16 Januari 2012

Dua beranak, 2 pelajar ditahan kes barang curi

22 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Dua beranak dan dua pelajar sekolah menengah ditahan selepas kegiatan menjual serta membeli barang curi yang dianggarkan bernilai RM8,000 dibongkar oleh pihak polis.

Mereka ditahan berusia antara 16 hingga 64 tahun termasuk dua beranak juga peraih emas yang dikatakan membeli barangan dicuri oleh pelajar terbabit, selepas memecah masuk rumah seorang kontraktor di Kampung Tanjung Chat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dua pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di Kampung Tanjung Chat dan Sungai Keladi, dekat sini, selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 38 tahun.

Katanya, dua beranak itu pula yang berusia 26 dan ibunya 64 tahun, ditahan di bandar Kota Bharu ketika menjalankan kegiatan membeli emas terpakai, kira-kira jam 4 petang, semalam.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap dua beranak itu, polis turut menemui beberapa barangan kes yang dijual kepadanya oleh dua pelajar terbabit.

"Dua pelajar terbabit ditahan, kira-kira jam 4 petang kelmarin sebelum polis menahan dua beranak yang dipercayai membeli pelbagai barangan curi daripada mereka berdua,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Beliau berkata, kesemuanya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarga dikatakan meninggalkan rumahnya di Kampung Tanjong Chat, pada 27 hingga 30 Disember tahun lalu dan hanya menyedari kejadian itu sebaik pulang pada 30 Disember kira-kira jam 10 malam.

”Ketika itu mangsa mendapati dalam biliknya berselerak dan mendapati pelbagai barangan perhiasan milik isterinya termasuk rantai, jam tangan dan cincin serta alat permainan jenis PS2 hilang,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan sebelum polis menahan dua suspek terbabit dan menemui semula barangan perhiasan yang disorok di bawah katil rumah mereka, bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Najib tak puas hati di Perak, bakal turun lagi Februari ini


22 Safar 1433H. [MOD] -
http://ajijoi.blogspot.com

Kunjungan Najib dan Rosmah ke negeri Perak (Parit Buntar dan Bagan Serai) baru-baru ini tidak sepertimana yang diharapkan. Sungguhpun beratus bas dikerah untuk memunggah rakyat Perak dari segenap pelusuk negeri, ada juga yang dibawa dari negeri-negeri lain, tetap tidak memberikan isyarat yang sesuai buat Najib untuk berangan bagi mengekalkan kuasa BN di Perak.

Ternyata kepimpinan Zambry gagal mengembalikan sokongan rakyat terhadap BN, terutamanya Umno. Petanda momentum rakyat akan menumbangkan kuasa BN di beberapa kawasan yang dikunjungi Najib nampak nyata.

Ramai yg perasan bagaimana mood Najib yang jatuh merundum dihari kedua. Biarpun program yang diatur BN Perak begitu menatang dan menyanjung Najib umpama maharaja sebuah empayar, ianya masih tidak dapat memuaskan hati Najib.

Ini menambahkan lagi suhu ketakutan Najib untuk mengadakan pilihanraya umum buat masa yang terdekat ini.

Kegagalan kunjungan Najib ke Perak kali ini perlu ditebus oleh Zambry dan barisan kepimpinan Umno Perak Februari nanti apabila Najib sekali lagi akan turun kesini.

Ada yang nakal mengatakan hanya program 'goyang gerudi' Kak Mah sahaja yang berjaya. Berjaya menambahkan menyampah rakyat kepada Umno.

Duda parah disimbah asid

22 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang duda ce­dera parah selepas dipercayai disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian di tepi Sekolah Ke­bangsaan (SK) Tendong, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi, mangsa Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah muka dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II oleh bekas isteri mangsa yang ke tempat kejadian selepas terima maklumat daripada mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jala­luddin Abdul Rahman berkata, keja­dian berlaku sebaik mangsa tiba di ka­wasan berkenaan dan secara tiba-tiba mangsa disimbah dengan sejenis cecair yang dipercayai asid.

”Mangsa yang mengadu kesakitan sempat menghubungi bekas isterinya berusia 30-an yang tinggal di Kampung Kutan sejurus kejadian tersebut.

”Sebaik menerima panggilan, bekas isteri mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa yang berada di luar keretanya mengeram kesakitan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jalaluddin berkata, mangsa kemu­dian dibawa oleh bekas isterinya ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya, bekas isteri mangsa kemudian buat laporan di Balai Polis Bunut Susu, Pasir Mas dan susulan aduan itu, polis lancar gerakan buru suspek untuk mem­bantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Kesek­saan kerana men­datangkan cedera parah.

Sementara itu, kakak mangsa, Wan Zaharah Wan Yusoff, 58, berkata, dia menyedari kejadian me­nimpa adiknya yang bekerja di sebuah syarikat insurans di Kuantan kira-kira jam 12.30 pagi, selepas di­hubungi adiknya Wan Sulaiman, 48.

Dia berkata, sebelum kejadian, adiknya (mangsa) yang pulang bercuti Jumaat lalu menerima panggilan telefon dari­pada Wan Sulaiman mengajaknya keluar minum.

Katanya, sebaik ke­luar dari rumah, mang­sa telah menghubungi Wan Sulaiman me­maklumkan dia hen­dak ke kedai hendak membeli rokok.

”Selepas beberapa minit kemudian, Wan Sulaiman te­rima panggilan telefon orang awam yang memberitahu, Wan Hussin disimbah asid,” katanya.

Wan Zaharah berkata, sebaik dimaklumkan, keluarganya ber­gegas ke tempat kejadian dan mendapati adiknya sudah dihantar ke hospital.

Sinar Harian

Salji landa Kabul dianggap petanda tuah

22 Safar 1433H. [MOD] -

SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan yang dipenuhi salji di Kabul, semalam. - Foto AFP

KABUL: Jika telahan rakyat Afghanistan benar dan salji membawa tuah, negara bergolak itu dijangka menerima berita baik di tengah langkah yang masih belum muktamad ke arah perjanjian damai dengan anggota Taliban berikutan salji yang turun mengubah landskap kering dan berdebu Kabul kepada seni indah berwarna putih bersih.

Pokok di sepanjang jalan dan tembok dengan kesan letupan dihiasi warna putih, dengan lelaki di ruang pejalan kaki dan pengawal yang bersenjatakan raifal berbual, tersenyum kepada orang ramai yang lalu lalang.

Laman web sosial Twitter, yang digunakan secara meluas di Afghanistan untuk mengesan keganasan terbaru dalam perang selama 10 tahun itu, menyatakan kegembiraan.

“Salji lebat turun di Kabul sejak 24 jam lalu. Kelihatan cantik,” kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), yang mempunyai kira-kira 130,000 anggota tentera diketuai Amerika Syarikat di negara itu dalam Twitter.

“Polis Kabul meninggalkan senjata AK47 mereka dan bermain orang salji di Kabul,” kata seorang penduduk. – AFP

Jaim serbu lubuk pondan

22 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Taktik seorang pondan mengangkat kain hingga ke paras peha untuk menggoda anggota penguat kuasa sebelum melarikan diri gagal apabila dia akhirnya berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi serbuan di Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat sini, awal pagi semalam.

Tangkapan itu dilakukan susulan tinjauan dan rondaan yang dijalankan anggota penguat kuasaan Majlis Perban­daran Alor Gajah (MPAG) bermula jam 10.30 malam, kelmarin bersama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sebelum menemui suspek dalam sebuah bilik kecil kira-kira 2.15 pagi, semalam.

Operasi yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaim, Zurul Iman Zakaria bersama 16 anggotanya dibantu sepasukan­ anggota bahagian penguat kuasa MPAG diketuai Setiausaha MPAG, Shadan Othman mendapati lokasi terbabit menjadi ‘port’ golongan pondan dan lelaki normal dari luar melampiaskan nafsu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, semasa operasi, suspek yang berada dalam bilik itu seorang diri sedang berbaring di atas sebuah tilam nipis tidak menyahut panggilan anggota yang mengetuk pintu bilik berkenaan.

Menurutnya, kemudian pihaknya cuba meninjau dari tingkap jaring di tepi bilik kecil itu dan mendapati suspek sedang berbaring dengan hanya berpakaian kain batik serta baju singlet wanita.

“Ketika itu, dia hanya berdiam diri walaupun sedar kehadiran kami, namun enggan memberi kerjasama.

“Kira-kira 15 minit selepas itu, anggota meminta suspek keluar, namun enggan hingga memaksa kami memecahkan pintu bilik yang dibina daripada papan nipis,” katanya.

Suspek lari, bersembunyi

Rahimin berkata, namun cubaan itu gagal kerana pintu berkenaan berkunci dari dalam dan anggota cuba masuk melalui bahagian yang pecah.

“Sebaik anggota berjaya memasuki bilik ini, suspek keluar dan diperiksa. Namun secara perlahan-lahan suspek menyelak kain batik yang dipakai sehingga ke paras peha sebelum melarikan diri dengan meredah zink karat dan timbunan sampah yang terdapat di tepi bilik kecil itu.

“Kemudian suspek cuba melarikan diri ke arah kawasan rumah penduduk kira-kira 300 meter dari bilik berkenaan dan menyembunyikan diri di belakang sebatang pokok pisang sebelum masuk ke bawah pangkin rumah penduduk dalam keadaan kain batik yang dipakainya sudah hampir tercabut,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun selepas anggota MPAG mengepung kawasan sekitar, suspek berjaya ditangkap walaupun dia meronta-ronta dan cuba melawan.

“Dipercayai tempat ini sudah lama dijadikan ‘port’ golongan berkenaan untuk melepaskan nafsu serakah ter­masuk warga emas,” katanya.

Katanya, difahamkan ada lagi beberapa pondan yang menjadikan bilik itu sebagai persinggahan berikutan penemuan timbunan pakaian wanita di atas rak.

“Terima kasih kepada media dan orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung gejala tidak bermoral ini sehingga tangkapan berjaya dilaksanakan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 72 atas kesalahan syariah Jabatan Agama Islam Melaka 1991 lelaki berlagak seperti wanita,” katanya.

Kawasan panas akan dibersihkan

Sementara itu, Shadan Othman berkata, pihaknya akan membersihkan keseluru­han tempat itu selepas mendapat pengesahan bahawa lokasi panas berkenaan adalah tanah rezab kerajaan.

Menurutnya, dipercayai golongan berkenaan hanya menggunakan pelita untuk melampiaskan nafsu dan melayan pelanggan mereka.

“Hasil tinjauan mendapati kawasan ini gelap dan pihak kami akan mengambil tindakan dalam masa terdekat untuk merobohkan bilik kecil ini.

“Malah memasang lampu awam supaya aktiviti berke­naan­ tidak lagi berulang selain pemantauan akan terus dijalankan,” katanya.

Katanya, difahamkan aktiviti ini sudah dijalankan sejak dua tahun lalu.

Dalam tinjauan pada malam itu, pihak MPAG turut menjalankan pemeriksaan ke atas tiga kedai makan yang menyediakan hiburan karaoke di jalan baru Tanjung Bidara-Solok Duku, Taman Rekreasi Bukit Beringin dan di kawasan perindustrian Londang.

Namun mendapati kesemuanya mempunyai lesen yang disahkan MPAG.

Sinar Harian

Bekas PM Korea Selatan ketuai parti pembangkang

22 Safar 1433H. [MOD] -

SEOUL 16 Jan. - Bekas Perdana Menteri Korea Selatan semalam dilantik mengetuai parti utama pembangkang sebagai usaha untuk menyaingi parti pemerintah dalam pilihan raya utama pada tahun ini.

Han Myeong-Sook, 67, dilantik menjadi pengerusi Parti Bersatu Demokratik selepas memenangi 25 peratus undian daripada 51,000 penduduk dan ahli parti, sekali gus mengetepikan lapan calon lain.

Bekas aktivis hak asasi manusia dan demokrasi itu pernah menjadi wanita pertama yang menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Korea Selatan dari 2006 hingga 2007 di bawah pentadbiran Presiden Roh Moo-Hyun. - AFP

Jari hitam ubah siaran TV

22 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK – Diganggu orang minyak ketika berada di dalam rumah adalah antara pengala­man yang tidak dapat dilupakan oleh seorang kanak perempuan berusia 8 tahun.

Kanak-kanak terbabit, Nurul Aishah Abdul Jamal berkata, dia terkejut selepas terpandang jari berwarna hitam tiba-tiba muncul dan menukar siaran televisyen kira-kira 10.45 malam, 31 Disember lalu.

Menceritakan kisah itu, Nurul Aishah berkata, dia pada mulanya mengagak kakaknya sedang bergurau untuk menakut-nakutkannya.

“Bila saya toleh ke kiri saya nampak orang warna hitam, kurus dan tinggi, macam tidak pakai seluar berdiri di dalam bilik dan kemudian hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan ketika kejadian dia sedang menonton siaran Astro Ceria sebelum rancangan itu berubah ke siaran TV3.

Sementara itu, bapanya, Abdul Jamal Mohd Isa, 53, berkata, anaknya itu hanya menceritakan tentang perkara yang dialami sehari selepas kejadian itu.

“Ketika kejadian ibu dan kakaknya berada di rumah dia langsung tidak cerita apa-apa sehinggalah keesokannya, itu pun setelah dia ternampak seorang lelaki bertubuh gelap,” katanya.

Menurutnya kejadian itu benar-benar menakutkan, namun dia bersyukur anaknya tidak trauma dan tidak diapa-apakan oleh makhluk itu.

“Pelik sebab ketika kejadian di luar rumah ramai penduduk sedang sibuk menyiapkan makanan untuk sambutan tahun baru 2012, jadi berkemungkinan makhluk cuba mengambil kesempatan muncul di dalam rumah,” katanya.

Difahamkan kejadian yang menimpa anaknya itu merupakan kali kedua dilaporkan berlaku di pangsapuri berkenaan sebelum ini.

Sinar Harian

Orang minyak masuk botol

22 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Sinar Harian

Gementar diekori harimau empat jam

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR – Dua beranak, Rohani Osman, 50, dan Mastura Kamaruddin, 16, berdepan detik mencemaskan apabila terserempak dan diekori seekor harimau belang ketika keluar menoreh getah di kawasan Padang Ragut, Kampung Changkat Jambu di sini, semalam.

Bagaimanapun, pak belang yang mengekori mereka selama kira-kira empat jam sehingga ke dalam hutan itu, ditembak mati anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menyertai operasi menyelamat dua beranak itu.

Rohani berkata, dia ditemani anaknya tiba di kebun getah pada jam 8 pagi dan ketika mula menoreh pokok pertama, dia terkejut apabila ternampak seekor harimau sedang memerhatikan mereka hanya dalam jarak tujuh meter sahaja.

Menurutnya, kerana terlalu takut, dia dan anaknya cuba menjauhi harimau berkenaan, tetapi diekori sehinggalah tiba di puncak bukit.

“Saya ditemani anak menunggang motosikal dari rumah di kampung Chuar Hilir dan memang rutin harian saya bersama suami menoreh getah di kebun berhampiran kawasan Padang Ragut.

“Ketika mula menoreh pokok pertama, saya ternampak seekor harimau dengan ketinggian sehingga paras pinggang berada tidak jauh dari lokasi kami menoreh.

“Saya memberitahu anak saya dan kami mula bergerak secara berundur dan menyorok di sebalik pokok, tetapi harimau itu tetap tidak mahu berganjak.

“Setiap kali kami bergerak, harimau itu akan turut bergerak dan memerhatikan kami dan kadangkala saya membaling apa sahaja yang boleh dicapai dengan tangan termasuk ranting kayu serta batu.

“Kami melarikan diri sehinggalah tiada tempat lagi untuk dituju dan berasa sangat penat kerana sudah berjalan beberapa jam tanpa henti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, mereka bernasib baik kerana anaknya membawa telefon bimbit dan sempat menelefon salah seorang anak saudara untuk meminta bantuan.

“Nasib baik harimau itu tidak menerkam, walaupun berada dalam jarak dekat dan kami berasa sangat takut melihat mulutnya sentiasa ternganga memandang ke arah kami.

“Kami sudah lari terlalu jauh dan sudah tidak tahu di mana kami berada sehinggalah tiba di puncak bukit.

“Kami lega apabila harimau itu akhirnya ditembak mati dan kami diselamatkan orang kampung serta pasukan penyelamat,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Manakala, Mastura berkata, pada awalnya dia tidak mahu menemani ibunya pergi menoreh getah tetapi memandangkan bapanya tidak sihat dia terpaksa akur.

“Sebelum ini saya memang tidak pernah menemani ibu menoreh getah tetapi hari ini (semalam) ibu memujuk untuk menemaninya kerana bapa tidak sihat dan memandangkan hari cuti sekolah saya mengikutinya.

“Memang tidak sangka kejadian menakutkan ini akan berlaku dan sebelum ini hanya mendengar cerita mengenai ada harimau di kawasan ini tetapi orang kampung tidak pernah terserempak.

“Kali ini kami sendiri melihat harimau dari jarak dekat, bahkan diekori binatang liar ini dan keadaan itu amat mencemaskan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Mohd Nawayai Yasak mengesahkan seekor harimau belang betina dengan berat 70 kilogram telah ditembak mati di Changkat Jambu, Liman Kati.

“Pada jam kira-kira 10 pagi, pihak kami di cawangan Sungai Siput dan Selama menerima panggilan kecemasan mengatakan terdapat dua penoreh getah terserempak dengan seekor harimau belang.

“Difahamkan salah seorang daripada mereka membawa telefon bimbit dan telah menghubungi orang kampung untuk meminta bantuan,” katanya.

Mohd Nawayai berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian tetapi dimaklumkan harimau berkenaan telah ditembak mati oleh salah seorang anggota Rela di kampung itu.

“Sebelum ini, pihak kami pernah menerima aduan mengenai kewujudan harimau belang di sekitar kawasan itu dan sudah membuat siasatan serta pemantauan di beberapa buah kampung.

“Khabar angin juga mengatakan masih terdapat seekor lagi harimau masih berkeliaran tetapi pihak kami masih menjalankan siasatan bagi memastikan kesahihannya,” katanya.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dibuat di lokasi kejadian serta kampung berhampiran demi keselamatan penduduk.

“Kalau boleh kita tidak mahu langkah mudah diambil memandangkan haiwan ini adalah spesies dilindungi,” katanya.

Ketua Wanita Umno Cawangan Chuar Hilir, Nor Hasifah Zamri berkata, sebelum ini beberapa kejadian binatang peliharaan penduduk di baham harimau pernah berlaku di sekitar kawasan itu.

“Sebelum ini memang ada kejadian lembu dan kerbau dibaham oleh pak belang tetapi tidak pernah terserempak dengan pen­duduk.

“Sehinggalah kejadian ini berlaku menyebabkan penduduk takut untuk keluar menoreh.

“Sebaik sahaja mendengar tentang kejadian menimpa dua beranak ini, kami terus bergegas ke lokasi kejadian dan membawa mereka untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sinar Harian

Sekatan Barat: Dilema pelajar Iran di Malaysia

22 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Tindakan negara-negara Barat mengenakan sekatan dan tekanan ke atas Iran bukan sahaja menggugat kestabilan ekonomi republik itu, malah kesannya turut dirasai penuntutnya di negara lain termasuk di Malaysia.

Sinar Harian Online yang menjejaki beberapa penuntut Iran univerisit di Lembah Klang berkongsi kesan dan implikasi khususnya dalam meneruskan pengajian tinggi mereka.

Sara, 25, yang sudah berada di Malaysia lebih dua tahun mengikuti pengajian ijazah sarjana berkata, pada awal tahun pertama semuanya berjalan lancar dan mereka dapat menjalani kehidupan normal serta tumpuan terhadap pelajaran lebih berfokus.

Jumlah wang sara diri yang diperlukan oleh mereka dalam sebulan adalah RM2,000 termasuk untuk bayaran sewa rumah, keperluan makanan, kenderaan dan duit poket.

“Apabila konflik mula berlaku, ibu bapa kami mula menghadapi kesukaran untuk mengirim wang... apabila inflasi meningkat dan nilai mata wang dolar juga melambung," katanya dengan merahsiakan identiti diri atas faktor keselamatan.

“Kami amat sedih mengenangkan ibu bapa yang terpaksa berusaha mencari wang untuk menampung kos sara diri kami,” katanya.

Apa yang mengejutkan, cara ibu bapa mereka menghantar wang kepada mereka juga semakin sukar, apabila pada awal Disember lalu, Amerika Syarikat (AS) mengundi untuk mengenakan sekatan baru ke atas bank pusat Iran.

Langkah itu menyekat institusi kewangan asing berurusan dengan bank berkenaan.

“Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa kami adalah menggunakan khidmat ejen di Iran. Selepas membuat bayaran kepada ejen, pihak mereka akan menghubungi wakil ejen mereka yang berada di Malaysia dan kami akan dimaklumkan bahawa wang kami telah dimasukkan.

“Adakalanya ibu bapa kami juga berhadapan dengan penipuan apabila terdapat ejen yang mengambil kesempatan dan menipu. Apabila ini berlaku, keadaan kami lebih menderita,” katanya.
Tambah Sara, sebagai alternatif, jika ada sahabat, kenalan atau saudara mara yang dikenali ingin datang ke Malaysia, ibu bapa akan kirim wang melalui mereka.
Bagaimanapun ia jarang-jarang berlaku, katanya lagi.

Ketika ditanya jika mereka ada membuat kerja sampingan, rakannya Mina, 24, mencelah, “menjadi kesalahan jika kami bekerja kerana kami berada di sini atas visa pelajar dan kerana kekangan inilah kami tidak dapat membuat kerja sampingan.”

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah berdoa setiap hari agar negara kami berhenti bergolak dan keamanan kembali menyinari setiap rakyat Iran,” ujarnya.

Seorang lagi penuntut, Maryam, 23, berkata, kesan perang di antara Iran dan Iraq yang berlangsung selama lapan tahun hingga Ogos 1988 masih dirasai.

Dan, kini rakyat terpaksa pula merasai penderitaan lain pula.

Ujar Mina, alangkah baiknya jika Iran seperti Malaysia di mana rakyatnya hidup dengan aman damai dan hidup muafakat dalam keadaan berbilang kaum.

“Rakan-rakan Malaysia juga sangat baik dan sering membantu kami ketika kami bermasalah dalam pelajaran.

“Pensyarah di sini juga sangat prihatin dan mengambil berat tentang kemajuan pelajar-pelajar,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan selepas tamat pengajian, mereka bertiga telah sepakat untuk merantau ke negara lain untuk mencari pekerjaan dan kehidupan baru.

“Bukan tidak sayangkan tanah air sendiri, tetapi selagi konflik seperti yang berlaku sekarang tiada penyelesaian, kami sendiri takut untuk pulang.

“Sudah ramai saudara-mara dan sahabat kami yang berada di negara seperi Sweden dan Amerika berjaya serta mampu membentuk kehidupan yang lebih baik," katanya lagi.

Sementara itu, Malaysia menjadi pilihan utama pelajar Iran untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kedoktoran berikutan suasana pembelajaran yang sesuai di negara ini.

Pengarah Hal Ehwal Pelajar Iran di Asia Tenggara, Prof Dr Azizollah Memariani sebelum ini pernah berkata, jumlah pelajar Iran di Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara sekitar 13,000 orang.

Sinar Harian

Serang bom tepi jalan di Syria, 6 maut

22 Safar 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 16 Jan. – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 16 lagi cedera dalam serangan bom tepi jalan di barat laut Syria, semalam, dipercayai didalangi kumpulan pengganas bersenjata.

Agensi berita SANA berkata, bom tersebut yang ditanam di tepi sebatang jalan di wilayah Idlib, meletup ketika sebuah bas mini melalui jalan tersebut.

Serangan itu berlaku antara jalan yang menghubungkan Ariha dan Al-Matsuma, berdekatan sempadan Turki.

Pihak keselamatan turut mematikan dua lagi bahan letupan yang ditemui di Jabal al-Zawai yang terletak dalam wilayah yang sama. – AFP

Apek bakal jutawan

22 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Penjaga gawang skuad bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dilihat bakal bergelar jutawan kerana rezekinya tidak putus-putus sejak membantu negara memenangi Piala AFF Suzuki 2010.

Terbaru, Kelab Khairul Fahmi Che Mat (KKFCM) dan syarikat Khairul Fahmi Resources (M) Sdn Bhd (KFR) miliknya dilancarkan secara rasmi di sini, semalam,

Sebelum ini, Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek memiliki sebuah banglo dihadiahkan kerajaan Kelantan bernilai RM200,000, menjadi duta beberapa syarikat dan kerap menghiasi muka depan beberapa majalah.

“Alhamdulillah, saya sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki diterima dan berharap perancangan syarikat serta kelab ini berjalan lancar,” katanya.

Apek berkata, menerusi KKFCM dan KFR yang menjalin kerjasama dengan Rakyat Travel (anak syarikat Bank Rakyat), beberapa pakej ditawarkan sebagai syarat keahlian dengan pakej paling tinggi membabitkan bayaran yuran RM750 (pakej Family Combo) dan paling rendah RM10 (pakej rakyat).

Menerusi pakej itu, ahli kelab boleh menikmati pelbagai keistimewaan, termasuk perlindungan insurans bernilai RM40,000 setahun tajaan KFR, potongan menginap di Khairul Fahmi Villa Inn Kota Bharu, potongan pakej pelancongan dan pakej umrah selain menyertai aktiviti bersama Khairul Fahmi pada masa depan.

Harian Metro

Perompak gali terowong larikan hanya RM28,793

22 Safar 1433H. [MOD] -

MANCHESTER - Sekumpulan perompak menggali sebuah terowong sedalam 30 meter untuk melarikan wang tunai sebanyak £6,000 (RM28,793) dari sebuah mesin wang di sebuah kedai perkhidmatan penyewaan video di Levenshulme di sini pada 2 Januari lalu.

Menurut Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin, para perompak itu menggali terowong di bawah mesin tersebut.

Para perompak itu menggunakan mesin untuk menebuk lebih 38 sentimeter konkrit untuk mencuri wang tersebut.

Ketinggian terowong itu adalah 1.2 meter dan 30.5 meter panjang.

Namun, para perompak itu tidak dapat melarikan wang dalam jumlah yang banyak kerana mesin berkenaan tidak dimasukkan wang selepas cuti tahun baru.

Beberapa pegawai polis menyatakan terowong itu mungkin mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan. - Agensi

Chong Wei Juara Terbuka Malaysia Kali Kelapan

22 Safar 1433H. [MOD] -

Chong Wei merangkul kejuaraan kali kelapan selepas menewaskan Tago pada aksi final kejohanan Terbuka Malaysia 2012, Ahad.

PETALING JAYA: Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menewaskan pemain Jepun, Kenichi Tago 21-6, 21-13 pada perlawanan final kejohanan Maybank Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad.

Chong Wei hanya mengambil masa selama 36 minit untuk menundukkan Tago yang menempah laluan ke final selepas pemain China, Chen Jin menarik diri pada pusingan separuh akhir, Sabtu.

Ia merupakan kemenangan kelapan pemain No.1 dunia itu di gelanggang sendiri.

Beliau yang menyifatkan perlawanan itu sebagai perlawanan akhir Terbuka Malaysia paling mudah buatnya, berharap dapat mengekalkan semangat dan prestasinya kali ini sehingga Sukan Olimpik London pada Julai ini.

Katanya, beliau juga gembira dapat menumpaskan dua musuh utama dari China iaitu Lin Dan (pada akhir Terbuka Korea minggu lalu) dan Chen Long (ketika peringkat separuh akhir kejohanan) pada awal tahun ini.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan China akan bersedia dengan strategi yang lebih kuat pada Olimpik nanti.

"Buat masa ini saya gembira dapat kalahkan mereka, namun saya juga akan buat persediaan yang lebih bagus," katanya kepada media selepas upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Chong Wei menerima piala dan wang tunai bernilai US$30,000 (RM93,990).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selepas ini, Chong Wei berkata beliau akan menumpukan pada dua kejohanan iaitu pusingan kelayakan Piala Thomas dan All-England sebelum menghadapi temasya Sukan Olimpik.

"Saya akan kurangkan kejohanan tahun ini supaya boleh memberi tumpuan pada persediaan Olimpik," katanya.

Sementara itu, Wang Yihan dari China menjuarai perseorangan wanita setelah mengalahkan rakan senegara Wang Xin 21-19, 21-11. Pemain China turut mendominasi kategori beregu campuran apabila Zhang Nan/Zhao Yunlei dari republik itu muncul johan setelah menumpaskan rakan sepasukan Xu Chen/Ma Jin 21-12, 21-9.

Dalam perlawanan sengit beregu lelaki pula, kemenangan akhirnya berpihak kepada beregu Taiwan Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu, yang mengatasi Cho Gun Woo/Shin Baek Choel dari Korea Selatan 16-21, 21-16, 21-16.

Selain itu, beregu wanita Denmark Christina Pedersen/Kamilla Rytter Juhl melakukan kejutan apabila menundukkan pilihan kedua Ha Jung Eun/Kim Min Jung dari Korea Selatan 21-19, 21-18 untuk menjuarai kategori itu.

mstar/-

Hakim perlu isytihar harta

22 Safar 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Jika kelmarin peguam diingatkan supaya jangan memburukkan hakim, semalam Ketua Hakim Negara mengingatkan para hakim bahawa mereka mungkin dikehendaki mengisytiharkan harta tidak lama lagi.

Tan Sri Arifin Zakaria berkata, langkah tersebut bertujuan menentukan ketelusan dan integriti mereka supaya dihormati masyarakat.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Kehakiman akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perkara tersebut.

"Satu perkara yang saya fikirkan ialah supaya semua hakim mengisytiharkan harta mereka," katanya.

kosmo/-