16 Januari 2012

Tindakan tahan mahasiswa USM berat sebelah - SMM


22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Tindakan polis menahan seorang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) hanya kerana mengecam perdana menteri melalui laman Facebook merupakan satu lagi bentuk intimidasi polis terhadap mahasiswa.

“Selepas peristiwa yang menimpa Bukhairy yang ditahan atas alasan tidak memberi kerjasama dengan polis, Janartana dari USM pula menjadi mangsa intimidasi polis,” kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab.

SMM, katanya melihat sifat agresif polis dalam menahan mahasiswa merupakan signal jelas kepada intimidasi terhadap aktivis mahasiswa yang sejak kebelakangan ini semakin bangkit memperjuangkan hak kebebasan akademik dan autonomi universiti.

Katanya, hanya kerana menggunakan Facebook untuk mengecam Perdana Menteri, mahasiswa USM itu ditangkap tanpa sebarang alasan lain yang kukuh.

Beliau menyifatkan tangkapan berasaskan Facebook itu sama seperti tindakan UPSI yang menggantung Adam Adli dengan hanya menggunakan fakta Google tanpa bukti lain yang lebih kukuh.

“Jikapun benar Fb mahasiswa USM tersebut berbentuk ancaman, namun apakah sesuai tindakan pihak polis dengan terus menangkap sedangkan kecaman itu hanya berbentuk ekspresi terbuka di laman internet.

“Tindakan polis ini juga dilihat sangat berat sebelah jika dibandingkan dengan tindakan polis terhadap individu yang mengancam mahasiswa,” katanya lagi.

Sebagai contoh, katanya individu yang cuba menumbuk Adam Adli dan mukanya dirakam media sehingga ke hari ini masih bebas dan tidak menghadapi sebarang tindakan daripada pihak polis.

Begitu juga, katanya dengan individu yang mencederakan Safwan Anang yang masih bebas sedangkan laporan polis telah lama dibuat.

“Sifat bias ini menguatkan keyakinan SMM bahawa tindakan pihak polis yang semakin agresif terhadap mahasiswa ini merupakan amaran dan intimidasi untuk menakutkan mahasiswa daripada terus memperjuangkan agenda kebebasan akademik,” ujarnya.

Justeru, katanya mahasiswa mngutuk sekeras-kerasnya tangkapan itu dan mengecam sebarang intimidasi pihak polis terhadap mahasiswa.

SMM, ujarnya menggesa agar pihak polis segera membebaskan mahasiswa yang ditahan.

SMM juga, kata beliau mengecam sifat berdiam diri Perdana Menteri yang masih berdiam terhadap isu mahasiswa yang sedang melanda negara.

“Jika benar Perdana Menteri komited dalam melaksanakan transformasi politik, beliau seharusnya menasihati pihak polis agar lebih profesional berhadapan dengan kebangkitan anak muda,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: