19 Disember 2011

Nelayan usah ke laut

23 Muharram 1433H. [MOD] -

RHU SEPULUH – Nelayan diingatkan untuk tidak turun ke laut dalam keadaan laut bergelora dan angin kencang kerana boleh mengancam keselamatan diri sehingga cuaca kembali pulih.


Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu, Tengku Anwar Tengku Mat berkata, sepanjang tempoh ini nelayan digalakkan untuk membuat kerja-kerja membaiki pukat yang rosak atau melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

“Saya mendapat maklumat nelayan bot kecil sudah tidak dapat turun ke laut sejak dua minggu lalu kerana keadaan angin kencang dan dijangkakan berterusan sehingga penghujung Disember,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai stok ikan sepanjang musim tengkujuh ini, Tengku Anwar berkata setakat ini bekalan ikan masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.

“Ini sebab, kita telah membuat persediaan awal dengan mengimport ikan dari Pantai Barat dan Utara Semenanjung kerana sudah menjangkakan permintaan ikan akan meningkat pada waktu ini.

“Antara stok ikan yang dibawa masuk sejak awal adalah selayang dan selar kerana kedua-dua jenis ikan itu mendapat permintaan tinggi terutama kepada pembuat keropok dan pengguna,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: