23 Disember 2011

Adam Adli, anda tidak keseorangan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: “Insya Allah, DPPM tidak teragak-agak akan bangkit bertindak tegas andai terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada Adam Adli,” tegas Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Beliau menegaskan demikian sebagai respons terhadap tindak balas ke atas Adam Adli yang sangat keterlaluan.

Bagi Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) itu, ludah, pukul dan terkini ugutan bunuh ke atas Adam telah melepasi batas kewarasan manusia bertamaddun.

Katanya, sekalipun mereka menganggap tindakan berani Adam menurunkan bendera Datuk Seri Najib sebagai satu kesalahan, tetapi tindak balas sedemikian adalah suatu tindakan yang sangat keterlaluan.

“Telah saya tegaskan sebelum ini bahawa tindakan anak muda itu menurunkan bendera Datuk Seri Najib perlu ditangani secara diplomasi,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, selaku mahasiswa dan intelek muda tentunya mempunyai asas kukuh kenapa Adam bertindak sedemikian.

Jsuteru, beliau menggesa supaya diberi peluang kepada Adam membuat penjelasan kenapa melakukan sedemikian.

Ini, katanya kerana beliau percaya, jiwa anak muda yang terdidik dengan pelbagai disiplin ilmu di menara gading itu mempunyai asas yang munasabah untuk mewajarkan tindakkannya.

Sebagai contoh, kata Nasrudin beliau sendiri pernah dikritik hebat oleh sebahagian media ketika menurunkan bendera Sweden satu ketika dahulu.

“Tegas saya nyatakan bahawa tindakan saya menurunkan bendera tersebut sebagai satu isyarat jelas bahawa Sweden tidak lagi dihormati apabila rakyatnya sewenang-wenang menghina Nabi Besar Muhammad s.a.w,” jelasnya.

Katanya, perbuatan menurunkan bendera tidak lagi sepadan dengan tindakan mereka menghina Rasulullah saw.

“Begitulah saya melihat kes Adam Adli. Kalau tiada suatu yang membara dalam jiwa anak muda itu, masakan beliau saja-saja pergi menurunkan bendera Datuk Seri Najib. Masih banyak kerja lain yang boleh dilakukan oleh beliau,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan nekad itu adalah isyarat atau merupakan satu mesej yang ingin disampaikan oleh Adam kepada Datuk Seri Najib.

“Selaku kerajaan, dengarlah suara hati anak muda itu. Jangan perkecilkan beliau. Jangan sangka beliau keseorangan,” katanya.

Paling tidak, katanya mahasiswa, anak-anak muda yang terpinggir akan sepadu bersama Adam Adli.

“Saya selaku Ketua DPPM sekali lagi menyatakan rasa kesal dengan tindak balas di luar batas kewarasan tersebut.

“Saya harap Adam Adli bersabar. Kuatkan pergantungan kepada Allah SWT. Anda tidak keseorangan. Dewan Pemuda PAS turut bersama anda,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Hanya jalani rawatan biasa - Nik Aziz

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan fitnah berhubung keadaan kesihatan dirinya yang menjalani rawatan baru-baru ini.

Katanya, dakwaan bahawa beliau berada dalam kritikal sehingga menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini adalah tidak betul.

Menyangkal dakwaan itu Nik Aziz, 80, berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.

“Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Isnin lalu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS telah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan dibenarkan pulang pagi semalam.

Bagaiamanapun, maklumat yang tersebar luas di internet menyatakan beliau berada dalam keadaan kritikal.

Semalam juga beliau turut mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian berhubung isu dalaman parti membabitkan bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip.

Dalam responya beliau menasihatkan semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Beliau juga menyokong keputusan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat untuk memanggil ketiga-tiga individu tersebut memberikan penjelasan.

Harakah Daily

NFC: Pasukan Khas SPRM perlu panggil Muhyiddin

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis agar turut memanggil anggota kabinet yang ada kaitan dengan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, ianya termasuk memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri pertanian ketika projek itu diluluskan pada tahun 2008.

Selain Muhyiddin ujarnya, SPRM juga perlu memanggil Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang meluluskan projek tersebut di luar kabinet.

"SPRM dan polis perlu tunjuk ketelusan dan integriti mereka dengan memanggil anggota kabinet termasuk PM dan TPM.

"Kita tidak mahu ianya hanya sekadar menyiasat ke mana dana RM250 juta itu dibelanjakan oleh syarikat NFC," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam SPRM mengumumkan akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat aduan berhubung NFC.

Pasukan itu akan diketuai oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga mahu SPRM menyiasat laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa wang disalurkan sepenuhnya pada 2008 hingga 2009 namun perjanjian hanya dibuat penghujung 2010.

"Nampaknya setakat ini SPRM tidak bersedia meluaskan siasatan kepada anggota kabinet yang terlibat.

"Seperti ada yang cuba sempitkan siasatan hanya kepada NFC dan Shahrizat," katanya Mahfuz lagi.

Aduan ke SPRM itu dibuat beberapa pihak termasuk kelmarin oleh PKR yang membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Shah Alam.

Laporan tersebut menjurus kepada kerugian dialami syarikat NFC yang dimiliki suami Menteri Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan penyelewengan dana RM250 juta yang diberikan kerajaan.

Ianya termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar dan pembiayaan percutian keluarga Shahrizat ke luar negara.

Selain itu, NFC juga sebelum ini didedahkan membeli kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

Terbaru, keluarga Shahrizat turut didakwa membeli kondominium mewah berharga RM9.9 juta di Singapura, yang turut disyaki menggunakan wang NFC.

"Jika amalan ini (tidak menyiasat anggota kabinet terlibat) berterusan, ia adalah berbuatan curang," kata Mahfuz.

Harakah Daily

Muslimat Pas pastikan sokongan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat Pas Terengganu menggambarkan jentera sayap parti itu berada di peringkat pecutan bagi membantu kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketuanya, Safinah Jusoh berkata, persiapan mengadakan pilihan raya akan datang dilakukan dengan lebih proaktif ketika ini untuk memastikan golongan sasaran memberi sokongan padu kepada parti.

“Kita tidak berlumba tetapi peringkat ini adalah untuk memastikan kita sentiasa ke hadapan supaya segala persiapan lengkap sebelum pilihan raya untuk memilih pemimpin dalam lima tahun akan datang,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, pihaknya kerap turun padang dengan pergerakan dilakukan di setiap kawasan bagi memastikan pelaksanaan menyeluruh di akar umbi.

Menurutnya, aktiviti di peringkat negeri pula dikurangkan kerana melihat keutamaan tertentu bagi memastikan rakyat berasa mereka didekati oleh pemimpin Muslimat di kawasan masing-masing.

“Banyak manfaat kita peroleh dengan mendekati mereka terutama dapat memperkemaskan keyakinan terhadap Pas selain tarik pengundi baru,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung pe-ngundi wanita, beliau berkata, penjelasan terperinci perlu disampaikan supaya mereka mengetahui perkara sebenar berhubung politik semasa yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, walaupun golongan wanita tidak seperti pengundi lelaki, namun mereka yang faham dengan situasi sekarang akan membuat penilaian bagi membuat pilihan terbaik menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita tidak menolak ada golongan tidak faham kedudukan sebenar kerana hanya mendapat maklumat daripada media arus perdana tidak seperti pengundi muda mendapat maklumat lebih luas melalui internet,” katanya.

Sinar Harian

Pemuda maut jatuh lori

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SEMANTAN HULU – Seorang pemuda maut serta merta setelah terjatuh daripada lori yang dinaikinya sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 8 Jalan Cheroh – Gesing pada jam 3.30 petang, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, mangsa, Kam Kah Wai, 19, berasal daripada Kampung Sempalit.

Menurutnya, ketika ­kejadian mangsa berada ­dalam lori di bahagian belakang ­dalam perjalanan dari Semantan ke Raub.

“Setibanya di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa terjatuh daripada lori lalu terkena cermin hadapan dan besi pengadang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, ketika kejadian cuaca cerah dan jalan juga dalam keadaan baik.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Raub bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Sinar Harian

Trauma dicekik pesakit mental

27 Muharram 1433H. [MOD] -

ALOR BAKONG - Seorang warga emas trauma dan mengalami sakit di bahagian leher sejak dicekik seorang pemuda yang mengalami masalah mental pada Selasa lalu.

Anak mangsa, Harsani Basri, 47, berkata, ibunya, Hasipah Ngah Kassim, 81, ada mengadu sakit di bahagian leher dan hanya boleh makan bubur serta makanan lembut sahaja.

Menurutnya, ibunya masih terkejut dengan peristiwa itu bagaimanapun, dia sekeluarga berusaha membantu Hasipah dengan memberikan semangat untuk melupakannya.

“Kami juga tidak mahu tinggal ibu bersendirian di rumah, kerana dia masih dalam keadaan trauma dengan kejadian tempoh hari,” katanya ketika dikunjungi Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di rumah Hasipah, di Alor Bakong, di sini, semalam.

Dalam kejadian Selasa lalu, Hasipah berada seorang diri di rumahnya diserang pemuda sakit mental yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya kira-kira jam 4.30 petang.

Hasipah mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan kiri, dada dan leher akibat kejadian itu.

Lelaki berkenaan ditahan oleh polis untuk siasatan dan kini yang ditahan di wad Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Teluk lntan.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, kejadian yang berlaku ini merupakan salah satu kes yang serius kerana boleh berlaku bila-bila masa dan sesiapa sahaja.

Menurutnya, di kawasan Dun Sungai Manik terdapat kes pesakit mental yang dalam pemantauan Unit Psikiatri dan kesihatan mental Hospital Teluk lntan (UPKMTI).

“Saya menerima laporan itu setiap bulan mengenai kes pesakit mental dari UPKMTI tetapi tidak pula dinyatakan sama ada kes itu serius atau tidak.

“Malahan, saya tidak mahu berlaku lagi kes pembunuhan seperti yang berlaku di Taman Perumahan Mawar, Langkap pada Ogos tahun lalu,” katanya.

Justeru itu, Zainol Fadzi meminta UPKMTI bertindak lebih telus untuk menahan mana-mana kes pesakit mental yang didapati membahayakan keselamatan orang ramai untuk mengelakkan kejadian seperti berlaku.

Sinar Harian

Mat gian punca kebakaran

27 Muharram 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM – Mat gian atau penagih dadah yang sering menjadikan sebuah bangunan terbengkalai dekat Jalan Betek, di sini, sebagai port melepaskan gian dipercayai menjadi punca ia terbakar dalam satu kejadian, malam kelmarin.

Kejadian disedari orang awam yang dikatakan terlihat kelibat mat gian beredar dari kawasan tersebut sejurus selepas tingkat atas bangunan dua tingkat itu terbakar.

Api dipercayai bermula dari hujung bangunan yang menempatkan beberapa bekas lot kedai, sebelum merebak ke beberapa bahagian yang lain.

Bagaimanapun, tiada kecederaan mahu pun kemalangan jiwa dilaporkan berikutan ketika kejadian, bangunan itu kosong dan tidak berpenghuni.

Penguasa Bomba Zon Perai, Alias Musa ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, kebakaran hanya melibatkan sebahagian daripada bangunan yang juga bekas tapak pasa raya yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kepulan asap memenuhi ruang udara sekitar kawasan berkenaan, namun pihaknya berjaya mengawal api dari terus merebak dalam masa lima minit.

“Kita menerima panggilan orang awam pada jam 8.57 malam dan tiba lima minit kemudian.

“Sebanyak lima jentera dengan kekuatan 24 anggota dari Balai Perai dan Bukit Mertajam, dibantu bomba sukarela dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus kemudian dan berusaha memadam kebakaran dari terus merebak,” katanya.

Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sinar Harian

Penduduk dinasihat waspada

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMPUNG GENUANG INDIA - Penduduk sekitar Genuang India dinasihatkan supaya lebih berjaga-jaga dengan paras air yang semakin naik sepanjang hari untuk keselamatan bersama.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, sehingga jam 3 petang semalam belum ada penduduk kampung ini berpindah ke pusat pemindahan memandangkan rumah mereka masih lagi selamat didiami sehingga kini.

Walau bagaimanapun ka­tanya, sebuah keluarga di Kampung Melayu Raya sudah mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pagi semalam apabila rumah mereka dinaiki air. Manakala beberapa perumahan di kawasan sama berada dalam keadaan berjaga jaga.

“Skuad Banjir di bawah Dun Kemelah buat pemantauan 24 jam bagi persekitaran yang mudah dinaiki air untuk memberi isyarat awal kepada penduduk supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum rumah mereka ditenggelami air.

“Sehingga kini mangsa banjir Dun Kemelah membabitkan lapan keluarga dengan tiga pusat pemindahan dibuka sehingga jam 4 petang semalam dengan jumlah tertinggi mangsa di pusat pemindahan Pogoh seramai 35 orang,” katanya.

Menurutnya, dari segi keperluan makanan tidak timbul masalah kepada mangsa banjir yang telah ditempatkan di pusat pemindahan dan semuanya cukup selain barang keperluan harian yang mereka bawa sendiri seperti bantal, selimut dan sebagainya.

Ayub menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan air yang mungkin akan naik tanpa disedari contohnya ketika tidur dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Pengalaman banjir awal tahun lalu kita lihat masih terdapat segelintir mangsa yang berdegil untuk keluar dan terus tinggal di rumah mereka meskipun air telah naik.

“Dengan adanya Skuad Bencana ini kita harap hasil pemantauan yang kerap dilakukan mampu membantu penduduk di bawah Dun Kemelah menerima input terkini tentang paras air sebelum berpindah ke pusat pemindahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika meninjau keadaan paras air di kampung berkenaan semalam.

Sinar Harian

Lantai licin undang kebimbangan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

MERSING - Segelintir pengguna dan peniaga meminta pihak berwajib mengambil tindakan segera terhadap struktur binaan lantai yang tidak sempurna di Jalan Ismail berhampiran Pasar Mini Mersing, di sini.

Mereka mendakwa lantai yang dibina itu tidak sekata menyebabkan air bertakung ketika hujan.

Malah terdapat juga berlakunya beberapa insiden pengunjung tergelincir selepas melalui laluan berkenan dan terpijak di lantai yang licin.

Pengadu, Faridah Ibrahim ,43, berkata, lantai berkenaan perlu diperbaiki dengan segera kerana dikhuatiri menyebabkan kemalangan sehingga mencederakan.

“Lebih menyukarkan peniaga apabila berlakunya hujan, air akan naik sehingga ke pintu kedai,” katanya.

“Saya merayu kepada pihak yang berkenaan supaya memperbetulkan lantai tersebut bagi kemudahan semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala, Chin Siew, 63, berkata, keselamatan pengguna perlu diutamakan sebelum berlakunya kemalangan.

Menurutnya, walaupun lantai berkenaan pada dasarnya nampak tidak bermasalah, namun setiap kali hujan mesti ada mangsa yang tergelincir.

Chin Siew berkata, dia berharap pihak yang dipertanggungjawab bagi pembinaan projek itu mengambil perhatian serius dan tampil memberi penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan.

“Kita tidak mahu apabila kejadian tidak diingini berlaku, pelbagai pihak mula menuding jari menyalahkan antara satu sama lain dan tidak mahu bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Zainal Eran berkata, pihaknya akan memantau dan mengatasi masalah itu.

“Kita akan menilai perkara yang dibangkitkan ini dan akan mengambil tindakan sepatutnya dalam usaha memberi keselesaan untuk semua pihak,” katanya.

Sinar Harian

Dua penyamun tewas

27 Muharram 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Taktik dua lelaki menggunakan topi polis sebagai pelindung kegiatan samun selama ini menemui noktah apabila aktiviti mereka dilihat awam dan dikesan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Suspek dipercayai aktif menyamun di sekitar Muar, Melaka dan sebahagian Negeri Sembilan ini sengaja meletakkan topi polis di bahagian belakang kereta yang digunakan bagi mengaburi pandangan polis apabila sekatan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan setelah menyamun seorang wanita di tempat letak kereta di daerah ini dan dilihat orang awam pada 17 Disember lalu.

Menurutnya, orang awam yang melihat kegiatan itu terus menghubungi bilik gerakan IPD Batu Pahat dan tindakan segera mengesan kenderaan berkenaan dilakukan Unit MPV.

“Setelah berjaya mengesan kenderaan suspek iaitu Proton Perdana bernombor pendaftaran Melaka di sekitar Jalan Tanjung Laboh, Unit MPV terus mengejar kereta berkenaan.

“Walau bagaimanapun, kereta terbabit telah terbabas dan kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi salah seorang berjaya ditahan manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri di kebun kelapa sawit berhampiran. Siasatan awal di kereta suspek, polis menjumpai satu topi polis dipercayai digunakan untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa selama ini,” katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat, semalam.

Din berkata, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), seorang lagi suspek berjaya ditahan keesokan harinya kira-kita jam 8.30 pagi di kawasan kampung berhampiran.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek ini dipercayai telah melakukan pelbagai kes jenayah lain berdasarkan beberapa peralatan dan dokumen mangsa yang ada di dalam kereta yang digunakan.

“Dipercayai kedua-dua suspek ini telah melakukan pelbagai kesalahan dan pernah ditahan atas kesalahan seperti kes samun, ragut, curi kereta dan motosikal, selain mereka juga positif dadah. Kes yang melibatkan kedua-dua suspek ini, akan disiasat di bawah Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

“Dalam kes ini, pihak polis memuji tindakan orang awam yang menghubungi terus pihak polis setelah melihat kes jenayah dan kepada sesiapa yang terlihat apa juga kegiatan jenayah berlaku mereka boleh menghubungi talian Hotline IPD Batu Pahat iaitu 07-4343999 dengan segera,” katanya.

Sinar Harian

Kurang upaya tak halang keputusan cemerlang

27 Muharram 1433H. [MOD] -

PENDANG - Meskipun dilahirkan sebagai insan istimewa, Muhammad Hadi Darus, 15, membuktikan mampu mencapai kejayaan setelah mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Anak kedua daripada lima beradik ini ternyata begitu teruja apabila menerima keputusan berkenaan walaupun pada mulanya hanya menyasarkan 8A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil.

Menurutnya, ia diperolehi hasil sokongan dan dorongan semua pihak termasuk keluarga, guru dan rakan.

"Sewaktu peperiksaan percubaan, saya mendapat 8A 1B (B untuk subjek sejarah), dan dalam peperiksaan sebenar saya agak khuatir terhadap tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

"Saya selalu berdoa dan menunaikan solat hajat. Kini gembira dan bersyukur kerana berjaya mencapai keputusan cemerlang yang membanggakan semua pihak, khususnya kedua ibu bapa saya," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, semalam.

Anak kepada pasangan yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Felda Sungai Tiang, Darus Dariman, 51, dan Halimah Che Pa, 49, turut mendapat keputusan cemerlang 4A1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bercita-cita menjadi pensyarah.

"Sewaktu kecil, ada juga yang mengejek tetapi kini tidak lagi, sebaliknya rakan dan guru-guru sentiasa memberi galakan dan semangat kepada saya.

"Malah, saya juga ada seorang rakan karib, Muhammad Fikri Ishak (15), yang banyak membantu sewaktu saya berada di sekolah," katanya yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Kedah.

Sinar Harian difahamkan, Muhammad Hadi yang menulis menggunakan kaki tidak memerlukan masa tambahan sewaktu menjawab soalan peperiksaan.

Sementara itu, ibunya, Halimah, yang menemani Muhammad Hadi untuk mengambil keputusan peperiksaan, bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu anaknya di sekolah.

Menurutnya, mereka sekeluarga sentiasa memberi sokongan penuh kepada Muhammad Hadi agar anaknya itu tidak merasai sebarang kekurangan walaupun dilahirkan sebagai insan istimewa.

"Muhammad Hadi suka berdikari dan tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain,. Setiap pagi ayahnya akan menghantar dan menjemput Muhammad Hadi pulang dari sekolah.

"Malah, jika hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di SMA Kedah, salah seorang daripada kami akan memohon untuk ditukarkan ke Alor Setar bagi memastikan Muhammad Hadi dapat meneruskan pelajaran dengan selesa," katanya.

Pengetua SMK Sungai Tiang, Mohd Khirruddin Idris berkata, sekolah menyediakan kemudahan untuk Muhammad Hadi belajar dengan selesa termasuk menempatkan kelas Muhammad Hadi di aras bawah untuk memudahkan pergerakannya.

"Dia adalah pelajar istimewa pertama di sekolah ini yang berjaya mendapat keputusan cemerlang.

"Muhammad Hadi adalah seorang pelajar yang suka berdikari dan aktif seperti pelajar normal lain," katanya.

Sinar Harian

Terhumban dalam longkang

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SALAK BARU – Gara-gara jalan licin, sebuah kereta jenis Produa Viva yang dipandu oleh seorang remaja tercampak ke dalam longkang besar di sebuah selekoh berhampiran Taman Delima, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan berhampiran mendakwa lokasi berkenaan sering berlaku kemalangan disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan jalan raya dan kecuaian pemandu.

Mangsa kemalangan, Khairul Anuar, 22, berkata, kejadian berlaku dalam sekelip mata sahaja dan tiba-tiba sahaja dia terhumban ke dalam longkang besar di tepi jalan.

Menurutnya, walaupun keadaan keretanya mengalami kerosakan agak teruk tetapi dia masih bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang dan ketika itu cuaca hujan menyebabkan jalan licin serta kereta dipandu hilang kawalan.

“Selepas itu kereta dipandu terus terhumban masuk ke dalam longkang besar dan saya tidak dapat berbuat apa-apa.

“Sewaktu kejadian saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Sungai Siput ke rumah di Karai dan memang sering menggunakan jalan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Sungai Siput, Superitendan Azman Salim mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dan dua lagi kes kemalangan dilaporkan berlaku di Jalan Datuk Shee Koon Lim.

Jelasnya, berdasarkan laporan, kemalangan melibatkan remaja berkenaan berlaku disebabkan mangsa terlanggar lopak air dan terbabas sendiri.

“Dalam masa lebih kurang setengah jam dua kes melibatkan sebuah kereta tiba-tiba berasap dipercayai enjin rosak,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan dan berlaku kira-kira jam 4.30 petang.

“Manakala satu lagi kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan seorang lelaki warga Myanmar berusia 20-an yang menunggang basikal.

”Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan cuba menyeberang jalan dan dilanggar sebuah kereta yang kebetulan melalui jalan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kaki serta luka di bahagian tangan,” katanya.

Sinar Harian

Desak naikkan harga padi

27 Muharram 1433H. [MOD] -

TANJUNG PIANDANG – Seramai 100 petani di beberapa kawasan di Kerian mengadakan demonstrasi aman di pekan Tanjung Piandang bagi mendesak pengilang Padi di daerah ini, menaikkan harga padi, semalam.

Antara petani yang terlibat dalam piket itu berasal dari Tanjung Piandang, Bagan Tiang, Sungai Bakau, Sungai Kota, Bagan Serai, Sungai Acheh dan Sungai Baru serta beberapa lagi kawasan berhampiran.

Wakil Petani Kawasan Sungai Bakau, Jalan Sempadan, Mohd Abu Hair, 33, berkata, tindakan itu dilakukan bagi memastikan harga padi di daerah ini diselaraskan seperti daerah lain di Perak.

Menurutnya, harga belian padi di daerah ini adalah RM1,070 setan manakala di daerah lain pula RM1,400 untuk satu tan.

“Harga padi di sini rendah berbanding daerah lain termasuk Sekinchan iaitu RM1,310 setan manakala Langkap pulaRM1,200 setan.

“Keadaan itu menyebabkan banyak petani mengeluh kerugian kerana terpaksa menanggung pelbagai kos yang kini meningkat termasuk sewaan jentera, baja dan racun yang berkualiti,” katanya kepada Sinar Harian.

Wakil Petani Kawasan Sungai Baru, Juhari Arbain, 34, pula berkata, pengilang sepatutnya menyelaraskan harga dan tidak membandingkan harga pembelian mengikut daerah.

Jelasnya, ini kerana, kualiti padi yang diberikan petani di sini tidak banyak bezanya dengan daerah lain.

“Kenapa harga belian padi berbeza-beza mengikut daerah sedangkan kualitinya lebih kurang sama.

“Hal ini dilihat adalah tidak adil kepada petani seperti kami di sini,” katanya.

Juhari berkata, jika hal itu terus berlarutan petani di sini tidak dapat memberikan prestasi yang baik berbanding sebelumnya.

Katanya, pihak kerajaan khususnya Jabatan Pertanian dan agensi terlibat perlu memainkan peranan agar nasib petani di sini terus terbela.

Kos pengangkutan kurang

Bagi Petani Kawasan Tanjung Piandang Kang Leang Chai, 30, dari segi jarak dan kos pengangkutan sudah semestinya pengambilan padi dari daerah Kerian lebih menjimatkan berbanding daerah lain.

Menurutnya, sepatutnya, petani di daerah ini menerima lebih banyak berbanding daerah lain kerana menjimatkan dari segi pengangkutan.

“Tetapi hal sebaliknya berlaku, jadi sebagai petani kami mahu pihak kerajaan meneliti semula harga beli bagi setiap tan di Kerian,” katanya.

Petani Kawasan Bagan Tiang, Mohd Zulkifli Baharom, 47, berkata, kami menggesa pihak pengilang mengkaji semula tahap pembayaran pada kadar RM1,070 setan ataupun diselaraskan semua harga bagi setiap daerah.

Katanya, selain itu, pelbagai masalah dihadapi petani memerlukan perhatian kerajaan termasuk menyelaraskan sistem pengairan yang dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita juga berharap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memainkan peranan membela nasib petani demi peningkatan hasil seperti yang diharapkan,” katanya.

Kaji semula masalah petani

Sementara itu, Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan perlu mengkaji masalah dibangkitkan petani di sini yang mahukan harga pembelian padi dinaikkan ataupun diselaraskan dengan daerah lain di Perak.

Jelasnya, kerajaan boleh mendesak pengilang menaikkan harga belian padi kepada lebih tinggi.

“Jika hendak dibandingkan kualiti padi di daerah ini, tidak banyak bezanya namun, harga beliannya dibezakan tanpa alasan munasabah.

“Selain itu, masalah berbangkit seperti sistem pengairan dan urus selia padi dari Jabatan Pertanian perlu juga diberi perhatian serius jika mahu peningkatan padi Negara terus melonjak dari tahun ke tahun,” katanya.

Sinar Harian

Mangsa banjir makin meningkat

27 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHARU - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat daripada 908 orang pada pukul 10 malam tadi kepada 932 orang pada 9 pagi ini.

Portal banjir Majlis Keselamatan Negara menunjukkan pusat pemindahan yang dibuka juga meningkat daripada 22 kepada 27 pusat.

Pusat-pusat pemindahan itu ialah di Segamat (13), Mersing (sembilan) dan Batu Pahat (lima).

Mersing mempunyai jumlah mangsa teramai iaitu 432 orang daripada 112 keluarga, Segamat (335 daripada 81 keluarga) dan Batu Pahat (165 daripada 42 keluarga).

Hujan yang sangat lebat menyumbang kepada kenaikan air banjir dengan taburan melebihi 60mm dengan jumlah tertinggi yang dicatatkan ialah 176mm di Endau, Mersing.

Manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat meningkat ke paras bahaya 9.21 meter manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (6.11m).

Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar mencapai paras amaran 2.77m, Sungai Bekok di Empangan Bekok dan Sungai Senggarang di Senggarang Batu Pahat masing-masing mencatatkan paras amaran air sungai pada 16.53m dan 3.18m manakala Sungai Segamat di Segamat, Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat masing-masing 9.18m dan 19.55m.

Sinar Harian

Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu barangan berharga dengan balasan diketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu yang dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam pada itu, Mohtarudin turut memerintahkan agar tertuduh dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan.

Keputusan itu dibuat menurut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan pelucutan hak sementara menunggu rayuan.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Sinar Harian