20 Oktober 2011

Misteri kontena berat terungkai

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Toyota Hilux antara kenderaan yang banyak menjadi sasaran sindiket mencuri kenderaan antarabangsa untuk dieksport ke luar negara.

KUALA LUMPUR – Curiga dengan berat empat buah kontena yang diisytiharkan berisi peralatan pam air membawa kepada penemuan 12 buah trak pikap Toyota Hilux curi yang dalam proses dieksport ke luar negara.

Rahsia kegiatan jenayah itu terbongkar apabila polis membuat serbuan di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin lalu.

Ketika ditemui, kesemua 12 buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM90,000 setiap sebuah itu dalam proses dieksport ke luar negara dipercayai untuk pasaran di Kingston, Jamaica.

Setiap sebuah kontena itu diisi dengan tiga buah kenderaan Toyota Hilux. Setiap kenderaan itu pula disusun atur dengan cara kenderaan itu digantung pada bumbung kontena.

Ia bertujuan menjimatkan ruang kontena bagi mengisi lebih banyak kenderaan curi untuk dieksport.

Difahamkan, perkara tersebut terbongkar selepas kakitangan yang bertugas di pelabuhan itu curiga dengan berat kandungan setiap kontena tersebut yang diisytihar berisi pam air.

Semua barangan itu disebut untuk dihantar ke Bangkok, Thailand.

Satu sumber berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik setiap kenderaan tersebut tetapi tidak menolak kesemua kenderaan itu dicuri di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

“Sebelum dieksport setiap kenderaan itu dihantar ke sebuah gudang di Kampung Baru Subang untuk tujuan pembungkusan sebelum dimasukkan ke dalam kontena.

“Kita percaya kesemua Toyota Hilux itu akan diseludup ke negara-negara luar termasuk di Asia Barat,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.

Namun Bangkok dipercayai dijadikan sebagai negara transit sebelum semua kenderaan curi itu dihantar ke negara-negara di Asia Barat.

kosmo/-

Tiada ulasan: