16 Januari 2012

Pilihan raya hanya selepas Jun 2012?

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Ketika kerajaan negeri Selangor sangat kukuh dengan pendiriannya untuk adakan pilihan raya selepas Jun di negeri itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula hanya betul-betul bersedia selepas Jun.

Ini bermakna, jika kerajaan mahu menjalankan pilihan raya dengan penuh persediaan dan disepakati oleh semua pihak yang terlibat, pilihan raya hanya boleh diadakan selepas Jun ini.

Menurut salah seorang anggota PSC (Parliament Select Comittee - Jawatankuasa Terpilih Parlimen), Dr Mohd Hatta Ramli (gambar atas) , jawatankuasanya hanya selesai membuat cadangan pada 3 April 2012 ini.

"Selepas cadangan dibuat, kerajaan dan SPR perlu memprosesnya sebelum ianya dijadikan peraturan.

"Ini bermakna, masa paling sesuai untuk adakan pilihan raya dengan persediaan semua pihak terbabit adalah Jun atau Julai ini," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.



Sebelum ini, ramai yakin kerajaan akan membuat pilihan raya umum Mac ini. Namun pelbagai perkembangan yang berlaku selepas itu menyebabkan masa itu dianggap tidak sesuai lagi.

PSC untuk menambaikkan sistem pilihan raya ini ditubuhkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Mereka diberi masa enam bulan iaitu hingga April ini untuk membuat kajian itu.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mempengerusikan penal ini yang turut disertai oleh wakil BN, Pakatan Rakyat dan Bebas. PAS diwakili oleh Dr Hatta. Dalam kenyataannya di Kota Baru beliau berkata, pihaknya tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah pilihan raya patut diadakan.

Menurut Dr Hatta yang juga anggota Parlimen Kuala Krai, sebahagian peraturan pilihan raya termasuk penggunaan dakwat kekal yang hendak dilaksanakan SPR perlu disahkan oleh Dewan Rakyat terlebih dahulu.

"Dewan Rakyat hanya bersidang pada 12 Mac ini. Selepas itu, SPR pula perlu adakan pembelian dan latihan penggunaannya.

"Walaupun ada yang kata tidak perlu di bawa ke Dewan Rakyat untuk laksanakannya, saya tak nampak begitu dan rasa saya, yang paling baik di bawa ke Dewan Rakyat dahulu," kata Dr Hatta.

Sebelum ini, veteran Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil dalam wawancaranya dengan Harakahdaily berkata, kerajaan perlu menunggu PSC selesai menjalankan tugasnya dahulu.

Jika tidak, kerajaan akan didakwa berbohong dan menipu rakyat, kata beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan, negeri Selangor hanya akan mengadakan pilihan raya selepas Jun 2012.

Ini untuk membolehkan segala program kerajaan negeri yang ada untuk rakyat selesai dilaksanakan.

Para pegawai kanan pejabat MB Selangor itu juga mengesahkan bos mereka amat 'kukuh pendiriannya' dalam isu ini.

"Hatta Tuanku Sultan juga telah dimaklumkan mengenai hal ini," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: