasa bimbang sekiranya penubuhan panggung wayang ini diteruskan akan merosakkan akhlak anak-anak penduduk dan remaja setempat dan dikhuatiri meningkatkan gejala sosial di sini.

Tiada ulasan: