27 Februari 2012

Konflik gajah-manusia di Pahang meruncing

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Konflik gajah dan manusia di negeri ini dilihat semakin meruncing apabila tahun lepas sahaja tiga haiwan itu mati akibat pertembungan dengan manusia.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata, walaupun angka itu dilihat rendah, keadaan adalah membimbangkan kerana dianggar hanya terdapat 190 ekor gajah liar di negeri ini.

"Gajah berhadapan ancaman daripada manusia apabila mereka mula memasuki kawasan penempatan untuk mencari makanan, selepas kawasan habitat mereka di hutan dimusnahkan untuk pembangunan.

"Tahun lepas sahaja sebanyak 229 aduan diterima mengenai perkara itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kebanyakan kes, penduduk atau pemilik ladang bertindak menembak haiwan terbabit menyebabkan ada yang tercedera dan akhirnya mati akibat kecederaan itu.

Khairiah menyangkal dakwaan penduduk bahawa jabatan itu tidak mengambil tindakan terhadap aduan mereka.

"Setiap aduan yang diterima Perhilitan akan disusuli dengan tindakan tetapi kebanyakan laporan yang diterima lambat sampai dan menyukarkan Perhilitan untuk membuat tindakan," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: