02 Disember 2011

Sekeluarga Disimbah Asid Kerana Tolak Lamaran

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUNDUZ: Seorang gadis berusia 17 tahun dan keluarganya disembur dengan asid, dipercayai kerana menolak lamaran.

Gadis berkenaan, Mumtaz cedera parah apabila asid itu disembur pada mukanya oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang memecah masuk ke rumahnya di Kunduz, utara Afghanistan, semalam.

Ibu dan empat adik perempuannya melecur seditkit dalam serangan itu selepas mereka terkena asid yang disasarkan ke arah Mumtaz, kata bapa mangsa, Sultan Mohammad.

Serangan itu adalah antara bahaya yang masih dihadapi ramai wanita Afghanistan selepas 10 tahun pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat menggulingkan kerajaan Taliban, yang didakwa menjalankan dasar yang menindas wanita.

“Kejadian berlaku pada tengah malam. Mereka memecah masuk ke rumah saya sebelum memukul dan memasukkan saya ke dalam beg besar.

Mereka kemudian memukul isteri dan anak saya. Sebelum meninggalkan rumah kami, mereka menyemburkan asid ke muka Mumtaz,” kata Sultan.

Mangsa yang sukar bercakap dan masih dirawat di hospital berkata: “Pada mulanya mereka memukul saya, kemudian ibu dan adik saya sebelum melemparkan asid ke muka saya.” Sultan menyalahkan seorang pemerintah militia yang melamar Mumtaz tetapi ditolak oleh keluarga itu.

“Seorang lelaki melamarnya. Kami menolaknya dan Mumtaz ditunangkan dengan lelaki lain. Saya mengesyaki lelaki itu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya.

Penyerang melarikan diri sebelum polis tiba di tempat kejadian.

Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Bismullah Mohammadi, secara peribadi mengarahkan polis menyiasat dan menghukum mereka yang terbabit.

Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan mencatatkan 1,026 kes keganasan terhadap wanita pada suku kedua tahun ini berbanding 2,700 kes sepanjang tahun lalu.

Kira-kira 87 peratus wanita Afghanistan mengadu berdepan dengan keganasan fizikal dan seksual. – AFP

Perang psikologi tentera Mesir

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Satu fakta yang perlu ditekankan ialah, Revolusi 25 Januari di Mesir tidak menjatuhkan rejim atau sistem pemerintahan Mubarak seperti mana yang dilaungkan, “as-sya’ab yurid isqot il-nizom” (rakyat menuntut sistem dijatuhkan). Walaupun revolusi ini berjaya menggulingkan Mubarak, namun rejim — corak dan bentuk pemerintahan — Mubarak masih kekal. Pemerintahan bercorak tentera.

Satu bentuk kejatuhan rejim seperti yang berlaku di timur Eropah pada 1989 degan jatuhnya Komunisme di Eropah atau seperti yang berlaku selepas Revolusi Iran tidak berlaku di Mesir. Jika suatu revolusi itu berjaya, rejim yang memerintah kehilangan kuasa dan corak pemerintahan atau ideologi yang dibawa negara tersebut akan bertukar.

Kerajaan komunis Poland berjaya dijatuhkan rakyat walaupun mereka berpecah kepada pelbagai fraksi dan ideologi. Rejim yang jatuh juga tiada kuasa untuk menentukan masa depan mereka apatah lagi masa depan negara. Seperti jatuhnya kerajaan sekular ketika Revolusi Iran, tentera-tentera Shah Iran tidak menguruskan proses transisi kuasa, bahkan mereka dibicarakan di mahkamah.

Rakyat Mesir akhirnya terpaksa menelan hakikat yang pahit ini apabila menyedari perjuangan mereka belum selesai. Lalu mereka mendesak Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) untuk lekas turun dari terlibat dalam pemerintahan, seperti yang berlaku di Medan Tahrir pada 19 November lalu.

Jika kita imbau kembali, sejurus Mubarak meletakkan jawatan, pihak tentera (terutamanya Tantawi) diangkat sebagai wira. Gambarnya ditampal di dinding-dinding dan kereta. Rakyat pula tidak habis memuji tentera. Berbalik kepada situasi hari ini, pandangan rakyat terhadap tentera berputar 180 darjah. Keadaan ini berpunca dari cubaan pihak tentera untuk mengekalkan kuasa mereka.

Inilah yang masalah yang dihadapi SCAF – pandangan buruk masyarakat.

Pada bulan Ogos yang lalu, Ketua Pegawai Tentera Udara melaporkan bahawa pihak tentera sedang melakukan rondaan sekitar sempadan timur Israel tanpa mendapatkan keizinan dari Israel. “Sinai adalah tanah kita dan kita tidak perlu meminta keizinan sesiapa untuk menempatkan askar di sana.” Ucapan ini sekaligus menggambarkan kekuatan tentera Mesir di rantau ini dalam usaha mendapatkan sokonagan rakyat.

Sebenarnya, pihak tentera bekerja rapat dengan Israel. Israel juga mengalami rusuhan dan protes rakyat berikutan masalah ekonomi. Israel juga menerima tekanan dari krisis yang berlaku di timur tengah. Oleh itu, Israel perlu mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kestabilan negara.

Untuk yang demikian (dan beberapa faktor lain), Israel menebus rakyatnya Gilad Shalit dengan harga yang mahal. Satu berbalas seribu. Tindakan ini seolah-olah menunjukkan keprihatinan Israel terhadap rakyat mereka. Selain itu, Israel juga membenarkan tentera Mesir untuk terlibat dalam rundingan pertukaran bersama Hamas yang secara tidak langsung menggambarkan kuasa tentera Mesir. Win-win situation.

Pada bulan September pula, berlaku serangan ke atas Keduataan Israel di Giza rentetan peristiwa di Eliat Road. Pihak tentera tidak bertindak keras terhadap penunjuk perasaan dan akhirnya menyebabkan pejabat Kedutaan Israel berjaya dimasuki penunjuk perasaan. Ini menunjukkan kebersamaan tentera dan rakyat. (Akhirnya 6 warga Israel yang terperangkap diselamatkan oleh komando Mesir setelah menerima panggilan dari duta Israel, Yitzhak Levanon)

Barangkali, pihak tentera menyedari tiada satu pun organisasi yang mampu menyatukan semua rakyat Mesir yang membawa pelbagai ideologi. Namun, hampir semua rakyat Mesir mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap isu Palestin. Keprihatinan tentera terhadap isu Palestin dan ‘polisi anti-Israel’ dijangka dapat menyatukan rakyat di bawah payung tentera atau sekurang-kurangnya membersihkan mereka dari tanggapan buruk.

Pilihanraya

Tindakan-tindakan seterusnya adalah sangat kritikal bagi pihak tentera untuk memandu negara melalui transisi politik dalam masa yang sama mengekalkan kuasa mereka. Proses pilihanraya kali pula ini agak kompleks berbanding tahun-tahun sebelum, dalam masa yang sama masih ada beberapa perkara yang masih kabur. Ini secara tidak langsung membuka peluang bagi tentera untuk melakukan modifikasi yang dirasakan sesuai.

Sistem pilihanraya kali ini menggabungkan dua sistem. Untuk satu-satu undi itu diterima, pengundi perlu memilih satu parti dari kertas undi parti dan dua calon dari kertas undi calon bebas. Masih tidak jelas bagaimanakah pihak tentera memastikan maklumat ini sampai kepada setiap pengundi, lebih-lebih lagi apabila peratusan buta huruf agak tinggi di Mesir. Dilaporkan terdapat aduan pengundi tidak dapat mengetahui parti milik calon-calon yang bertanding.

Apa pun, untuk tentera mengekalkan kuasa mereka secara langsung ataupun tidak langsung, tentera memerlukan parlimen yang mana boleh bekerjasama dengan tentera. Bagaimanakah bentuk parlimen yang baru ini masih menjadi tanda tanya bagi semua orang.

Saya berpendapat keadaan Mesir tidak akan berubah dengan drastik selepas pilihanraya. Rejim pemerintahan tidak akan bertukar (sekurang-kurangnya dalam masa terdekat) sekalipun selepas Pilihanraya Presiden. Namun, pilihanraya ini tetap membawa sinar harapan bagi Mesir.

Saya agak positif Ikhwan Muslimin juga berpandangan sedemikian berdasarkan keputusan mereka untuk menjadi majoriti tetapi bukan dominan. Mereka juga tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Presiden. Tindakan ini menunjukkan mereka meletakkan pertukaran rejim negara (atau ideologi) sebagai sasaran jangka masa panjang. Secara berperingkat, mereka membina kekuatan untuk membanteras kebatilan.

Saya melihat perkara ini meletakkan Ikhwan sebagai satu-satunya gerakan yang mana tentera boleh bekerjasama. Pihak tentera tiada pilihan memandangkan gerakan dan parti-parti lain agak radikal kerana menuntut pertukaran rejim secara total dalam masa terdekat. Terutamanya mereka yang merusuh di Medan Tahrir dua minggu lepas.

Namun, jika tentera meletakkan Ikhwan sebagai peneraju untuk mengekalkan kuasa tentera secara langsung ataupun tidak langsung, tindakan ini seolah-olah bermain dengan api yang akan membakarnya satu hari nanti.

Harakah Daily

Cabaran Masakini Dalam Membina Masyarakat Islam Cemerlang

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama memperbaharui serta mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah dari masa ke semasa dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Mudah-mudahan kita beroleh kesejahteraan di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

Saudara-saudara kaum Muslimin,

Di dalam menjalani kehidupan di dunia ini kita semua tidak sepi dari menghadapi cabaran dan dugaan. Di antara hikmah dari cabaran dan dugaan yang dihadapi ialah untuk melatih dan mengajak kita supaya berfikir dengan lebih terbuka lagi. Ia juga dapat menambahkan pengalaman serta kemantangan kita dalam menempuhi masa-masa mendatang. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 269 :

وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ﴿٢٦٩﴾

“Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”.

Untuk kita mencapai matlamat melahirkan masyarakat Islam cemerlang yang menjadi contoh, kita pasti akan didatangi dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Antara cabarannya ialah menjalani kehidupan dalam arus kemodenan. Persoalannya di sini, adakah Islam menghalang kita dari mencapai kemajuan dan kemodenan? Adakah Islam hanya agama ritual, yang hanya menyuruh kita duduk di tikar sembahyang sahaja?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Agama Islam amat mementingkan kemajuan samada kemajuan dari segi rohani dan jasmani. Atas dasar ini, Islam sekali-kali tidak menghalang umatnya mencapai kemajuan dan kemodenan. Rasulullah s.a.w sendiri sangat mengalakkan umat Islam untuk menuntut ilmu demi kemajuan. Baginda mengingatkan kita agar menjaga masa muda kita untuk mencapai kemajuan.

Maka atas dasar ini, kehidupan di dalam arus kemodenan bukanlah satu perkara yang salah di sisi ajaran Islam. Malahan jika kita memanfaatkannya dengan sebaik mungkin tanpa mengenepikan nilai-nilai serta prinsip-prinsip dasar agama Islam, kita mampu untuk hidup dalam arus kemodenan dan menjadi masyarkat contoh, masyarakat yang mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni.

Akan tetapi apa yang menyedihkan kita sebagai umat Islam sekarang ini, ialah sikap segelintir masyarakat Islam yang mengenepikan ajaran Islam untuk hidup dalam kemodenan berasaskan cara hidup barat . Islam dikatakan kolot dan tidak sesuai untuk diamalkankan di dalam dunia sekarang ini. Sesungguhnya dakwaan sebegini tidak berasas sama sekali. Hakikatnya sebagai Muslim yang sejati, kita mampu untuk menjadi maju serta mampu menyesuaikan diri dalam kehidupan serba moden.

Muslimin yang berbahagia,

Sebagai contoh, dalam keluarga Islam, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak menghayati nilai-nilai Islam, seperti sifat amanah, bertanggungjawab serta nilai-nilai Islam yang lain. Ini amatlah penting bagi mereka agar dapat membezakan antara yang baik dan buruk, serta dapat menyesuaikan diri di dalam kehidupan yang moden. Dan dalam masa yang sama menjadi individu Muslim yang cemerlang. Jika agama Islam tidak diamalkan dan ditanamkan di dalam keluarga tersebut, unsur-unsur kehidupan yang bertentangan dengan Islam akan mudah mempengaruhi keluarga itu.

Islam yang dikatakan kolot itu sebenarnya membawa kemajuan dan kejayaan di dalam dunia kemodenan ini. Ini kerana kadang-kala apa yang kita fikirkan baik untuk kita, sebenarnya adalah sebaliknya. Bersesuaian dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 :

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٢١٦﴾

“Dan berkemungkinan kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan berkemungkinan kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Maka bagaimanakah kita mampu hidup dalam arus kemodenan ini tanpa mengadaikan agama Islam yang murni? Apakah ciri yang perlu ada pada kita untuk mengatasi cabaran kemodenan ini?

Di antara ciri yang perlu ada pada masyarakat Islam adalah berpegang teguh pada prinsip Islam serta menyesuaikan diri dengan konteks yang berubah. Untuk merealisasikan ciri ini, masyarakat Islam perlu memaparkan keihsanan kepada masyarakat lain. Antara caranya adalah dengan memberikan ucapan hormat kepada mereka apabila kita bertemu mereka yang bukan Islam. Dalam hal ini para ulama’ kontemporari berpendapat di dalam kehidupan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti di Malaysia ini, seorang Muslim dibenarkan untuk menjawab ucapan selamat untuk mereka yang bukan Islam, untuk merealisasikan konsep ihsan dan memaparkan kecantikan Islam. Ini tidak bercanggah dengan prinsip Islam dan ia bersesuaian dengan firman Allah :

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍۢ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا ﴿٨٦﴾

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Muslimin yang berbahagia,

Ciri seterusnya adalah mengamalkan Islam lebih dari sekadar bentuk atau ritual agar dapat menyesuaikan diri dengan arus kemodenan. Sebagai contoh, Seorang Muslim boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat lain dengan menunjukkan akhlak yang baik serta ketekunan di dalam melakukan pekerjaan.

Umat Islam harus menanamkan kepercayaan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan kerana Allah akan mendapat ganjaran. Dengan cara ini, umat Islam akan menjadi lebih berkesan serta mampu bersaing dengan masyarakat lain.

Ini merupakan sebahagian dari ciri yang perlu ada untuk masyarakat Islam mencapai kecemerlangan.

Semoga dengan kita menghayati ciri masyarakat Islam cemerlang, kita mampu menjadi seorang Islam yang baik serta mampu hidup dalam arus kemodenan.

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak



Kek Krismas paling panjang di dunia

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KEK terpanjang di dunia dipamerkan di sebuah hotel di Shanghai semalam.

SHANGHAI - Seramai 80 orang tukang masak membantu mengukur kek Krismas paling panjang di dunia di sebuah hotel di sini semalam.

Kek itu yang sepanjang 1,068 meter berperisa vanila dan mengandungi coklat diiktiraf dalam rekod Guinness sebagai yang terpanjang di dunia.

Ia dibuat sempena satu majlis kebajikan bagi mengutip derma untuk kanak-kanak yang menghidap kanser. - Agensi

Gobalakrishnan diarah keluar dewan

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bebas kawasan Padang Serai, N Gobalakrishnan semalam diarah keluar dewan kerana menimbulkan kekecohan semasa Dewan Rakyat membincangkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan Gobalakrishnan berbuat demikian, selepas beliau enggan mematuhi arahan untuk idak mencelah giliran Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) membahaskan laporan itu.

Walaupun diarah beberapa kali untuk duduk, Gobalakrishnan tetap berdegil dan mendesak Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, supaya memberikan laluan kepadanya.

Namun, Anwar tidak mempedulikan permintaan itu dan menyebut “pendidikan rendah, masuk dewan jangan minum” yang menimbulkan kemarahan ahli Parlimen Bebas itu.

Tindakan Gobalakrishnan bangun dan menghalang kelancaran sesi perbahasan memaksa Wan Junaidi meminta Bentara Parlimen untuk menarik wakil rakyat itu keluar.

Sinar Harian

Bil telefon cecah RM8,578

6 Muharram 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – Pemilik sebuah syarikat peralatan komputer dekat sini terkejut selepas mendapati bil telefonnya melambung sehingga mencecah RM8,578.

Mangsa, Foo Pooi Leng, 41, berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat panggilan antarabangsa yang bukan dibuat oleh syarikatnya dalam tempoh 24 jam pada 19 Julai tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan bil tersebut tersenarai panggilan yang dibuat tiga talian telefonnya ke beberapa negara termasuk Palestin, Siera Leone, Zimbabwe, Singapura dan Mesir.

“Syarikat tidak pernah membuat panggilan ke negara ini dan peliknya ia dilakukan dalam tempoh singkat dan ini adalah kejadian kedua selepas ia dikesan berlaku pada Mac tahun lalu ke negara Israel,” katanya pada pada sidang media dekat sini, semalam.

Pooi Leng berkata, aduan sudah dibuat kepada Telekom Malaysia Berhad namun disebabkan kegagalan membayar bil tersebut taliannya kini disekat.

“Perkara ini masih di dalam siasatan, tidak wajar talian saya disekat kerana ia menyusahkan kami untuk berurusan dengan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan dia hanya memperuntukkan tidak kurang RM800 untuk ketiga-tiga talian telefonnya.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk C K Lim berharap pihak Telekom Malaysia dapat menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

“Kita dapat lihat kebanyakan panggilan yang dibuat pada tarikh tersebut tidak munasabah malah kita harap mangsa dibantu dan talian dapat disambung kembali bagi memudahkan urusan mereka,” katanya.

sinar harian/-

Guru KAFA P.Pinang dapat lagi RM300

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SEBERANG JAYA, 2 Dis: Seramai 1,394 orang guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Pulau Pinang senyum lebar apabila mendapat lagi imbuhan RM300.00 seorang daripada Kerajaan Negeri.
Pemberian itu sekaligus melengkapkan janji banus RM600 kepada guru-guru KAPA seperti yang dijanji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Rakyat.

Ianya juga sebagai tanda penghargaan kepada tenaga dan pengorbanan warga pendidik yang yang telah mendidik anak-anak bangsa untuk menjadi insan yang berguna pada negara.

Bayaran awal RM300 sebelum ini dibayar sebelum menjelang Aidil Fitri lalu.

Untuk tujuan memberikan bonus itu, kerajaan negeri telah membelanjakan keseluruhan melebihi RM500 ribu.

Ramai guru mengucapkan terima kasih serta meluahkan rasa gembira kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Kata mereka, walaupun beliau bukan Islam namun tidak jemu-jemu memastikan para guru KAFA diberikan perhatian yang sewajarnya.

Semasa ditemuiada yang menggangap pemberian itu satu petanda bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tetap mengutamakan pendidikan Islam berbanding di era Barisan Nasional (BN) yang menganak tirikan persekolahan yang berteraskan Islam.

Seorang guru KAFA dari Sungai Dua, Tasek Gelugor, Puan Fatimah Ismail memberitahu langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang amat sesuai tambahan lagi di waktu penghujung tahun.

"Apa yang Kerajaan Negeri berikan kami ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Banyak kami boleh gunakan terutamanya di penghujung tahun," ujarnya.

Harakah Daily

Generasi baru suka rasuah

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – Agak mengejutkan, kajian dilakukan Transparensi Antara­bangsa-Malaysia (TI-M), me­nunjukkan generasi baru di Malaysia suka pada rasuah.

Timbalan Presidennya, Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kajian ke atas 1,000 rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas menunjukkan hampir 70 peratus pelajar dan penuntut universiti sedia menerima rasuah.

“Saya bimbang dengan situasi ini. Mereka mengetahui ia adalah jenayah. Malah, masyarakat pun sedar mengenainya, namun yang menjadi persoalan, kecenderungan menerima rasuah tidak jadi kesalahan.

“Bagi mereka, rasuah adalah amalan biasa dan diperlukan dengan alasan. Ia adalah pelincir untuk memudahkan urusan seharian,” katanya di Forum Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Barometer Rasuah (CB) di Subang, semalam.

Menurutnya, rakyat Malaysia dan pemerintah seolah-olah memandang ringan mengenai masalah ini sedangkan kedudukan negara ini telah meningkat empat tangga pada 2011 dari 56 pada tahun lalu.

“Jika dibuat perbandingan de­ngan 183 buah negara, CPI Singapura di tangga kelima selepas New Zealand, Denmark, Finland dan Sweden. manakala di Asean, negara itu berada tempat pertama dengan 9.2 mata sedangkan Malaysia di tempat ketiga, dengan 4.3 mata.

“Kita patut mencontohi negara tersebut. Jika tidak kepercayaan kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhakis dan patut mengambil pengajaran daripada negara Islam seperti Syria, Pakistan, Iraq, Sudan, Nigeria dan Somalia berada di tangga ke-100 atas serta terakhir,” katanya.

Beliau berkata, 49 peratus masalah ini berpunca daripada kelemahan kerajaan, agensi penguat kuasa dan politik wang.

Malah, katanya, ‘ibu rasuah’ dilakukan ahli politik dan satu daripada sembilan menunjukkan mereka yang telah menerima rasuah terdiri daripada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Kerajaan dan pembangkang jangan asyik cakap serta beretorik sepanjang masa hendak cegah rasuah.

“Mereka perlu bertindak mena-nganinya. Jika tidak kredibiliti mereka di mata rakyat akan terjejas. Malah, kerajaan yang ada sekarang, jika tidak mahu berubah, tidak mustahil akan diubah oleh rakyat,” katanya.

Untuk memastikan keberkesanan pencegahan, katanya, SPRM perlu bebas daripada pengaruh politik dan diletakkan di bawah Parlimen.

Sinar Harian

RM60,000 atasi banjir kilat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

BESERI - Kerajaan Negeri memperuntukkan RM60,000 untuk memperbaiki sistem saliran dan perparitan di sebuah kawasan perkuburan Cina berhampiran Taman Beseri Jaya, di sini bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Phor Choo Chor berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf longkang sepanjang 200 meter dalam kawasan perkuburan itu menggunakan pembetung bentuk U.

Menurutnya, pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dipanggil untuk mengukur tanah bagi membolehkan proses pengambilalihan tanah dilaksanakan.

“Sebelum ini, Persatuan Perkuburan Cina Perlis pernah membuat aduan terhadap Kerajaan Negeri mengenai masalah banjir kilat dan sistem perparitan yang tidak baik di situ.

“Masalah yang dihadapi lebih serius pada bulan April setiap tahun apabila waris menziarahi kubur untuk melaksanakan upacara sembahyang,” katanya kepada media selepas turun padang meninjau masalah sistem perparitan di kawasan perkuburan itu semalam.

Beliau juga sudah bertemu dengan Adun Beseri, Datuk Mat Rawi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Beseri Jaya untuk berbincang.

“Sebelum ini, ketika MPK membuat jalan pintas di sekitar kawasan Taman Beseri Jaya, ia pernah mengambil sedikit kawasan taman perkuburan Cina di Beseri.

“Perbincangan saya dengan Mat Rawi adalah bagi membolehkan tuntutan semula terhadap tanah diambil dilaksanakan bagi membolehkan projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan tanah perkuburan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan,” katanya.

Turut hadir ahli majlis MPK kawasan Padang Besar, Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Padang Besar dan Persatuan Perkuburan Cina Perlis.

Sinar Harian

39 pelatih PLKN gaduh

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR – Sepuluh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Desa Rimba, Sauk, di sini cedera malam kelmarin, dalam pergaduhan melibatkan 39 pelatih, sebahagian daripada mereka mengguna peralatan di kem sebagai senjata.

Mereka yang cedera dipukul dengan batang kayu, besi, tali pinggang dan beberapa peralatan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, kejadian itu hanya disedari jurulatih kem berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, ketika membuat rondaan, jurulatih berkenaan terdengar bunyi bising dari arah asrama dan mendapati sekumpulan pelatih sedang bergaduh.

“Melihat kejadian itu, jurulatih yang bertugas memanggil beberapa jurulatih lain untuk meleraikan perbalahan di antara pelatih-pelatih berkenaan.

“Setelah diperiksa didapati 10 daripada mereka mengalami kecederaan di badan dan kepala. Malah, seorang pelatih yang hanya bertindak meleraikan pergaduhan turut menjadi mangsa serangan,” katanya pada sidang media, di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pelatih sepatutnya pulang ke rumah pada hari ini (Khamis) kerana sudah tamat latihan dan kem akan ditutup pada jam 10.00 pagi.

“Bagaimanapun, 29 daripada pelatih yang disyaki terlibat itu ditahan untuk memberikan keterangan sebelum dibenarkan pulang, manakala 10 pelatih yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan, termasuk besi dan batang kayu yang diambil daripada palang almari,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham di antara pelatih-pelatih tersebut sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati.

“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Kes ini akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Sinar Harian

Anak ugut bakar rumah

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang anak sanggup mengugut akan membakar rumah orang tuanya gara-gara keengganan ayahnya membayar wang ganti rugi kerana memukulnya dalam satu kejadian di Kampung Sungai Rengas, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek yang berusia 25 tahun turut mengugut akan membuat laporan polis berhubung tindakan ayahnya yang memukul dirinya sehingga terpaksa menerima rawatan sekiranya tidak membayar wang berjumlah RM2,000 sebagai ganti rugi.

Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, suspek yang tidak bekerja itu meminta RM50 daripada ayahnya yang merupakan seorang pesara kerajaan.

Bagaimanapun, ayahnya enggan memberikan wang yang diminta sehingga berlaku pertengkaran mulut.

Disebabkan tidak tahan mendengar pertelingkahan itu, salah seorang daripada kakak suspek yang kebetulan berada di dalam rumah berkenaan memberikan RM10 dengan harapan suspek keluar dari rumah bagi menenangkan keadaan.

Namun, ayahnya yang berang melihat anak perempuannya itu memberikan wang kepada suspek terus bertindak memukul suspek sehingga mendatangkan kecederaan kecil.

Suspek dihantar oleh kakaknya untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sebagai pesakit luar.

Pada keesokan harinya, iaitu awal pagi kelmarin, suspek pulang ke rumahnya untuk mengambil semua pakaian kononnya merajuk dan tidak mahu tinggal bersama keluarganya lagi.

Sebelum keluar dari rumah tersebut, suspek sempat meminta wang ganti rugi berjumlah RM2,000 daripada ayahnya kerana telah mencederakannya namun disebabkan permintaan itu tidak diendahkan, suspek naik ‘hantu’ dan mengamuk akan membakar rumah tersebut serta akan membuat laporan polis berhubung tindakan ayahnya itu.

Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku, ayah suspek yang berusia 60-an telah membuat laporan polis dan suspek ditahan ketika sedang menumpang tidur di rumah salah seorang kakaknya yang tinggal berhampiran pada hari sama, kira- kira jam 1 tengah hari.

Semalam, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Rusli Ahmad telah mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, suspek kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sinar Harian

Dua lelaki dituduh lakukan rompakan berkumpulan

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Dua lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini tidak mengaku bersalah melakukan rompakan diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM16,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan yang dilakukan.

Mohd Rahmad Fadzil, 23 dari Felda Sungai Panching Utara dan Fairul Zalizam Razali, 25, dari Kampung Baru tanah Putih, Pekan dituduh melakukan rompakan berkumpulan membabitkan kerugian sebanyak RM100,000.

Kedua-dua lelaki yang tidak bekerja itu dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395 kanun keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rahmad dan Fairul Zalizam dituduh melakukan rompakan itu pada 31 Oktober kira-kira jam 6.45 pagi di sebuah rumah di Taman Mewah, Seri Bayu, Berserah dengan merampas kenderaan jenis Toyota Harrier, wang tunai RM1,700 dan USD 1,500, empat telefon bimbit, tiga kamera, dua komputer riba, satu jam tangan jenama bonia, satu GPS, pemain MP3 dan sekeping kad kuasa PDRM milih Hanafi Daud.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dituduh melakukan perbuatan sama dengan merompak harta milik Zaliha Abdul Rahman iaitu seutas gelang tangan emas, dua bentuk cincin emas, seutas jam tangan dan sebuah telefon bimbit yang membabitkan kerugian sebanyak RM12,000.

Bagi kesalahan itu, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 395 kanun keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya , Nor Svetlana Datuk Mohd Nor Nordin dan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Kuantan, Fathiyah Idris menetapkan 5 January 2012 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian

Berubah lelaki sejati

6 Muharram 1433H. [MOD] -

ISMAIL...terikut-ikut penampilan kakak

IPOH: “Alhamdulillah, Allah membuka pintu hati saya untuk berubah, sekali gus membolehkan saya memenuhi amanat arwah bapa sebelum dia meninggal dunia awal tahun ini.”

Itu kata Baby atau nama sebenarnya Ismail, 29, seorang daripada 40 mak nyah yang menyertai aktiviti pemulihan dinamakan Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sebuah resort di sini, selama tiga hari, bermula kelmarin.

Ismail berkata, selepas bapanya meninggal dunia, keinginannya untuk kembali menjadi lelaki normal semakin kuat dan dia mula mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Allah.

Menurutnya, selepas mendapat tahu mengenai Program Mukhayyam, dia mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar diri sebagai peserta kerana percaya ia medan terbaik untuk kembali ke pangkal jalan.

“Saya tertarik menyertai Program Mukhayyam kerana program keagamaan ini diadakan secara santai dan tanpa diskriminasi. Insya-Allah selepas tamat program ini, hala tuju saya lebih jelas,” katanya.

metro/-

Algeria kecam anak Gaddafi langgar perjanjian

6 Muharram 1433H. [MOD] -

ALGIERS 2 Dis. - Kerajaan Algeria semalam mengecam tindakan anak perempuan bekas pemimpin Muammar Gaddafi, Aisha Gaddafi dan menyifatkan sebagai “tidak boleh diterima” selepas dia menyeru rakyat Libya untuk bangkit menentang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) melalui satu siaran televisyen.

Seruan Aisha itu dibuat menerusi satu mesej suara yang disiarkan kelmarin di stesen televisyen Arrai yang berpangkalan di Syria.

Jurucakap Menteri Luar, Amar Belani berkata, Aisha telah menyalahgunakan layanan baik Algeria yang mengizinkan dia bersama ibu dan dua abangnya tinggal di negara itu atas tanda kemanusiaan selepas melarikan diri pada Ogos lalu.

“Kami kesal dengan tindakannya dan ia tidak boleh diterima.

“Aisha Gaddafi telah melanggar peraturan untuk kali kedua selepas dia diizinkan tinggal di Algeria atas tanda kemanusiaan,” katanya.

Tindakan Aisha dianggap sebagai melanggar perjanjian buangan dengan Algeria yang melarangnya daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Dia turut dilaporkan membuat komen sedemikian pada September lalu apabila dia mengecam NTC sebagai "pengkhianat" dan menggesa rakyat Libya untuk bangkit menentang kerajaan sementara itu. - AFP

Sistem pelik!

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Ong Kim Swee, jurulatih skuad B-23 negara
Kim Swee rasa ia hanya berlaku di Malaysia

SITUASI kini menjadi 'pelik dan terbalik' apabila persatuan bola sepak negeri yang seharusnya melahirkan generasi bakat muda, anehnya menagih pula khidmat barisan pemain yang dibentuk serta digilap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

berita harian/-