19 Disember 2011

Zoo Malam tarikan baru

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Zoo Malam di Mini Zoo Teruntum akan menjadi tarikan baru di bandar ini, selain memberi pilihan kepada pengunjung terutama pelancong luar.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob berkata, mini zoo itu merupakan lokasi ketiga yang melalui penjenamaan semula selepas Terminal Makmur dan Arked Sentral.

Menurutnya, bermula tahun depan, pihaknya akan menaik taraf mini zoo itu dengan beberapa kemudahan baru seperti gelanggang ‘go kart’, ‘flying fox’ dan persembahan binatang iaitu ular serta buaya dilakukan sendiri kakitangan MPK terlatih.

“Semua perubahan itu bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini. Selain pengisian aktiviti, aspek keceriaan turut diberi tumpuan.

“Malah, usaha ini adalah sebahagian daripada persediaan Kuantan menjadi tuan rumah untuk Sukma tahun depan,” katanya pada Majlis Perasmian Zoo Malam di Mini Zoo Teruntum, di sini.

Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail itu turut dihadiri seramai 1,000 pengunjung yang teruja melihat keunikan Zoo Malam berkenaan.

Pada majlis itu, persembahan ular dilakukan kakitangan MPK berjaya membuatkan pengunjung terpegun.

Pengunjung, Nor Hasila Ismail, 28, berkata, dia bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menikmati suasana Zoo Malam.

Katanya, aktiviti menarik yang disediakan di mini zoo itu mampu memberi pengalaman baru kepada pengunjung kerana mereka berpeluang melihat pelbagai haiwan terutama persembahan ular.

Sinar Harian

Tiada ulasan: