19 Disember 2011

Isu gugur hudud tidak berbangkit

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Isu Pas menggugurkan hudud dalam perjuangan seperti dakwaan Umno tidak pernah berbangkit kerana hukum itu sebahagian daripada undang-undang Islam dan melaksanakannya tetap menjadi dasar parti itu.


Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, negara berkebajikan yang ditawarkan Pas kepada rakyat adalah program kebajikan dan tidak kesemua dasar-dasar dimasukkan ke dalamnya.

“Negara berkebajikan Pas akan menjadi dasar apabila kami memerintah negara kelak. Nama pun kebajikan. Oleh itu tidak semua dasar-dasar masuk di dalam sebab ia konsep kebajikan.

“Kenapa meletakkan tanggungjawab melaksanakan hukum hudud kepada Pas sahaja. Sepatutnya Umno sebagai Kerajaan Pusat yang melaksanakan dulu undang-undang Islam itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya menjadi ‘mainan’ Umno menjelang Pilihan Raya Umum sebagai modal untuk mengenakan Pas kerana rakyat sedia maklum dengan dasar-dasar yang diperjuangkan parti selama ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan buku Negara Berkebajikan: Tawaran Pas setebal 59 muka surat yang menggariskan konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan parti itu bersama-sama pakatannya sekira diberi peluang mentadbir negara.

Dalam buku itu, Pas memperincikan 10 agenda iaitu mewujudkan kerajaan beramanah, masyarakat penyayang, ekonomi mampan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan cekap, kebajikan langsung, keluarga harmoni, pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti dan pemeliharaan alam sekitar. Buku itu penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi bertajuk Konsep Asas Negara Berkebajikan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: