23 Disember 2011

Dua penyamun tewas

27 Muharram 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Taktik dua lelaki menggunakan topi polis sebagai pelindung kegiatan samun selama ini menemui noktah apabila aktiviti mereka dilihat awam dan dikesan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Suspek dipercayai aktif menyamun di sekitar Muar, Melaka dan sebahagian Negeri Sembilan ini sengaja meletakkan topi polis di bahagian belakang kereta yang digunakan bagi mengaburi pandangan polis apabila sekatan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan setelah menyamun seorang wanita di tempat letak kereta di daerah ini dan dilihat orang awam pada 17 Disember lalu.

Menurutnya, orang awam yang melihat kegiatan itu terus menghubungi bilik gerakan IPD Batu Pahat dan tindakan segera mengesan kenderaan berkenaan dilakukan Unit MPV.

“Setelah berjaya mengesan kenderaan suspek iaitu Proton Perdana bernombor pendaftaran Melaka di sekitar Jalan Tanjung Laboh, Unit MPV terus mengejar kereta berkenaan.

“Walau bagaimanapun, kereta terbabit telah terbabas dan kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi salah seorang berjaya ditahan manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri di kebun kelapa sawit berhampiran. Siasatan awal di kereta suspek, polis menjumpai satu topi polis dipercayai digunakan untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa selama ini,” katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat, semalam.

Din berkata, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), seorang lagi suspek berjaya ditahan keesokan harinya kira-kita jam 8.30 pagi di kawasan kampung berhampiran.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek ini dipercayai telah melakukan pelbagai kes jenayah lain berdasarkan beberapa peralatan dan dokumen mangsa yang ada di dalam kereta yang digunakan.

“Dipercayai kedua-dua suspek ini telah melakukan pelbagai kesalahan dan pernah ditahan atas kesalahan seperti kes samun, ragut, curi kereta dan motosikal, selain mereka juga positif dadah. Kes yang melibatkan kedua-dua suspek ini, akan disiasat di bawah Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

“Dalam kes ini, pihak polis memuji tindakan orang awam yang menghubungi terus pihak polis setelah melihat kes jenayah dan kepada sesiapa yang terlihat apa juga kegiatan jenayah berlaku mereka boleh menghubungi talian Hotline IPD Batu Pahat iaitu 07-4343999 dengan segera,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: