28 Februari 2012

Tiga Kritikal, Lima Cedera Dalam Insiden Tembakan Rambang

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Seorang pelajar ditahan pihak polis selepas disyaki melepaskan tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi di Ohio, Amerika Syarikat, pada Isnin menyebabkan lima pelajar sekolah terbabit tercedera.

Stesen televisyen tempatan berkata, suspek telah melepaskan tembakan rambang ke arah sebuah kafeteria yang dipenuhi pelajar Sekolah Tinggi Chardon sebelum melarikan diri.

Katanya, tiga mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal dan suspek terbabit merupakan pelajar sekolah yang sama serta.

Dia melakukan perkara tersebut bersendirian.

mstar/-

Tiga maut kereta rempuh treler

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Wanita bersama ibu dalam perjalanan hantar anak saudara pulang ke rumah

KUANTAN: Tiga sekeluarga, termasuk kanak-kanak berusia setahun terbunuh selepas kereta PERODUA Viva yang mereka naiki merempuh belakang treler di Kilometer 208.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berdekatan Gambang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, pemandu kereta, Susilawati Saparuddin, 21, bersama ibunya, Azizah Latif, 49, dalam perjalanan untuk menghantar anak saudaranya, Arfan Ar Rayyan Azman ke rumah keluarganya di Kampung Jabor, dekat sini.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata Susilawati dan Azizah yang masing-masing berstatus penduduk tetap (PR) serta Arfan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Susilawati dipercayai tidak sempat mengelak treler yang bergerak perlahan di laluan kiri lalu merempuh belakangnya.

Akibat rempuhan berkenaan, semua mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan pasukan penyelamat yang mengambil masa kira-kira 45 minit dengan menggunakan alat pemotong hidraulik, katanya.

Semua jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarga sebaik saja bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), kira-kira jam 8 pagi, semalam, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, keadaan jalan gelap kerana tiada lampu manakala laluan lurus serta kering berikutan keadaan cuaca baik.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu lori terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Hari, berusia 30-an berkata, dia bersama kelindannya dalam perjalanan ke Kuantan selepas menghantar bekalan pasir di Maran.

Katanya, dia mendengar bunyi dentuman kuat di belakang lori dan terkejut sebaik melihat kereta Perodua Viva terperosok di bawahnya.

Kami cuba membantu mangsa sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian, katanya yang membuat laporan di Balai Trafik Kuantan.

berita harian/-

Rahsia peminat misteri terbongkar

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa peminat misteri yang menghantar kiriman aneh berupa seluar dalam lelaki dan tiga ekor ayam kepada seorang gadis di Wangsa Maju di sini baru-baru ini terjawab apabila polis menahan seorang lelaki semalam.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang.

Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak rupa-rupanya jiran mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat Teknologi Maklumat di ibu negara. Malah mangsa turut mengenali peminat misteri itu.

Suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai bertindak demikian kerana menyangkakan mangsa yang berusia 20-an itu ialah pelakon terkenal, Diana Danielle Beeson atau lebih dikenali sebagai Diana Danielle, 20.

Suspek mendakwa dia tidak pernah bersemuka dengan pelakon kacukan terbabit tetapi kerap berhubung dengan pelakon itu di laman sosial Twitter sejak beberapa tahun lalu iaitu sebelum wanita itu menceburi bidang seni.

Suspek juga mendakwa sepanjang berkomunikasi di Twitter, Diana Danielle sering membalas komennya menyebabkan dia teruja untuk mengenali wanita itu dengan lebih rapat.

Jelas suspek itu lagi, dia amat meminati pelakon itu kerana bukan sahaja memiliki wajah yang cantik malah menyifatkan Diana Danielle sebagai seorang wanita bijak.

Suspek itu memberitahu, dia mengirim bungkusan berisi gambar, nota cinta dan tiga ekor ayam yang dipelihara sendiri kepada mangsa sebagai tanda persahabatan kepada wanita itu atau hadiah daripada peminat tanpa muslihat lain.

Selain Diana Danielle, suspek turut menyertakan nota cinta kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei yang turut dikirimkan di rumah mangsa. Chinn Fei juga merupakan seorang wanita diminati suspek.

kosmo/-

Kalau selamat, bina kilang Lynas di Putrajaya

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Najib Tun Razak memberi sepenuh jaminan bahawa kilang Lynas di Gebeng Kuantan itu selamat.

Beliau dilaporkan berkata:

Datuk Seri Najib Razak mengetepikan kebimbangan yang dibangkitkan peserta demonstrasi anti-Lynas, menegaskan loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi “fakta dan saintifik”.

Maka, Tulang Besi mencadangkan supaya kilang Lynas ini dipindahkan dari Gebeng ke Putrajaya.

Lebih elok, kilang Lynas ini dibina di belakang kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Lagi satu, Tulang Besi ada mendapat maklumat yang Tulang Besi tidak boleh mengesahkannya.

Iaitu, seorang MP PAS yang menyokong projek Lynas ini pernah menjadi konsultan kepada Lynas sebelum projek ini berjalan.

Maka, tidak hairanlah pihak media seluruh Malaysia sedang berusaha bersungguh2 untuk mendapat kenyataan MP PAS ini bagi menyokong projek Lynas.

malaysiakini/-

Lebuhraya Smart ditutup malam esok untuk penyelenggaraan

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Smart di sini akan ditutup kepada lalu lintas mulai 11 malam esok sehingga 6 pagi, bagi kerja penyelenggaraan sistem terowong lebuh raya itu.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung penutupan itu, pengguna boleh menghubungi talian bantuan SMART di talian 1-300-88-7188, kata kenyataan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) hari ini. -- BERNAMA

Tiada komplot jatuhkan MB Kedah - Phahrolrazi

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 28 Feb: Laporan kononnya ada gerakan yang diketuai oleh Phahrolrazi Zawawi untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak hanyalah tuduhan semata-mata dan merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan hanyalah spekulasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai khabar angin menyatakan beliau mengetuai gerakan menyingkirkan Menteri Besar, selepas mengadakan perjumpaan dengan petani di Tandop baru-baru ini.

“Saya bukanlah individu yang mengetuai gerakan tersebut seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. Saya tidak ada sebarang gerakan ke arah itu, kerana saya hanyalah pimpinan di peringkat tertinggi PAS Kedah dan juga menyertai gerakan dalam Parti PAS kawasan saya.

“Selain itu, komplot yang berkaitan dengan diri saya adalah tidak berasas dan saya tidak tahu pula ada dalang seperti yang dikatakan, sedang bergerak aktif menjatuhkan Ustaz Azizan," jelas beliau sebagaimana dilaporkan Warta Kedah, lidah rasmi kerajaan negeri Kedah.

Katanya lagi, sama ada ada dalang atau tidak di sebalik spekulasi ini, beliau tidak mengetahuinya dan saya juga tidak mengenali dalang yang dimaksudkan.

Beliau juga menafikan bahawa kononya beliau kecewa dengan pentadbiran dan pimpinan Ustaz Azizan.

Phahrolrazi dan seorang lagi exco, Dr Ismail tidak mengangkat sumpah exco hari ini apabila majlis mengangkat sumpah berjalan.

harakahdaily/-

Rumah jadi zoo mini kena serbu

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAKITANGAN Perhilitan Pulau Pinang menunjukkan beberapa ekor haiwan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor dekat sini kerana pemiliknya didapati mengusahakan zoo mini secara haram termasuk disyaki menjual haiwan tanpa permit.

Serbuan yang diketuai Pegawai Pelesenan Perhilitan, Rofley Ambuka kira-kira pukul 1.30 petang Sabtu lalu itu berjaya merampas seekor kucing batu, dua ekor ayam hutan, seekor burung murai batu dan seekor burung merbah luris leher yang dipelihara dalam sangkar berasingan.

Difahamkan, kegiatan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu bermula sejak tiga tahun lalu dan kesemua haiwan terbabit dijual kepada pelanggan tempatan.

Pengarah Perhilitan, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, serbuan dilakukan atas maklumat orang awam dan risikan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua haiwan liar itu dibela tanpa kebenaran pihak Perhilitan.

kosmo/-

Mahkamah Tinggi dengar kes bantah TOL Lynas

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

(Penduduk Balok dan Kuantan berkumpul di perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta bagi menyokong tindakan terhadap Lynas)

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Lebih 100 orang penduduk Balok, Kuantan berkumpul di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk menyaksikan sebutan kes Semakan Kehakiman berhubung pemberian lesen TOL kepada Lynas.

Afidavit di failkan oleh 10 plaintif dari Balok dan Kuantan menuntut supaya pemberian lesen ini ditarik balik.

Kes akan di sebut pada pukul 9 pagi ini di Mahkamah Tinggi.

Pada Jumaat lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.

Afidavit tersebut turut disokong afidavit pakar kimia dan sains material, Dr Lee Chee Hong.

harakahdaily/-

Mangsa bakar merintih haus

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TUNGGU...keluarga mangsa di luar ICU, Hospital Sungai Buloh, semalam.

HULU SELANGOR: “Sebaik saja membuka pintu rumah, saya terkejut melihat seorang lelaki hanya berseluar dalam melecur di seluruh tubuh akibat terbakar.

“Dia merintih kesakitan dan merayu diberikan air kerana kehausan,” kata suri rumah, R Selvakodi, 50, menceritakan bagaimana dia membantu Muhammad Syahirudin Mohd Shauki, 20, yang dibakar hidup-hidup, pagi kelmarin.

Syahirudin yang terbakar 80 peratus badannya kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Selvakodi yang tinggal di Kampung Sepakat, Sungai Tengi, di sini, berkata ketika kejadian pada jam 6.40 pagi, dia terlebih dulu terdengar salakan anjing yang kuat sebelum diikuti suara orang meminta tolong di depan rumahnya.

“Seluruh badan dan muka lelaki itu terbakar. Kulitnya menggelupas dan kehitaman, malah rambutnya juga terbakar. Dia menggigil minta diberikan air kerana kehausan.

my metro/-

Dakwaan khalwat jadi mainan kotor Umno - Badrul

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom yang kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung dakwaan beliau terbabit dalam kes khalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Balok, Kuantan Sabtu lalu, khuatir kes itu akan dijadikan permainan politik kotor oleh Umno.

“(Ini) kerana pemandu/pembantu saya telah didatangi oleh enam orang yang tidak dikenali yang menawarkan ‘imbuhan lumayan’ sekiranya (dia) sanggup bekerjasama dengan mereka untuk ‘jadi saksi memburukkan saya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Badrulamin (kanan) juga mendakwa beliau diberitahu oleh ayah kepada wanita yang dituduh berkhalwat dengannya itu bahawa seorang ahli parlimen Pahang yang sekarang bertugas di luar negara ada meminta nombor telefon suami wanita berkenaan melalui ketua kampung di situ.

“Untuk apa? Tentunya untuk meneruskan agenda busuk mereka menyerang Pakatan Rakyat terutama PKR melalui kes saya,” katanya lagi.
Dalam kenyataan akhbarnya selepas siasatan JAIP selama lebih dua jam, petang semalam, Badrulamin yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata keterangan yang diberikan beliau dan wanita berkenaan semasa siasatan juga tidak bercanggah.

"Bahawa kami tidak ditangkap oleh Penguatkuasa JAIP dalam keadaan berdua-duaan.

“Ketika pegawai JAIP tiba, saya berada di dalam bilik bersama beberapa orang lain sedangkan wanita itu (nama tidak disiarkan) berada di tempat lain," katanya.

'Hanya bertuala'

Sehubungan itu, kata Badrulamin, laporan media yang memetik Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz sebagai berkata mereka kononnya ditangkap oleh pegawai penguatkuasa dalam keadaan berdua-duan adalah fitnah yang jahat.

“Malah ada yang melaporkan kononnya kami bertuala ketika ditangkap. (Ini) adalah fitnah jahat dan kotor. Peguam (saya) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat itu.

Badrulamin yang berjaket hitam dan berkopiah coklat ditemani isterinya Zumrah Husni serta tiga peguamnya iaitu Muhammad Sazali Abdul Aziz, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Irfan Abdullah, ketika memberi keterangan.

Sementara, wanita yang didakwa media arus perdana berkhalwat dengan Badrulamin tiba di pejabat JAIP pada jam 3.05 petang dengan menaiki sebuah kereta dengan ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.

Wanita 28 tahun itu memakai baju kurung dan bertudung kuning dilihat keluar meninggalkan pejabat JAIP pada jam 6.20 petang.

Mereka disiasat bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Sebelum ini, Badrulamin menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan di Kuantan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR pada hujung minggu lalu.

Bagaimapun pada jam 2 pagi, beliau dihubungi wanita tersebut dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.

Katanya, beliau telah mengenali pasangan suami isteri itu sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah yang dikendalikannya dan pasangan itu juga sering berhubungan dengannya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi.

Sedia berundur

Beliau juga berkata, wanita berkenaan juga ada menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Badrulamin berkata kejadian itu hanya melibatkan dirinya seorang dan tidak ada kena-mengena dengan parti dan oleh itu beliau bersedia menanggungnya sendiri.

"Saya rela berundur sekiranya pengunduran itu boleh menyelamatkan perjuangan PKR.

"Walaupun belum didapati bersalah atau tidak didapati bersalah pun, saya dah fikirkan tidak akan libatkan sesiapa pun dalam hal ini dan biar saya tanggung sendiri dan sedang menimbang untuk berehat dari jawatan baik dalam parti dan negeri," katanya.

Mengulas, arahan Pejabat Menteri Besar Selangor yang mengarahkan beliau supaya bercuti sebulan bagi menyelesaikan kes itu disambut baik olehnya kerana tidak mahu kerajaan negeri pimpinan Pakatan turut merasa tempias daripada kes itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keterangan Badrulamin setakat ini kerana sedang bertugas di luar daerah.

malaysiakini/-

Mohon maaf demi maaf dari The Star

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Mula-mula juadah daging babi untuk berbuka puasa, kini akhbar MCA, The Star sekali lagi menghina umat Islam Malaysia melalui tatoo nama Allah.

Selepas menyiarkan juadah daging babi untuk berbuka puasa, The Star minta maaf.

Semalam, akhbar ini sekali lagi menyiarkan gambar besar tatoo nama Allah pada dada penyanyi Erykah Badu.

Dan sebagaimana sebelum ini, The Star minta maaf sekali lagi.

Serangan yang dibuat The Star ini selari sahaja dengan serangan yang dibuat oleh presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap Islam.

Ia terbukti dalam debat antara beliau dengan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Inilah suara-suara pembaca yang memenuhi komen-komen dalam Facebook Harakahdaily ekoran tersiarnya berita ini.

Mereka marah kerana ia dibuat berulang-ulang seolah-olah ia disengajakan oleh akhbar MCA ini untuk merenggangkan hubungan antara Islam dan bukan Islam.

Tambahan pula, ia dibimbangi sengaja dibuat ekoran dengan kekecewaan MCA terhadap orang Cina yang kini sudah 80 peratus lebih menyokong Pakatan Rakyat.

Seorang pembaca bernama Joe Radzif menulis: "Senang-senang je minta maaf? It is already too late. Apa editor diorang buta? Atau saja nak buat huru-hara. Tak kan la duduk malaysia tapi bodoh sangat sampai tak tahu langsung. penuhkan email diorang dengan suara bantahan."

Seorang lagi pembaca, Fatimatul Asmak pula menulis: "Tiada maaf. Bawak keluar makhluk ni . Nanti, esok2...buat perkara yang dah tahu salah, lepas tu mohon maaf. Hilang akal ke...benda simple ni tak boleh fikir?"

Osman Abdul Ghani pula menulis: "These papers have no respect and sensative to other beliefor religion. I wonder how just star can simply escape without full investigation of their hidden motive. Not a first incident by star don't you know!"

harakahdaily/-

Abu Bakar Bashir dipenjara 15 tahun

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Mahkamah Agung Indonesia semalam mengesahkan hukuman penjara selama 15 tahun dikenakan terhadap seorang guru agama, Abu Bakar Bashir (gambar) kerana melakukan keganasan.

Dia dianggap sebagai pemimpin kerohanian militan Islam di Indonesia dan penyokong jihad kumpulan Al-Qaeda.

Bagaimanapun, Abu Bakar yang berusia 73 tahun menafikan dia merupakan seorang pengganas.

Pada Jun tahun lalu, sebuah mahkamah yang lebih rendah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya.

Namun, disebabkan rayuan, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman kepada sembilan tahun penjara dengan menyebut kekurangan bukti dan umur sebagai faktor keputusan itu dibuat.

Hukuman itu kemudian kembali kepada asal apabila Mahkamah Agung menyatakan dalam keputusannya semalam bahawa Abu Bakar terbukti bersalah melakukan perbuatan pengganas.

Abu Bakar Bashir yang merupakan pengasas kumpulan Jemaah Islamiah (JI) bertanggungjawab berhubung satu siri serangan termasuk kejadian letupan bom di Bali pada 2001 yang menyebabkan 202 orang terbunuh kebanyakannya warga asing. - AFP

27 Februari 2012

KAMI, Sakmongkol dan ISA

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Wacana PRU13 yang dianjurkan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), 18 Februari lalu, di Hotel Midah, Kuala Lumpur, merakamkan keprihatinan, sekali gus kebimbangan, terhadap persiapan dan persediaan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, berdepan pilihan raya paling signifikan dalam sejarah negara ini.

Lebih ekstrim lagi, ada yang mempersoalkan, apakah tajuk yang dipilih penganjur, "Peranan Kritikal dan Strategik PAS Menjayakan Road Map Pakatan ke Putrajaya", masih relevan memandangkan tindakan agresif Dato' Seri Najib Razak berkempen, turun padang dan menawarkan rakyat pelbagai insentif "one off".

"Mungkin lebih baik difokuskan strategi untuk mempertahankan negeri-negeri Pakatan yang ada daripada menjangkau impian yang terlalu besar. Saya bimbang road map ke Putrajaya akan menjadi harapan palsu," kata Ghazali Mayudin, bekas pensyarah sains politik yang diundang sebagai penalis bersama Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Saya tidak terperanjat dengan ingatan ikhlas bekas guru saya itu. Sewajarnya elemen "syok sendiri" tidak membatasi penggerak PAS daripada terus berikhtiar dan mencari formula mengatasi kelemahan yang ada.

Malah tujuan KAMI menghimpunkan lebih 40 aktivis pelbagai latar belakang itu didorong oleh kesedaran tinggi -- masih banyak ruang untuk meningkatkan keupayaan Pakatan bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka bukan sahaja mempunyai pilihan lain dalam PRU13, bahkan pilihan itu lebih jauh lebih baik berbanding Umno-BN.

Melalui siri wawancara eksklusif saya dengannya, dan wacana pada 3 Disember 2011, di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, bertajuk "PRU13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", Mat Sabu begitu prihatin dengan kewibawaan semua komponen parti dan para pemimpin Pakatan.

Beliau memandang serius aspek integriti, ketelusan dan keterbukaan, yang perlu dipamerkan oleh aksi dan teladan kerajaan negeri Pakatan. Katanya, kerosakan Umno-BN tidak dapat dibaiki lagi dan amarah rakyat sukar dibendung. Gabungan parti yang memerintah sejak merdeka itu akan jatuh.

Soalnya, kata Mat Sabu, rakyat sedang menilai dengan cermat prestasi pemerintahan Pakatan, khususnya penampilan pemimpin dan wakil rakyatnya. Mereka mahu diyakinkan bahawa kerajaan alternatif akan membawa pengisian jauh lebih baik, bukan sahaja membasmi elemen korupsi tetapi juga mampu mengangkat martabat rakyat.

Dalam sesi perbincangan pagi 18 Feb itu, Mat Sabu masih menekankan aspek integriti dan keadilan sosial yang ditawarkan Pakatan. Sebagai tokoh no. 2 PAS tentulah beliau lebih senang merujuk situasi dalam partinya sendiri -- dengan segala kelemahan dan kelebihan yang ada.

Beberapa peserta wacana membangkitkan soal tarikh PRU13 dan mengaitkannya dengan tempoh singkat untuk mengubah persepsi pengundi, terutama masyarakat Melayu, yang sebahagian besarnya dijangka akan mengekalkan BN sebagai pemerintah.

Seperti ditekankan berulangkali, tanpa penyertaan majoriti orang Melayu dalam gelombang perubahan, maka impian untuk melihat Malaysia yang bersih daripada rasuah, penindasan, dan salahguna kuasa sukar dicapai.

Di waktu ramai percaya bahawa semakin tinggi peratusan masyarakat Cina akan mengundi Pakatan Rakyat -- ada meramalkan sehingga 85 peratus -- dalam masa sama, jentera pilihan raya PAS dibebankan amanah lebih besar, agar melipatgandakan lagi usaha mendedahkan dakyah palsu Umno yang masih mempengaruhi pengundi Melayu.

Di awal majlis, saya menjelaskan posisi "strategik tetapi kritikal PAS", di antaranya berpunca daripada faktor demografi kawasan yang bakal ditandingi Parti Islam, berdepan Ummno di kerusi majoriti pengundi Melayu, di kampung-kampung tradisi yang mungkin belum terdedah sepenuhnya dengan politik baru.

Namun begitu, tidak sedikit pengundi Melayu yang sudah jelak dengan kepincangan pemerintahan BN, sekali gus menyedari tingkah laku menjolok mata pemimpin Umno yang bergelumang rasuah, tetapi minda politik mereka masih terkepung dan mudah dipengaruhi dakyah perkauman sempit BTN.

"Selepas Najib menyelesaikan bantahan kakitangan awam terhadap syor awal SBPA (Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam) dan meredakan kontroversi fidlot lembu Shahrizat, Parlimen mungkin akan dibubarkan segera," kata seorang peserta wacana.

Kerisauan itu sebenarnya mudah difahami. Mereka bukannya sangsi dengan keupayaan rakyat untuk menolak kebobrokan Umno, atau merasakan Najib sudah ada lampu aladin untuk menyelamatkan BN yang kian kronik. Cepat atau lambat, era Umno akan berakhir; penyakit yang dideritainya mustahil disembuhkan lagi.

Peserta wacana sekadar tidak mahu kesempatan terbaik untuk menukar kerajaan -- yang tidak pernah 'terhidang' sebelum ini -- terlepas hanya disebabkan masalah remeh-temeh atau titik-bengik, seperti perselisihan sesama Pakatan atau mengambil ringan persiapan taktikal dan logistik.

"Tiada istilah terlewat, kerana ruang dan peluang luas terbentang. Rakyat sudah bersedia untuk berubah, malah mereka tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum BN. Dalam masa singkat tetapi berkesan ini, setiap potensi tidak boleh dibazirkan. Jangan hampakan impian rakyat," bisik seorang rakan.

"Keyakinan itu mesti dibajai, bukan digoyang atau diragui dengan pelbagai karenah negatif di kalangan Pakatan," tegurnya lagi. "Saya setuju pandangan you bahawa parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan muncul sebagai pemenang," tambahnya merujuk kolum Catatan Hujung.

Mat Sabu mengakui, mana-mana parti pemerintah yang berkuasa dalam tempoh yang lama seperti Umno, hanya menunggu detik kematian.

"Kita memang sentiasa berasa seperti tidak cukup bersedia, misalnya pada 2008, siapa jangka tsunami politik melanda. Sekarang ketika berceramah, berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun, saya dapat rasai riak perubahan yang ketara. Nampak hadirin yang pelbagai, tidak seperti dahulu," ujarnya.

Nada suara bekas Timbalan Presiden KeADILan, Abd Rahman Othman agak menyentak. Beliau mengingatkan, kedudukan PAS memang kritikal apatah lagi misinya adalah untuk memenangi 60 kerusi Parlimen berbanding 80 yang dijangka bertanding.

Sambil menegur prestasi kerajaan negeri Kedah dan Kelantan, yang baginya mampu melonjak lebih tinggi, Abd Rahman mahu PAS mengambil langkah drastik atau bertindak "di luar kotak" dalam PRU13.

"PAS mesti berubah. Dalam waktu singkat dan kritial ini saya tidak nampak isu lebih besar daripada keberanian untuk kemukakan calon daripada muka-muka baru. Ramai tokoh PAS hari ini merupakan orang lama lebih 30 tahun lalu. Tampilkan calon berwibawa, profesional dan diyakini rakyat. Kalau perlu, fikirkan untuk perkenalkan calon-calon itu lebih awal lagi," katanya.

Saya tertarik dengan cadangan yang dilontarkan Dr Mohamad Alinor Abd Kadir, bagi memecahkan "kebuntuan" menangani kemelut pengundi Melayu. Katanya, PAs mesti menakluki pengundi Melayu dengan tindakan awal mengubah cara mereka berfikir. Katanya, dalam masa yang singkat sebelum PRU13, PAS, DAP dan KeADILan mesti menghantar penceramah khas dalam setiap ceramah untuk mengubah cara orang Melayu berfikir.

Di majlis berbeda, dalam sesi cakap-cakap Harakah dengan Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, bekas Adun Pulau Manis, Pekan (2004-2009), Khamis lalu, kami didedahkan dengan situasi politik yang lebih meyakinkan.

Ariff Sabri, yang lebih dikenali melalui blog Sakmongkol AK47, menceritakan pengalamannya bersama bekas ketuanya, Najib, terutama semasa beliau menjadi Ketua Penerangan Umno Pekan.

Gambaran yang dipaparkan dalam pertemuan sejam setengah itu cukup menarik. Meskipun memilih DAP sebagai wadah barunya, Ariff Sabri komited dengan misi perubahan yang didambakan rakyat.

Baginya, Najib bukanlah seorang tokoh pembaharu yang dapat menyelamatkan Umno, sebaliknya hanya bergantung dengan rasuah untuk membeli sokongan, termasuk untuk "menjaga pemimpin dan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan".

"Najib ini tiada wawasan, dia ini mentadbir dan urus negara macam urus Umno Bahagian Pekan," tambahnya.

Mengakui agak rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, terutama selepas melancarkan blognya, Ariff Sabri mendapat maklumat bahawa hanya tiga negeri yang agak selamat buat Umno, iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

"Dan BN mungkin kalah lebih 20 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dalam PRU13 nanti," katanya, merujuk satu sumber kajian pemimpin Umno sendiri.

"Zaman membeli undi seperti yang dilakukan Najib, sehingga terjelma dalam pentadbiran kerajaan BN, sudah berlalu. Veteran terkemuka Umno sendiri mengakui hakikat ini. Rakyat lebih prihatin ke mana pemimpin politik nak bawa negara ini, itu yang ditanya mereka, bukannya duit dua tiga ratus yang disogok," tegas Ariff Sabri yang nampak yakin pengundi Melayu juga turut berubah sekiranya maklumat sahih disampaikan kepada mereka.

Dalam pada itu, saya yang turut ke kompleks mahkamah, Jalan Duta, Rabu lalu, terkedu mendengar hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen ke atas aktivis Himpunan Mansuh ISA, 1 Ogos 2009.

Ketika Najib berbangga dengan apa yang didakwanya sebagai tranformasi politik memansuhkan akta zalim itu pada malam Hari Malaysia tahun lalu, hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 memberi mesej berbeza.

Seorang yang selalu menghubungi saya melalui telefon, Mak Cik Kedah tidak mahu mengulas panjang hipokrasi itu, sebaliknya membaca serangkap pantun. Kebetulan saya sedang memandu ketika itu, lantas memintanya SMS sahaja: "Bujang Senang Sungai Sarawak, berenang berendam di kala senja; lidah bercabang mengalah biawak, indah khabar dari rupa."

HARAKAHDAILY/-

Kunci Air Ancam Keselamatan Penduduk Tanjung Karang

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TANJUNG KARANG, 27 FEB: Setelah 54 tahun memerintah, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menumpukan usaha-usaha melindungi keselamatan masyarakat Tanjung Karang.

Keselamatan penduduk di Pekan Tanjung Karang dan kampung-kampung sekitarnya bakal terancam sekiranya kunci air yang berusia lebih 40 tahun gagal menampung tekanan air Sungai Tengi.

Demikian menurut Naib Yang Dipertua Pas Tanjung Karang, Haji Misran Serman ketika ditemui wartawan TVS baru-baru ini.

"Dahulu ada dua kunci air, satu yang besar dibina sebelum merdeka pada tahun 30an lagi dan satu lagi dibina oleh Kerajaan pada sekitar tahun 60an tetapi lebih kecil.

"Malangnya, kunci air besar itu telah runtuh gara-gara kerakusan BN yang kononnya nak menaikkan taraf kunci air lama itu sekitar tahun 2006.

"Disebabkan kecuaian perancangan, semasa projek itu sedang dijalankan kunci air tersebut jadi condong kerana cerucuk yang ditanam mungkin telah terkena asas bangunan tali air itu dan akhirnya runtuh.

"Akhirnya projek menaiktaraf tersebut dihentikan begitu sahaja sekaligus telah berlaku bukan sahaja pembaziran dana awam tetapi melenyapkan satu khazanah bersejarah yang ada di situ.

"Bila kunci air besar tadi dah runtuh, kunci air yang ada sekarang cumalah kunci air kecil yang dibina pada tahun 60an.

"Bayangkanlah apa akan jadi pada kampung-kampung dan Pekan Tanjung Karang sekiranya kunci air tersebut tidak dapat membendung tekanan air yang kuat dan pecah terutama pada masa air naik," kata Misran.

Misran turut kesal kecuaian yang dilakukan oleh pihak terlibat dalam kerja menaiktaraf kunci air yang dibina pada 30an itu telah mengakibatkan sebuah bangunan bersejarah yang ada musnah.

"Di negara kita hanya ada dua atau tiga sahaja bangunan kunci air dan salah satu darinya adalah bangunan kunci air setinggi empat tingkat yang runtuh ini.

"Ia mempunyai nilai-nilai sejarah yang tinggi untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

"Tetapi sayang kunci air itu dah runtuh dan sekarang mereka buka satu galeri yang dinamakan Galeri Jabatan Pengairan Selangor yang nampak macam tidak terurus," beritahunya lagi.

TV EWS/-

Dakwa Pengerusi Eksekutif NFC cadangan terbaik

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan pihak polis agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Mohamed Salleh Ismail atas tuduhan pecah amanah adalah satu cadangan yang terbaik.

Beliau yang menyatakan demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini berharap perkara tersebut tidak hanya sekadar setakat itu sahaja.

"Bagi saya ia adalah satu cadangan yang baik dibuat oleh pihak polis terhadap isu NFC dan dalam hal ini Peguam Negara perlu bertindak segera.

"Perkara ini perlu diambil secara rasional dalam mencari jalan penyelesaian bukan hanya sekadar mencadangkan sebaliknya tidak ada apa berlaku," jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, Peguam Negara perlu mengambil keputusan yang jelas terhadap apa yang dicadangkan oleh pihak polis.

Katanya, Peguam Negara perlu bertindak mengikut undang-undang yang telah ada.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain.

Menurutnya lagi, pihak polis juga ada menyelitkan cadangan ini agar pihak Peguam Negara mengambil tindakan itu. Kertas siasatan itu akan dikembalikan dalam masa terdekat

NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas selepas pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

harakahdaily/-