16 Januari 2012

Duda parah disimbah asid

22 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang duda ce­dera parah selepas dipercayai disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian di tepi Sekolah Ke­bangsaan (SK) Tendong, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi, mangsa Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah muka dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II oleh bekas isteri mangsa yang ke tempat kejadian selepas terima maklumat daripada mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jala­luddin Abdul Rahman berkata, keja­dian berlaku sebaik mangsa tiba di ka­wasan berkenaan dan secara tiba-tiba mangsa disimbah dengan sejenis cecair yang dipercayai asid.

”Mangsa yang mengadu kesakitan sempat menghubungi bekas isterinya berusia 30-an yang tinggal di Kampung Kutan sejurus kejadian tersebut.

”Sebaik menerima panggilan, bekas isteri mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa yang berada di luar keretanya mengeram kesakitan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jalaluddin berkata, mangsa kemu­dian dibawa oleh bekas isterinya ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya, bekas isteri mangsa kemudian buat laporan di Balai Polis Bunut Susu, Pasir Mas dan susulan aduan itu, polis lancar gerakan buru suspek untuk mem­bantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Kesek­saan kerana men­datangkan cedera parah.

Sementara itu, kakak mangsa, Wan Zaharah Wan Yusoff, 58, berkata, dia menyedari kejadian me­nimpa adiknya yang bekerja di sebuah syarikat insurans di Kuantan kira-kira jam 12.30 pagi, selepas di­hubungi adiknya Wan Sulaiman, 48.

Dia berkata, sebelum kejadian, adiknya (mangsa) yang pulang bercuti Jumaat lalu menerima panggilan telefon dari­pada Wan Sulaiman mengajaknya keluar minum.

Katanya, sebaik ke­luar dari rumah, mang­sa telah menghubungi Wan Sulaiman me­maklumkan dia hen­dak ke kedai hendak membeli rokok.

”Selepas beberapa minit kemudian, Wan Sulaiman te­rima panggilan telefon orang awam yang memberitahu, Wan Hussin disimbah asid,” katanya.

Wan Zaharah berkata, sebaik dimaklumkan, keluarganya ber­gegas ke tempat kejadian dan mendapati adiknya sudah dihantar ke hospital.

Sinar Harian

Tiada ulasan: