23 Disember 2011

Sekolah SJKT Gopeng uzur, bahayakan murid

27 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng hanya mempunyai 250 murid tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Dibuka sejak 65 tahun lalu, sekolah itu kini berdepan dengan isu bangunan uzur yang mendedahkan murid dan gurunya kepada risiko kemalangan.

Menurut Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, sejak dibuka, sekolah itu tidak pernah menjalani kerja-kerja menaik taraf atau pembaikan sehingga ke hari ini.

Pihaknya dimaklumkan keadaan bangunan sekolah yang sudah terlalu uzur itu dikhuatiri mengundang risiko kepada murid-muridnya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan siling dan dinding sekolah yang diperbuat daripada kayu itu sudah dimakan anai-anai menyebabkan ia mula berlubang serta reput.

“Aduan juga sudah banyak kali dibuat namun mereka mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, ramai ibu bapa yang sudah menyuarakan kebimbangan dan beliau pernah ke sekolah berkenaan namun dihalang atas alasan pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak memberi kebenaran.

“Selepas dihalang, kami bawa perkara berkenaan kepada pengetahuan pihak Jabatan Kerja Raya. Kami turut bertanyakan soalan status sekolah itu ketika sidang dewan undangan negeri lalu dan memohon JKR memberi laporan terperinci.

“Pada 26 November lalu selepas sidang barulah pihak JKR memberikan jawapan berserta laporan lengkap Jun lalu. Pengarah JKR, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad ketika perjumpaan semalam (kelmarin) menyatakan beliau sedia maklum dengan masalah itu dan salah satu bilik darjah telah ditutup kerana rosak teruk.

“Kami difahamkan pihak JKR sedang menunggu peruntukan daripada JPN untuk disalurkan kepada sekolah berkenaan dan jika peruntukan diterima, JKR akan melakukan kerja-kerja penambahbaikan dengan anggaran kos yang dikemukakan berjumlah RM117, 000. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini masalah ini tidak diselesaikan,” katanya.

Pihaknya turut bercadang mengadakan perjumpaan pula dengan JPN pada minggu depan bagi membincangkan masalah yang dihadapi SJKT Gopeng.

Sinar Harian

Tiada ulasan: