27 Februari 2012

Dakwa Pengerusi Eksekutif NFC cadangan terbaik

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan pihak polis agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Mohamed Salleh Ismail atas tuduhan pecah amanah adalah satu cadangan yang terbaik.

Beliau yang menyatakan demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini berharap perkara tersebut tidak hanya sekadar setakat itu sahaja.

"Bagi saya ia adalah satu cadangan yang baik dibuat oleh pihak polis terhadap isu NFC dan dalam hal ini Peguam Negara perlu bertindak segera.

"Perkara ini perlu diambil secara rasional dalam mencari jalan penyelesaian bukan hanya sekadar mencadangkan sebaliknya tidak ada apa berlaku," jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, Peguam Negara perlu mengambil keputusan yang jelas terhadap apa yang dicadangkan oleh pihak polis.

Katanya, Peguam Negara perlu bertindak mengikut undang-undang yang telah ada.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain.

Menurutnya lagi, pihak polis juga ada menyelitkan cadangan ini agar pihak Peguam Negara mengambil tindakan itu. Kertas siasatan itu akan dikembalikan dalam masa terdekat

NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas selepas pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: