12 Disember 2011

Tak sedar pencuri masuk

16 Muharram 1433H. [MOD] -

PANGKAL MELERET - Sebuah keluarga di sini rugi kira-kira RM30,000 apabila barang kemas dan telefon bimbit milik mereka dilarikan pencuri awal pagi semalam.

Che Jah Awang, 70, berkata, pencuri itu dipercayai memecah masuk rumahnya antara jam 1 hingga 5 pagi semalam, ketika dia dan empat keluarga lain nyenyak tidur.

Katanya, kejadian tersebut disedari suaminya kira-kira jam 6 pagi ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh.

“Ketika pakcik ke dapur untuk mengambil air sembahyang, dia tersepak sesuatu dan apabila diangkatnya, rupanya-rupanya beg tangan anak kami.

“Pada waktu itulah kami menyedari rumah dimasuki pencuri dan apabila diperiksa, tingkap bahagian tepi rumah diumpil bagi membolehkan pencuri masuk melaluinya,” katanya.

Che Jah berkata, dia dan keluarga tidak mendengar sebarang bunyi bising dan percaya pencuri terus keluar selepas mengambil beg tangan anaknya dan juga beberapa telefon bimbit yang terletak berdekatan.

Menurutnya, kejadian tersebut pertama kali berlaku kepada keluarganya selain pernah diragut sebelum ini di rumah sama.

Menurutnya, dia percaya pencuri tersebut tidak berseorangan dan bertubuh kecil memandangkan ia mampu masuk melalui jeriji tingkap yang diumpil.

“Mungkin juga kanak-kanak atau remaja bertubuh kecil. Mujurlah kami sekeluarga selamat dan tidak diapa-apakan,” katanya.

Che Jah berkata, wang kemas miliknya dan anaknya itu merupakan simpanan waktu kecemasan mereka sekeluarga, namun semuanya hilang sekelip mata.

“Kami sekeluarga masuk tidur kira-kira jam 12.30 malam. Sebelum ini, anak saya memakai satu rantai lehernya, entah macam mana sebelum tidur dia menanggalkannya dan meletakkan di dalam beg tangan,” katanya.

Sinar Harian

Dinar Emas, Yuran Universiti Percuma Antara Janji Negara Kebajikan Pas

16 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM : Penggunaan dinar emas dengan meluas, yuran universiti percuma bagi pelajar miskin dan geran tanah pegangan bebas (freehold) bagi semua kediaman adalah antara dasar yang bakal diperkenalkan Pas jika rakyat memberinya mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Janji-janji tersebut terkandung di dalam dokumen Negara Berkebajikan Pas yang menampilkan 10 agenda utama merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial yang parti itu akan laksanakan pada penggal pertama pemerintahannya jika Pakatan Rakyat mengambil alih negara.

Dokumen itu dilancarkan hari ini oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata ia merupakan manifesto Pas pada pilihanraya akan datang.

Antara dasar lain yang ditawarkan adalah skim pembiayaan kesihatan nasional bagi mereka yang tiada perlindungan insurans. Pas juga akan menetapkan supaya 15 peratus tenaga kerja disemua peringkat haruslah diisi oleh warga yang berumur 35 tahun ke bawah.

"Agenda di dalam dokumen Negara Berkebajikan ini akan dimasuk sekali ke dalam agenda Buku Jingga yang menjadi agenda berasama dalam Pakatan Rakyat,"katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan di sini hari ini.

Parti Islam itu melancarkan dokumen tersebut selepas Muktamar PAS Jun lalu, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Dokumen ini juga antara lainnya menghayati semangat kebersamaan dan permuafakatan politik Pakatan Rakyat sebagaimana termaktub dalam Dasar Bersama perikatan tersebut.

Mengulas lanjut iltizam ini, Abdul Hadi berkata isu moral pemimpin ada kunci bagi merealisasikan sebuah kerajaan berkebajikan dan bertanggungjawab.

"PAS dan Pakatan rakyat telah membuktikan dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah kuasa kami, tiada apa-apa bukti salah laku yang kami lakukan," katanya.

"Bila moral (pemimpin) baik, harta yang sedikit boleh dikendalikan dengan syarat tidak boros, tidak menyeleweng, kalau harta banyak sekalipun, ditadbir oleh pemimpin yang moralnya runtuh, tidak ada apa faedah hanya sedikit sahaja hasil diturunkan kepada rakyat," tambah Abdul Hadi.

Abdul Hadi dengan tegas berkata idea Negara Berkebajikan yang juga merupakan perjuangan bersama Pakatan Rakyat ini bukan sahaja amalan lazim negara demokrasi malah ia juga adalah amalan sesebuah kerajaan yang dituntut islam.

Abdul Hadi menambah, kerajaan bukan sekadar bertanggungjawab membantu meringankan beban rakyat malah kerajaan boleh diibaratkan sebagai khadam yang menjalankan tanggungjawab memakmurkan sesebuah negara.

"Ada kalanya kerajaan yang memerintah hanya menjalankan tanggungjawabnya semasa musim pilihanraya, ia dilakukan bukan kerana amanah tetapi untuk memancing undi rakyat.

"Oleh itu, kami (Pakatan Rakyat) tampil memperkenalkan kepimpinan yang bertanggungjawab untuk menunaikan amanah rakyat,"jelas Abdul Hadi.

tv news/-

Pokok pisang bersaiz gergasi

16 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA KETIL - Seorang pekebun di Kampung Belakang Malayawat dekat sini memiliki pokok pisang yang mencatat ketinggian luar biasa sehingga ada yang mencecah 10 meter.

Abu Hassan Jaafar, 56, berkata, pokok pisang yang ditanam 25 tahun lalu turut menghasilkan buah yang lebih besar iaitu mencecah sehingga 35 kilogram setandan.

Menurutnya, antara pokok pisang yang ditanamnya adalah jenis awak, emas dan nangka.

“Walaupun saya hanya menggunakan baja pokok, pokok pisang ini membesar dengan sempurna. Saiz batang pisang ini juga menyamai sebuah batang balak muda.

“Seorang peniaga goreng pisang pernah memberitahu saya dia boleh membelah sebiji buah pisang kepada lima. Ramai yang bertanya mengenai rahsia tanaman pisang ini, namun, saya tidak mempunyai sebarang rahsia kerana benih pisang dan cara penanamannya adalah biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, saiz pokok pisangnya yang besar ini kemungkinan disebabkan tanah kebunnya yang merupakan bekas tempat pembuatan arang.

“Pada 1969, kawasan ini merupakan kawasan pembuatan arang, jadi tanah ini sesuai untuk bertani.

“Bukan sekadar pisang, tetapi pokok lain antara pokok keladi telur turut mempunyai saiz yang besar berbanding keladi biasa,” katanya.

Menurutnya, walaupun pisangnya mendapat sambutan menggalakkan, dia tidak menjadikan tanaman pisang sebagai pekerjaan utamanya.

“Tanaman pisang ini adalah kerja sambilan saya. Saya mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan.

“Sebagai pemimpin kampung, saya perlu mengutamakan keperluan masyarakat kampung,” katanya.

Abu Hassan berkata, kemungkinan dia akan memfokuskan kepada tanaman pisang ini selepas bersara sebagai seorang pemimpin.

“Sekiranya saya tidak mempunyai komitmen lain, saya akan memberikan fokus kepada tanaman pisang ini.

“Kemungkinan, saya akan mengeluarkan produk yang berasaskan pisang kerana itulah idaman saya dalam dunia pertanian ini,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat kepada pekebun baru yang ingin berkecimpung dalam tanaman pisang ini, Abu Hassan berkata, komunikasi dan hubungan pekebun dengan pegawai pertanian haruslah baik.

“Kita perlu rajin bertanya kepada pegawai pertanian kerana mereka turut mempunyai kelebihan tertentu dalam bidang bertani.

“Sekiranya kita mengikut nasihat selain pengalaman, kita akan berjaya dalam bidang pertanian,” katanya.

Sinar Harian

Gempa 6.0 gegar kawasan South Sandwich Island

16 Muharram 1433H. [MOD] -

WASHINGTON 12 Dis. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 skala Richter menggegarkan kawasan dekat South Sandwich Island di selatan Lautan Atlantik, semalam.

Pusat kaji gempa Amerika Syarikat berkata, gempa tersebut berlaku pada pukul 7.54 pagi (6.54 petang waktu Malaysia) di kedalaman 121 kilometer.

Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa itu. - AFP

Diperdaya jutawan minyak Arab

16 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Siapa tidak teruja apabila ditawarkan bekerja dengan majikan berketurunan raja sebuah negara Teluk yang mempunyai rangkaian perniagaan minyak dan gas di seluruh dunia.

Dengan tawaran gaji termasuk faedah seperti tempat tinggal dan elaun lumayan, sudah pasti ramai yang kelabu mata.

Namun semua itu hanya indah khabar sahaja apabila lelaki bergelar doktor itu sebenarnya kaki auta apabila tembelang mula terbongkar satu persatu.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 35, berkata, pengalaman pahit berkhidmat selama sebulan dengan lelaki itu sudah cukup untuk mendorong dia membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini mengenai tindak-tanduk lelaki tersebut.

Dia mendakwa, turut tertipu dengan jutawan tersebut ialah 15 lelaki tempatan yang diupah untuk bekerja sebagai pengawal peribadi lelaki itu.

Abdullah yang mendakwa berasal dari Iraq menjelaskan, pada mulanya dia dijanjikan jawatan sebagai pengurus teknologi maklumat bagi syarikat milik jutawan tersebut dengan gaji permulaan RM1,600 sebulan.

Kondominium mewah di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur tempat jutawan Arab itu menjalankan operasi 'bisnes'nya.Kondominium mewah di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur tempat jutawan Arab itu menjalankan operasi 'bisnes'nya.

Lebih mengujakannya apabila jutawan tersebut turut menawarkannya seunit kondominium mewah yang terletak di Jalan Law Yew Swee di sini dan elaun makan setiap hari.

“Memang dalam tempoh seminggu hingga dua minggu, saya sangat yakin dengan dia yang kelihatan sangat segak dan bergaya apatah lagi lelaki itu diperkenalkan oleh kawan saya sendiri,’’ ceritanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo

Perarakan obor catat rekod dunia

16 Muharram 1433H. [MOD] -

PARA peserta memegang obor dalam percubaan memecahkan rekod dunia di sebuah dataran di Jakarta semalam.

JAKARTA, Indonesia - Beberapa pegawai menyatakan beribu-ribu orang dari 50 buah negara mencatatkan dua rekod baharu dunia dengan berarak sambil membawa lebih 3,700 obor bernyala di ibu kota Indonesia di sini.

Penganjur acara berkenaan, Yamal Hasmanan daripada pertubuhan bukan kerajaan Freedom Faithnet Global semalam memberitahu, beberapa pegawai Guinness World Records menyampaikan sijil kepada para peserta untuk pencapaian imej obor menyala terbesar yang dibentuk oleh manusia dan perarakan unggun api terbesar.

Beliau berkata, perarakan kelmarin itu disertai 3,777 pembawa obor sebagai simbol pengharapan dan doa.

Pertubuhan itu turut memegang rekod dunia bilangan tanglung terbesar yang dilepaskan ke udara.

Sebanyak 10,318 tanglung dilepaskan serentak ke udara pada Disember 2009. - Agensi

Skandal NFC: Dedah agenda Muhyiddin guling Najib?

16 Muharram 1433H. [MOD] -

KOMENTAR Hingga ke saat ini, Ketua Wanita Umno merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak menyatakan pendirian berhubung desakan perletakan jawatan beliau sebagai menteri.

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus membisu berhubung kemelut yang membelenggu parti pimpinannya yang disabitkan dengan Shahrizat.

Projek NFC iaitu sebuah projek RM250 juta kerajaan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik keluarga Sharizat semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi pada tahun 2007 benar-benar meletakkan Najib dalam keadaan paling tertekan.

Najib perlu siasat Muhyiddin

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media pada 10 November lalu di lobI parlimen meminta Najib menyiasat Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan itu.

Kata Saifuddin, Muhyiddin perlu disiasat selaku kedudukannya sebagai menteri pertanian yang meluluskan projek dan pinjaman kepada keluarga Ketua Wanita Umno untuk projek feedlot berkenaan sebelum ini.

Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Shahsul Iskandar Mohd Akin pula menganggap pemberian projek NFC kepada keluarga Shahrizat merupakan agenda sulit Muhyiddin untuk menyingkirkan Najib.

Manakala pemberian projek ternakan lembu tersebut kepada keluarga Ketua Wanita Umno tersebut bertujuan menagih sokongan Wanita untuk membantu Muhyiddin menewaskan Najib dalam pemilihan ketika perhimpunan Agung Umno nanti.

Shamsul memberikan alasan tersebut berdasarkan sehingga ke saat ini pemilihan Agung Umno masih belum dilaksanakan walaupun telah beberapa kali berlangsungnya perhimpunan Agung diadakan.

Menurut Shamsul keputusan Presiden Umno untuk tidak membuat pemilihan disebabkan Najib menyedari gerakan kesepakatan timbalan beliau untuk menyingkirkan beliau.

Dilema Najib

Ibarat ditelan mati emak, di luah mati anak, Najib terus berdiam diri sesuai dengan jolokan sikap 'play safe' beliau sebelum ini.

Apa yang pasti, Najib sedang diapit dengan pelbagai delima berhubung masa depan parti pimpinannya apatah lagi saat menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang beliau sahaja tahu tarikhnya.

Lepaskan atau menghukum Shahrizat akan menyebabkan sayap kiri Umno bukan sahaja akan patah malah tidak mampu lagi untuk terbang. Sedangkan dalam mana-mana PRU jentera perayu undi wanita merupakan gerakan utama kemenangan.

Tambahan pula dalam wanita Umno tidak ada tokoh wibawa yang mampu membawa 'aura' Umno selain Shahrizat. Najib atau perwakilan Umno amat yakin bahawa tanpa skandal yang terpalit pada Shahrizat, Wanita Umno akan menjadi kuat dan mampu meraih banyak undi atas pagar. Itulah kekuatan Shahrizat sebelum ini.

Di atas kekuatan itulah juga Najib sanggup menjemput Shahrizat meyertai kabinet walaupun beliau kalah dalam PRU 2008 di Lembah pantai kepada anak Anwar Ibrahim, Nurul Izzah.

Kekuatan Shahrizat jadi rebutan

Najib dikira agak lewat melihat kekuatan Shahrizat berbanding Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Atau mungkin Najib mungkin baru sedar setelah melihat senario bagaimana pemberian projek NFC tersebut boleh diperoleh oleh Keluarga Shahrizat. Sedangkan syarikat tersebut langsung tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang ternakan lembu.

Namun sebagai veteran politik dan melihat projek RM250 juta diberikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno, tidak salah kiranya Najib menghidu sesuatu yang tidak kena dengan 'cerita' disebalik agenda pemberian tersebut.

Ketika skandal penyelewengan NFC dipapar di media, para wartawan menyerbu Muhyiddin dan bertanyakan respon berhubung penyelewengan tersebut.

Media sedar pemberian projek kerajaan bernialai RM250 juta tersebut diberikan kepada keluarga Shahrizat ketika Muhyiddin menjadi Menteri Pertanian dan Asas Tani.

Dalam kata lainnya, apabila melibatkan projek kerajaan bernilai berjuta ringgit maka keputusannya akan ditentu dan diputus oleh pihak menteri.

Justeru sebagai Menteri Pertanian, setentunya diatas 'perkenan' Muhyiddinlah projek NFC tersebut di serahkan kepada syarikat milik suami Shahrizat.

Pakatan Muhyiddin- Shahrizat?

Kenyataan Muhyiddin kepada media sejurus soalan tersebut dimajukan kepada beliau serta tindakan menyerahkan kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani, Noh Omar untuk menjawabnya, tersisip sesuatu yang tidak kena.

Muhyiddin sedar tindakan 'melayan' pertanyaan media akan menyebabkan isu melibatkan Ketua Wanita Umno tersebut akan berpaling kepada beliau.

Berdasarkan bacaan asas politik, pemberian projek NFC oleh Muyiddin kepada syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno tersebut setentunya mempunyai hubung kait dengan sesuatu kepentingan yang bersifat sokongan.

Kalau Najib pernah mengungkap bidalan "I help you, you help me' kepada pengundi di Sarawak, tidak mustahil Muhyiddin juga lebih dahulu menggunakan madah yang sama untuk 'mengayat' Shahrizat.

Dalam survival politik, sokongan dari pergerakan wanita amat besar maknanya. Justeru Muhyiddin membuat perkiraan dengan 'menambat' kepalanya, akan mudahlah untuk di urus ekornya.

Persaingan Muhyiddin-Najib

Pertembungan antara Najib-Muhyiddin ketika era Abdullah Badawi menjadi perdana Menteri bukanlah hal yang tersembunyi. Malah kebanyakan ahli-ahli Umno disemua peringkat lebih maklum.

Abdullah Badawi pula terpaksa mengambil masa hampir empat bulan untuk melantik timbalannya sejurus dilantik menggantikan Tun Dr Mahathir pada 2003.

Dua calon yang dilihat paling layak untuk mengisi jawatan timbalan beliau adalah Muhyiddin Yassin dan Najib Razak.

Dalam falsafah politk pula, sang ketua akan cuba melantik pembantunya yang lebih lemah berbanding pembantunya yang kuat kerana dalam status Quo Umno hanya timbalan yang mampu mencabar presiden.

Abdullah juga sedar sekiranya Najib dipilih akan membawa kepada usia jawatan beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri lebih pendek disebabkan Najib mendapat dokongan dari bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir.

Lantaran desakan dari team Najib terlalu kuat selain tekanan dari Dr Mahathir, Abdullah cuba menenangkan keadaan dengan melantik Ahli Parlimen Pekan itu sebagai pembantu beliau.

Walaupun akur dengan perlantikan Najib sebagai timbalan beliau, Abdullah perlu membuat 'check and balance' bagi menghalang kebangkitan Najib bersama teamnya.

Maka tidak ada calon yang lebih layak untuk memastikan Najib tidak 'besar kepala' selain Muhyiddin.

Peranan Muhyiddin

Strategi Abdullah meletakkan Muhyiddin dalam kementerian Pertanian yang kemudiannya dinamakan Kementerian Pertanian dan Asas Tani dilihat sebagai strategi untuk 'menyembunyikan' Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Manakala Najib pula dibiarkan terus untuk menguasai skuad pasukan beragam negara bersama skandal pembelian kapal selam Scorpion yang masih menghantui Najib dan kementerian Pertahanan.

Abdullah membiarkan Muhyidddin menguasai ahli akar umbi Umno yang kebanyakannya terdiri dari golongan petani, penternak dan nelayan.

Dalam masa yang sama Abdullah cuba komersilkan sektor pertanian sebagai sebuah industri yang berdaya maju. Lalu Abdullah menjadikan moto 'Pertanian sebagai sebuah Industri' bagi kempen menaikkan bidang pertanian dibawah naungan kementerian Muhyiddin.

Tujuannya supaya peranan Muhyidddin lebih menonjol dikalangan ahli-ahli Umno dengan dibekalkan peruntukan yang besar. Dengan peruntukan besar tersebut akan lebih 'memesrakan' Muhyiddin dengan akar umbi.

Keluarga Shahrizat dapat NFC

Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) merupakan salah satu dari projek ternak lembu yang selama ini diberikan kepada petani bersekala kecil tetapi cuba di komersilkan sebagai projek perintis dengan menelan belanja RM250 juta.

Kelebihan NFC yang berada dibawah program perintis Kementerian dibawah Muhyiddin ini antara lainnya mempunyai beberapa kelonggaran termasuk terma pembayaran balik yang tidak ada tempohnya.

Persoalannya..... kepada siapakah projek bernilai RM250 juta ini akan diserahkan?.

Andai dalam setiap kali berlangsung pemilihan dalam perhimpunan agung Umno, isu politik wang atau rasuah politik bernilai jutaan ringgit telah menjadi amalan biasa dalam Umno.

Muhyiddin yang juga seorang Naib Presiden Umno boleh melihat ruang dan peluang besar dengan wang berjuta ringgit tanpa menggunakan wang dari kocek sendiri.

Dengan tanda tangan kecil diatas sebuah dokumen tidak memerlukan beliau untuk turun berkempen di akar umbi bagi mendapatkan sokongan.

Pakatan Abdullah- Muhyiddin

Muhyiddin juga sedar peranan yang diberikan oleh Abdullah bagi meneruskan kerjaya Abdullah sebagai pemimpin tertinggi negara.

Dalam masa yang sama beliau juga akan turut 'menuai' keuntungan besar sekiranya misi 'menggulingkan' seteru politik beliau berhasil.

Malah Muhyiddin tidak perlu risau sokongan pemuda Umno memandangkan Khairy Jamaluddin yang digelar Dr Mahathir sebagai 'budak nakal tingkat empat' itu adalah menantu Abdullah.

Justeru Muhyiddin hanya memerlukan sokongan dari pergerakan Wanita untuk memastikan sokongan 'solid' terhadap beliau dan Abdullah.

Berdasarkan kronologi tersebut tidak menghairankan sekiranya keluarga Shahrizat mendapat habuan mengendalikan projek perintis Kementerian dibawah Muhyiddin tersebut.

Dengan projek yang dipersetujui berasaskan konsep 'I help you, You help me ' itu diharap akan melengkapkan sokongan dua sayap Umno terhadap Muhyiddin.

Khairy Bersubahat?

Ramai terperanjat apabila Ketua Pemuda Umno merangkap menantu Abdullah, melenting dan 'menjawab' bagi pihak Shahrizat apabila isu pembelian kondo mewah di Bangsar di dedahkan oleh Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Kenyataan Khairy menerusi blok beliau rembau.net turut menjelaskan secara terperinci berhubung penglibatan syarikat National Livestock and Meat Corporation (NLMC) yang juga syarikat milik Shahrizat dengan NFC berhubung penyelewengan pembelian kondo mewah di Bangsar bernilai RM9.8 juta juga menjadi tanda tanya.

Mulanya ramai berfikir mungkin Khairy ingin membela Shahrizat atas kapasiti beliau sebagai ketua sayap pemuda bertujuan mengurangkan tekanan ke atas Shahrizat yang juga ketua wanita Umno.

Namun setelah melihat secara menyeluruh. Mungkin juga ada kebenaran kata-kata Dr Mahathir bahawa kabinet Abdullah sebelum ini ditentukan oleh keputusan dari tingkat empat.

Begitu juga tindakan Khairy yang sering memberikan pelbagai alasan untuk mengelak dari berdebat dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memperlihatkan kebimbangan Ketua Pemuda Umno tersebut berhubung pembongkaran lebih besar disebalik projek NFC tersebut.

Muhyiddin tertewas

Muhyiddin hakikatnya telah pun tewas di pusiang pertama ekoran penyingkiran Abdullah dari menerajui negara.

Muhyiddin merupakan pemimpin pertama Umno yang memberi tekanan dan menyaran Abdullah menyegerakan proses peralihan kuasa ke tangan Najib sejurus selepas BN menerima kekalahan teruk dalam PRU 2008 lalu.

Apakah tujuannya bagi menutup isu 'pakatan sulit' beliau?.

Manakala ketewasan yang lebih teruk adalah berhubung isu NFC yang semungkinnya telah dapat di hidu oleh Najib yang kini menjadi bos beliau.

Dalam politik, musuh harus dipangkas dari mata tunasnya sekiranya mahukan survivalnya lebih cemerlang dan berpanjangan.

Najib juga mungkin lebih sedar sekarang bahawa musuh yang lebih merbahaya yang beliau sedang hadapi adalah 'pembantu' yang selalu berhadapan dengannya. Bukannya pembangkang.

tv news/-

Gugur Hasan Ali hanya fitnah Utusan

16 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM : Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menafikan laporan yang dikeluarkan oleh media milik Umno Mingguan Malaysia hari ini bahawa Datuk Dr Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa digugurkan dari menjadi calon pada pilihanraya nanti.

Sambil membidas laporan Utusan itu, beliau berkata ianya hanya satu tuduhan tidak benar memandangkan PAS sendiri belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung senarai nama calon yang akan bertanding.

"Apa yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu tidak benar, bagaimana ia tahu nama-nama calon sedangkan peringkat PAS Pusat pun belum memberi keputusan rasmi.

"Perkara itu tidak perlu timbul sekarang sebab semuanya belum ada keputusan rasmi dan kita tidak akan umum nama-nama yang akan bertanding selagi belum tibanya hari penamaan calon," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perlancaran Dokumen Negara Berkebajikan: Tawaran PAS di Kompleks PKNS di sini.

Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia hari ini mendakwa Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, akan digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya umum.

Kata akhbar itu, pengguguran Hasan sebagai calon PAS pada pilihan raya umum sememangnya telah dijangka dan ia hangat diperbincangkan di blog-blog tempatan.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu secara berseloroh menyifatkan Utusan sebagai 'lebih PAS' dari pimpinan PAS apabila mengetahui perkara yang belum dibincangkan oleh parti itu.

"Saya sendiri belum tahu lagi dicalonkan atau tidak sebab tiada keputusan lagi dan pelik juga bila nama Dr Hassan disebutkan sebagai digugurkan sebagai calon.

"Kalau saya sendiri belum pasti kedudukannya maka kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar milik Umno itu tidak tepat dan fitnah semata-mata," katanya.

harakahdaily/-

11 Disember 2011

Projek lembu: Ghapur pula gesa Shahrizat letak jawatan

16 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang lagi pemimpin BN hari ini menggesa Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya melepaskan jawatan parti dan kerajaan yang disandanganya berikutan kontroversi projek ternakan lembu, Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata Shahrizat perlu berbuat demikian demi kepentingan BN dan Umno, salah sebuah parti komponen, yang bakal berdepan pilihan raya umum ke-13.

“Ini adalah isu paling besar yang berlaku dalam sejarah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia cukup memalukan dan kita tidak mahu isu ini menjejaskan BN dan Umno. Kalau isu ini sampai pada waktu pilihan raya, saya rasa undi kita akan kurang," katanya.

Ghapur diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai kanak-kanak kawasan Dewan Undangan Negeri Merotai di Kg Pasir Putih, di Tawau.

Ditanya jika Shahrizat masih mendapat sokongan Pergerakan Wanita Umno, Ghapur berkata, "Ini bukan soal sokong-menyokong tetapi ini soal keseluruhan parti. Bila kita buat salah, kita mesti bertanggungjawab".

Menurut Ghapur di negara maju seperti Amerika Syarikat jika sesuatu isu atau skandal menimpa seseorang pemimpin, pemimpin yang terlibat akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

"Kita juga perlu tahu bahawa bukan pembangkang yang bongkar isu ini tetapi ia didedahkan oleh Ketua Audit Negara,” tambah Ghapur.

- Bernama

Mangsa banjir di Kuantan meningkat kepada 77 orang

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di daerah ini meningkat kepada 77 orang sehingga jam 5 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, peningkatan itu susulan pemindahan mangsa banjir terbaru seramai 13 orang di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, kira-kira jam 4 petang tadi.

Selain itu, masih ada 19 mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Indera Mahkota dan 45 orang di Tadika Perpaduan Cenderawasih, katanya kepada Bernama, di sini.
Penduduk di daerah itu juga diminta berjaga-jaga kerana hujan masih berterusan.

"Paras sungai utama di Pahang iaitu Sungai Pahang dan Sungai Kuantan masih berada pada paras berjaga-jaga," katanya.

Tiada kejadian banjir di daerah lain di Pahang dilaporkan setakat ini, katanya. - BERNAMA

Hanya 800 orang mangsa telefon digodam akhbar Murdoch

15 Muharram 1433H. [MOD] -

LONDON 11 Dis. – Polis Britain semalam menyatakan jumlah mangsa yang pernah digodam telefon oleh akhbar milik Rupert Murdoch, News of the World adalah seramai 800 orang, jauh kurang daripada andaian awal.

Menurut pegawai polis yang menyiasat skandal akhbar tersebut, polis telah menghubungi semua orang yang telefon peti simpanan suaranya digodam.

Bulan lalu, polis telah mengenal pasti 5,800 orang yang berpotensi menjadi mangsa telefon mereka digodam berdasarkan nama-nama yang ditemui dalam nota milik Glenn Mulcaire, penyiasat persendirian yang dipenjarakan kerana menggodam telefon pada tahun 2007. - AFP

3 rakyat China kongsi bilik hotel dengan 100 ular ditahan

15 Muharram 1433H. [MOD] -

COLOGNE, Jerman 11 Dis. – Seramai tiga orang yang berkongsi bilik hotel di Cologne bersama-sama 100 ekor ular, hampir 70 ekor kura-kura dan 20 ekor katak warna terang telah ditahan polis tempatan semalam.

Seorang pekerja hotel menelefon polis dan melaporkan tiga orang dari China yang menginap di hotel tersebut berada dalam keadaan meragukan.

Polis kemudian memeriksa beg-beg mereka dan menemui haiwan reptilia itu di dalamnya,

Jurucakap polis berkata, haiwan-haiwan tersebut belum diasingkan mengikut spesiesnya lagi membuatkan mereka masih tidak dapat mengenal pasti sama ada ia merupakan haiwan yang hampir pupus, beracun atau kedua-duanya sekali.

Mereka bertiga kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $1,300 (RM4,000). - dpa

Agong, Raja Permaisuri hadiri jamuan menjunjung kasih

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini berangkat menghadiri majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Negara di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Raja Tuanku Nur Zahirah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Acara Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Tuanku Mizan bertitah, kerajaan di bawah pentadbiran Najib telah memberikan kerjasama cemerlang sepanjang tempoh pemerintahan baginda.

"Ia secara langsung membolehkan beta melunaskan amanah selaku Ketua Negara dengan sebaik-baiknya demi negara kita yang tercinta ini,” titah baginda. – Bernama

0 maut, bas dan trak bertembung di Afrika Selatan

15 Muharram 1433H. [MOD] -

DURBAN (Afrika Selatan): Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh apabila bas mini yang sarat dengan penumpang bertembung dengan sebuah trak di wilayah Free State, Afrika Selatan, semalam.

Pihak berkuasa tempatan berkata, kemalangan tersebut turut mengorbankan 10 kanak-kanak manakala tujuh lagi dilaporkan cedera parah.

Bas mini di Afrika Selatan secara rasminya mempunyai ruang untuk 16 penumpang saja, tetapi pemandu membawa sehingga 35 orang.

Polis berkata, pemandu bas itu disyaki hilang kawalan mengendalikan bas mini berkenaan ketika melalui selekoh. - AFP

Pahang kembali dilanda banjir

15 Muharram 1433H-

Pahang kembali dilanda banjir apabila seramai 10 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah Kuantan sejak malam tadi.

Mereka yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Isap Damai, ungai Isap Perdana, Kampung Tiram, Kampung Segantang Lada, Kampung Razali, anah Putih serta Cenderawasih.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, semua angsa dipindahkan sejak tengah malam tadi berikutan hujan lebat sejak semalam ang menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter.

"Daripada jumlah itu, seramai 42 orang dipindahkan ke Sekolah Menengah ebangsaan Bukit Rangin; dewan orang ramai Kampung Tiram (19), Sekolah ebangsaan Galing (4) dan Tadika Perpaduan Cenderawasih (45)," katanya di Kuantan, hari ini.

Tiada kejadian banjir dilaporkan di daerah lain setakat ini, katanya.

Namun katanya, orang ramai terutama yang berada di kawasan berisiko banjir iminta berhati-hati berikutan hujan lebat masih berterusan pada hari ini.

"Orang ramai perlulah  segera berpindah jika diminta berbuat demikian oleh pihak keselamatan," katanya.- Bernama