28 Februari 2012

PM Tidak Perlu Tunggu BN-Umno Dapat 2/3 Majoriti

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dalam kenyataan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah, seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Sepatutnya, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya.

Sehubungan itu, PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan PM dengan beberapa perkara yang disebut di atas.

PAS akan mengemukakan usul tersebut di dalam sidang parlimen akan datang.

PM tidak perlu menunggu untuk mendapatkan 2/3 majoriti dalam pilihanraya akan datang, kerana rakyat akan menilai sejauhmana kerajaan mendokong usaha membanteras rasuah dengan menilai sokongan BN terhadap usul yang akan dibawa PAS.

Rakyat sudah tentu masih ingat wayang ‘anti-rasuah’ yang dimainkan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia.

Jika PM ikhlas dalam membanteras rasuah, beliau tidak perlu mengambil usul ini sebagai satu lagi janji berbentuk ‘you help me, I help you’ untuk mendapatkan undi rakyat, kerana pihak PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentunya akan menyokong usul tersebut asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man,

Ketua Penerangan PAS Pusat

28 Februari 2012

Pemaju enggan bayar pampasan

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Penderitaan kira-kira 15 keluarga di Kampung Batu 14 sejak lima tahun lalu belum berakhir apabila pemaju yang membangunkan pangsapuri 22 tingkat bersebelahan rumah mereka didakwa enggan membayar pampasan terhadap kerosakan yang ditanggung selama ini.

Penduduk mendakwa, selain pembangunan yang terlalu hampir dengan rumah mereka, kejadian banjir kerap berlaku kerana pemaju menutup lombong kolam tadahan bagi membina pangsapuri itu.

Lebih membuatkan penduduk terkilan, pihak berwajib seakan-akan enggan membantu menyelesaikan kemelut melanda serta membiarkan sahaja penduduk selepas projek pangsapuri siap dibina.

Penduduk, S Sugumaran, 53, berkata, dia kecewa janji pemaju untuk membaiki keretakan dan kerosakan di rumahnya ketika projek pembangunan dijalankan hanya tinggal janji.

“Bayangkan dalam rumah saya ada lebih 100 tempat yang retak, itu belum masuk kerosakan siling dan lain-lain. Rumah saya juga sering menerima ‘hadiah’ dari langit seperti batang paip dan sebagainya yang datang dari tingkat atas ketika kerja pembinaan kondominium dilakukan.

“Ini kerana jarak pembinaan kondominium terlalu hampir dengan bahagian belakang rumah,” katanya.

Sugumaran berkata, sejak lima tahun lalu ketika kerja pembangunan bermula, hampir setiap kali hujan, rumahnya akan ditenggelami air.

“Kami sekeluarga mene­rima tempias akibat projek pem­bangunan ini, rumah sering banjir tanpa ada pihak prihatin dengan masalah ini.

“Kalau hendak dialihkan jarak rumah dengan pangsapuri, kami tiada pilihan, ia memerlukan kos namun pemaju enggan membayar pampasan,” katanya.

Ketua Komuniti Kaum India Puchong, L Subramaniam berkata, pihaknya menggesa pihak berwajib menangguhkan dahulu pengeluaran sijil layak menduduki (CF) kepada projek perumahan itu sehinggalah masalah ditanggung penduduk diselesaikan pemaju.

“Dalam undang-undang, apa sahaja bangunan melebihi lima tingkat mesti mempunyai jarak 40 kaki persempadanan. Bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan pembinaan yang terletak kurang 7.5 meter ini dengan jarak rumah penduduk kampung.

“Jarak terlalu dekat, jika berlaku kebakaran, mesti ada rumah penduduk kampung turut menerima kesan, malah jika penduduk pangsapuri membaling apa-apa dari atas pasti kami di bawah yang menerima kesannya,” katanya.

Subramaniam berkata, pihaknya pernah mengadukan perkara itu kepada PBT malangnya pihak itu didakwanya seolah-olah tidak mahu campur tangan.

“Mereka suruh kami berbincang sendiri dengan pemaju sedangkan pihak itu yang meluluskan projek ini. Ke mana mahu diadukan hal ini lagi, kejadian banjir sejak projek dimulakan sehingga sekarang sering melanda dan menimbulkan kesusahan penduduk kampung.

“Saya memohon sesiapa yang ada kuasa mengeluarkan CF tangguh dulu pengeluarannya sehingga masalah pemaju dengan penduduk selesai,” katanya yang me­makl­umkan penduduk mendengar ura-ura CF pangsapuri itu akan dikeluarkan hujung bulan ini.

sinar harian/-

Bai’ah menjadikan Umno gelisah?

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD]

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan isu bai’ah di dalam PAS benar-benar menjadi beban yang membuatkan UMNO resah dan gelisah. Lihat bagaimana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 25 Febuari yang lalu di Sinar Harian dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia pada 24 Febuari di Utusan Malaysia.

2. Ustaz Fathul Bari melarang guna istilah syarak untuk tujuan politik. Ini satu perkara yang tidak masuk akal. Sekiranya istilah syarak yang membawa kepada pemahaman yang betul terhadap sesuatu syariat tidak boleh digunakan, bagaimana untuk kita mahu memahami dan membawa syariat yang sebenar dalam kehidupan kita termasuk berpolitik dan mentadbir negara?

3. Contohnya politik, ia adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam sektor korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

4. Kefahaman awam mengenai politik berbeza dengan makna yang difahami dari sudut pandangan Islam, politik ialah menjaga urusan umat di dalam dan di luar negara dengan cara yang tidak menyalahi syariat Islam. Siasah syar’iyyah [politik berasaskan syara'] tidak hanya terhad kepada apa yang disebut oleh syara’, tetapi disyaratkan agar tidak menyalahi teks al-Quran, sunah, ijmak dan kaedah-kaedah syara’ serta dasar-dasar amnya.

5. Melihat kepada dua contoh ini, memahami politik dari sudut pandang Islam itu adalah sangat penting. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan inilah politik yang sepatutnya diamalkan dan diperjuangkan oleh mereka yang mengaku muslim. Sekiranya kita tidak boleh menggunakan istilah politik yang menepati syara' atau istilah syara' dalam berpolitik, bagaimana kita mahu mentadbir bumi Allah ini sesuai dengan apa yang telah Allah sampaikan melalui rasulNya?

6. Bagi kami selaku ahli PAS, istilah syara’ itu perlu digunakan untuk tujuan politik agar masyarakat dapat memahami konsep sebenar berpolitik di dalam Islam. Sekiranya Ustaz Fathul Bari menafi atau melarang ahli politik menggunakan istilah syara’ untuk berpolitik maka Dewan Pemuda PAS merasakan tidak perlunya wujud “Islam Wasthiyyah” yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib.

7. Selain daripada itu, beliau juga turut melemparkan tuduhan dengan mengatakan bai’ah di dalam PAS bersifat radikal sehingga dikatakan boleh mendatangkan kecelakaan dunia dan akhirat kepada sesiapa yang melanggarnya. Firman Allah di dalam surah al-Fath ayat 10 berbunyi:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya sendiri dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

8. Sebagai calon yang bertanding di atas tiket PAS, mereka perlulah menjalankan kewajipan dan amanah mereka setelah dipilih oleh rakyat. Sebagaimana rakyat telah memilih mereka yang mewakili parti, maka mereka perlu melaksanakan tanggungjawab setelah mereka dipilih. Justeru bai’ah ini adalah untuk memastikan bahawasanya setiap daripada calon PAS menjalankan semua amanah dan tidak mengkhianati kepercayaan rakyat yang telah memilihnya sebagai wakil mereka.

9. Tidak salah sekiranya PAS memperingatkan malah mengikat komitmen setiap calonnya untuk melaksanakan amanah Allah ini agar mereka tidak dicelakakan oleh Allah sama ada ketika di dunia mahupun di akhirat kelak. Bai’ah di dalam PAS adalah tertakluk dengan syarat sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 59 berbunyi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu…”

10. Memetik daripada kenyataan Datuk Seri Jamil Khir yang mengatakan bai'ah memang ada dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan. Justeru, inilah yang dilakukan oleh PAS sebagaimana yang diungkapkan oleh Presidennya bahawasanya bai’ah di dalam PAS adalah untuk memastikan bahawasanya setiap daripada calonnya tidak menyeleweng daripada dasar, cara dan matlamat Islam itu sendiri.

Akhirnya, tidak perlulah UMNO bersusah payah mengenai isu bai’ah yang dilakukan oleh PAS, kerana PAS mempunyai sokongan dasar dan asas yang kukuh daripada nas dan pendirian alim ulama' haraki dalam perkara ini.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiga Kritikal, Lima Cedera Dalam Insiden Tembakan Rambang

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Seorang pelajar ditahan pihak polis selepas disyaki melepaskan tembakan rambang di sebuah sekolah tinggi di Ohio, Amerika Syarikat, pada Isnin menyebabkan lima pelajar sekolah terbabit tercedera.

Stesen televisyen tempatan berkata, suspek telah melepaskan tembakan rambang ke arah sebuah kafeteria yang dipenuhi pelajar Sekolah Tinggi Chardon sebelum melarikan diri.

Katanya, tiga mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal dan suspek terbabit merupakan pelajar sekolah yang sama serta.

Dia melakukan perkara tersebut bersendirian.

mstar/-

Tiga maut kereta rempuh treler

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Wanita bersama ibu dalam perjalanan hantar anak saudara pulang ke rumah

KUANTAN: Tiga sekeluarga, termasuk kanak-kanak berusia setahun terbunuh selepas kereta PERODUA Viva yang mereka naiki merempuh belakang treler di Kilometer 208.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berdekatan Gambang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, pemandu kereta, Susilawati Saparuddin, 21, bersama ibunya, Azizah Latif, 49, dalam perjalanan untuk menghantar anak saudaranya, Arfan Ar Rayyan Azman ke rumah keluarganya di Kampung Jabor, dekat sini.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata Susilawati dan Azizah yang masing-masing berstatus penduduk tetap (PR) serta Arfan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Susilawati dipercayai tidak sempat mengelak treler yang bergerak perlahan di laluan kiri lalu merempuh belakangnya.

Akibat rempuhan berkenaan, semua mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan pasukan penyelamat yang mengambil masa kira-kira 45 minit dengan menggunakan alat pemotong hidraulik, katanya.

Semua jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarga sebaik saja bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), kira-kira jam 8 pagi, semalam, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, keadaan jalan gelap kerana tiada lampu manakala laluan lurus serta kering berikutan keadaan cuaca baik.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu lori terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Hari, berusia 30-an berkata, dia bersama kelindannya dalam perjalanan ke Kuantan selepas menghantar bekalan pasir di Maran.

Katanya, dia mendengar bunyi dentuman kuat di belakang lori dan terkejut sebaik melihat kereta Perodua Viva terperosok di bawahnya.

Kami cuba membantu mangsa sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian, katanya yang membuat laporan di Balai Trafik Kuantan.

berita harian/-

Rahsia peminat misteri terbongkar

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa peminat misteri yang menghantar kiriman aneh berupa seluar dalam lelaki dan tiga ekor ayam kepada seorang gadis di Wangsa Maju di sini baru-baru ini terjawab apabila polis menahan seorang lelaki semalam.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang.

Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak rupa-rupanya jiran mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat Teknologi Maklumat di ibu negara. Malah mangsa turut mengenali peminat misteri itu.

Suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai bertindak demikian kerana menyangkakan mangsa yang berusia 20-an itu ialah pelakon terkenal, Diana Danielle Beeson atau lebih dikenali sebagai Diana Danielle, 20.

Suspek mendakwa dia tidak pernah bersemuka dengan pelakon kacukan terbabit tetapi kerap berhubung dengan pelakon itu di laman sosial Twitter sejak beberapa tahun lalu iaitu sebelum wanita itu menceburi bidang seni.

Suspek juga mendakwa sepanjang berkomunikasi di Twitter, Diana Danielle sering membalas komennya menyebabkan dia teruja untuk mengenali wanita itu dengan lebih rapat.

Jelas suspek itu lagi, dia amat meminati pelakon itu kerana bukan sahaja memiliki wajah yang cantik malah menyifatkan Diana Danielle sebagai seorang wanita bijak.

Suspek itu memberitahu, dia mengirim bungkusan berisi gambar, nota cinta dan tiga ekor ayam yang dipelihara sendiri kepada mangsa sebagai tanda persahabatan kepada wanita itu atau hadiah daripada peminat tanpa muslihat lain.

Selain Diana Danielle, suspek turut menyertakan nota cinta kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei yang turut dikirimkan di rumah mangsa. Chinn Fei juga merupakan seorang wanita diminati suspek.

kosmo/-

Kalau selamat, bina kilang Lynas di Putrajaya

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Najib Tun Razak memberi sepenuh jaminan bahawa kilang Lynas di Gebeng Kuantan itu selamat.

Beliau dilaporkan berkata:

Datuk Seri Najib Razak mengetepikan kebimbangan yang dibangkitkan peserta demonstrasi anti-Lynas, menegaskan loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi “fakta dan saintifik”.

Maka, Tulang Besi mencadangkan supaya kilang Lynas ini dipindahkan dari Gebeng ke Putrajaya.

Lebih elok, kilang Lynas ini dibina di belakang kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Lagi satu, Tulang Besi ada mendapat maklumat yang Tulang Besi tidak boleh mengesahkannya.

Iaitu, seorang MP PAS yang menyokong projek Lynas ini pernah menjadi konsultan kepada Lynas sebelum projek ini berjalan.

Maka, tidak hairanlah pihak media seluruh Malaysia sedang berusaha bersungguh2 untuk mendapat kenyataan MP PAS ini bagi menyokong projek Lynas.

malaysiakini/-

Lebuhraya Smart ditutup malam esok untuk penyelenggaraan

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Smart di sini akan ditutup kepada lalu lintas mulai 11 malam esok sehingga 6 pagi, bagi kerja penyelenggaraan sistem terowong lebuh raya itu.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung penutupan itu, pengguna boleh menghubungi talian bantuan SMART di talian 1-300-88-7188, kata kenyataan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) hari ini. -- BERNAMA

Tiada komplot jatuhkan MB Kedah - Phahrolrazi

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 28 Feb: Laporan kononnya ada gerakan yang diketuai oleh Phahrolrazi Zawawi untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak hanyalah tuduhan semata-mata dan merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan hanyalah spekulasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai khabar angin menyatakan beliau mengetuai gerakan menyingkirkan Menteri Besar, selepas mengadakan perjumpaan dengan petani di Tandop baru-baru ini.

“Saya bukanlah individu yang mengetuai gerakan tersebut seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. Saya tidak ada sebarang gerakan ke arah itu, kerana saya hanyalah pimpinan di peringkat tertinggi PAS Kedah dan juga menyertai gerakan dalam Parti PAS kawasan saya.

“Selain itu, komplot yang berkaitan dengan diri saya adalah tidak berasas dan saya tidak tahu pula ada dalang seperti yang dikatakan, sedang bergerak aktif menjatuhkan Ustaz Azizan," jelas beliau sebagaimana dilaporkan Warta Kedah, lidah rasmi kerajaan negeri Kedah.

Katanya lagi, sama ada ada dalang atau tidak di sebalik spekulasi ini, beliau tidak mengetahuinya dan saya juga tidak mengenali dalang yang dimaksudkan.

Beliau juga menafikan bahawa kononya beliau kecewa dengan pentadbiran dan pimpinan Ustaz Azizan.

Phahrolrazi dan seorang lagi exco, Dr Ismail tidak mengangkat sumpah exco hari ini apabila majlis mengangkat sumpah berjalan.

harakahdaily/-

Rumah jadi zoo mini kena serbu

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAKITANGAN Perhilitan Pulau Pinang menunjukkan beberapa ekor haiwan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu sebuah rumah di Kampung Tok Bidor, Tasek Gelugor dekat sini kerana pemiliknya didapati mengusahakan zoo mini secara haram termasuk disyaki menjual haiwan tanpa permit.

Serbuan yang diketuai Pegawai Pelesenan Perhilitan, Rofley Ambuka kira-kira pukul 1.30 petang Sabtu lalu itu berjaya merampas seekor kucing batu, dua ekor ayam hutan, seekor burung murai batu dan seekor burung merbah luris leher yang dipelihara dalam sangkar berasingan.

Difahamkan, kegiatan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu bermula sejak tiga tahun lalu dan kesemua haiwan terbabit dijual kepada pelanggan tempatan.

Pengarah Perhilitan, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, serbuan dilakukan atas maklumat orang awam dan risikan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua haiwan liar itu dibela tanpa kebenaran pihak Perhilitan.

kosmo/-

Mahkamah Tinggi dengar kes bantah TOL Lynas

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

(Penduduk Balok dan Kuantan berkumpul di perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta bagi menyokong tindakan terhadap Lynas)

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Lebih 100 orang penduduk Balok, Kuantan berkumpul di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk menyaksikan sebutan kes Semakan Kehakiman berhubung pemberian lesen TOL kepada Lynas.

Afidavit di failkan oleh 10 plaintif dari Balok dan Kuantan menuntut supaya pemberian lesen ini ditarik balik.

Kes akan di sebut pada pukul 9 pagi ini di Mahkamah Tinggi.

Pada Jumaat lepas, seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Mereka terdiri daripada Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan yang difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co.

Tiga pihak terlibat, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes berkenaan.

Semakan kehakiman tersebut dilakukan kerana penduduk dan pihaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan yang telah memberi lesen operasi sementara kepada Lynas.

Afidavit tersebut turut disokong afidavit pakar kimia dan sains material, Dr Lee Chee Hong.

harakahdaily/-

Mangsa bakar merintih haus

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TUNGGU...keluarga mangsa di luar ICU, Hospital Sungai Buloh, semalam.

HULU SELANGOR: “Sebaik saja membuka pintu rumah, saya terkejut melihat seorang lelaki hanya berseluar dalam melecur di seluruh tubuh akibat terbakar.

“Dia merintih kesakitan dan merayu diberikan air kerana kehausan,” kata suri rumah, R Selvakodi, 50, menceritakan bagaimana dia membantu Muhammad Syahirudin Mohd Shauki, 20, yang dibakar hidup-hidup, pagi kelmarin.

Syahirudin yang terbakar 80 peratus badannya kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Selvakodi yang tinggal di Kampung Sepakat, Sungai Tengi, di sini, berkata ketika kejadian pada jam 6.40 pagi, dia terlebih dulu terdengar salakan anjing yang kuat sebelum diikuti suara orang meminta tolong di depan rumahnya.

“Seluruh badan dan muka lelaki itu terbakar. Kulitnya menggelupas dan kehitaman, malah rambutnya juga terbakar. Dia menggigil minta diberikan air kerana kehausan.

my metro/-

Dakwaan khalwat jadi mainan kotor Umno - Badrul

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom yang kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung dakwaan beliau terbabit dalam kes khalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Balok, Kuantan Sabtu lalu, khuatir kes itu akan dijadikan permainan politik kotor oleh Umno.

“(Ini) kerana pemandu/pembantu saya telah didatangi oleh enam orang yang tidak dikenali yang menawarkan ‘imbuhan lumayan’ sekiranya (dia) sanggup bekerjasama dengan mereka untuk ‘jadi saksi memburukkan saya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Badrulamin (kanan) juga mendakwa beliau diberitahu oleh ayah kepada wanita yang dituduh berkhalwat dengannya itu bahawa seorang ahli parlimen Pahang yang sekarang bertugas di luar negara ada meminta nombor telefon suami wanita berkenaan melalui ketua kampung di situ.

“Untuk apa? Tentunya untuk meneruskan agenda busuk mereka menyerang Pakatan Rakyat terutama PKR melalui kes saya,” katanya lagi.
Dalam kenyataan akhbarnya selepas siasatan JAIP selama lebih dua jam, petang semalam, Badrulamin yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata keterangan yang diberikan beliau dan wanita berkenaan semasa siasatan juga tidak bercanggah.

"Bahawa kami tidak ditangkap oleh Penguatkuasa JAIP dalam keadaan berdua-duaan.

“Ketika pegawai JAIP tiba, saya berada di dalam bilik bersama beberapa orang lain sedangkan wanita itu (nama tidak disiarkan) berada di tempat lain," katanya.

'Hanya bertuala'

Sehubungan itu, kata Badrulamin, laporan media yang memetik Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz sebagai berkata mereka kononnya ditangkap oleh pegawai penguatkuasa dalam keadaan berdua-duan adalah fitnah yang jahat.

“Malah ada yang melaporkan kononnya kami bertuala ketika ditangkap. (Ini) adalah fitnah jahat dan kotor. Peguam (saya) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat itu.

Badrulamin yang berjaket hitam dan berkopiah coklat ditemani isterinya Zumrah Husni serta tiga peguamnya iaitu Muhammad Sazali Abdul Aziz, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Irfan Abdullah, ketika memberi keterangan.

Sementara, wanita yang didakwa media arus perdana berkhalwat dengan Badrulamin tiba di pejabat JAIP pada jam 3.05 petang dengan menaiki sebuah kereta dengan ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.

Wanita 28 tahun itu memakai baju kurung dan bertudung kuning dilihat keluar meninggalkan pejabat JAIP pada jam 6.20 petang.

Mereka disiasat bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Sebelum ini, Badrulamin menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan di Kuantan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR pada hujung minggu lalu.

Bagaimapun pada jam 2 pagi, beliau dihubungi wanita tersebut dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.

Katanya, beliau telah mengenali pasangan suami isteri itu sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah yang dikendalikannya dan pasangan itu juga sering berhubungan dengannya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi.

Sedia berundur

Beliau juga berkata, wanita berkenaan juga ada menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Badrulamin berkata kejadian itu hanya melibatkan dirinya seorang dan tidak ada kena-mengena dengan parti dan oleh itu beliau bersedia menanggungnya sendiri.

"Saya rela berundur sekiranya pengunduran itu boleh menyelamatkan perjuangan PKR.

"Walaupun belum didapati bersalah atau tidak didapati bersalah pun, saya dah fikirkan tidak akan libatkan sesiapa pun dalam hal ini dan biar saya tanggung sendiri dan sedang menimbang untuk berehat dari jawatan baik dalam parti dan negeri," katanya.

Mengulas, arahan Pejabat Menteri Besar Selangor yang mengarahkan beliau supaya bercuti sebulan bagi menyelesaikan kes itu disambut baik olehnya kerana tidak mahu kerajaan negeri pimpinan Pakatan turut merasa tempias daripada kes itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keterangan Badrulamin setakat ini kerana sedang bertugas di luar daerah.

malaysiakini/-

Mohon maaf demi maaf dari The Star

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Mula-mula juadah daging babi untuk berbuka puasa, kini akhbar MCA, The Star sekali lagi menghina umat Islam Malaysia melalui tatoo nama Allah.

Selepas menyiarkan juadah daging babi untuk berbuka puasa, The Star minta maaf.

Semalam, akhbar ini sekali lagi menyiarkan gambar besar tatoo nama Allah pada dada penyanyi Erykah Badu.

Dan sebagaimana sebelum ini, The Star minta maaf sekali lagi.

Serangan yang dibuat The Star ini selari sahaja dengan serangan yang dibuat oleh presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap Islam.

Ia terbukti dalam debat antara beliau dengan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Inilah suara-suara pembaca yang memenuhi komen-komen dalam Facebook Harakahdaily ekoran tersiarnya berita ini.

Mereka marah kerana ia dibuat berulang-ulang seolah-olah ia disengajakan oleh akhbar MCA ini untuk merenggangkan hubungan antara Islam dan bukan Islam.

Tambahan pula, ia dibimbangi sengaja dibuat ekoran dengan kekecewaan MCA terhadap orang Cina yang kini sudah 80 peratus lebih menyokong Pakatan Rakyat.

Seorang pembaca bernama Joe Radzif menulis: "Senang-senang je minta maaf? It is already too late. Apa editor diorang buta? Atau saja nak buat huru-hara. Tak kan la duduk malaysia tapi bodoh sangat sampai tak tahu langsung. penuhkan email diorang dengan suara bantahan."

Seorang lagi pembaca, Fatimatul Asmak pula menulis: "Tiada maaf. Bawak keluar makhluk ni . Nanti, esok2...buat perkara yang dah tahu salah, lepas tu mohon maaf. Hilang akal ke...benda simple ni tak boleh fikir?"

Osman Abdul Ghani pula menulis: "These papers have no respect and sensative to other beliefor religion. I wonder how just star can simply escape without full investigation of their hidden motive. Not a first incident by star don't you know!"

harakahdaily/-

Abu Bakar Bashir dipenjara 15 tahun

6 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Mahkamah Agung Indonesia semalam mengesahkan hukuman penjara selama 15 tahun dikenakan terhadap seorang guru agama, Abu Bakar Bashir (gambar) kerana melakukan keganasan.

Dia dianggap sebagai pemimpin kerohanian militan Islam di Indonesia dan penyokong jihad kumpulan Al-Qaeda.

Bagaimanapun, Abu Bakar yang berusia 73 tahun menafikan dia merupakan seorang pengganas.

Pada Jun tahun lalu, sebuah mahkamah yang lebih rendah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya.

Namun, disebabkan rayuan, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman kepada sembilan tahun penjara dengan menyebut kekurangan bukti dan umur sebagai faktor keputusan itu dibuat.

Hukuman itu kemudian kembali kepada asal apabila Mahkamah Agung menyatakan dalam keputusannya semalam bahawa Abu Bakar terbukti bersalah melakukan perbuatan pengganas.

Abu Bakar Bashir yang merupakan pengasas kumpulan Jemaah Islamiah (JI) bertanggungjawab berhubung satu siri serangan termasuk kejadian letupan bom di Bali pada 2001 yang menyebabkan 202 orang terbunuh kebanyakannya warga asing. - AFP