19 Disember 2011

Perkelahan pertama jadi terakhir

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI - Seorang ayah terpaksa menjadi saksi dua anak lelakinya yang lemas ditelan ombak ketika mandi di pantai awam Desaru, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian berkenaan, Mohd Fauzi Alauddin, 49, pada mulanya, cuba untuk menggadai nyawa bagi menyelamatkan kedua-dua anaknya.

Salah seorang daripadanya, Mohd Fazli, 22, berjaya diselamatkan, namun meninggal dunia, manakala adiknya, Zulhairi, 16, masih gagal dijumpai.

Ibu mangsa, Zuraini Adnan, 47, berkata, kehadiran ke Desaru untuk berkelah merupakan aktiviti perkelahan kali pertama mereka sekeluarga.

“Ketika kejadian ombak sangat kuat. Saya yang ketika itu sedang menikmati juadah bersama seorang lagi anak terkejut apabila melihat suami berlari mendapatkan anak yang sedang mandi di laut.

“Mulanya suami sempat mencapai tangan Fazli, akan tetapi Zulhairi pula ketika itu telah ditelan ombak. Oleh kerana pukulan ombak yang kuat, Zulhairi akhirnya terpisah dengan suami.

“Suami saya bernasib baik kerana orang awam berjaya menyelamatkannya daripada turut ditelan ombak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, di sini, semalam.

Menurutnya, Zulhairi sempat bersembang bersama kakaknya tentang petanda-pertanda ajal pada malam sebelum kejadian berkenaan berlaku.

“Macam mana bila orang meninggal dunia? Itu antara soalan yang ditanyakan Zulhairi kepada kakaknya.

“Kami tidak menyangka itu adalah petanda bahawa dia akan terlibat dengan bencana ini. Malah pada malam sama, abangnya turut bersikap pelik apabila tiba-tiba enggan menikmati juadah hidangan makan malam.

“Walaupun berat untuk menerima ujian ini, namun kami tetap redha dan sentiasa berdoa agar Zulhairi ditemui,” katanya.

Sementara itu, rakan kepada Mohd Fazli, Mohd Ferdaus Nasir, 21, berkata, sehari sebelum kejadian berkenaan, mereka sempat meluangkan masa seharian secara bersama-sama pergi temuduga di sebuah kilang.

“Saya begitu terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan yang menyatakan Fazli lemas. Padahal kami baru sahaja meluangkan masa bersama-sama semalam.

“Arwah merupakan seorang yang baik dan aktif bersukan. Dua minggu lalu, kami begitu gembira dan sempat meraikan kejayaan merangkul kedudukan naib johan ketika menyertai satu pertandingan futsal di bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu telah menyebabkan seorang mangsa Mohd Fazli Mohd Fauzi, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.

“Manakala usaha mengesan seorang lagi mangsa, Zulhairi Mohd Fauzi telah dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Bandar Penawar, Rela, Pasukan gerakan Marin, serta polis,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: