19 Disember 2011

PKR gesa kerajaan tangguh SBPA, dengar suara Cuepacs

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi mengelakkan kekalutan dan rasa tidak puas hati yang berterusan di kalangan kakitangan awam.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Najwan Halimi berkata, pihaknya berharap agar pihak kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA dan berunding dengan Cuepacs serta menyelesaikan isu-isu yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam.

“Kajian semula terhadap skim ini adalah perlu sekiranya ia bersifat tidak adil dan menindas. AMK juga menuntut supaya pihak JPA tampil bersikap telus dalam hal ini demi kepentingan hampir 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AMK terkesan dengan perkembangan melibatkan sektor perkhidmatan awam negara sebagaimana yang dilaporkan oleh media semalam berkaitan bantahan oleh Cuepacs terhadap pelaksanaan skim SBPA.

Najwan berkata, menurut kenyataan Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail, pelaksanaan SBPA yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari ini dilihat mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman (gambar) mahu kerajaan menangguhkan SBPA dan mengadakan perundingan kajian semula skim tersebut.

“AMK berpandangan bahawa isu ketidakseimbangan pelarasan gaji sebagaimana yang didedahkan oleh Cuepacs sememangnya sesuatu yang memeranjatkan.

“Ini jelas bercanggah dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 yang menyatakan bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam adalah antara tujuh hingga 13 peratus namun apa yang berlaku adalah wujud dakwaan bahawa kenaikan gaji bagi kebanyakan penjawat awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus,” katanya lagi,

Justeru kata beliau, AMK juga mengesan wujudnya kekalutan dalam aspek tempoh pemberian opsyen kepada penjawat awam dalam memilih samada untuk menerima SBPA atau kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

“Mengapakah kerajaan perlu tergesa-gesa dalam menguatkuasakan pelaksanaan skim SBPA ini seolah-olah ada ‘gula-gula pilihan raya’ di sebaliknya?” katanya.

Dalam konteks ini, kata beliau, sektor perkhidmatan awam sebagai nadi utama pembangunan negara sewajarnya dilayan dengan adil tanpa mengira perbezaan pangkat dan kumpulan sama ada dari Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau dari Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

“Justeru, AMK berharap agar pihak kerajaan menerusi JPA menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA serta berunding dengan pihak Cuepacs dan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam,” katanya.

malaysian insider/-

1 ulasan:

1Crony berkata...

Terima sahaja dahulu skim tersebut untuk mendapatkan kenaikkan gaji dalam masa terdekat. Selepas PRU13 (UBN kalah), kaji dan rombak semula semua dasar SBPA yang menekan dan merugikan jutaan penjawat awam tu..... Dengan syarat, pihak kerajaan yang baru nanti, jangan pula main tarik tali macam parti jaha*** yang memegang tampuk pemerintahan negara sekarang.