20 Oktober 2011

4 lokasi panas denggi

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA: Empat lokasi dikenal pasti sebagai 'kawasan panas' oleh Kementerian Kesihatan kerana mencatatkan kes demam denggi tertinggi sehingga menyebabkan kematian dan dijangka terus meningkat dengan kedatangan musim hujan tidak lama lagi.

Empat lokasi itu adalah dua dari daerah Hulu Langat iaitu Flat Pandan Perdana dengan 10 kes dan Pangsapuri Taman Bukit Mewah dengan empat kes serta dua lokasi lain dari Kuala Lumpur iaitu Kondominium Bintang Mas dengan 11 kes di zon Cheras dan Kondominium Corenthian dengan sembilan kes di zon Pusat Bandar.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata, kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi lebih berpotensi mendapat penyakit denggi dan jika tiada langkah pencegahan diambil, kes itu akan terus meningkat.

“Masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada dua kematian akibat denggi minggu lalu dan jika dapat dihapuskan pada peringkat awal, ia dapat menghalang penyakit itu daripada merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Ridsect CSR Aedes Advise Mission Activity, di Pangsapuri Blok A Impian Baiduri, di sini, semalam.

Pengarah Kawasan Asean SC Johnson, Miguel Angel De Gracia berkata, mereka ingin menekankan kepada masyarakat mengenai pentingnya mengambil langkah proaktif menentang Aedes untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan jiran tetangga.

Seramai 50 kakitangan syarikat pemilik jenama racun serangga itu mengambil masa setengah hari menziarahi penghuni pangsapuri terbabit dengan memberi produk mereka dan risalah sebagai ingatan supaya berjaga-jaga dengan masalah itu.

METRO/-

Tiada ulasan: