19 Disember 2011

Dua pusat pemindahan banjir dibuka di Johor

23 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHARU 19 Dis. — Dua buah pusat pemindahan banjir dibuka di Kluang malam semalam apabila 144 penduduk dipindahkan berikutan banjir di daerah tersebut.

Pusat tersebut ialah SK Kampung Mengkibol yang menempatkan 101 mangsa dan SJKC Ping Ming yang menempatkan 43 mangsa banjir.

"Seramai 350 penduduk di lima buah kampung Orang Asli di Kahang juga telah terputus hubungan apabila jalan ke kampung tersebut tidak dapat dilalui,” kata petugas di bilik gerakan banjir Kluang, Ishak Atan ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau bilik gerakan banjir daerah tersebut belum dibuka secara rasmi namun pihak berwajib sudah mulai menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu mangsa yang terlibat.

Mangsa banjir mulai berpindah semalam apabila paras air Sungai Mengkibol naik ke tahap 25.99 meter berbanding tahap bahaya 25.46 meter berikutan hujan berterusan. — Bernama

Tiada ulasan: