19 Disember 2011

Curi kasut, jual pada pemilik asal

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Helah seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menjual kasut yang dicurinya tidak berjaya apabila tindakan jahatnya itu terbongkar apabila secara tidak sengaja menawarkan kepada pemilik asal kasut terbabit.


Tertuduh, Samsu @ Shamsudin Musa, 41, berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Pengakuan itu dilakukan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Disember lalu di Stesen Bas Kuala Dungun, seorang pemandu bas pelancong meninggalkan kasut jenama Rorine berwarna coklat miliknya di dalam bas dan memakai selipar untuk ke tandas.

Ketika dalam perjalanan kembali ke bas, pengadu terserempak dengan suspek yang kemudian menawarkan untuk menjual kasut kepadanya.

Bagaimanapun, mangsa dapat mengecam kasut itu adalah miliknya yang ditinggalkan di dalam bas berkenaan.

Pengadu kemudian membawa suspek menaiki bas dan mendapati kasutnya lesap.

Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut mangsa dan dia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Abdul Hayyi menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun.

Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sinar Harian

Remaja panik diacu pisau

23 Muharram 1433H. [MOD] -

LEDANG – Seorang remaja terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila diacu pisau oleh penjenayah dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah rumah di Taman Sentosa, Tangkak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Lee Siau Yan, 19, dikatakan baru sahaja pulang menghantar ibunya ke Hospital Tangkak.

Namun, sebaik sahaja tiba di rumah, mangsa terkejut apabila mendapati pintu pagar terbuka dan terdapat kereta yang dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumahnya.

Sebaik sahaja Siau Yan membuka pintu, salah seorang suspek meluru ke arahnya sambil mengacu sebilah pisau di perut dan kepala.

Setelah berjaya memasuki rumah, suspek segera menggeledah dan membawa lari barangan seperti komputer riba, dua telefon bimbit, wang tunai RM40, barangan kemas, CPU komputer dan sebuah Mercedes lama.

Sebelum melarikan diri, suspek yang dipercayai warganegara tempatan sempat merosakkan salah satu kamera litar tertutup (CCTV) di rumah semi banglo berkenaan.

Siau Yan yang merupakan penuntut salah sebuah kolej di Kajang pulang bercuti di kampung dan ketika kejadian dia bersendirian di rumah.

Mangsa yang juga masih trauma dengan kejadian itu, segera menghubungi ibunya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebaik kejadian tersebut berlaku.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222.

“Nilai kerugian dianggarkan RM40,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.

Sinar Harian

Israel buka tender bina 1,000 unit rumah di Baitulmaqdis

23 Muharram 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS 19 Dis. - Kementerian Perumahan Israel semalam membuka tender untuk pembinaan lebih 1,000 unit rumah di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Jurucakap kementerian itu berkata, lebih 500 rumah baru dibina di timur bandar Har Homa manakala 528 lagi dibina di dua kawasan Tebing Barat, iaitu 348 di Bietar dan 180 lagi di Givat Ze’ev.

Katanya, pembinaan unit baru itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Palestin memohon keanggotaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada September lalu. - AFP

Isu masjid: Dah berak merata, jangan tuduh orang lain

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Siapa yang buat teks Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ketika perasmian Masjid Sultan Ismail di Cendering. Apakah maklumat yang sebenar dilapurkan kepada Tuanku berkenaan solat Jumaat di dua masjid dalam satu qariah. Mutakhir ini kerja ni sebenarnya angkara siapa? Kita tidak mahu apabila dekat pilihanraya, pihak kerajaan pimpinan Umno Terengganu dok mainkan kaset lama untuk menjadi bahan kempen Umno-BN. Macam dah tak de isu lain ke nak tutup penyelewengan pimpinan Umno-BN.

Kenyataan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh berkata terdapat 11 masjid di Marang, Setiu dan Besut dikesan masih melakukan dua solat Jumaat dalam satu kariah berbanding 23 buah sebelum ini.

Menurutnya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, masalah itu masih tidak dapat diselesaikan.

"JHEAT pernah dihalang dengan jentera, malah ada orang baring bawah jengkaut apabila kita datang ke tempat mereka untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Rozali berkata JHEAT memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja menimbulkan perpecahan dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga meninggalkan imej negatif terhadap Islam.

Kita juga tidak mahu pihak JHEAT menjadi ‘ggabus’ Umno-BN. Sebab mereka menyedari duduk sebenar perkara ini. Sebenarnya setelah Umno kembali berkuasa, pemimpin mereka kembali rakus untuk memecah-belahkan rakyat di qariah yang khususnya ramai yang menyokong pembangkang.

Ketika PAS memerintah pun, Tok-tok Imam dan pemimpin Umno sendiri memulau masjid-masjid semasa pemerintahan PAS seperti wujudnya masjid baru Gong Pak Jin di Dun Tepuh. Apatah lagi selepas Umno kembali berkuasa, mereka menggunakan kuasa kerah keng mereka. Mereka lebih suka menggunakan bahasa jentolak & jengkaut. Itulah yang disebut oleh Pesuruhjaya JHEAT sepertimana ucapan di atas.

Kita masih ingat kerakusan Umno-BN merobohkan Masjid Bujal yang dibangunkan oleh masyarakat setempat dengan pelbagai alasan meskipun kita semua tahu Rasulullah s.a.w. mengajar mengutamakan pembinaan masjid sebelum pembinaan rumah sendiri. Rumah Allah didahulukan sebagaimana ketika Hijrahnya Rasulullah s.a.w. maka pembinaan Masjid Quba terus dibina dan apabila Rasulullah s.a.w. masuk ke tengah Madinah maka terus dibina Masjid Nabawi.

Kita lihatlah bagaimana Masjid Sura Lama dalam Dun Paka. Masjid yang dibina dan dikuasai oleh orang-orang Pas itu menimbulkan rasa tidak puas hati pimpinan Umno-BN bahkan Hj Ahmad (calon PAS 1959) selaku pengasasnya dibuang daerah ke Melaka. Bukan itu sahaja mereka berusaha supaya masjid itu ditutup dan dibina Masjid Sura Baru hanya beberapa ratus meter daripada Masjid Sura Lama yang binaannya jauh lebih kecil apatah lagi nak memuatkan masyarakat setempat. Hasrat sebenarnya ialah orang Umno tidak bersedia bersembahayang di masjid yang dibina oleh orang PAS sedangkan Hj Ahmad itu adalah pengasas dan pembuka Kampung Sura itu sendiri.

Begitu juga apabila orang Umno gagal menguasai Masjid Kg. Pinang Merah, Masjid Kg. Nyior dan Masjid Tebing Tembah yang menyebabkan orang Umno mendesak agar dibuat masjid sendiri dan akhirnya mereka membina sebuah masjid baru di Tebing Tembah dengan projek bernilai lebih daripada RM3 juta dan cuba menurunkan taraf Masjid Tebing Tembah yang sedia ada meskipun bangunannya besar dan selesa serta masih amat kukuh dan telah dibaikpulih dan diperbaharui.

Semua penyokong Umno terpaksa dikumpulkan 3 kampung berdekatan untuk mencukupkan solat Jumaat. Biar apa pun berlaku janji nafsu orang Umno terpuas meskipun berlaku perpecahan di kalangan masyarakat bahkan mereka diugut jika tidak pergi bersembahyang di masjid mereka.

Begitu juga masjid di Felda Kerteh 2 dan Kerteh 3. Ia tetap dibina walaupun kedudukan masjid tu sejengkal kera sahaja tetapi ia tidak menjadi isu kerana kawasan ramai penyokong Umno dan ianya satu projek untuk Umno.

Ini baru satu Dun… bolehlah ditinjau di seluruh Terengganu nescaya kita akan mengetahui bahawa semua ini sebenarnya angkara Umno-BN. Apatah lagi Imam yang dilantik yang dipilih berdasarkan penyokong Umnonya. Kekadang ahli Umno tegar, meskipun lemah ilmu agamanya. Inilah kekadang timbulnya percakapan imam yang terlebih Umno daripada pemimpin mereka. Hatta menghina Islam, menghina hukum Islam. Bagaimanalah ingin dibuat Tok Imam. Itu belum diambil kira kes-kes akhlak.

Jika Imam itu dikatakan penyokong PAS nescaya disekat elaun mereka sehingga kini. Dah lebih 7 tahun sebahagian imam & bilal disekat elauan mereka meskipun mereka tetap bertugas sehingga kini. Apabila timbul isu nescaya pemimpin PAS dipersalahkan. Mereka ada media, mereka ada alat propaganda. Mereka yang lempar batu, mereka sembunyi tangan. Inilah sikap pimpinan Umno-BN. Dekat-dekat nak mengundi ni… tayang balik le cd-cd lama ni. Diharap pimpinan Umno jangan hipokrit. Dah berak merata… jangan tuduh pulak orang lain.

Harakah Daily

PKR gesa kerajaan tangguh SBPA, dengar suara Cuepacs

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi mengelakkan kekalutan dan rasa tidak puas hati yang berterusan di kalangan kakitangan awam.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Najwan Halimi berkata, pihaknya berharap agar pihak kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA dan berunding dengan Cuepacs serta menyelesaikan isu-isu yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam.

“Kajian semula terhadap skim ini adalah perlu sekiranya ia bersifat tidak adil dan menindas. AMK juga menuntut supaya pihak JPA tampil bersikap telus dalam hal ini demi kepentingan hampir 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AMK terkesan dengan perkembangan melibatkan sektor perkhidmatan awam negara sebagaimana yang dilaporkan oleh media semalam berkaitan bantahan oleh Cuepacs terhadap pelaksanaan skim SBPA.

Najwan berkata, menurut kenyataan Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail, pelaksanaan SBPA yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari ini dilihat mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman (gambar) mahu kerajaan menangguhkan SBPA dan mengadakan perundingan kajian semula skim tersebut.

“AMK berpandangan bahawa isu ketidakseimbangan pelarasan gaji sebagaimana yang didedahkan oleh Cuepacs sememangnya sesuatu yang memeranjatkan.

“Ini jelas bercanggah dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 yang menyatakan bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam adalah antara tujuh hingga 13 peratus namun apa yang berlaku adalah wujud dakwaan bahawa kenaikan gaji bagi kebanyakan penjawat awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus,” katanya lagi,

Justeru kata beliau, AMK juga mengesan wujudnya kekalutan dalam aspek tempoh pemberian opsyen kepada penjawat awam dalam memilih samada untuk menerima SBPA atau kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

“Mengapakah kerajaan perlu tergesa-gesa dalam menguatkuasakan pelaksanaan skim SBPA ini seolah-olah ada ‘gula-gula pilihan raya’ di sebaliknya?” katanya.

Dalam konteks ini, kata beliau, sektor perkhidmatan awam sebagai nadi utama pembangunan negara sewajarnya dilayan dengan adil tanpa mengira perbezaan pangkat dan kumpulan sama ada dari Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau dari Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

“Justeru, AMK berharap agar pihak kerajaan menerusi JPA menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA serta berunding dengan pihak Cuepacs dan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam,” katanya.

malaysian insider/-

18 Disember 2011

1 maut, 9 cedera kubah masjid roboh di Turki

22 Muharram 1433H. [MOD] -

ANKARA: Seorang pekerja binaan maut, manakala sembilan yang lain cedera apabila kubah masjid dalam pembinaan, roboh semalam.

Datuk Bandar Ankara, Hasan Unver, berkata ia berlaku di Acigol, kawasan perindustrian terletak di pusat bandar Turki.

Ketika kejadian, kubah masjid itu jatuh, mengakibatkan 10 pekerja terperangkap di bawah timbunan besi.

“Sembilan pekerja berjaya diselamatkan namun mereka cedera parah dan seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pihak berkuasa Turki masih menyiasat punca kejadian. – AP

2 terbunuh pelantar minyak Russia terbalik

22 Muharram 1433H. [MOD] -

VLADIVOSTOK (Russia): Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala 50 yang lain hilang apabila pelantar minyak di perairan Far Eastern Okhotsk, Russia terbalik, hari ini.

Platform pelantar minyak Kolskoye terletak 200 meter dari pesisir pantai ketika kemalangan berlaku pada jam 1.45 pagi (waktu tempatan).

Selain keadaan air laut yang sejuk, angin kuat memburukkan lagi keadaan dengan suhu kawasan sekitarnya dicatatkan pada -17 darjah celsius.

Ketika kejadian, 67 pekerja pelantar berada di atas platform terbabit, yang mana ia terpaksa dikeluarkan oleh bot tunda dan bot pemecah ais dari semenjung Kamchatka menuju ke arah pulau Sakhalin.

"Ketika ini, petugas penyelamat sudah menemui dua mayat dan mereka sedang cuba menariknya keluar dari air," kata jurucakap Kementerian Kecemasan Russia di sini, hari ini. - AFP

PKR dedah pautan bantuan Bank Dunia pada Dr M

22 Muharram 1433H. [MOD] -

PKR hari ini terus mempertahankan pendiriannya bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah terlibat dengan bantuan Bank Dunia semasa era pemerintahannya.

Dalam kenyataan hari ini, parti itu malah mendedahkan pautan ke laman Bank Dunia yang dikatakan "jelas menunjukkan komitmen Bank Dunia kepada Malaysia".

Kedua-dua pautan ituboleh dilayari di alamat http://go.worldbank.org/U29R77EBX0 dan http://www.worldbank.org/projects/searchlang=en&searchTerm=&countryshortname_exact=Malaysia&src=.

"Rujukan pada pautan di bawah adalah bukti jelas betapa Tun Dr Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan beliau yang terdahulu," demikian menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir semalam mencabar Anwar bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikannya pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang didakwa.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian sebaliknya menolak permintaan daripada Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.

Sehubungan itu, PKR dalam jawapan balasnya itu turut membangkitkan isu lain membabitkan kepentingan dalam syarikat arak.

"Sewajarnya sebelum mantan perdana menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al Quran, eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel," katanya.

Malaysiakini/-

Hudud: MCA hina, DAP sekadar beza pandangan

22 Muharram 1433H. [MOD] -

MACHANG, 18 Dis: Kefahaman mengenai hudud di antara pemimpin MCA dan DAP jauh berbeza, di mana MCA sampai ke peringkat menghina, sebaliknya DAP hanya mempertikai aspek perlembagaan sahaja.

Buktinya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini mendakwa pelabur akan meninggalkan Malaysia dan negara bakal berhadapan dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan.

Sebaliknya pemimpin DAP terutamanya pengerusinya Karpal Singh sebelum ini hanya sekadar menganggap hudud bercanggah dengan perlembagaan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar kepada kenyataan presidennya pemimpin MCA secara jelas menghina hudud.

“Soi Lek mendakwa pelabur akan lari dan negara bakal musnah apabila perundangan hudud dilaksanakan di negara ini.

“Sebaliknya kalau kita lihat kenyataan pemimpin DAP tidak ada yang menentang sebegitu keras, sebaliknya sekadar menyebut ada percanggahan di sisi perlembagaan sahaja,” katanya pada satu program di Labok semalam.

Menurutnya juga wakil kerajaan Kelantan telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh membincangkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Katanya, Kelantan diwakili beliau sendiri, anggota-anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Muhamed Fadzli Hassan, anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof.

Menurutnya pada pertemuan tersebut wakil kerajaan negeri menjelaskan panjang lebar mengenai perundangan hudud, biar pun ketika itu DAP ada pendiriannya tersendiri.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi mengkaji kaedah pelaksanaan perundangan tersebut.

Katanya, jawatankuasa seramai 20 orang itu turut menyenaraikan Ketua Polis Kelantan, Pengarah Jabatan Penjara, ulama dan pakar perundangan Islam.

Kata beliau penglibatan sama pihak polis dan penjara penting kerana mereka akan menguatkuasa peraturan di bawah perundangan hudud apabila seseorang itu didapati bersalah.

Malah Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad sebelum ini menjelaskan pihak-pihak terbabit perlu memberi kerjasama bagi menguatkuasa perundangan hudud.

Harakahdaily/-

Hakim kes Husam saman Kickdefella tarik diri

22 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 18 Dis: Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella).

Keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira beliau mengenali kakak Syed Azidi dan juga kenal Husam ketika menuntut di Universiti Malaya.

Keputusan itu dibuat katanya bagi mengelakkan tanggapan yang tidak sesuai kepada mahkamah, dan lebih baik baginya menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Sehubungan itu kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (1), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.

Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).

Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Bagaimanapun pada 9 Oktober lalu Syed Azidi memohon Mahkamah Tinggi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam afidavitnya itu beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Disebut juga beliau kini berada di bawah jagaan pihak polis.

Pada korum hari ini sepatutnya mahkamah mendengar hujahan di atas permohonan Syed Azidi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun disebabkan Hakim Azman menarik diri hujahan peguam defendan ditangguhkan ke 29 Januari hadapan.

Husam diwakili peguam Hisham Fauzi dan Zainal Abidin Mustapha, manakala Syed Azidi diwakili Dato' Firoz Hussein dan Natasya Amelia Yean daripada firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Harakahdaily/-

Kapal pendatang tanpa izin karam di kepulauan Indonesia

22 Muharram 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Sebuah kapal kayu yang dipercayai membawa lebih 200 pendatang tanpa izin karam di pulau Jawa, semalam, demikian menurut laporan media Indonesia.

Difahamkan sebahagian besar pendatang tanpa izin itu berasal dari Asia Barat.
Sehingga kini, hanya 33 mangsa berjaya diselamatkan.

Mengulas punca kemalangan, pihak polis berkata, ia berpunca lebihan muatan, di mana ketika kejadian bot berkenaan membawa muatan dua kali ganda daripada jumlah yang dihadkan. - AP

Ribut Washi: 440 terbunuh, 200 hilang di Filipina

22 Muharram 1433H. [MOD] -

ILIGAN (Filipina): Lebih 600 mangsa dikhuatiri terbunuh apabila ribut tropikal Washi memusnahkan selatan Filipina, semalam dan turut mengakibatkan banjir besar di kebanyakan tempat.

Petugas bantuan berkata, 440 mangsa terbunuh manakala hampir 200 yang lain masih hilang selepas ribut Washi memusnahkan kediaman.

Sementara itu, kira-kira 20,000 tentera dikerahkan untuk operasi menyelamat dan bantuan di sepanjang pesisir utara kepulauan Mindanao; di mana pelabuhan utama Filipina, Cagayan de Oro dan Iligan adalah paling teruk dilanda ribut.

Setiausaha Agung Palang Merah Kebangsaan Filipina, Gwen Pang, berkata di bandar Cagayan de Oro, 215 dilaporkan terbunuh, manakala bandar Iligan mencatatkan angka kematian 144. - AFP

131 peminat bola sepak La Liga diharamkan ke stadium 2 tahun

22 Muharram 1433H. [MOD] -

MADRID: Lebih seratus peminat bola sepak bagi pasukan Atletico Madrid dan Rayo Vallecano diharamkan daripada menonton perlawanan di stadium selama dua tahun susulan kejadian rusuhan 4 Disember lalu.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, berkata susulan insiden baru-baru ini menyaksikan Atletico Madrid sebagai pasukan tuan rumah.

Susulan keputusan itu, katanya, 131 peminat bola sepak kedua-dua pasukan dikenakan perintah pengharaman menontot perlawanan di stadium untuk tempoh dua tahun. - AFP

22 Muharram 1433H. [MOD] -PENYERANG Real Madrid Cristiano Ronaldo (kiri) berjaya menyumbat ke dalam gawang Sevilla yang gagal diselamatkan penjaga golnya Javi Varas dalam Liga Sepanyol sebentar tadi. Ronaldo menjaringkan hatrik dengan keputusan Real Madrid menang besar 6-2. - Foto AFP

Misi latihan 7 tahun NATO di Iraq tamat

22 Muharram 1433H. [MOD] -

BAGHDAD: NATO secara rasminya menamatkan misi latihan tujuh tahun di Iraq dengan upacara penutup dilakukan di Zon Hijau Baghdad, semalam.

Isnin lalu, NATO mengumumkan akan menutup misi latihan dan seterusnya menghantar pulang tentera mereka menjelang 31 Disember ini.

Keputusan penarikan keluar tentera NATO berpunca daripada kegagalan mencapai persetujuan dengan pemimpin Iraq bagi melanjutkan operasi di negara itu.

Antara yang gagal dipersetujui kedua-dua pihak termasuk permintaan NATO memberikan immuniti sah kepada pelatih dari luar negara.

Bagi misi di Iraq, NATO menghantar 130 penasihat dari 13 negara anggota dan Ukraine. - AP