27 Disember 2011

Harapannya Ahmad Said dapat mengerti

2 Safar 1433H. [MOD] -

Tulisan ini adalah respon kepada kenaikan kadar zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada rakyat Terengganu yang menuntut di luar negara.

Matlamat utama sesebuah pentadbiran adalah melaksanakan keadilan kepadan insan dan berusaha memenuhi kehendak dan kemaslahatan rakyat berdasarkan Maqasid Syariah yang ditelah digariskan oleh Islam. Dan Allah memberi amaran kepada kita di dalam surah Huud: 113 (Dan jangalah kamu cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka.)

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada MAIDAM kerana telah berjaya menaikkan kadar zakat kepada penuntut luar negara. Namun Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Said perlu meniliti kembali beberapa keputusan yang telah dicapai bagi memastikan ia memenuhi tuntutan keadilan dan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

YAYASAN TERENGGANU (MELALUI PROSES TEMUDUGA) MAIDAM (TERBUKA KEPADA SEMUA RAKYAT TERENGGANU DAN TIDAK LAYAK MENDAPAT PINJAMAN YT)
PANGKAT KADAR PINJAMAN BAYARAN BALIK PANGKAT KADAR ZAKAT BAYARAN BALIK
MAQBUL RM 16, 000 SETAHUN KADAR BAYARAN PINJAMAN 100% MAQBUL RM 9,000 TIADA
JAYYID JAYYID RM 10, 000
JAYYID JIDDAN JAYYID JIDDAN RM 11,000
MUMTAZ HAPUS PINJAMAN 100% MUMTAZ RM 12, 000

Di atas kesedaran itu, ada beberapa teguran dan cadangan iaitu:
1. Nisbah di antara pelajar yang mendapat pangkat Maqbul dan Jayyid, jika dibandingkan dengan pelajar yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan dan Mumtaz terlalu hampir sedangkan kadar usaha untuk mendapat keputusan tersebut sangatlah berbeza. Untuk mendapat Mumtaz bukanlah mustahil, memerlukan ketekunan yang amat serius dan penumpuan sepenuhnya kepada akademik.
Untuk mendapat Maqbul pula sangat mudah, berbeza situasi di Mesir. Untuk mendapat keputusan Jayyid, tidak menjadi kesukaran hanya dengan sebab tidak hadir ke kelas dan tidak mengulangkaji pelajaran. Adilkah kita menyerahkan kepada mereka wang zakat secara percuma sebanyak RM 9,000 sedangkan mereka yang berpenat lelah memastikan pangkat Mumtaz dicapai hanya mendapat RM 12,000?

Bagi saya, keputusan ini akan membuatkan pelajar malas untuk berusaha. RM 9,000 sudah cukup untuk setahun tetapi agak dhaif. Kalau difikirkan, jika betul-betul memerlukan duit untuk menampung pengajian, perlukan usaha yang lebih serius.Mereka yang mendapat MUMTAZ tentulah mereka yang berwawasan dan pandai menguruskan kewangannya. Secara adatnya mereka akan menggunakan wang tersebut untuk membeli seberapa banyak kitab rujukan. RM12, 000 itu tidak cukup untuk memenuhi keperluan tersebut.
2. Tidakkah Datuk Seri merupakan Lembaga Penasihat kepada MAIDAM dan YT? Kalaulah Datuk Seri boleh memberi tempat istimewa kepada Encik Kamal, Bekas Pegawai YT di Mesir yang telah diiktiraf tidak profesional oleh pelajar Mesir sebagai Penyelaras IMTIAZ TERENGGANU yang baru, apalah sangat untuk menimbal kembali keputusan yang dibuat oleh dua badan tersebut.

Tidakkah Datuk Seri mengetahuo, sahabat saya yang telah pun disahkan mendapat tawaran berkhidmat di MAIDAM.Namun dinafikan haknya atas sebab di'label' sebagai pembangkang. Lantas, mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat Master di sebuah institusi pendidikan luar negara menggunakan duit poket sendiri. Terkapai-kapai mencari rezki menampung yuran pengajian dan memberi nafkah kepada keluarga. Bukankah sahabat saya turut malah lebih berhak mendapat sebahagian kadar zakat itu.
Datuk Seri, eloklah diselaraskan kembali kadar pinjaman dan zakat itu supaya setiap dari rakyat Datuk Seri mendapat kemudahan tersebut. Khasnya Pengajian Islam, baik Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Kedoktoran semua merasai rahmat berada di bawah pentadbiran Datuk Seri.
3. Mungkin Datuk Seri terlepas pandang atau terlupa, boleh saya tolong peringatkan bahawa mereka yang ingin mendapatkan pinjaman YT perlu melalui proses temuduga bertulis dan lisan. Syarat utama hanyalah anda bukanlah mereka yang terang-terangan sebagai pembangkang(?). Buktinya dua orang sahabat saya telah dinafikan haknya kerana sebab sedemikian. Seorang lagi sahabat saya, walaupun sangat menonjol dari sudut akademik diklasifikan GAGAL kerana merupakan lulusan Maahad Darul Quran Rusila.
Maaf kepada sebahagian Pegawai YT, saya mengenali kalian yang banyak memberi nasihat kepada saya dan saya tahu kalian semua berkhidmat dengan penuh profesional. Sebahagiannya saya anggap seperti ayah dan ibu. Tetapi ada tangan belakang yang mengawal dan ada suara dalam yang jahat menghasut.

MAIDAM pula terbuka kepada semua kecuali mereka yang telah layak mendapat pinjaman YT. Prosedur mendapat pinjaman YT lebih sukar dari mendapat bantuan zakat. Kalau diikutkan pada zahirnya pelajar YT lebih istimewa dari pelajar zakat MAIDAM kerana proses penapisannya adalah lebih sukar. Tetapi yang anehnya, pelajar pinjaman YT yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan terpaksa membayar pinjaman sebanyak RM16, 000 dan MAIDAM pula mendapat saguhati RM11, 000. Tidakkah Datuk Seri melihat ia satu pengurusan yang sangat kurang cerdik.

Akhirnya, saya mengharapkan Datuk Seri dapat mengkaji kembali sejauh mana kerasional keputusan tersebut. Moga Datuk Seri dapat memberi yang terbaik untuk rakyat jelata.

UMNO atau PAS bukan persoalannya sekarang. Yang penting, kami bernaung di bawah kepimpinan yang berwawasan, daya fikir yang futuristik, berintegriti, mempunyai pengurusan yang cekap dan menyeimbangkan antara keperluan rohani dan material.

Harakah Daily

Risalah lucah hina Saifuddin di UiTM Shah Alam

2 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 27 Dis: Kumpulan Aktivis Mahasiswa (Kami) mendakwa wujud pihak tertentu menyebarkan risalah lucah di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam sejak Khamis lalu.

Risalah tersebut memaparkan karikatur dua individu yang masing-masing dilabel sebagai Anwar dan Saifuddin dalam keadaan tidak senonoh.

Selain karikatur yang menjijikkan itu, terdapat juga tulisan berbunyi "Sibuk sangat nak baik dengan Pro M yang hina PM tu!".

Menurut Setiausaha Agungnya Khairul Naim, risalah itu dipercayai diedar pada Khamis dan Jumaat lalu oleh beberapa pihak tertentu yang kurang senang pihak yang memberi sokongan kepada Pro–Mahasiswa terhadap isu kebebasan akademik yang hangat diperkatakan sekarang.

"Kami tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi tindakan menyebarkan risalah dan gambar ini adalah sesuatu yang melampau," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan aman Pro-Aspirasi di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar atas) meletakkan jawatan kerana memihak kepada Pro–Mahasiswa dalam penganjuran Perhimpunan Kebebasan Akademik di Kuala Lumpur.

"Kami berharap supaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar dapat menyiasat kes ini sedalam-dalamnya kerana dilaporkan tiada sebarang tindakan terhadap kes yang berlaku ini.

"Dulu apabila Mahasiswa mengadakan speaker’s corner, kecoh satu kampus kerana Mahasiswa dikatakan menghuru-harakan kampus sehingga beberapa Mahasiswa ditahan oleh Polis Bantuan UiTM, tetapi mengapa apabila timbul kes ini pihak pentadbir mengambil pendirian berdiam diri?" katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus pertahankan Saifuddin walau apapun terjadi kerana yakin dengan perjuangannya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Pro–Aspirasi yang berdemo sebagai “meludah ke langit” kerana suatu ketika dulu mereka mengatakan bahawa Mahasiswa berdemonstrasi adalah tidak intelektual.

Sinar Harian

Mahasiswa ulangi tuntut Najib mansuh Auku

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Rentetan daripada perhimpunan kebebasan akademik serta isu penurunan bendera Datuk Seri Najib Razak oleh seorang mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Adam Adli, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengambil pendirian untuk mengadakan satu lagi himpunan bersama rakyat pada 31 Disember 2011 hingga 1 Januari 2012 bermula jam 9 malam.

Menurut Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Khairul Naim, mahasiswa akan berkumpul bersama rakyat di hadapan UPSI bagi mengulangi enam tuntutan mahasiswa iaitu mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Akta 174 dan Akta 155, bebaskan ilmuan berakademik, bebaskan mahasiswa bersuara, bebaskan mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti kampus serta bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik.

Katanya, mahasiswa masih menunggu segala tuntuan kebebasan mahasiswa tempoh hari.

Selain itu, ujarnya himpunan besar-besaran itu juga diadakan bagi menuntut supaya UPSI menggugurkan tuduhan ke atas pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif serta penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli yang mencetuskan kontroversi berikutan kes penurunan bendera Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Katanya, ia berikutan surat yang dikeluarkan pihak universiti itu yang mendakwa Adam di bawah dua pertuduhan iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

“Ancaman apa yang dimaksudkan itu tidak pasti, yang kami tahu kedua-dua pertuduhan ini adalah tidak berasas, tidak berpelembagaan, tidak sah dan jelas serta tidak masuk akal,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan Adam Adli itu sebenarnya dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini.

UPSI, kata beliau sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menghalang Adam supaya menjalankan hak sivil beliau sebagai warganegara.

Adam telah menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin universiti pada 23 Disember gara-gara tindakannya pada 17 Disember yang lalu.

“Mahasiswa sentiasa berdiri bersama-sama Adam Adli kerana kami percaya tindakannya adalah sah dan demokratik malah wajar dipuji kerana mempunyai pendirian supaya masyarakat memahami serta celik tentang isu sebenar yang melanda iaitu kegagalan pihak kerajaan sekarang dalam kebebasan berakademik serta kegagalan memansuhkan Auku,” ujarnya.

Justeru, katanya SMM menggesa supaya UPSI menggugurkan segala pertuduhan ke atas Adam Adli serta menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan dalam akademik dengan memansuhkan Auku serta memenuhi enam tuntutan mahasiswa bagi memastikan taraf universiti sebagai tanda aras ketamadunan masyarakat terjamin.

Sinar Harian

Mana saya hendak cari duit?

2 Safar 1433H. [MOD] -

BANTING - “Mana saya hendak cari duit lagi…” luahan tukang kayu, Anjang anak Ukly, 38, yang tidak dapat menahan sebak apabila semua baju sekolah dua anaknya terbakar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, rumah papan milik penduduk Orang Asli di Kampung Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey hangus.

Anjang bimbang tidak dapat membeli kelengkapan persekolahan anaknya kerana sebelum ini dia mengambil masa hampir tiga bulan menyediakan kelengkapan itu.

“Baju sekolah, kasut, beg dan peralatan tulis anak-anak diletakkan di ruang tamu

“Menurut jiran, api marak sangat cepat kira-kira 15 minit dan saya tidak sangka semua barangan elektrik turut tidak dapat diselamatkan,” katanya yang ke pekan berhampiran mengisi minyak motosikal.

Sementara waktu katanya, dia dan keluarga menumpang di rumah saudaranya berhampiran.

Menurutnya, walaupun semua pakaian dan peralatan rumahnya gagal diselamatkan, namun dia bersyukur semua ahli keluarganya tidak mengalami kecederaan.

“Secara kebetulan, ketika kejadian isteri saya berada di kampung manakala lima anaknya di rumah jiran.

“Saya mendapat tahu berita kebakaran itu setelah dihubungi seorang jiran, sebaik sampai di rumah, api menjulang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli akan merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Menurutnya, pihaknya akan juga membuat permohonan khas kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk membantu membina rumah baru bagi meringankan beban.

“Saya simpati nasib mangsa yang terpaksa berkorban beberapa bulan menyimpan duit membeli kelengkapan sekolah dua anaknya,” katanya.

Sinar Harian

Berba bantu MU himpit Man. City

2 Safar 1433H. [MOD] -

Jaringan hatrik Dimitar Berbatov membantu Manchester United membenam Wigan di tempat sendiri serta terus menghimpit kedudukan Manchester City di persada liga.

Perlawanan diwarnai dengan layanan kad merah kepada penyerang Wigan, Conor Sammon yang mengasari Michael Carrick pada minit ke-40 separuh masa pertama.

Park Ji-Sung membuka tiria jaringan Manchester United pada minit ke-8, hatrik Berbatov bermula empat minit sebelum masa pertama tamat.

Bermula babak kedua, Berbatov hanya memerlukan 12 minit untuk gol ketiga Manchester United sekaligus jaringan kedua peribadi beliau.

Antonio Valencia menambah derita pasukan lamanya dengan jaringan keempat Manchester United pada minit ke-75 sebelum Berbatov melengkapkan malam gemilang Manchester United dengan jaringan hatrik pada minit ke-78 apabila menyempurnakan penalti setelah Antolin Alcaraz melakukan kekasaran dalam kotak penalti Wigan.

Dalam perlawanan lain, Manchester City perlu menyakahkan diri sendiri apabila gagal menggunakan kesempatan menentang West Brom apabila hanya mampu seri tanpa jaringan meskipun menguasai perlawanan.

Dengan keputusan ini, kedua-dua pasukan berkongsi mata dengan Manchester City berkelebihan jaringan keatas Machester United.


KEPUTUSAN LAIN :

Chelsea 1-1 Fulham

Bolton 0-2 Newcastle

Liverpool 1-1 Blackburn

Manchester United 5-0 Wigan

Sunderland 1-1 Everton

West Brom 0-0 Manchester City

Sinar Harian

40 keluarga di Bachok, PCB cemas

2 Safar 1433H. [MOD] -

Kota Bharu - lebih 40 keluarga di pesisir pantai Bachok dan Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat Kota Bharu cemas apabila rumah mereka dilanda limpahan air laut selama tujuh jam berikutan fenomena air pasang besar.

Di Bachok, kawasan terlibat ialah Kampung Pantai Damak, Kampung Perupok, Kampung Kubang Golok, bandar lama Bachok berhampiran Pantai Irama, Kampung Tok Burung dan Kampung Tanjung Chat.

Beberapa kawasan riadah di PCB turut musnah dipukul angin dan ombak besar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Setiausaha Majlis Kese­lamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Mohamed Rosle Mamat meminta orang ramai tidak menghampiri pantai ekoran fenomena air pasang yang dijangka berlaku sehingga Khamis ini.

Sinar Harian

Pantai penuh sampah

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Jika di kawasan lain mengalami hakisan teruk selepas air pasang besar malam semalam, pantai Cempaka pula dipenuhi sampah sarap dibawa ombak besar, disifatkan paling te­ruk dalam tempoh lima tahun.

Tinjauan Sinar Harian di sepanjang pantai itu mendapati banyak plastik, bekas makanan, botol dan kayu memenuhi jajaran pantai Kampung Cempaka hingga pantai Cerok Paloh, antara yang terkenal sebagai lokasi pelanco­ngan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mat Lazim Kadir, berkata sampah sarap itu dibawa ombak besar dan air pasang malam semalam.

“Kita akan melakukan gotong-royong bagi membersihkan semua sampah sarap ini selepas musim tengkujuh bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Katanya, fenomena air pasang itu mengakibatkan beberapa tempat di pantai itu berlaku hakisan.

Sinar Harian

Pulangkan barang Kak Limah

2 Safar 1433H. [MOD] -

MARANG – Selepas gagal mengusir hantu Kak Limah seperti disarankan beberapa pemanggil yang menghubunginya kelmarin, Mazlan Ali mengambil keputusan memulangkan semua barang diambil dari rumah pusaka ayahnya di Jerangau, Dungun.

Bagaimanapun, dia keberatan mengubah suai rumah yang baru siap dibinanya di Kampung Temiang itu, bagi mengembalikan papan, tiang dan atap yang juga diambil dari rumah arwah ayahnya itu.

Semalam, katil kayu digunakan keluarga anaknya, Mohd Syawal, 22, sudah diletakkan di luar rumah untuk dipulangkan seperti disarankan pemanggil yang mendakwa pengamal perubatan rawatan gangguan makhluk halus.
Keputusan dibuat selepas tidak sanggup lagi berhadapan dengan kejadian seram dialami mereka sekeluarga sejak seminggu lalu.

“Gangguan mula berlaku selepas kami membawa pulang kepingan papan, tiang dan atap untuk membina rumah Mohd Syawal November lalu. Masa itu salah seorang anak saya melihat seorang wanita tua menggunakan paip air rumah kami dan berkeliaran di kawasan sekitar.

“Gangguan itu makin menjadi-jadi setelah rumah ini siap dibina seminggu lalu,” katanya.

Harap ada yang sudi bantu dengan ikhlas

Dalam gangguan terbaru malam kelmarin, Mazlan, 55, berkata, ahli keluarganya tidak lena tidur, apabila lembaga misteri kelihatan seperti Hantu Kak Limah itu, terus mengganggu mereka.

“Kebanyakan ahli keluarga saya mengalami mimpi menakutkan apabila tidur semalam (malam kelmarin), sehingga memaksa saya menabur lada hitam dan garam di dalam rumah,” katanya.

Kata Mazlan, ada pengamal perubatan menasihatkan supaya dia menggunakan lada hitam dan garam, sekiranya mengalami gangguan selain membaca ayat suci al-Quran.

“Sejak berita ini disiarkan kami menerima lebih 100 panggilan telefon dan lebih 50 SMS (khidmat pesanan ringkas), terutama daripada pengamal perubatan menawarkan khidmat mereka, namun kami hanya dapat menerima nasihat, tetapi tidak mampu untuk menjemput mereka ke rumah.

“Kami tak mampu membayar kepada mereka. Saya sudah tidak tahan berjaga setiap malam bagi memastikan keluarga saya tidak diganggu,” katanya.

Mazlan amat berharap ada pengamal perubatan tradisional sudi membantu dan dapat pergi ke rumah mereka di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan di sini, kerana kasihan dengan nasib anak serta lapan cucunya yang dihantui ketakutan berpanjangan.

Sinar Harian

Isu Khir Toyo malukan rakyat: Siti Zailah

2 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kerana menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah mewah dan tanah ternyata memalukan rakyat.

Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, satu demi satu penyalahgunaan kuasa pada kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional berjaya dibuktikan dan ia menunjukkan dakwaan pembangkang selama ini adalah benar.

“Pas percaya banyak lagi isu-isu seumpama itu dipercayai melibatkan pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi parti itu yang perlu disiasat pihak bertanggungjawab. Kes Khir Toyo ini salah satu bukti yang jelas kepada rakyat siapa sebenarnya mereka.

“Syabas kepada mahkamah yang kerana memberikan hukuman tanpa mengira kedudukan individu. Masih ramai lagi bekas-bekas pemimpin parti itu yang memiliki kekayaan luar biasa dan ini perlu diselidik segera,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, diharapkan keputusan itu memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin parti politik lain kerana mahkamah tidak melindungi sesiapapun walaupun bekas pemimpin tertinggi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah dan dipenjara 12 bulan mulai tarikh jatuh hukum dan memerintahkan harta terbabit dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala perintah melucut hak harta tersebut pula dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Beliau dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Sinar Harian

Kakak cari adik hilang

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah, Salwiah Mohamad Nordin, 37, amat merindui adik bongsunya, Abdul Rahim, 15, yang terpisah sejak sembilan tahun lalu setelah bapa mereka meninggal dunia.

Menurutnya, adik bongsunya itu adalah hasil perkongsian hidup arwah bapanya dengan isteri kedua, seorang warga Indonesia.

“Walaupun kami berlainan ibu namun hubungan kami bersama tiga lagi adik-beradik termasuk Abdul Rahim sangat akrab.

“Namun, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila Abdul Rahim yang ketika itu berusia enam tahun diambil semula ibunya setelah arwah ayah meninggal dunia akibat diserang angin ahmar,” katanya ketika di temui di sini, semalam.

Justeru, ibu kepada lima anak ini berkata, berikutan peristiwa terbabit, dia tidak mengetahui nasib adiknya itu sehingga ke saat ini, menyebabkan dia diselubungi kesedihan yang tidak berkesudahan.

Katanya, difahamkan adik bongsunya itu, ditempatkan di sekolah pondok di Bukit Besi, Dungun oleh ibu kandungnya, bagaimanapun tidak mengetahui lokasi sebenar sama ada masih lagi di situ atau sebaliknya.

“Sejak itu tiada khabar berita daripadanya. Kami terputus hubu-ngan sampai sekarang. Kami tak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah tiada.

“Saya merayu kepada keluarga ibu kandung Abdul Rahim agar segera menghubungi saya di Kampung Duyung Besar kerana kami semua amat merinduinya,” katanya.

Selain itu, katanya, dia sebagai anak sulung dalam keluarga mahu menyerahkan wang pusaka berjumlah lebih RM40,000 hasil duit pencen arwah bapanya untuk Abdul Rahim sebanyak RM300 sebulan itu.

Salwiah merayu sesiapa yang mengenali Abdul Rahim atau tahu di mana adiknya itu berada dapat menghubunginya menerusi talian 014-5168795.

Sinar Harian

Maut dihempap dahan pokok

2 Safar 1433H. [MOD] -

BUKIT RAMBAI - Seorang penunggang motosikal terkejut apabila mendapati remaja yang maut akibat dihempap dahan pokok, di Jalan Ayer Salak, dekat sini semalam rupa-rupanya anak saudaranya sendiri.

Lim Kim Swee, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, dia hanya berada kurang 100 meter di belakang mangsa dan melihat sendiri dahan pokok berkenaan patah, lalu menghempap seorang penunggang motosikal sebelum mangsa terseret beberapa meter.

“Selepas kejadian itu, saya memberhentikan motosikal untuk membantu, namun mangsa sudah meninggal dunia. Sebaik saja saya dekati dan memeriksa MyKad mangsa, saya terkejut dia adalah anak saudara saya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian itu, Tan Yong Wee, 21, seorang juruteknik pendingin hawa maut di tempat kejadian.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari rumahnya di Ayer Salak, di sini untuk berjumpa abangnya di Tanjung Minyak.

Kim Swee berkata, ketika kejadian, angin bertiup kencang dan dia dalam perjalanan menghantar sayur di beberapa pasar sekitar bandar ini.

“Saya memang tidak menyangka kejadian buruk ini menimpa saudara saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, N Raman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan telefon pada 11.02 pagi.

“Dipercayai mangsa dihempap dahan pokok sebelum terseret disebabkan seluarnya tersangkut pada besi di bahagian belakang motosikal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kejadian itu juga menyebabkan Jalan Ayer Salak, di sini ditutup kepada lalu lintas sebelum mayat mangsa di bawa ke Hospital Melaka, selain dahan pokok berkenaan dialihkan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang , Datuk Seet Har Cheow berkata, meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memantau keadaan pokok di bandar ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,

“Saya sudah minta MBMB untuk menjalankan siastaan berhubung perkara ini dan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesi­hatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO Negeri.

Sinar Harian

Keputusan kes Anwar tak jejas PRU13

2 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - PKR Kedah yakin keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Januari depan, tidak akan menjejaskan momentum parti itu membuat persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, sekiranya keputusan kelak tidak memihak kepada Anwar, ia tidak akan menjejaskan tumpuan gerak kerja parti.

“Kita tetap teruskan Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan pada 14 Januari. Ia tidak jejaskan perjuangan parti, malah saya percaya semangat lebih memuncak untuk jatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Menurutnya, rakyat harus bangkit membuat perubahan sekiranya sudah sedar akan kepincangan dalam pentadbiran Pusat, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Timbalannya, Senator Ir Zamri Yusof berkata, sekiranya Anwar dijatuhi hukuman penjara, gerak kerja PRU13 tetap berjalan seperti biasa dan momentum parti akan bertambah kukuh sekiranya beliau dibebaskan.

Ditanya sama ada isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan kes sabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini memberi kelebihan pada PR, Ir Zamri berkata, ia adalah bonus kepada PR menjelang PRU13.

“Isu NFC ini dilihat lebih mudah difahami rakyat berbanding kes besar membabitkan Pusat, yang didedahkan pemimpin PR sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian

Pemuda Pas selar kenyataan Isma

2 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pemuda Pas menyelar kenyataan Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang mendakwa Pas menghadapi krisis identiti dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju parti.

Ketua Pemudanya, Nas­rudin Hassan berkata, kenyataan Isma itu adalah berpunca dari salah faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan Pas dalam pelan membentuk Negara Berkebajikan.

Beliau berkata, sudah jelas penubuhan Pas adalah berasaskan kepada agama Islam dan Negara Berkebajikan yang dirancang adalah komponen asas dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

“Dokumen negara Islam yang diterbitkan adalah pelan induk Pas bagi menjayakan hasrat mendaulatkan syariat ALLAH dan fasa kedua pula akan memastikan ia bergerak dengan lebih praktikal.

“Ia adalah pengisian dan pelaksanaan yang bakal menjawab pelbagai tohmahan kononnya negara Islam adalah negara hukum semata-mata,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Nasruddin berkata, Isma perlu membuka dan melihat pelan lengkap projek Pas bagi memahami keseluruhan fasa yang dirancang.

Katanya, Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi pengukuhan identiti. Justeru ia dapat memantapkan lagi pengenalan dan jati diri Pas dalam usaha membina sebuah negara Islam yang adil.

“Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam, sementara elemen utama dalam syariat Islam ialah adil, telus, integ­riti dan amanah selain ubudiyyah pengabdian diri kepada ALLAH .

“Ini menepati pembentukan pentadbiran baik yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh Pas,” katanya.

Sinar Harian

Enggan buka pintu bilik

2 Safar 1433H. [MOD] -

LEDANG - Keengganan membuka pintu bilik hotel ketika diketuk Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) akhirnya terjawab apabila menemui sepasang kekasih yang hanya berselimut dalam bilik berkenaan, kelmarin.

Mereka ditahan ketika sedang berdua-duaan dalam bilik di salah sebuah hotel di Tangkak, di sini, pada serbuan jam 3.15 pagi untuk siasatan lanjut.

Malahan, pasangan itu juga mendakwa panas menyebabkan mereka hanya berselimut dalam bilik hotel itu apabila disoal siasat penguat kuasa.

Lelaki berumur 34 tahun itu seorang duda, manakala, pasangannya berusia 20 tahun baru dikenali selama lima bulan.

“Kami baru pulang dari Johor Bahru kerana membawa teman wanita bertemu dengan ahli keluarga di sana sebelum mengikat tali pertunangan.

“Kami merancang untuk bertunang tahun depan dan terlebih dahulu memperkenalkan dia dengan saudara mara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mereka tiba di Tangkak lewat malam kerana keletihan dan mengambil keputusan untuk bermalam di sini.

“Saya akan menghantar teman wanita pulang pada keesokan hari di rumahnya di Negeri Sembilan tetapi tidak bernasib baik apabila dicekup khalwat oleh penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa hotel berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berselimut membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tanpa pakaian dan hanya berselimut sedang bersembunyi dalam tandas,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-
masing,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sinar Harian

Ombak di Dungun paling dahsyat

2 Safar 1433H. [MOD] -

TERENGGANU - Kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian pantai di negeri ini dilaporkan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.

Antara daerah yang teruk dilanda fenomena itu yang dijangka berlarutan sehingga awal Januari depan ialah Dungun dengan hampir sebahagian persisir Pantai Peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam semalam, ombak setinggi lebih lima meter telah memusnahkan hampir keseluruhan landskap tepi pantai yang dirimbuni dengan pohon rhu dan jalan raya sepanjang kira-kira kilometer menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas.

Di KEMAMAN, penduduk Kampung Tanjung, Kuala Kemaman, di sini, turut diancam hakisan pantai eko­ran bencana itu sehingga sebuah rumah musnah sementara beberapa rumah lagi di pesisir pantai itu semakin hampir dihempas ombak.

Rumah bercantum dengan kedai makan dihuni Juliati Ismail, 30, bersama suami, Mohamad Abdul Rashid serta tiga anak mereka runtuh dalam kejadian ombak besar beserta ribut 22 November lalu kini hampir sepenuhnya ditelan ombak setelah fenomena ombak besar kembali sejak dua hari lalu.

Menyedihkan lagi, empat rumah penduduk lain juga di ambang kemusnahan sekiranya bencana ombak ber­te­­­­r­usan kerana tebing pantai terhakis teruk sekali gus mendekatkan lagi jarak rumah masing-masing dengan laut.

Sinar Harian