27 Disember 2011

Pantai penuh sampah

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Jika di kawasan lain mengalami hakisan teruk selepas air pasang besar malam semalam, pantai Cempaka pula dipenuhi sampah sarap dibawa ombak besar, disifatkan paling te­ruk dalam tempoh lima tahun.

Tinjauan Sinar Harian di sepanjang pantai itu mendapati banyak plastik, bekas makanan, botol dan kayu memenuhi jajaran pantai Kampung Cempaka hingga pantai Cerok Paloh, antara yang terkenal sebagai lokasi pelanco­ngan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mat Lazim Kadir, berkata sampah sarap itu dibawa ombak besar dan air pasang malam semalam.

“Kita akan melakukan gotong-royong bagi membersihkan semua sampah sarap ini selepas musim tengkujuh bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Katanya, fenomena air pasang itu mengakibatkan beberapa tempat di pantai itu berlaku hakisan.

Sinar Harian

Pulangkan barang Kak Limah

2 Safar 1433H. [MOD] -

MARANG – Selepas gagal mengusir hantu Kak Limah seperti disarankan beberapa pemanggil yang menghubunginya kelmarin, Mazlan Ali mengambil keputusan memulangkan semua barang diambil dari rumah pusaka ayahnya di Jerangau, Dungun.

Bagaimanapun, dia keberatan mengubah suai rumah yang baru siap dibinanya di Kampung Temiang itu, bagi mengembalikan papan, tiang dan atap yang juga diambil dari rumah arwah ayahnya itu.

Semalam, katil kayu digunakan keluarga anaknya, Mohd Syawal, 22, sudah diletakkan di luar rumah untuk dipulangkan seperti disarankan pemanggil yang mendakwa pengamal perubatan rawatan gangguan makhluk halus.
Keputusan dibuat selepas tidak sanggup lagi berhadapan dengan kejadian seram dialami mereka sekeluarga sejak seminggu lalu.

“Gangguan mula berlaku selepas kami membawa pulang kepingan papan, tiang dan atap untuk membina rumah Mohd Syawal November lalu. Masa itu salah seorang anak saya melihat seorang wanita tua menggunakan paip air rumah kami dan berkeliaran di kawasan sekitar.

“Gangguan itu makin menjadi-jadi setelah rumah ini siap dibina seminggu lalu,” katanya.

Harap ada yang sudi bantu dengan ikhlas

Dalam gangguan terbaru malam kelmarin, Mazlan, 55, berkata, ahli keluarganya tidak lena tidur, apabila lembaga misteri kelihatan seperti Hantu Kak Limah itu, terus mengganggu mereka.

“Kebanyakan ahli keluarga saya mengalami mimpi menakutkan apabila tidur semalam (malam kelmarin), sehingga memaksa saya menabur lada hitam dan garam di dalam rumah,” katanya.

Kata Mazlan, ada pengamal perubatan menasihatkan supaya dia menggunakan lada hitam dan garam, sekiranya mengalami gangguan selain membaca ayat suci al-Quran.

“Sejak berita ini disiarkan kami menerima lebih 100 panggilan telefon dan lebih 50 SMS (khidmat pesanan ringkas), terutama daripada pengamal perubatan menawarkan khidmat mereka, namun kami hanya dapat menerima nasihat, tetapi tidak mampu untuk menjemput mereka ke rumah.

“Kami tak mampu membayar kepada mereka. Saya sudah tidak tahan berjaga setiap malam bagi memastikan keluarga saya tidak diganggu,” katanya.

Mazlan amat berharap ada pengamal perubatan tradisional sudi membantu dan dapat pergi ke rumah mereka di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan di sini, kerana kasihan dengan nasib anak serta lapan cucunya yang dihantui ketakutan berpanjangan.

Sinar Harian

Isu Khir Toyo malukan rakyat: Siti Zailah

2 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kerana menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah mewah dan tanah ternyata memalukan rakyat.

Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, satu demi satu penyalahgunaan kuasa pada kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional berjaya dibuktikan dan ia menunjukkan dakwaan pembangkang selama ini adalah benar.

“Pas percaya banyak lagi isu-isu seumpama itu dipercayai melibatkan pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi parti itu yang perlu disiasat pihak bertanggungjawab. Kes Khir Toyo ini salah satu bukti yang jelas kepada rakyat siapa sebenarnya mereka.

“Syabas kepada mahkamah yang kerana memberikan hukuman tanpa mengira kedudukan individu. Masih ramai lagi bekas-bekas pemimpin parti itu yang memiliki kekayaan luar biasa dan ini perlu diselidik segera,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, diharapkan keputusan itu memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin parti politik lain kerana mahkamah tidak melindungi sesiapapun walaupun bekas pemimpin tertinggi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah dan dipenjara 12 bulan mulai tarikh jatuh hukum dan memerintahkan harta terbabit dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala perintah melucut hak harta tersebut pula dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Beliau dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Sinar Harian

Kakak cari adik hilang

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah, Salwiah Mohamad Nordin, 37, amat merindui adik bongsunya, Abdul Rahim, 15, yang terpisah sejak sembilan tahun lalu setelah bapa mereka meninggal dunia.

Menurutnya, adik bongsunya itu adalah hasil perkongsian hidup arwah bapanya dengan isteri kedua, seorang warga Indonesia.

“Walaupun kami berlainan ibu namun hubungan kami bersama tiga lagi adik-beradik termasuk Abdul Rahim sangat akrab.

“Namun, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila Abdul Rahim yang ketika itu berusia enam tahun diambil semula ibunya setelah arwah ayah meninggal dunia akibat diserang angin ahmar,” katanya ketika di temui di sini, semalam.

Justeru, ibu kepada lima anak ini berkata, berikutan peristiwa terbabit, dia tidak mengetahui nasib adiknya itu sehingga ke saat ini, menyebabkan dia diselubungi kesedihan yang tidak berkesudahan.

Katanya, difahamkan adik bongsunya itu, ditempatkan di sekolah pondok di Bukit Besi, Dungun oleh ibu kandungnya, bagaimanapun tidak mengetahui lokasi sebenar sama ada masih lagi di situ atau sebaliknya.

“Sejak itu tiada khabar berita daripadanya. Kami terputus hubu-ngan sampai sekarang. Kami tak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah tiada.

“Saya merayu kepada keluarga ibu kandung Abdul Rahim agar segera menghubungi saya di Kampung Duyung Besar kerana kami semua amat merinduinya,” katanya.

Selain itu, katanya, dia sebagai anak sulung dalam keluarga mahu menyerahkan wang pusaka berjumlah lebih RM40,000 hasil duit pencen arwah bapanya untuk Abdul Rahim sebanyak RM300 sebulan itu.

Salwiah merayu sesiapa yang mengenali Abdul Rahim atau tahu di mana adiknya itu berada dapat menghubunginya menerusi talian 014-5168795.

Sinar Harian

Maut dihempap dahan pokok

2 Safar 1433H. [MOD] -

BUKIT RAMBAI - Seorang penunggang motosikal terkejut apabila mendapati remaja yang maut akibat dihempap dahan pokok, di Jalan Ayer Salak, dekat sini semalam rupa-rupanya anak saudaranya sendiri.

Lim Kim Swee, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, dia hanya berada kurang 100 meter di belakang mangsa dan melihat sendiri dahan pokok berkenaan patah, lalu menghempap seorang penunggang motosikal sebelum mangsa terseret beberapa meter.

“Selepas kejadian itu, saya memberhentikan motosikal untuk membantu, namun mangsa sudah meninggal dunia. Sebaik saja saya dekati dan memeriksa MyKad mangsa, saya terkejut dia adalah anak saudara saya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian itu, Tan Yong Wee, 21, seorang juruteknik pendingin hawa maut di tempat kejadian.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari rumahnya di Ayer Salak, di sini untuk berjumpa abangnya di Tanjung Minyak.

Kim Swee berkata, ketika kejadian, angin bertiup kencang dan dia dalam perjalanan menghantar sayur di beberapa pasar sekitar bandar ini.

“Saya memang tidak menyangka kejadian buruk ini menimpa saudara saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, N Raman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan telefon pada 11.02 pagi.

“Dipercayai mangsa dihempap dahan pokok sebelum terseret disebabkan seluarnya tersangkut pada besi di bahagian belakang motosikal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kejadian itu juga menyebabkan Jalan Ayer Salak, di sini ditutup kepada lalu lintas sebelum mayat mangsa di bawa ke Hospital Melaka, selain dahan pokok berkenaan dialihkan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang , Datuk Seet Har Cheow berkata, meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memantau keadaan pokok di bandar ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,

“Saya sudah minta MBMB untuk menjalankan siastaan berhubung perkara ini dan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesi­hatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO Negeri.

Sinar Harian

Keputusan kes Anwar tak jejas PRU13

2 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - PKR Kedah yakin keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Januari depan, tidak akan menjejaskan momentum parti itu membuat persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, sekiranya keputusan kelak tidak memihak kepada Anwar, ia tidak akan menjejaskan tumpuan gerak kerja parti.

“Kita tetap teruskan Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan pada 14 Januari. Ia tidak jejaskan perjuangan parti, malah saya percaya semangat lebih memuncak untuk jatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Menurutnya, rakyat harus bangkit membuat perubahan sekiranya sudah sedar akan kepincangan dalam pentadbiran Pusat, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Timbalannya, Senator Ir Zamri Yusof berkata, sekiranya Anwar dijatuhi hukuman penjara, gerak kerja PRU13 tetap berjalan seperti biasa dan momentum parti akan bertambah kukuh sekiranya beliau dibebaskan.

Ditanya sama ada isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan kes sabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini memberi kelebihan pada PR, Ir Zamri berkata, ia adalah bonus kepada PR menjelang PRU13.

“Isu NFC ini dilihat lebih mudah difahami rakyat berbanding kes besar membabitkan Pusat, yang didedahkan pemimpin PR sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian

Pemuda Pas selar kenyataan Isma

2 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pemuda Pas menyelar kenyataan Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang mendakwa Pas menghadapi krisis identiti dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju parti.

Ketua Pemudanya, Nas­rudin Hassan berkata, kenyataan Isma itu adalah berpunca dari salah faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan Pas dalam pelan membentuk Negara Berkebajikan.

Beliau berkata, sudah jelas penubuhan Pas adalah berasaskan kepada agama Islam dan Negara Berkebajikan yang dirancang adalah komponen asas dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

“Dokumen negara Islam yang diterbitkan adalah pelan induk Pas bagi menjayakan hasrat mendaulatkan syariat ALLAH dan fasa kedua pula akan memastikan ia bergerak dengan lebih praktikal.

“Ia adalah pengisian dan pelaksanaan yang bakal menjawab pelbagai tohmahan kononnya negara Islam adalah negara hukum semata-mata,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Nasruddin berkata, Isma perlu membuka dan melihat pelan lengkap projek Pas bagi memahami keseluruhan fasa yang dirancang.

Katanya, Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi pengukuhan identiti. Justeru ia dapat memantapkan lagi pengenalan dan jati diri Pas dalam usaha membina sebuah negara Islam yang adil.

“Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam, sementara elemen utama dalam syariat Islam ialah adil, telus, integ­riti dan amanah selain ubudiyyah pengabdian diri kepada ALLAH .

“Ini menepati pembentukan pentadbiran baik yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh Pas,” katanya.

Sinar Harian

Enggan buka pintu bilik

2 Safar 1433H. [MOD] -

LEDANG - Keengganan membuka pintu bilik hotel ketika diketuk Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) akhirnya terjawab apabila menemui sepasang kekasih yang hanya berselimut dalam bilik berkenaan, kelmarin.

Mereka ditahan ketika sedang berdua-duaan dalam bilik di salah sebuah hotel di Tangkak, di sini, pada serbuan jam 3.15 pagi untuk siasatan lanjut.

Malahan, pasangan itu juga mendakwa panas menyebabkan mereka hanya berselimut dalam bilik hotel itu apabila disoal siasat penguat kuasa.

Lelaki berumur 34 tahun itu seorang duda, manakala, pasangannya berusia 20 tahun baru dikenali selama lima bulan.

“Kami baru pulang dari Johor Bahru kerana membawa teman wanita bertemu dengan ahli keluarga di sana sebelum mengikat tali pertunangan.

“Kami merancang untuk bertunang tahun depan dan terlebih dahulu memperkenalkan dia dengan saudara mara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mereka tiba di Tangkak lewat malam kerana keletihan dan mengambil keputusan untuk bermalam di sini.

“Saya akan menghantar teman wanita pulang pada keesokan hari di rumahnya di Negeri Sembilan tetapi tidak bernasib baik apabila dicekup khalwat oleh penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa hotel berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berselimut membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tanpa pakaian dan hanya berselimut sedang bersembunyi dalam tandas,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-
masing,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sinar Harian

Ombak di Dungun paling dahsyat

2 Safar 1433H. [MOD] -

TERENGGANU - Kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian pantai di negeri ini dilaporkan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.

Antara daerah yang teruk dilanda fenomena itu yang dijangka berlarutan sehingga awal Januari depan ialah Dungun dengan hampir sebahagian persisir Pantai Peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam semalam, ombak setinggi lebih lima meter telah memusnahkan hampir keseluruhan landskap tepi pantai yang dirimbuni dengan pohon rhu dan jalan raya sepanjang kira-kira kilometer menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas.

Di KEMAMAN, penduduk Kampung Tanjung, Kuala Kemaman, di sini, turut diancam hakisan pantai eko­ran bencana itu sehingga sebuah rumah musnah sementara beberapa rumah lagi di pesisir pantai itu semakin hampir dihempas ombak.

Rumah bercantum dengan kedai makan dihuni Juliati Ismail, 30, bersama suami, Mohamad Abdul Rashid serta tiga anak mereka runtuh dalam kejadian ombak besar beserta ribut 22 November lalu kini hampir sepenuhnya ditelan ombak setelah fenomena ombak besar kembali sejak dua hari lalu.

Menyedihkan lagi, empat rumah penduduk lain juga di ambang kemusnahan sekiranya bencana ombak ber­te­­­­r­usan kerana tebing pantai terhakis teruk sekali gus mendekatkan lagi jarak rumah masing-masing dengan laut.

Sinar Harian

26 Disember 2011

7 tahun Tsunami yang semakin dilupakan.

Seorang wanita dari Jepun yang hadir sama memakai tudung dalam munajat Tsunami.

30 Muharram 1433H. [MOD] -

Selepas tujuh tahun, bencana tsunami yang melanda rantau ini sehari selepas sambutan Krismas pada 2004 dan mengorbankan ratusan ribu nyawa di Aceh, Nampak semakin dilupakan.

Tanpa perancangan yang jelas, percutian 26 Disember bersama keluarga dalam rangka memenuhi hajat Isteri yang tidah pernah ke Aceh sejak tamat belajar pada tahun 1992 berkebetulan dengan ulangtahun ke 7 peristiwa yang menyayat hati itu.

Ketibaan kami di Bandara Blang Bintang yang terletak sekitar 15 km dari Banda Aceh disambut dengan senyuman orang Aceh yang memang kami kenal hati budi mereka selama 6 tahun kami belajar di Aceh.

Selepas Tsunami berlaku saya bersama 28 orang rombongan dengan yayasan Amal Malaysia cawangan Perak sempat sampai di Lhoksmawe untuk memberi bantuan kemanusiaan.

Untuk kali keduanya dengan jumlah rombongan yang lebih kecil sekitar 7 orang sempat sampai ke kota ilmu Darussalam tempat yang penuh dengan kenangan semasa belajar dari tahun 1986 hingga 1992.

Nampak tidak banyak berubah dari masa lawatan pada tahun 2005, saya bersama keluarga menyewa sebuah kereta sewa swasta dengan harga RP 70,000 (RM 22) menuju ke hotel yang telah ditempah di banda Aceh.

Sempat berbicara mengenai Tsunami 2004 dengan Pak Armia, beliau turut mencerita pengalaman pahit dengan kehilangan 12 orang keluarga terdekat termasuk Ibu kandung dan Isteri yang sedang mengandung 3 bulan anak pertama hasil perkhawinannya.Namun jelas dia masih tabah walaupun dari wajahnya saya melihat tentang kesedihan yang masih dialami bila mengenang dan menceritakan pengalaman pahit itu.

Teringat dengan makanan kegemaran gulai kambing Aceh lalu saya dibawa oleh sopir Pak Armia disebuah kedai berdekatan dengan Lapanganterbang. Lauknya ringkas iaitu gulai kambing dan goreng ayam kampung tetapi jelas sangat lazat dan menyelerakan ditambah oleh perut yang sudah kosong selepas 1 jam 40 minit dalam firefly dari Pulau Pinang.

Saya dibawa melewati jalan pintas melalui Ulekareng menuju Banda Aceh , Nampak tidak banyak berubah, namun saya rasakan Aceh sekarang berada dalam keadaan aman bila mengenang sejar panjang sebelum ini.

Akhbar Serambi Indonesia juga tidak lekang dari pemberitaan mengenai uapucara memperingati 7 tahun Tsunami. jelas ia akan memberi kesan kepada warga Aceh betapa bencana yang datang itu adalah satu pengalaman besar bagi rakyat Indnesia dan Aceh.

Setiba di sini jadual mula diatur sebaik mungkin supa keberadaan saya dan keluarga hingga Jumaat ini dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sesuatu yang saya utamakan dan tidak mungkin untuk ditinggalkan ialah bertemu dengan adik-adik yang sedang belajar di Banda Aceh. melalui Persatuan Pelajar Malaysia Cabang Aceh (PKPMI-CA) saya akan berbincang dengan mereka pada petang ini untuk mengadakan sesi pertemuan dengan semua pelajar yang berkesempatan.

Begitulah semasa saya memegang jawatan Setiausaha PKPMI-CA selama tiga tahun semasa belajar disini, setiap tamu dari Malaysia pasti diambil kesempatan untuk diadakan pertemuan .

Bertemu lagi.....

Mangsa banjir di Johor meningkat

30 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor semakin meningkat apabila hampir 300 orang lagi dipindahkan ke pusat pemindahan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,437 orang pagi ini berbanding 1,143 orang malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), setakat 10 pagi ini, semua mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan dengan 12 di Segamat, tujuh di Mersing dan enam di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin dilaporkan masih terputus hubungan dan hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua batang sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong mencatatkan aras 3.34 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, 9.47 meter.

Beberapa batang sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat (17.04 meter), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.92 meter), Sungai Simpang Kiri di Seri Medan, Batu Pahat (2.19 meter), Sungai Senggarang, Batu Pahat (3.28 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (5.60 meter). - BERNAMA

Puluhan ribu mangsa taufan Filipina berlindung di khemah

30 Muharram 1433H. [MOD] -

CAGAYAN DE ORO: Puluhan ribu mangsa banjir di Filipina terpaksa berlindung di khemah di beberapa bandar selama berbulan-bulan manakala kerja memindahkan mereka ke kawasan selamat sedang dijalankan.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos, hari ini berkata, lebih 60,000 orang terjejas akibat taufan Washi kini mencari perlindungan di bangunan kerajaan di bantar Cagayan de Oro dan Iligan, kebanyakannya di sekolah yang dibuka selepas cuti.

"Kita tidak boleh mewujudkan tempat perlindungan tetap dengan segera. Ia akan mengambil masa yang lama. Mereka perlu berpindah dari khemah apabila sekolah dibuka pada 3 Januari nanti," katanya. - AFP

Tujuh maut, 32 cedera dalam letupan kereta berisi bom di Iraq

30 Muharram 1433H. [MOD] -

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya tujuh individu maut dan 32 yang lain cedera apabila pengebom berani mati bertindak nekad meletupkan kereta berisi bom di pintu masuk utama ke Kementerian Dalam Negeri Iraq, hari ini.

Serangan itu adalah susulan siri pengeboman minggu lalu yang menyebabkan sehingga 70 orang terbunuh dalam sehari sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai masa depan Iraq selepas tentera Amerika Syarikat beredar dari negara berkenaan baru-baru ini.

Dua pegawai polis berkata, letupan itu berlaku pada awal pagi ketika waktu puncak dan memusnahkan satu daripada beberapa penghadang keselamatan yang diletakkan di sekeliling Imbang Penuhbangunan kementerian berkenaan.

Katanya, lima anggota polis antara individu yang terkorban.

Sementara itu, dua doktor di hospital berdekatan mengesahkan angka kematian berkenaan. - AP

25 Disember 2011

Benarkah semua harta Khir atas namanya dan telah dirampas ?


29 Muharram 1433H. [MOD] -Antara hukuman kepada mantan MB Selangor dengan seorang yang miskin samun wang untuk beli susu kepada anaknya. di Johor juga ada kejadian di mana seorang penganggur mencuri 4 kotak syampoo berharga RM 107.40 dipenjar 2 tahun juga.

Sedangkan Khir Toyo yang mencuri wang puluhan juta ringgit cuma kena setahun penjara, Itupun dapat penangguhan hukuman selain mendapat lanyan VIP bila tidak digari malah tersenyum lebar selepas di hukum.

Tindakan merampas hartanya oleh Kerajaan Malaysia dilihat sebagai sebahagian dari hukuman yang keras, namun adakah Khir meletakkan semua harta atas namanya dan semuanya telah dirampas ?. Tentu semua akan dapat memberi jawapan yang tepat adakah benar Khir sudah tidak ada harta lagi ?

Pakatan Rakyat dalam tawaran Buku Jingga menjanjikan sesuatu tewrmasuk PAS yang menawarkan Negara Berkebajikan adalah untuk menyelamatkan sisitem perundangan negara yang semakin diragui selepas hukuman yang tidak setimpal dikenakan kepada Khir Toyo.

Kalau sudah begina jadinya nampaknya hukuman yang keras dan masimun akan kepada kepada rakyat bawahan yang miskin dan mencuri atas kesempitan hidup, namun pembesar BN yang cudah punya harta bertimbun kalau mencuri cuma dikenakan hukuman yang paling minima.

Kes Khir Toyo mengakhiri warna politik tanah air dan ianya memberi isyarat yang jelas kepada rakyat untuk memberi harapan sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 akan datang bagi mengembalikan tahap kahakiman negara yang semakin diragui.

Drs. Khalil Idham Lim
Pariut Buntar, 25 Disember 2011.

Korban Ribut Washi Mencecah 1000

29 Muharram 1433H. [MOD] -

Jumlah kematian akibat ribut tropika Washi yang mengganas di selatan Filipina meningkat kepada 1,000 orang.

Menurut statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh kerajaan, angka korban di bandar Cagayan de Oro yang paling teruk dilanda bencana kali ini mencatat 579 orang, 283 orang di bandar Iligan dan 138 orang di bandar Dumaguete, sementara 49 lagi dilaporkan hilang.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) menganggarkan jumlah korban ribut ini dijangka terus meningkat.

Presiden Benigno Aquino III yang melakukan tinjauan ke ketiga-tiga kawasan bencana tersebut berjanji akan segera menyalurkan bantuan. CRI.-