16 Januari 2012

Sarapan terakhir suami

22 Safar 1433H. [MOD] -

PARIT - “Tak sangka sarapan hari ini (semalam) menjadi santapan terakhirnya,” luah Zabedah Nordin, 67, isteri Abdul Manaf Panjang Kolah, 85, yang rentung akibat kejadian kebakaran rumah di Kampung Layang-Layang Kiri, di sini.

Kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu menyebabkan Abdul Manaf tidak dapat menyelamatkan diri kerana lumpuh sejak dua tahun lalu.

Zabedah berkata, ketika kejadian dia dan anaknya tidak ada di rumah.

Menurutnya, dia keluar ke pasar sehari Layang-Layang Kiri untuk menjual kuih dan nasi lemak manakala anaknya, Abdul Rafar, 36, ke Titi Gantong kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.

“Memang setiap hari Ahad saya akan berniaga di pekan sehari ini dan hari lain saya hanya tinggal di rumah menjaga arwah.

“Arwah memang tidak boleh berjalan sejak dua tahun lalu kerana mengalami strok dan terbaring di katil sahaja,” katanya yang tinggal bertiga di rumah berkenaan.

Zabedah yang tenang berhada­­­­pan ­­situasi itu berkata, pagi kejadian dia meninggalkan sarapan untuk suaminya sebelum pergi berniaga.

“Memang setiap pagi saya akan menyediakan sarapan iaitu nasi lemak dan juga kuih-kuih terutamanya kuih cucur badak dan dan karipap kerana itu adalah kuih kegemaran suami.

“Saya tidak menyangka ini adalah sarapan terakhir yang dapat disediakan untuk suami kerana pada pagi kejadian dia tidak menunjukkan sebarang perubahan apa-apa,” katanya yang mempunyai lapan anak.


Jiran lihat kepulan asap

JIRAN mangsa, Roslan Ibrahim, 50, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila melihat asap berkepul-kepul di sekitar rumah mangsa.

“Pada masa itu saya menghantar kuih ke pekan sehari kerana mak saya juga berniaga di situ bersama dengan isteri mangsa.

“Apabila melihat asap berkenaan saya mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku dan memang betul jangkaan saya apabila ke tempat kejadian api sudah marak membakar rumah,” katanya.

Katanya, dia segera memberitahu isteri arwah dan menelefon bomba serta ambulans untuk mendapatkan bantuan.


Sudah 95 peratus terbakar

SEMENTARA itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, pihak bomba dan penyelamat Parit menerima panggilan pada jam 8.53 pagi dan tiba di tempat kejadian 9.10 pagi.

“Sampai di tempat kejadian, kami mendapati, rumah ini sudah 95 peratus terbakar.

“Daripada maklumat awal yang kami terima ada mangsa seorang lelaki berumur 80-an yang lumpuh di dalam rumah,” katanya.

Katanya, api dapat dikawal lima minit kemudian dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: