16 Januari 2012

Peneroka Kesedar dihimpit kemiskinan tegar

22 Safar 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG, 16 Jan: Dengan elaun sara hidup kurang RM500 sebulan, apa yang mampu dilakukan peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi menyara kehidupan keluarga.

Sedangkan sebelum kebun getah atau kelapa sawit milik mereka ditebang bagi projek tanam semula pendapatan bulanan mereka lebih daripada mencukupi.

Sebaliknya rakan-rakan mereka di rancangan kemajuan tanah Felda yang juga terbabit projek tanam semula menerima elaun sara hidup RM1,000 sebulan.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Abdullah Husain (gambar) berkata, berdasar kepada jumlah pendapatan sekarang, sebahagian besar peneroka yang terbabit projek tanam semula berada di bawah kemiskinan tegar.

“Masalahnya sekarang mengapa peneroka Felda yang juga terbabit dengan projek tanam semula diberi sara hidup lebib tinggi sehingga RM1,000 sebulan.

“Sedangkan sebelum ini setiap peneroka dipotong hasil pendapatan bagi tabung tanam semula,” katanya di sini.

Beliau berkata, memandangkan keadaan semakin terdesak sebuah badan bukan kerajaan iaitu Waris Generasi Peneroka Kesedar (Waris) akan menyerah memorandum kepada pihak pengurusan Kesedar esok.

Kata beliau memorandum tersebut akan diserah peneroka Kesedar memandangkan kehidupan mereka semakin terhimpit sekarang kerana elaun sara hidup yang tidak sepadan.

Memorandum tersebut antara lain menuntut Kesedar membayar elaun sama seperti dinikmati peneroka Felda dan mengutamakan kebajikan generasi kedua Kesedar.

Difahamkan kira-kira 500 peneroka Kesedar dijangka berhimpun secara aman bagi menyerah memorandum tersebut.

Dijangka hadir bagi memberi sokongan kepada peneroka, anggota Exco kerajaan negeri, Pengerusi
Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman dan pasukan peguam Dewan Pemuda PAS Kelantan.

“Perhimpunan aman esok mendapat permit polis. Peneroka yang hadir tidak perlu risau kerana usaha tersebut dilakukan bagi kepentingan masa depan mereka,” ujar Abdullah yang juga Yang Dipertua PAS Gua Musang.

Beliau juga berkata, program penerangan Waris yang diadakan di sebuah rumah di Sungai Asap malam tadi dihadiri ramai peneroka Kesedar.

Bagaimanapun katanya, rumah Timbalan Pengerusi Waris, Hamdan Jusoh di Sungai Asap dilempar batu mereka tidak dikenali selepas program penerangan tersebut.

Sementara itu, peneroka Kesedar Paloh 2, Abdul Shakur Che Daud, 44 mengakui rata-rata peneroka berpendapatan antara RM350 sehingga RM500 sebulan hasil elaun sara hidup dibayar Kesedar selepas pokok sawit ditebang bagi projek tanam semula.

Katanya, jumlah pendapatan itu menyebabkan ramai peneroka tidak dapat membayar keperluan persekolahan anak-anak dan menampung sara hidup harian.

Beliau berkata, jumlah elaun sara hidup tersebut dibayar Kesedar setiap bulan dalam tempoh empat tahun sehingga pokok sawit yang ditanam berbuah.

”Namun jumlah elaun itu dipotong lagi setiap bulan sebanyak RM20. Kalau peneroka menerima RM350 dipotong RM20 maka tinggal RM330.

”Jumlah elaun sara hidup sebanyak itu menyebabkan rata-rata peneroka di bawah Kesedar sekarang semakin terhimpit sehingga ramai tidak mampu membeli keperluan harian dan terpaksa mencari sumber rezeki lain,” kata beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: