19 Disember 2011

Berdepan penjara 7 hari

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Akibat mengikut emosi, seorang remaja yang gagal mengawal sikap baran berdepan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Hanafi Abdul Wahab, 18, didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 Disember lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Zaki Ab Jalil, 25, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Disember lalu kira-kira jam 11.30 malam semasa pengadu berada di rumahnya di Kampung Banggol Lalang, Serada, di sini, tertuduh telah datang berjumpa dengan abang pengadu.

Tertuduh tidak berpuas hati dengan abang pengadu, mengenai pembinaan kotak pembentung di hadapan rumah pengadu milik abang pengadu, Che Mohd Zainun.

Semasa pertengkaran, ibu pengadu datang untuk meleraikan dan selepas itu pengadu datang untuk selesaikan masalah itu dengan cara baik, tetapi tertuduh telah naik angin dan terus menumbuk muka pengadu menyebabkan hidungnya berdarah, manakala pipi dan mulutnya luka.

Pada 14 Disember kira-kira jam 12.05 tengah hari, pihak polis telah berjaya menangkap suspek di hadapan Pejabat Jenayah IPD Kuala Terengganu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim yang memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun boleh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda yang telah ditetapkan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: