27 Februari 2012

Anuar Tan saman Ng Yen Yen RM5 juta

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 27 Feb: Pengerusi Perhubungan MCA Kelantan, Datuk Sri Dr Ng Yen Yen dituntut membayar ganti rugi RM5 juta ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Notis saman tersebut difailkan Anuar yang juga Adun Kota Lama melalui peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates baru-baru ini.

Sehubungan itu pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 4 Mac ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di sini.

Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan pada 29 April tahun lepas mengeluarkan kenyataan media dengan mengggambarkan Anuar Tan berdolak dalik dalam isu Bazar Tok Guru.

Kenyataan itu disiarkan akhbar Sin Chew Jit Poh pada 29 April 2011 yang bertajuk “MCA Kelantan: Isu Bazar Tok Guru “Anuar Tan terus berdolak-dalik”.

Kenyataan serupa juga disiar akhbar Nanyang Siang Pau pada tarikh sama, “Menangani Isu Bazar Tok Guru MCA Kelantan: Anuar Tan berdolak-dalik”.

Dalam kenyataan tersebut pemimpin MCA terbabit mendakwa Anuar Tan pernah menabur janji kepada peniaga dengan memberi jaminan setiap lot gerai di Bazar Tok Guru mempunyai keluasan 120 kaki persegi.

Bagaimanapun katanya, selepas siap saiznya menjadi 48 kaki persegi, di mana Anuar Tan berusaha mencari akal menolak tanggungjawabnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguamcaranya mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi yang minimal.

Bagaimanapun defendan gagal serta tidak mahu memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi tersebut.

Sedangkan kata Anuar kedua-dua artikel tersebut secara jelas menyebut berita yang tidak benar dikaitkan dengannya, di mana digambarkan seorang pakar berdolak-dalik dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya penyiaran artikel tersebut menjejaskan imej plaintif di mata masyarakat.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan memohon maaf secara bertulis, membuat permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau, membayar ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: